Home » Berita Dunia Islam » Burung Helang Alat Pengintipan Israel di Sudan (dan 4 Berita Lain)

Burung Helang Alat Pengintipan Israel di Sudan (dan 4 Berita Lain)

Burung Helang Alat Pengintipan Israel di Sudan

Helang Terbang Tinggi Membawa Misi Mengintip Bagi Pihak Israel

Pihak Berkuasa Keselamatan Sudan berjaya mengenal pasti seekor burung helang sebagai kaedah terbaharu Israel untuk mengintip maklumat rahsia di negaranya.

Menurut mereka, seekor burung helang yang berjaya ditangkap di Kereinek di bahagian barat Darfur turut dilengkapi dengan alat pengintipan canggih buatan Israel.

Burung helang tersebut dilaporkan turut membawa sejenis alat pengintipan yang diletakkan di bahagian sayap di mana tertulis “Jawatan Kuasa Israel untuk perlindungan alam sekitar”, Universiti Ibrani Jerusalem.

Alat pengintipan itu dijana oleh tenaga suria akan merakamkan maklumat dan gambar-gambar yang kemudiannya dipindahkan menerusi sistem pelayaran “GPS”.

Menurut pegawai keselamatan Sudan, setelah memeriksa peralatan tersebut mereka menemui bukti bahawa ianya dikeluarkan di Universiti Ibrani, Jerusalem dan diseludup masuk ke Sudan untuk dipasangkan kepada burung helang di habitatnya.

Pendedahan itu dibuat setelah beberapa minggu Israel berjaya mengebom sebuah gudang yang menyimpan peralatan tentera “Yarmuk” di Kahrtoum dengan mendakwa senjata tersebut dibuat untuk diseludupkan ke Gaza untuk kegunaan pejuang Hamas. (eramuslim).

Tarikh 12/12/12 Jadi Rebutan Untuk Berkahwin

Masyarakat keturunan China amat mempercayai bahawa nombor akan menentukan nasib seseorang.

Bagi pasangan yang bercadang melangsungkan perkahwinan, tarikh 12/12/12 merupakan tarikh yang amat diminati kerana dianggap kembar tiga terakhir bagi abad ini.

Menurut kepercayaan mereka, kembar tiga terakhir itu boleh dianggap titik permulaan kehidupan baru yang bahagia dan pasangan yang melangsungkan perkahwinan pada tarikh tersebut bakal disirami dengan “tuah”.

Sebelum ini, tarikh 10/10/10, 11/11/11 dan 8/8/8 menjadi rebutan pasangan baharu di beberapa buah negara yang mempunyai keturunan China antaranya, Hong Kong, Singapura dan tidak terkecuali Malaysia.

Bagaimanapun, tarikh 12/12/12 yang akan muncul besok turut dijadikan tarikh terbaik untuk pasangan sesetengah pasangan Islam di Malaysia. Tetapi, ia bukanlah sesuatu yang dipercayai membawa tuah dan nasib baik kerana penentuannya adalah berkaitan dengan pembawaan dan iltizam seseorang itu dalam memenuhi apa sebenarnya yang hendak dicari dalam kehidupan mereka.

Bagi pasangan baharu di Hong Kong dan Singapura, pemilihan tarikh berdasarkan tiga numbor berkembar menyebabkan pendaftaran perkahwinan meningkat naik dan dianggap sebagai tanda “cinta.”

Menurut jurucakap Pusat Pendaftaran Perkahwinan Hong Kong, mereka telah menerima 696 permohonan daripada pasangan yang memilihnya, iaitu meningkat hampir empat kali daripada purata harian sebanyak 177 permohonon pendaftaran pada bulan Oktober lalu.

Singapura yang dihuni oleh hampir 5 juta orang, tiga perempat adalah keturunan China sejumlah 540 pasangan yang mendaftar perkahwinan mereka pada 12/12/12. Ia merupakan peningkatan sebanyak lapan kali ganda berbanding purata harian pendaftaran perkahwinan bagi bukan Islam.

Rakyat Indonesia Masih Belum Boleh Terima Pemimpin Muda

Dapatan kajian yang dikeluarkan oleh Institut Kajian Indonesia (INSIS) menunjukkan bahawa rakyat Indonesia masih belum boleh menerima ahli politik muda sebagai pemimpin untuk menerajui negara yang berpenduduk lebih 230 juta orang.

Kajian yang melibatkan seramai 1,070 responden mendapati 80 peratus tidak bersedia menerima tanggungjawab tersebut jika ditawarkan bertanding sebagai kelompok ahli politik muda.

Ini bermakna, seseorang hendak dicalonkan merebut jawatan presiden Indonesia mestilah berumur lebih 55 tahun kerana kelompok golongan muda berumur 35 hingga 55 tahun belum berjaya mendapat kepercayaan orang ramai menerajui kepimpinan negara pada tahun 2014.

Menurut pengkaji di INSIS, Mochtar W. Oetomo berkata, “Rakyat Indonesia masih tidak tahu siapa ahli politik muda yang mahu dipilih untuk menjadi Presiden Indonesia yang baru.”

Pendapat Mochtar itu selari dengan pendirian beberapa orang penganalisis politik yang sedikit ragu-ragu mengenai kewibawaan calon ahli politik muda yang bakal menawarkan diri untuk bertanding pada tahun 2014.

Bagi Mochtar, “Mereka masih kurang pengalaman dalam modal politik dan sosial untuk bertanding menentang ahli politik lama dalam pilihan raya presiden 2014.”

Tentera Diberi Kuasa Tangkap Penunjuk Perasaan di Mesir

Bagi membendung salah laku kelompok yang mengadakan demonstari yang kembali berlarutan sejak Presiden Mesir mengeluat Dikri Presiden, pihak tentera telah diberikan kuasa sementara untuk menangkap sesiap sahaja yang dianggap cuba menghalang proses referendum yang akan diadakan pada 15 Disember ini mengenai draf pindaan Perlembagaan.

Kelmarin, Presiden Mohamad Mursi telah membatalkan Dikri Presiden yang menimbulkan pelbagai tentangan daripada kelompok parti-parti pembangkang kerana “kekebalan daripada undang-undang” dilihat sebagai suatu tindakan untuk mengekalkan kuasa presiden dan melahirkan situasi pemerintahan dictator seperti yang pernah berlaku pada zaman pemerintahan Hosni Mubarak selama tiga dekad.

Arah tersebut telah dikeluarkan kelmarin (9/12/2012) setelah berlakunya pertembungan antara kumpulan pembangkang dan penyokong draf perlembagaan yang masing-masing mempertahankan pendapat masing-masing.

Presiden Mohamad Mursi pada hujung bulan lalu mengeluarkan perintah agar jawatankuasa yang menggubal pindaan perlembagaan diberikan perlindungan tidak boleh dicabar oleh undang-undang dan kemudiannya menjadi punca kemarahan parti-parti pembangkang daripada kelompok liberal dan kiri.

Setelah berlangsung hampir dua minggu, rusuhan membantah Dikri Presiden telah menyebabkan lapan orang terbunuh manakala beratus-ratus lagu cedera.

Menurut sumber itu lagi, usaha memberikan kuasa penangkapan kepada pihak tentera adalah sebagai sokongan kepada pihak polis untuk berganding bahu mempertahankan institusi penting sehingga selesainya referendum.

Katanya, “Undang-undang terbaru ini, yang memberi pihak tentera hak untuk menahan sesiapa yang terlibat dalam kerja-kerja bertentangan dengan undang-undang seperti membakar bangunan atau merosakkan kawasan-kawasan awam hanya untuk memastikan keselamatan ketika referendum. ”

“kini presiden bertanggungjawab, ” dan jelas sumber itu lagi, “Dalam usaha memastikan anggota tentera terlibat mengawal proses referendum, satu undang-undang perlu dikeluarkan.”

Presiden Syria Terus Didesak Letak Jawatan

Jawatankuasa Menteri Liga Arab yang ditubuhkan untuk menangani krisis politik Syria mendesak Presiden Syria, Bashar Al Assad berundur bagi memudahkan proses peralihan kuasa dilaksanakan dan sekali gus menghentikan konflik yang berlangsung lebih 21 bulan.

Satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat kelmarin yang dipengerusikan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Qatar, Sheikh Hamad Jassem bin Jabor Al Thani berkata, kemerosotan berterusan memberi kesan terhadap masa depan Syria, rakyat dan integriti wilayah tersebut.

Menurut laporan sebuah agensi berita, jawatankuasa berkaitan telah mendapat sokongan daripada Duta Liga Arab ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Lakhdar Brahimi selepas bersepakat dengan Ahli Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi pemindahan kuasa dan membentuk kerajaan peralihan dengan penuh tanggungjawab dalam mewujudkan rejim demokratik.

Pengerusi Jawatankuasa Menteri Arab dan Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil Al Arabi juga mengumumkan untuk meneruskan usaha mencapai kata sepakat meminta Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi mandatori gencatan senjata.

Hadir sama pada mesyuarat itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas; dan, Menteri Luar Arab Saudi, Oman dan Kuwait.

“Semua negara dan organisasi antarabangsa dalam Liga Arab digesa melipatgandakan usaha menyediakan pelan komprehensif untuk menyediakan bantuan kemanusiaan segera ke kawasan terjejas serta pelarian di dalam wilayah Syria dan pelarian Syria di negaranegara jiran,” menurut laporan itu.

Disusun dan Disunting Semula oleh Mahanor Saleha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × 3 =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib