Home » Wawancara » Wasatiyyah: Membangun Kecemerlangan Bersama

Wasatiyyah: Membangun Kecemerlangan Bersama

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘wasatiyyah’, dan bagaimana ia berperanan dalam mencorakkan wajah negara dan masyarakat secara keseluruhannya? PROFESOR DATO’ DR. MAHMOOD ZUHDI ABDUL MAJID mengutarakan pandangan / pendapat mengenai konsep ‘wasatiyyah’ sebagai dasar baru untuk memperkasakan rakyat ke arah membina kecemerlangan bersama (rakyat dan negara).

SOALAN: Sebelum kita pergi lebih jauh, apakah definisi ‘wasatiyyah’?

PROFESOR DATO’ DR. MAHMOOD ZUHDI AB. MAJID: Wasatiyyah mempunyai dua definisi, satu definisi yang pasif dan yang satu lagi yang progresif. Kita lihat yang cuba diperkenalkan dan dipopularkan kerajaan sekarang bersifat pasif, iaitu wasatiyyah bermaksud “bersifat sederhana” atau bahasa Arabnya  “wasatha”.

‘Wasatiyyah’ pada makna biasa ialah tidak terlampau agresif, tidak terlampau negatif, tidak terlampau menekan dan tidak terlampau menyerah kalah.

Kita mahukan kehidupan rakyat Malaysia secara sederhana dan secara mudah tafsirannya; ia menuju ke arah tiada Islam yang ekstremisme.

Namun, sebagai orang Islam kita haruslah tetap aktif – umpamanya, mencari nafkah untuk kehidupan, mencari kedudukan dan mencari  ilmu misalnya tetapi tidak sampai kepada bersikap ekstremism-itulah yang saya rasa kita mahu perkenalkan.

Jadi dengan mempraktikkan konsep ‘wasatiyyah’ ini sudah tentu kita menuju kebaikan dan tentulah tiada kaitan langsung dengan apa yang dimomokkan bahawa kebangkitan Islam itu sinonim dengan  terrorisme?

Dengan bersikap wasatiyyah ini sudah tentu secara automatik tertolak apa yang disebut terrorisme itu, menolak ekstremisme dan apa-apa sahaja idea (isme) yang melampau dan ia tentulah sesuai dengan konsep “1Malaysia” yang diperkenalkan oleh kerajaan sekarang.

Sekali gus sifat ‘wasatiyyah’ itu juga dapat dianggap sebagai back-up Islam kepada konsep 1Malaysia.

Dengan mempraktikkan ‘wasatiyyah’ ini, kita tidak lagi akan “fanatik” kepada unsur-unsur keislaman secara khusus di dalam kehidupan kita-kecuali di dalam hal-hal yang berkaitan ibadat yang tidak menganggu-gugat orang bukan Islam di dalam hal-hal keagamaan.

Umpamanya , mereka  tidak mungkin mempersoalkan tentang orang Islam yang mahu membina berapa banyak masjid, hendak bersolat berapa banyak atau lain-itu bukan masalah yang patut dihalang. Tetapi yang mahu ditekankan ialah perkara-perkara yang melibatkan kehidupan sosial yang melibatkan masyarakat Islam dan bukan Islam.

Jadi, wasatiyah ini adalah satu pendekatan yang lebih moderate terhadap orang lain.

Apakah ia menepati dengan konsep 1Malaysia yang sedang dipopularkan oleh Dato’ Sri Najib, Perdana Menteri kita sekarang?

Ya, ia menepati dengan 1Malaysia di mana ‘wasatiyyah’ di dalam konteks yang satu.

Ini bermakna dari segi sejarah, approach yang diberi oleh Nabi s.a.w itu ialah satu approach sederhana dan tidak menakutkan sesiapa sahaja.

Misalnya ketika Nabi Muhammad s.a.w mula-mula tiba di Madinah, baginda cuba membuat hubungan dengan sesiapa sahaja – bukan sahaja menumpukan aktiviti dengan orang-orang Islam yang terdiri daripada Muhajiran dan Ansar tetapi baginda cuba mengikat semua faktor atau anasir-anasir yang wujud di Madinah itu.

Ketika itu Madinah sedang didominasi oleh Yahudi dan Nasara.

Nampaknya seakan tidak banyak berbezanya  masyarakat majmuk di negara kita sekarang?

Ya, tidak banyak perbezaan yang berbeza, hanya leadership dan komitmen. Ketika Rasulullah s.a.w membuka Madinah, akhirnya terbentuklah negara bandar (city state) – sebagaimana bandar Apollo di Athen di kerajaan Yunani sebelum itu yang dikatakan sangat maju.

Di bawah pentadbiran Islam, akhirnya Madinah sangat makmur sehingga terkenal sebagai “negara bandar yang bercahaya.”

Jelas, di dalam mendirikan negara Islam yang pertama itu, Nabi tidak pernah menyingkirkan sesiapa-tiada berlaku penyisihan kepada mana-mana kaum di bandar Madinah.

Justeru, apabila baginda menjalankan “Piagam Madinah” dan beliau memberi jaminan setiap orang akan hidup dengan aman dan hendaklah membantu sesama yang lain.

Andaikata tidak ada pengkhianatan daripada Yahudi dan Nasara, maka bentuk negara Madinah itu sangat “sederhana” walaupun pimpinannya berasaskan kepada ideologi Islam.

Ia juga menggambarkan pelaksanaan  konsep ini tidak akan menghalang kemajuan  atau hak kaum lain? 

‘wasatiyyah’ ialah konsep dan approach sederhana yang dapat diterima juga oleh kaum-kaum lain tanpa perlu menukar agama mereka.

Kalau dahulu Wawasan 2020 yang pernah dipopularkan oleh pimpinan terdahulu juga adalah ke arah Islam yang universal.

Bermula dengan Wawasan 2020 yang menekankan keuniversalan Islam, kemudian Islam Hadhari dan terbaharu konsep ‘wasatiyyah’ yang bersesuaian dengan approach 1Malaysia.

Berdasarkan konsep ini kita harus memperkenalkan Islam yang “cantik” (beautiful Islam) yang bersifat universal atau yang bersifat sejagat di mana tidak digeruni oleh mana-mana kaum.

Kita tidak akan  menafikan hak asasi semua manusia, hak orang Islam dan  hak rakyat bukan Islam. Malah salah lihat kita tidak perlu lagi meminta kuasa “yang lebih” daripada yang sudah sedia ada.

Jika kita fikirkan secara serius apakah masalah politik yang muncul di kalangan Muslim di negara kita yang dapat Profesor Dato’ lihat?

Masalah politik timbul kerana  prejudis, jika wujud prejudis, maka akan berlaku pertembungan yang mungkin tiada kesudahan. Kerana sikap itu, timbul sikap saling tidak mempercayai.

Contoh klasik ialah bagaimana seorang lelaki yang kita namakannya sebagai si Ali membuat fitnah kononnya si Bulat  itu mempunyai ekor seperti binatang. Cerita fitnah itu disebarkan si Ali kepada si Hitam. Apabila  si Ali bertemu si Bulat pula, si Ali mereka-reka  fitnah lagi dengan mengatakan  si Hitam  itu suka makan “rembung” orang.

Oleh kerana si Hitam terpengaruh dengan cerita si Ali, timbul keinginan si Hitam untuk mengintai benarkah si Bulat mempunyai “ekor”. Si Bulat pula di dalam fikirannya sentiasa tertanya-tanya apakah betul si Hitam tu mempunyai kegemaran makan rembung. Timbullah syak wasangka yang berpanjangan.

Bagaimana kita mahu menghilangkan prejudis ini yang sudah puluhan tahun “berjalan” dalam masyarakat kita ia sudah banyak memakan mangsa?

Dan jika kita kembali menghayati sirah Rasulullah s.a.w.Kita lihat hubungan antara Madinah dengan Mekah walaupun bukan masalah majmuk. Hubungan antara antara Quraisy dengan orang Islam di Madinah yang mempunyai prejudis yang berprofil tinggi.

Bagaimana ketegangan yang timbul ketika Rasululah dengan rombongan mahu melakukan ibadah umrah walaupun  tanpa membawa senjata.Orang Quraisy tetap menganggap Nabi dan sahabat-sahabatnya datang ke Mekah untuk menyerang mereka.

Tetapi apabila berlaku Perjanjian Hudaibiyah, barulah mereka menyedari bahawa Nabi adalah manusia  jujur dan sanggup  ‘beralah’. Di mana pada perjanjian itu Nabi beralah sampailah ke tahap sanggup menggugurkan kata “Muhammad sebagai Rasululah”, namun Nabi s.a.w sanggup menerima demi kejayaan perjanjian itu.

Antara lain perjanjian itu mengandungi persetujuan: Jika orang Quraisy Mekah lari ke Madinah, hendaklah dihantar balik ke Mekah, tetapi jika orang Madinah (Muslim) lari balik  (murtad) ke Mekah, ia tidak perlu dihantar balik ke Madinah.

Perjanjian yang kelihatan seolah-olah berat sebelah – beberapa sahabat membantah terutamanya Saiidina Umar al-Khattab dan Saiidina Ali k.w. Ketika itulah turun ayat: Iza ja annasyrullah hi wal fath…

Itu bermakna bilangan orang Quraisy itu semakin meningkat setelah Perjanjian Hudaibiyah. Ini kerana mereka mempunyai masa yang cukup untuk memikirkan tentang agama Islam.

Itu juga sifat ‘wasatiyyah’ yang mahu ditonjolkan oleh kerajaan kita sekarang.

Tetapi apa yang kita lihat, umat Islam di Malaysia termasuklah para ulama juga masih banyak menghadapi kecelaruan dan perpecahan. Ambil sahaja isu penggunaan “kalimah Allah” yang diperkatakan baru-baru ini. Ia menimbulkan kesan yang pelbagai kepada masyarakat?

Justeru, konsep ‘wasatiyyah’ ini juga patut dilaksanakan secara hati-hati supaya ia tidak menjadi negatif. Ketika kita sedang memprosikannya, kita patut meneruskan memperjuangkan hak-hak kita yang ketinggalan terutama  hak-hak yang berkaitan dengan ekonomi.

Jika dari segi sosial dan politik kita agak terbuka tetapi dari segi ekonomi, konsep ‘wasatiyyah’ haruslah diterima oleh mereka dengan baik dan memberi ruang secara jujur untuk mengadakan perbincangan, mencari formula yang memuaskan hati orang kita juga.

Jika tidak, prejudis akan terus berlaku dan tolak ansur yang sudah berjalan sekian lama akan gagal.

Jika  Perdana Menteri kita yang pertama, Tunku, yang terlalu membuat tolak ansur sehinggalah orang Melayu berasa terpinggir di negara sendiri, dan berlaku peristiwa hitam 13 Mei, maka apabila Tun Razak mengambil alih negara, beliau cuba memulihkan dan merancang dasar ekonomi baru.

Kemudian, orang bukan Melayu mengubah strategi kepada yang lebih halus dan tidak lagi secara berdepan sebagaimana pada peristiwa 13 Mei di mana berlaku perarakan kemenangan parti mereka yang seolah-olah menghalau orang Melayu supaya balik ke kampung.

Kini mereka lebih berhati–hati dan pada masa yang sama kita harus berhadapan dengan strategi orang bukan Islam terutama sesetengah mereka yang chauvinis.

Walaupun begitu di kalangan mereka yang bukan Islam ada juga yang benar-benar bersikap wasatiyyah sebagaimana juga sesetengah orang Islam  juga yang mengamalkan sifat ‘wasatiyyah’, namun yang patut kita awasi yang bersikap chauvinis dan ekstremis. Sikap ini juga terdapat pada sesetengah orang di kalangan kita.

Sekarang ini sejauh mana grup yang percaya kepada ‘wasatiyyah’ Islam dan sejauh mana grup orang bukan Islam yang pecaya kepada sikap moderate dapat bersatu.Dapat duduk bersama membina aliran utama di dalam masyarakat.Pada bila-bila masa pun di dalam setiap masyarakat wujud grup yang ekstrem, chauvinis dan lain-lain.

Tetapi yang penting siapa yang mendominasi-dan ia haruslah daripada golongan yang sederhana itu yang penting.

Selama ini golongan yang mendominasi ialah Umno dan BN yang mempunyai pandangan yang moderate. Ketika itu sudah melambangkan  wasatiyyah ketika itu-tetapi selepas pilihan raya 2008 apabila PAS begitu berhasrat untuk menjadi pemerintah di Putrajaya dan juga sedikit elemen grup Anwar Ibrahim dan menguatnya DAP, maka berlakulah kecelaruan.

Jadi, nampaknya pihak pembangkang ini mahukan konsep wasatiyyah juga?

 Itu bermakna sesiapa yang mahu mengambil peranan sebagai golongan moderate yang biasanya akan menjadi tulang belakang (back bone) kepada politik negara.

Bagaimana pula sikap wasatiyyah ini dengan kepentingan atau kehendak al-maqasid asssyari’ah?

Bercakap tentang Maqasid ini ialah bagaimana kita mengkategorikan kepentingan kita. Kepentingan dapat dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama, keperluan utama. Kedua, keperluan biasa. Ketiga, keperluan mewah.

Konsep wasatiyyah di sini ialah bagaimana kita dapat mencipta keseimbangan secara adil. Pertamanya, kita pentingkan dahulu keperluan asas bersama. Setelah terpenuhi keperluan asas, maka kita lihat pula kepentingan biasa dan seterusnya kepentingan mewah. Itu adalah “keseimbangan.”

Jadi, jika ada orang yang tidak menurut urutan begitu, ia bolehlah dianggap sebagai ekstremis. Mereka ini mungkin mementingkan aspek  kemewahan di dalam beragama. Contohnya, kita mahu semua orang berserban. Mahukan bangunan orang Islam lebih tinggi daripada bangunan orang bukan Islam dan mahukan orang Islam berpakaian berbeza daripada orang bukan Islam. Itu satu contoh daripada aspek mementingkan kemewahan.

Sepatutnya kita mesti mementingkan “aspek jaminan” bahawa semua rakyat dapat menjalankan aktiviti beragama mereka dengan baik.

Kemudian, apa yang juga penting juga ialah memastikan bangsa atau masyarakat  kita mempunyai kewarasan berfikir dan keintelektualan yang tinggi terutama tentang keagamaan. Kedua ialah dasar pendidikan dan pengajian.

Kemudian kepentingan menjaga nyawa serta keselamatan negara beserta jaminan keselamatan harta (ekonomi). Ia hendaklah disusuli dengan maruah diri yang tidak tercalar beserta akhlak yang tinggi dan seumpamanya. Itulah sebagai asasnya.

Selain daripada itu, bolehlah kita membina rumah atau mencipta kenderaan.

Kita jangan hanya sekadar menjadi konsumer yang akhirnya dapat menyebabkan terjejasnya hasil dan kepentingan ekonomi negara.  Ambil contoh penggunaan kredit kad  sehingga menimbunkan hutang berbilion ringgit – ia semata-mata kerana mahu kemewahan.

Penggunaan kad kredit secara bermewah-mewah Ini kita lihat seolah-olah  sebagai “dasar-dasar” yang merosakkan (manusia) – tiada keseimbangan kerana ramai yang berhutang pula untuk membayar kad kreditnya.

Begitu juga pinjaman PTPN yang tidak dibayar balik oleh kebanyakan pelajar Melayu Islam. Puncanya kerana mereka menggunakan pinjaman bukan untuk belajar tetapi untuk hidup bermewah-mewah, umpamanya membeli handphone yang mahal dan canggih.

Pandangan Profesor Dato’ mengenai Model Ekonomi Baru (MEB) dalam konteks wasatiyyah?

MEB menekankan bagaimana kita dapat membentuk dasar ekonomi yang berupaya memacu kita sebagai negara maju. Jadi, MEB ini mempunyai sedikit perbezaan dengan DEB sebelum ini di mana bumiputera tidak lagi diberi “keistimewaan khas” sebagaimana sebelum ini.

Oleh hal demikian, apabila kita bercakap tentang wasatiyyah, kita perlu juga faham bahawa di dalam sesetengah keadaan kita perlulah memahami bahawa ‘wasatiyyah’ itu di dalam konteks yang lebih agresif.

‘wasatiyyah’ itu juga bermakna kita mesti berada di “pusat”, bukannya di pinggiran. Orang Islam haruslah menjadi pemain utama, jangan sekadar melukut yang hanya berada di tepi gantang. Jika di pasaran saham umpamanya, kita perlu menjadi pemain utama.

Itulah yang saya katakan sejak awal bahawa pandangan wasatiyyah yang pasif itu perlu digabungjalinkan dengan konsep ‘wasatiyyah’ yang agresif. Di samping kita bersikap sederhana terhadap orang lain, kita perlu cukup bersedia untuk sentiasa menguasai gelanggang.

Sebagaimana maksud: “Litaquunu syuhada’  ‘alannas…”, kita yang menentukan sama ada ‘wasatiyyah’ yang kita perbincangkan itu meletakkan kita berada di landasan yang betul atau sebaliknya! Kita yang perlu menentukan manakah nilai yang perlu diketengahkan dan manakah nilai yang tidak diperlukan.

Di dalam konteks mahu menjadi pemain utama, kita harus mempunyai kekuatan yang secukupnya?

Saya mahu berbalik kepada kerajaan Madinah, kita (orang Islam) bersikap liberal terhadap orang lain apabila kita yang memegang tampuk kuasa.

Orang Islam Madinah mempunyai kuasa dan kekuatan politik (sovereignty) berada di tangan kita.

Pada masa kini kita sangat kurang di segi ekonomi, jadi dalam konteks ini kita perlu berusaha secara agresif untuk  meletakkan kita pada kedudukan yang dihormati. Contohnya jika kita membangun tanah-tanah Melayu. Jangan pula akhirnya penduduk asal Melayu “terhalau” pula daripada kampung asal kerana berpunca daripada kekurangan modal dan kapasiti yang diperlukan untuk pembangunan itu.

Jadi kita harus mencari jalan “mencipta keaadan” keadaan supaya kita sentiasa menjadi pemain utama.

Di sini kelihatan, antara alatnya ialah perpaduan sesama Islam itu sendiri?

Jadi, sebelum kita dapat melaksanakan wasatiyyah sepenuhnya, kita perlu mengambil satu keputusan/ketetapan bahawa perpaduan ummah itu adalah asas kepada perpaduan nasional. Orang Melayu Islam perlu berpadu dahulu, kemudian barulah dapat dilakukan perpaduan nasional.

Ia juga bermakna “dasar” ‘wasatiyyah’ itu mesti mengambil kira perpaduan orang Melayu terlebih dahulu, iaitu perpaduan yang melibatkan tolak ansur antara dua parti Melayu terbesar (UMNO dan PAS).

Maka yang harus diutamakan sebagaimana maksud “maqasid” tadi (utamakan yang paling utama) ialah survival orang-orang Melayu. Kedua-dua pihak hendaklah mengurangkan perbezaan idealisme untuk mencari titik pertemuan. Ini kerana perbezaan idealism itu tidak boleh mengatasi  perpaduan ummah.

Jadi, harapan kita agar ‘wasatiyyah’ ini dapat diisi oleh nilai-nilai murni berdasarkan tamadun Islam. Kita mengharapkan ia dapat memasukkan input ketaemadunan yang tinggi kepada bangsa kita dan menjadi asas kepada kehidupan yang sederhana dan pembinaan generasi Malaysia.

(Petikan daripada majalah Dakwah, terbitan YADIM, September-Oktober 2010)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nineteen − 9 =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib