Home » Soal Jawab Tasawuf bersama Dr. Zulkifli Al-Bakri » Erti Syukur, Sabar dan Ujub

Erti Syukur, Sabar dan Ujub

SOALAN

Apakah konsep syukur?

JAWAPAN

Bersyukur adalah suatu tindak balas yang baik, sama ada melalui perkataan atau perbuatan terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang. Sesuatu kebaikan sering dibalas dengan perkataan yang baik, yang indah dan luhur serta perbuatan yang menggambarkan pemberian itu diterima dengan penuh penghargaan dan terima kasih. Biasanya kata-kata pujian dan sanjungan diluahkan oleh penerima kepada orang yang memberi.

Sheikh Muhammad `Abduh membuat takrif syukur sebagai berikut: Dan tidak dikatakan bersyukur kecuali jika seseorang menggunakan dan memanfaatkan segala nikmat-nikmat itu dalam hal-hal untuk apa nikmat itu diberikan.

Jadi tidak cukup bersyukur itu dengan membaca atau mengucapkan lafaz الحمد لله dan شكر لله sahaja. Erti bersyukur yang sebenarnya ialah meliputi lisan, hati, dan anggota badan.

Bagaimanakah caranya kita bersyukur kepada Allah s.w.t? Bersyukur kepada Allah s.w.t ialah dengan mengekalkan baik sangka terhadap Allah SWT dan meletakkan keyakinan kepada-Nya dalam apa jua keadaan. Perkataan yang terlafaz dari mulut kita tentang Allah s.w.t hanyalah kata-kata pujian, sanjungan dan pujaan. Justeru hanya Allah s.w.t yang layak menerima kata-kata seperti itu. Tidak seharusnya terlafaz daripada diri kita perasaan benci, kecewa, buruk sangka dan perasaan seumpama itu terhadap Allah s.w.t.

Baginda membanyakkan ibadat sebagai amalan kesyukuran kepada Allah s.w.t. Oleh itu, melaksanakan segala suruhan Allah s.w.t dan meninggalkan larangan-Nya, adalah pernyataan kesyukuran yang paling utama. Ini diikuti dengan mengerjakan amalan-amalan sunat bagi menyempurnakan kesyukuran itu.

Tanda bersyukur dalam perkhidmatan ialah dengan menjadikan khidmat kepada negara dan orang ramai sebagai ibadah. Tugas yang dijalankan sama ada di sektor awam dan swasta, bukan semata-mata untuk mencari nafkah, tetapi lebih daripada itu. Selain daripada bertujuan mencari nafkah, ia juga hendaklah memenuhi tuntutan ibadah iaitu mencari nafkah untuk diri dan keluarga bagi memenuhi kewajipan yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Jika ini menjadi matlamat, maka nafkah yang diperolehi mestilah nafkah yang halal, kerana tujuannya ialah untuk menunaikan kewajipan yang ditentukan oleh Allah s.w.t terhadap diri dan keluarga.

Seorang ahli hikmah berkata: Saya sibuk mensyukuri empat perkara:

i.      Allah telah menjadikan seribu macam makhluk, sedang yang termulia dari semua itu adalah anak Adam, lalu Allah menjadikan aku dari anak Adam.

ii.     Allah telah melebihkan orang lelaki daripada wanita, lalu menjadikan aku lelaki.

iii.    Aku mengetahui bahawa Islam itu sebaik-baik agama, dan yang diterima oleh Allah, lalu aku dijadikan sebagai seorang Muslim.

iv.   Aku mengetahui bahawa umat Muhammad itu seutama-utama umat, lalu Allah menjadikan aku dari umat Muhammad s.a.w.

 

SOALAN

Nyatakan erti sabar.

JAWAPAN

Sabar, ertinya tahan menempuh suatu yang sukar. Sabar yang terpuji adalah sabar atas mengerjakan taat kepada Allah s.w.t, menjauhi segala maksiat yang dilarang-Nya dan sabar atas segala takdir-Nya. Tetapi di antara sifat sabar itu,terdapat sifat sabar kerana mengerjakan taat dan meninggalkan maksiat adalah sabar yang lebih utama, lebih utama dari sabar atas segala takdir yang amat susah dan menggelisahkan perasaan.

Sabar adalah merupakan salah satu daripada tangga-tangga ibadat menurut Ahlus Sunnah wal Jamaah bahkan ia merupakan darjat dan tangga ibadat yang paling agung. Allah s.w.t menyebut lebih 90 kali pada pelbagai tempat di dalam al-Quran; adakalanya dengan memuji kesabaran itu sendiri, adakalanya juga dengan memuji orang-orang yang sabar di sisi Allah SWT dan darjat apa sahaja yang telah disediakan oleh Allah untuk mereka. Di dalam Islam, sabar ada tiga darjat:

i.      Sabar terhadap ketaatan

ii.     Sabar terhadap kemaksiatan

iii.    Sabar terhadap ketentuan dan musibah

Darjat sabar yang paling agung adalah sabar terhadp ketaatan. Kerana itulah sabar yang paling agung yang diharapkan, takkala kamu melaksanakan ketaatan, lalu kamu bersabar terhadapnya dan menyabarkan dirimu, supaya kamu sentiasa tetap melaksanakan sesuai dengan bentuk yang paling sempurna, dengan segala kekhusyu’an dan ketundukannya.

Sabar terhadap kemaksiatan, iaitu tatkala jiwamu sentiasa menyuruh untuk berbuat kejahatan dan dia binasakanmu, lalu kamu bersabar dan mengharapkan pahala hanya daripada Allah s.w.t. Sabar menerima takdir Allah SWT, dilakukan apabila Allah menetapkan takdir-Nya atasmu dan untuk meringankan dosa-dosamu atau meninggikan darjatmu.

Apabila hal ini sudah diketahui, maka salah satu ciri yang dimiliki para kekasih Allah adalah bersabar dan disertakan keyakinan yang kuat. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah pernah bertanya: Dengan cara apakah sebuah kepimpinan di dalam agama di peroleh? Dia menjawab: Dengan kesabaran dan keyakinan tidakkah kamu pernah mendengar firman Allah s.w.t dalam Surah al-Sajadah, ayat 24 yang bermaksud:

“Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka bersabar (sabar dalam menegkkan kebenaran). Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.”

Para hamba Allah s.w.t yang soleh diuji Allah s.w.t dengan pelbagai musibah. Ada juga yang diuji dengan harta benda, lalu di kehilangan harta bendanya itu dan ada juga yang diuji dengan akalnya sehingga akalnya hilang dan dia menjadi bodoh. Ada juga yang diuji pada tubuhnya, sehingga sebahagian daripada anggota tubuh dan pancainderanya tidak berfungsi. Ada juga yang diuji dengan anaknya, yang diculik orang atau meninggal atau pergi menghilang dan tidak kembali. Ada juga yang diuji dengan harga dirinya, lalu dia dituduh dengan satu tuduhan yang dia sebenarnya bebas darinya, sebenarnya tuduhan itu tidak layak untuknya dan dia tidak layak untuk itu, tetapi dia bersabar dan berharap pahala hanya daripada Allah SWT Apabila hal ini sudah diketahui, sesungguhnya Allah SWT telah menceritakan kisah orang-orang yang sabar dan hanya mengharap pahala daripada Allah SWT juga telah memuji mereka. Allah SWT berfirman dalam surah al Baqarah , ayat 153 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman jadikanlah sabar dan sembahyang sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

 

SOALAN

Apakah perkara yang sukar difahami nilainya?

JAWAPAN

Hatim al-Zahid berkata: Empat macam, tidak difahami nilainya kecuali oleh empat:

i.      Nilai muda tidak diketahui kecuali oleh orang yang telah tua.

ii.     Nilai kesihatan tidak diketahui kecuali oleh orang yang sakit.

iii.    Nilai sejahtera (aman) tidak diketahui kecuali oleh orang yang terkena bala’.

iv.   Nilai hidup tidak diketahui kecuali oleh yang sudah mati.

 

SOALAN

Apakah pengertian ujub?

JAWAPAN

Imam al-Ghazali berkata: Ujub ertinya mengagungkan diri, atau menganggap agung amal yang telah dilakukan. Misalnya dengan mengatakan: Akulah orang yang paling soleh, tidak ada orang yang melebihi kesolehanku. Menurut para ulama’ ujub adalah seorang yang beranggapan bahawa kemuliaan amal soleh disebabkan adanya sesuatu perkara atau sebab bukan kerana Allah s.w.t. Ujub itu mempunyai tiga wujud, yakni diri sendiri, makhluk dan barang.

Suatu saat ujub terdiri dari dua sudut, misalnya seorang mengatakan: Jika aku tidak mempunyai wang tentu tidak boleh menunaikan ibadat haji. Bermakna ujubnya berwujud diri sendiri dan harta benda. Selain itu ujub boleh juga wujud dengan tunggal.

Lawan ujub adalah zikr al-Minnah yang bermaksud mengingati kurniaan Allah. Ianya harus diingati bahawa amal soleh yang dapat diamalkan itu kerana adanya taufik daripada Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah lah yang memuliakan amalannya dan memperbanyakkan pahalanya.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × 3 =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib