Home » Berita Dunia Islam » Isteri Bashar “lari ke Britain” (4 berita lain)

Isteri Bashar “lari ke Britain” (4 berita lain)

Isteri Bashar “lari ke Britain”

Asma al-Assad yang dilahirkan di Britain dan berkahwin dengan Bashar al-Assad

Asma al-Assas, wanita pertama dan isteri Presiden Syria, Bashar al-Assad yang sedang berhadapan dengan tekanan para pemberontak didakwa telah meninggalkan negara itu dengan menaiki sebuah pesawat ke negara kelahirannya, iaitu Britain.

Menurut laporan akhbar MailOnline keluaran 19 Julai 2012, berita pemergian Asma al-Assad ke luar negara itu telah tersebar secara meluas manakala suaminya masih berada di bandar Latakia.

Latakia dilaporkan sedang mengalami keadaan huru-hara dengan beberapa kejadian serangan nekad dan dalam serangan tersebut, beberapa orang kanan kerajaan turut terbunuh termasuk Menteri Pertahanan, Daud Rajha dan timbalanya, Assef Shawkat, yang juga abang ipar presiden.

Serangan tersebut turut mencederakan Menteri Dalam Negeri, Mohamed al-Shaar dan ketua perisikan Syria, Hisham Bekhtyar ketika mereka berada di bandar Rawda.

Seorang pegawal peribadi kepada penyokong Assad dipercayai merupakan penyerang berani mati dan menurut sumber keselamatan Syria, “serangan pada waktu pagi mensasarkan pegawai keselamatan” yang ketika itu sedang berlangsungnya pertemuan antara menteri-menteri kabinet, ketua-ketua pegawai keselamatan dan tentera.

Dalam perkembangan lain, Rusia dan China telah menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi dikenakan sekatan dan tekanan ketenteraan ke atas Syria.

Sebelum itu, media terus melaporkan bahawa Asma al-Assad pada bulan Mac lalu telah menghabiskan sejumlah 270,000 pound (RM1,338.912) untuk membeli dalam talian perabot, candelier, permaidani dari sebuah kedai eksklusif di London.

Berita itu didedahkan oleh Wikileaks kepada akhbar The Mail menerusi emailnya. Asma, 36, yang digelar sebagai Puteri Diana Timur Tengah itu, bijak menggunakan kecantikan dan kerja-kerja amal untuk mengaburi mata rakyat yang hidup dalam penderitaan akibat perang saudara di negara bergolak itu.

Asma telah membuat pesanan secara dalam talian bagi lima unit candelier berharga 8,800 Pound (RM 43,663) dari sebuah kedai perabot mewah di Chelsea King’s Road, barat London. Semua lampu tersebut dikatakan untuk dipasang di kediamannya di Syria.

Khamis lalu, Asma dikecam kerana tidak cuba memujuk suaminya untuk menamatkan peertumpahan darah selepas lebih 200 rakyat dilaporkan terbunuh dalam satu pertempuran dengan tentera di sebuah perkampungan di Tremseh.

Sejak berlakunya pemberontakan pada bulan Mac lalu, ada laporan mendakwa lebih 16,000 orang terbunuh, kebanyakannya adalah orang awam termasuk t wanita dan kanak-kanak.

Selepas kematian Daoud, Bashar al-Assad melantik bekas Ketua Staf Angkatan Tentera, Jeneral Fahad Jassim al-Ferij sebagai Menteri Pertahanan yang baru.

Bekas Presiden Tunisia Dihukum Penjara Seumur Hidup

Bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalaha mengakibatkan membunuh 43 penunjuk perasaan semasa kebangkitan menuntut pengundurannya dalam tempoh sebulan dari Disember 2010 hingga pertengahan Januari 2010.

Keputusan tersebut telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tentera Tunisia pada 19 Julai 2012 dan menurut hakim Hedi Ayari, Ben Ali dibicarakan bersama 40 bekas pegawainya termasuk bekas Ketua Keselamatan Presiden, Jeneral Ali Seriati, yang turut dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun.

Sebelum ini, Ben Ali telah dijatuhkan hukuman penjara lebih 66 tahun atas pelbagai dakwaan termasuk menyeludup dadah dan menggelapkan wang

Ulama Rusia: Seorang Mati Ditembak dan Seorang Cedera Akibat Letupan Bom Kereta

Timbalan Mufti Tatarstan, Valiulla Yakupov mati ditembak manakala Ketua Mufti, Ildus Faizov cedera akibat letupan bom kereta di Kazan, Wilayah Tatarstan.

Menurut pasukan penyiasatan dalam satu kenyataannya pada 19 Julai 2012, kedua-dua serangan tersebut mempunyai kaitan dengan kritikan dua orang ulama terbabit terhadap kumpulan radikal Islam.

Jawatankuasa Siasatan Rusia berkata, Valiulla Yakupov ditembak mati ketika beliau meninggalkan rumahnya di Kazan manakala Ildus Faizov cedera di kaki selepas bom pada keretanya meletup di pusat bandar tersebut. Kedua-dua kejadian berlaku pada 18 Julai 2012 sebagai reaksi balas kumpulan radikal yang marahkan kecaman ke atas fahaman Salafi atau Wahabi.

Dalam laporannya kepada agensi Rusia, Jurucakap Jawatankuasa Siasatan, Vladimir Markin memberitahu , agensinya sedang menyiasat aktiviti kedua-dua ulama itu untuk mencari punca sebenar dan motif mereka diserang.

Ildus, 49 menjadi Ketua Mufti Tatarstan pada tahun 2011 dan memulakan operasi membanteras golongan radikal Islam dengan memecat pendakwah Wahabi serta mengharamkan buku agama dari Arab Saudi.

Iidus turut dikritik oleh media Tatarstan kerana mengaut keuntungan daripada pakej mengerjakan haji anjurannya selain cuba mengawal sebuah masjid yang dikategori sebagai antara tertua dan terbesar di Kazan.

Jerman pertahan amalan berkhatan

Parlimen Jerman meluluskan resolusi pelbagai parti hari ini untuk melindungi amalan berkhatan dalam kalangan kanak-kanak lelaki dan pendirian tersebut adalah bertentangan dengan keputusan sebuah mahkamah daerah yang mengharamkannya.

Hakim sebuah mahkamah di Cologne baru-baru ini terlah membuat keputusan melarang amalan berkhatan ke atas kanak-kanak lelaki walaupun telah mendapat persetujuan ibu bapa atas alasan boleh mengakibatkan kesakitan melampau.

Bagaimanapun, parti-parti politik utama mengecam keputusan tersebut manakala kerajaan konservatif Canselor Angela Merkel berjanji akan mencadangkan satu peraturan baru bagi melindungi doktor atau keluarga yang melakukan prosedur berkenaan.

Tindakan segera ahli Parlimen menyokong terma usul tersebut menunjukkan sensitiviti negara dan kerajaan akan menjamin amalan berkhatan yang dilakukan pakar perubatan dan tidak membabitkan kesakitan melampau tetap dibenarkan.

Mahkamah Cologne membuat keputusan sedemikian dalam satu perbicaraan ke atas seorang budak lelaki yang dilaporakan mengalami pendarahan akibat berkhatan.Keputusan itu menimbulkan kemarahan empat juta umat Islam dan 120,000 masyarakat Yahudi di Jerman.

Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle, berkata Jerman bertanggungjawab melindungi budaya agama dan menggalakkan toleransi.

Angela pula berkata, Jerman mungkin menjadi bahan ketawa jika masyarakat Yahudi tidak dibenarkan menjalani amalan keagamaan mereka.

Hillary Sayangkan Pembantu “anggota” Ikhwanul Muslim

Lima ahli Kongres Republikan termasuk wakil Minnesota menuduh Timbalan Ketua Staff dan pembantu Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton, Huma Abedin, 36, seorang Muslim, mempunyai kaitan dengan Ikhwanul Muslim.

Ahli Kongres yang menentang itu termasuk wakil Minnesota, Michele Bachmann dan menurut beliau. Huma Abedin turut cuba mempengaruhi ketuanya, Hillary Rodham Clinton bagi mengubah dasar Amerika Syarikat.
Bachmann dan empat anggota Kongres yang terbabit didakwa pertama kali membuat tuduhan itu melalui sepucuk surat kepada Jabatan Negara bulan lalu.

Sebagai bukti, Bachmann memetik satu artikel Kajian Undang-Undang Universiti Brigham Young menyebut bahawa satu pertubuhan diasaskan bapa Abedin beberapa tahun lalu menerima sokongan daripada sebuah kumpulan yang mempunyai hubungan sejarah dengan Ikhwanul Muslim.

Amerika Syarikat menyuarakan kebimbangan bulan lalu selepas Mohamed Morsi dari Ikhwanul Muslim dilantik sebagai presiden baru Mesir dan menggesa pemimpin Islam menghormati hak wanita dan mengekalkan keamanan dengan Israel.

Ikhwanul Muslim adalah sebuah pergerakan politik Islam diasaskan di Mesir pada 1928 dan beberapa buah kerajaan di Asia Barat yang disokong oleh Amerika Syarikat, terutama Israel dan rejim sekular terdahulu di Mesir dan Tunisia menentang perjuangan pertubuhan tersebut dengan mempengaruhi pemimpin-pemimpin Mesir mengharamkannya.

Bagaimanapun dalam masa beberapa jam, calon presiden Republikan 2008, Senator John McCain mempertahankan kesetiaan Abedin dan reputasi profesional beliau di dewan Senat.

“Jarang saya datang ke institusi ini untuk membincangkan individu tertentu,” kata McCain dalam ucapan pembukaannya.

“Tetapi saya faham betapa pedih rasanya apabila karektor, reputasi dan patriotisme seseorang diserang tanpa mengambil kira fakta atau keadilan. Ia adalah sebab saya bangkit hari ini untuk bercakap mempertahankan Huma Abedin,” katanya.

Abedin dilahirkan di Kalamazoo, Michigan pada 1976 tetapi berpindah bersama keluarganya ke Arab Saudi ketika berusia dua tahun. Bapanya dilahirkan di India ketika pemerintahan British manakala ibunya adalah seorang rakyat Pakistan.

Disusun dan disunting oleh Mahanor Saleha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen − 3 =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib