Orang Yang Kotor Bajunya…
SOALAN
Apakah faedah istighfar?
JAWAPAN
Faedah beristighfar ialah:
1. Supaya Allah s.w.t tidak menyegerakan kehancuranmu di dunia
Ja’far As-Soddiq r.a mengatakan: “Kalau sekiranya petir yang menyambar turun dari langit, maka dia akan menyambar semua manusia kecuali orang yang beristighfar. Kerana Allah s.w.t berfirman di dalam surah al-Anfal, 33 yang bermaksud:
“Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun.”
2. Istighfar merupakan kenikmatan yang agung, baik untuk rezeki, anak dan juga tubuh kita. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Hud, ayat 3, yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. (jika kamu mengerjakan yang demikian), niscaya dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang Telah ditentukan dan dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. jika kamu berpaling, Maka Sesungguhnya Aku takut kamu akan ditimpa siksa hari kiamat.”
3. Istighfar dapat menambah harta dan anak.
Nabi Nuh a.s berkata di dalam surah Nuh, ayat 10-12, yang bermaksud:
“Maka Aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat. Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.”
Mereka bertanya kepada Khalid bin Ma’dan, seorang ahli zuhud dan ahli ibadah terkemuka: “Berapa kali anda beristighfar dalam sehari?” Dia menjawab: “Kalau jari-jemariku tidak salah, saya beristighfar sebanyak 100 ribu kali dalam sehari.”
Dalam hadis sahih disebutkan, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Wahai manusia, mintalah ampun kepada Allah s.w.t dan bertaubatlah kepada-Nya kerana sesungguhnya aku meminta ampun dan bertaubat kepada Allah s.w.t lebih daripada 70 kali dalam sehari.” Pada riwayat lain dikatakan: “seratus kali.”
SOALAN
Apakah ia ubat yang menyembuhkan penyakit?
JAWAPAN
Sebenarnya penyakit mempunyai penawarnya kecuali mati. Hal ini merupakan Sunnatullah kepada manusia supaya sentiasa mengingati perkara yang menghancurkan kelazatan, iaitu mati. Dengannya manusia akan menjadi hamba Allah yang benar-benar taat dan patuh kepada-Nya. Berkenaan dengan ubat yang menyembuhkan penyakit khususnya penyakit batin atau dalaman ia memerlukan kepada penawar yang hakiki, antaranya seperti kata ulama dan hukama:
1. Percaya kepada Allah s.w.t.
2. Pengetahuanku bahawa setiap kejadian itu sudah ditentukan.
3. Bahawa sabar adalah suatu hal yang paling baik dilakukan oleh orang yang sedang ditimpa musibah.
4. Jika diriku tidak sabar, maka apa yang harus dilakukan sedang tidak menginginkan diri ini menjadi lemah.
5. Barangkali aku melakukan kejelekkan sehingga aku harus bertaubat.
6. Aku selalu mengingatkan diriku bahawa suatu masa kemudahan pasti akan datang.
SOALAN
Apakah perlu membersihkan zahir?
JAWAPAN
Ya, dengan sebab itu mukaddimah kepada feqh khususnya solat ialah taharah, di mana taharah mempunyai hikmah yang banyak sehingga ditekankan dalam ibadat.
Kebersihan jiwa seseorang dapat dicerminkan dari kebersihan diri dan penampilannya, sehingga sebahagian ahli hikmah berkata: “Orang yang kotor bajunya bererti kotor juga jiwanya.”
Ramai orang yang menderita tekanan perasaan di dunia ini adalah disebabkan oleh tidak adanya kebersihan, perapian dan peraturan. Keadaan rumahnya yang tidak teratur, baju yang kotor lagi lusuh, ruang pejabat yang tidak tersusun. Perancangan jadual yang tidak teratur dengan yang lainnya merupakan salah satu punca asas yang membuat orang menjadi tertekan.
Bagi sesiapa yang mahu mendalami ajaran-ajaran Islam, maka ia akan menyedari sepenuhnya bahawa Islam datang kepada manusia adalah untuk menatang kehidupan mereka bermula dari sekecil-kecil perkara sampai kepada hal-hal yang penting.
Segala urusan di dunia ini ada perhitungannya yang menjadikan ia matang. Allah s.w.tberfirman dalam surah al-An’am,ayat 38, yang bermaksud:
“Tiadalah Kami alpakan sesuatu pun dalam al-Kitab.”
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu bersih dan sangat menyukai kebersihan.”
Dalam hadis lain, baginda bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu indah dan sangat menyukai keindahan.”
SOALAN
Apakah hubungan antara ma’rifah dan syariah?
JAWAPAN
Ma’rifah ialah pengetahuan atau mengetahui yang hampir sama dengan maksud ilmu. Sebahagian ulama’ membezakan antara kalimah ma’rifah dengan ilmu, tetapi makna kedua-dua hampir sama. Dengan sebab itu Sahal bin Abdullah berkata: Awal maqam pada ma’rifah bahawa dikurniakan kepada hamba keyakinan pada sirnya yang menjadi tenang segala anggota dan tawakal kepada tubuh badan yang menyelamatkan dengannya daripada dunia dan kehidpan pada hatinya yang menang dengannya pada kesudahan.
Zul al-Nun juga menghubungkan ma’rifah dengan syariah. Katanya: alamat orang Arif ada tiga:
1. Cahaya ma’rifatnya tidak memadamkan cahaya waraknya.
2. Dia tidak beriktikad ilmu batin boleh menafikan hukum-hukum zahir.
Nikmat Allah yang banyak kepadanya tidak boleh merobohkan batas-batas larangan Allah.
Ma’rifat menurut beliau, mempunyai matlamat akhlak iaitu, manusia mencontohi akhlak Allah mengikut kadar kemampuan manusia. Katanya: Pergaulan seorang arif ialah menerusi akhlak dan sifat-sifat Allah s.w.t.
Seorang arif apabila bertambah ma’rifahnya kepada Allah maka bertambah khusyu’nya katanya: Seorang arif setiap hari bertambah khusyu’ kerana setiap masa dia bertambah hampir kepada Allah. Keseluruhan dirinya mengadap kepada Allah dan katanya lagi bahawa seorang arif tidak tetap pada satu-satu keadaan , tetapi dia harus bersama Tuhannya dalam semua keadaan.
Pentingnya Zul al-Nun dalam tasawwuf disebabkan beliaulah orang pertama daripada ahli tasawwuf bercakap tentang ma’rifah secara mendalam. Darinya buat pertama lahir ciri ma’rifat dalam tasawwuf.
Beliau berpendapat ma’rifat adalah kemurahan daripada Allah yang dilimpahkan kepada seorang arif. Dengan itu beliau menjadikan ma’rifat ahli sufi berlainan daripada ma’rifat ahli kalam dan ahli falsafah yang memperolehi menerusi usaha dan akal.
Zu al-Nun menerangkan apabila beliau ditanya: Dengan apa engkau mengetahui Tuhanmu? Beliau menjawab: Aku mengenal Tuhanku dengan Tuhanku. Dan dalam risalahnya yang bertajuk: Bicara Tentang Basmalah (Bismillah), kita dapati beliau membahagikan ma’rifat kepada tiga bahagian. Katanya: Mengenal Allah ada tiga tahap:
1. Ma’rifat tauhid, iaitu bagi semua orang awam Mukmin.
2. Ma’rifat hujjah dan dalil, iaitu bagi ulama dan hukama.
3. Ma’rifat sifat-sifat keesaan dan keunggulan Allah. Ini khusus bagi para wali Allah dan hamba pilihan-Nya.





