Zakat Rahmat Buat Ummah
Zakat adalah salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh orang Islam yang mencukupi syarat-syaratnya.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Islam didirikan di atas lima perkara, iaitu bersaksi bahwa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan mengerjakan haji ke Baitullah bagi sesiapa yang berkemampuan.” (Muttafaq ‘Alaih)
Zakat merupakan salah satu bukti kesyumulan ajaran Islam. Ini kerana, Islam bukan hanya mengajar umatnya memelihara hubungan dengan pencipta yang Maha Esa dengan melakukan ibadah seperti solat, zikir, puasa dan ibadah lain yang berbentuk kerohanian.
Akan tetapi, Islam turut mengajar umatnya agar memelihara hubungan sesama manusia dengan memberikan harta kekayaan yang dimiliki untuk dikongsi bersama orang yang sangat memerlukan.
Bahkan, pensyariatan zakat merupakan bukti bahawa Islam adalah agama yang mengambil berat tentang sistem ekonomi, sosial, pembangunan fizikal, pendidikan dan seluruh aspek kehidupan manusia.
Atas dasar itulah, Allah s.w.t telah menurunkan panduan kepada umat Islam dengan enentukan siapakah golongan yang layak menerima zakat.
Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 60 yang bermaksud:
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir dan orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang mualaf yang dijinakkan hatinya (dengan Islam), dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang musafir (yang putus bekalan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. (Ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Jelaslah, bahawa golongan yang berhak menerima zakat telah ditentukan oleh Allah s.w.t yang Maha Bijaksana. Pengagihan dan penyaluran zakat adalah matlamat utama kenapa ibadah ini disyariatkan kepada umat Islam.
Mereka yang tidak tergolong dalam asnaf yang dinyatakan dalam ayat di atas, adalah tidak layak menerima zakat, bahkan haram menerimanya kerana ia sebenarnya telah mengambil hak asnaf yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t.
Bahkan, menurut pendapat sebahagian ulama, orang yang mengeluarkan zakat dengan menyerahkannya kepada golongan yang bukan asnaf, hukum zakatnya adalah tidak sah dan ia masih tidak terlepas daripada kewajipan mengeluarkan zakat.
Oleh itu, zakat mesti diberikan kepada orang-orang yang berhakmenerimanya berdasarkan hukum yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t.
Susunan MOHD NAIM AHMAD






