Setiap Orang Dapat Tanah, PAS Makin Terdesak

propagandis PAS yang sanggup menipu dan membohongi pengundi demi mempertahankan parti yang semakin tidak relevan
Pesuruhjaya PAS Pahang mula meracau tidak tentu hala apabila berjanji bahawa setiap rakyat akan mendapat tanah untuk lot rumah sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti. Janji yang dibuat itu tidak lebih dari satu bentuk propaganda politik terdesak sebuah parti yang terasa kedudukannya kian terancam dalam perebutan kuasa sama ada dalam Pakatan Rakyat ataupun untuk berhadapan dengan kebangkitan pengaruh BN.
Menurut Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, setiap rakyat Pahang akan diberikan sekeping tanah berupa lot rumah sebagai langkah untuk mengubah cara hidup mereka ke arah yang lebih baik. Berasaskan teori janji, PAS sebenarnya tidak pernah mengotakan apa yang disogokkan kepada pengundi untuk dijadikan bahan “sorong tarik politik” sejak parti itu pernah memerintah Kelantan. Wabak penyakit bohong dan tidak menunaikan janji it uterus akan dikembangkan di Pahang, kerana Tuan Ibrahim sebenarnya lebih teringin untuk mendapatkan jawatan sebagai Menteri Besar di sebuah negeri yang masih kaya dengan sumber hutan.
Katanya, “sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negeri ini, kami akan menyelesaikan isu-isu besar terutama isu tanah yang sudah berlarutan lebih 40 tahun supaya setiap rakyat di negeri ini mendapat hak mereka.” Apakah Tuan Ibrahim sedar bahawa kenyataannya bakal menyebabkan dirinya akan terjerat dengan persepsi buruk sekiranya beliau tidak mampu selesaikan masalah tersebut memandangkan janji yang sama pernah dikeluarkan oleh pemimpin politik Kelantan pada suatu ketika, hingga kini tidak dapat diselesaikan walaupun Nik Aziz berjaya memerintah Kelantan lebih dua dekad lamanya.
Usaha PAS memancing peneroka Tuan Ibrahim turut berjanji akan menempatkan mereka ke dalam Felda Plantation Sdn Bhd yang sebelum ini diusahakan orang lain kerana kerajaan pernah berjanji untuk berbuat demikian, tetapi sehingga sekarang masih ia belum terlaksana. Bagaimana pun hasrat PAS tidak jelas kerana apa yang dikeluarkan oleh pemimpin yang pernah kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PAS di tangan Mat Sabu dan kini menjadi “penjilat utama” sering membuat kenyataan yang keliru. Ada kalanya kenyataan beliau dilihat sebagai sesuatu yang liar dan tidak berasaskan realiti sebenar misalnya pernah berkata,”mereka yang menang tulis sejarah, mereka yang kalah tulis puisi” ekoran keceluparan Mat Sabu mengangkat pemberontak komunis sebagai wira yang sebenar memperjuangkan kemerdekaan.
Untuk menidakkan sumbangan kerajaan terhadap pemberian pelbagai bantuan kepada rakyat, Tuan Ibrahim nampaknya menjadi semakin meracau seolah-olah dilanda sindrom gangguan makhluk halus ketika bulan mengambang. Apa tidaknya apabila menyifatkan bahawa bantuan itu bukannya datang dari tabung parti,tetapi duit rakyat yang ditadbirkan oleh kerajaan. Duit rakyat itu datang daripada sumber cukai yang disumbangkan dari pelbagai bentuk perniagaan, sumber pendapatan dan hasil-hasil dalam negara.
Lupakah Tuan Ibrahim bahawa peranan utama sesebuah kerajaan ialah untuk menentukan pertumbuhan ekonomi dalam negeri agar menerusi pertumbuhan itu ia akan menghasilkan pendapatan. Pendapatan itu akan dikenakan cukai sebagai imbangan kepada apa yang disediakan oleh kerajaan.Tanpa perancangan dan strategi ekonomi yang berkesan tentunya pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri tidak dapat ditingkatkan manakala pendapatan rakyat akan terjejas sebagaimana buruknya kaedah pengurusan ekonomi yang dilaksanakan oleh dasar pembangunan “bersama Islam” di Kelantan.
Ekonomi Kelantan berada dalam situasi tidak memuaskan kerana janaan pendapatan hanya tertakluk kepada usaha rakyatnya sendiri melaksanakan perniagaan kecil-kecilan sedangkan ruang lingkung perancangan dasar tidak begitu jelas. Akibatnya berlaku penghijrahan rakyat Kelantan ke beberapa buah negeri untuk mendapat sumber pendapatan manakala sektor ekonomi baru tidak tumbuh dengan baiknya. Pertumbuhan yang berlaku di Kelantan adalah limpahan projek-projek pembangunanan yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan dan hal ini dapat disaksikan bagaimana pesatnya pembangunan di kawasan perikanan Tok Bali dan industri minyak dan gas di Bacok.
Jika mengambil kira kawasan-kawasan yang menjadi kubu kuat PAS sejak tahun 1959,nyatalah bahawa kedudukan Pulau Melaka sebagai kubu Nik Aziz tidaklah menepati piawaian pembangunan sebenar. Nik Aziz gagal melaksanakan tanggungjawabnya membangunkan Kelantan dalam konteks memberikan kemudahan kepada rakyat dan menambahkan pendapatan penduduknya. Apa yang berlaku ialah propaganda melulu menerusi kepentingan beribabat walaupun dalam Islam kepentingan bermuamalat juga turut diutamakan bagi menghapuskan kemiskinan. Kemiskinan dikenalpasti sebagai bentuk kegagalan pengurusan sumber dan ekonomi yang harus dipersalahkan kepada elit kuasa yang memerintah.
PAS tidak bersungguh-sungguh dalam usahanya memerangi kemiskinan walaupun pada hakikatnya percaya bahawa kemiskinan akan menghampirkan seseorang itu kepada kekufuran. PAS menggunakan kedudukan itu sebagai strategi paling berkesan untuk mempengaruhi pemikiran dengan menjelaskan bahawa kesabaran dan reda dengan apa yang berlaku itu sebagai takdir. Mempercayai takdir adalah satu kewajipan yang telah dipertanggungjawabkan kepada semua orang Islam. Psikologi “menerima seadanya kedudukan itulah” akhirnya memerangkap minda penyokong tegar PAS sehingga melihat bahawa perjuangan paling hakiki ialah untuk mendapat jalan ke pintu syurga.
Pemimpin politik PAS sama ada bertaraf ulamak ataupun professional terus membina kekayaan peribadi melalui eksploitasi kuasa dan peluang yang dapat mereka telahi sehingga sebahagian besar mereka secara tersembunyinya membina kekayaan. Rakyat sudah boleh menilai siapakah wakil rakyat PAS yang kaya hasil daripada penglibatannya dalam politik kerana ramai rakyat sedar dan mengetahui latar belakang seseorang wakil rakyat mereka. Mereka menjadikan individu tertentu sebagai proksi untuk mendapatkan sesuatu projek atau tender dalam pelbagai peringkat.
Seharusnya pemimpin-pemimpin memberikan reaksi yang positif terhadap cadangan agar mereka mengisytiharkan harta mereka sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat kerana ia bakal menjadi titik tolak penting bagi menilai sejauhmanakah mereka tidak menggunakan kesempatan atas kemiskinan rakyat untuk membina kekayaan peribadi. Ramai yang sedar sejak seseorang itu diisytiharkan menang sebagai wakil rakyatnya, kedudukan ekonominya telah banyak berubah dan mula mengintai kepada kemewahan sama ada secara jelas atau tersembunyi.
Dengan hanya bergiat cergas dalam politik, ia tidak akan menghasilkan jumlah pendapatan yang memadai kerana dalam politik Malaysia, rakyat terlalu mengharapkan sumbangan wakil rakyat dalam banyak perkara. Ia sudah menjadi suatu tradisi yang mengikat pengaruh seseorang, jika tidak mempunyai wang keberkesanannya dalam membantu masalah rakyat tidak dinilai bekesan. Wakil rakyat sedar untuk mempertahankan kuasa politik, ia memerlukan kos yang tinggi kerana wakil rakyat bukan sahaja perlu hadir bahkan menyumbang sebahagian daripada kos.
Apabila Tuan Ibrahim berjanji akan menganugerahkan setiap orang sekeping tanah tapak rumah, maka kita akan membuat perkiraan berapa banyakkah tanah yang diperlukan itu. Jika PAS sudah mempunyai data jumlah rakyat Pahang yang layak mendapatkannya, di manakah tanah yang diperlukan itu diperuntukkan. Maknanya, akan berlaku juga masalah ketirisan dalam pembahagian lot-lot tanah kerana umumnya sedar bahawa PAS tidak pernah membuat kajian teliti dalam sebarang keputusan politiknya. PAS hanya bercakap secara politik demi untuk mempengaruhi rakyat sebagaimana PAS berjaya menggambarkan bahawa syurga itu hanya milik penyokong PAS manakala bukan penyokong PAS tidak akan berbau syurga.
Parti itu tidak pernah konsisten dalam menyatakan pendiriannya kerana Tuan Ibrahim sedar bahawa adalah sukar untuk PAS memerintah Pahang, maka beliau bolehlah berjanji dan terus berjanji. Itulah janji yang sentiasa dilakukan oleh penjual ubat kuat di jalanan seolah-olah ubat yang dijual itu mampu mengatasi masalah seks lelaki walaupun dari segi fizikalnya ia adalah sesuatu yang tidak lojik. Tawaran ubat kuat itu sebenarnya sesuatu yang amat berkesan,malah boleh mendatangkan kesan sampingan yang keterlaluan termasuk mengorbankan kawasan-kawasan hutan simpanan yang sengaja direzabkan untuk mengimbangi alam sekitar.
Hal yang sama telah pun dilakukan oleh PAS Kelantan apabila mengorbankan lebih 1,000 hektar tanah simpanan di Hulu Kelantan untuk projek ladang rakyat dengan menipu rakyatnya sendiri. Projek ladang rakyat turut mengorbankan kelestarian alam sekitar dan menjadikan kawasan-kawasan tinggi sebagai ladang pertanian syarikat gergasi dari luar negara. Rakyat tempatan terpaksa mengalami kesan gangguan iklim termasuk hakisan dan banjir lumpur.
Menurut Tuan Ibrahim lagi, terdapat banyak isu-isu besar yang membabitkan rakyat tetapi tidak dijelaskan apakah isu yang dibangkitkan itu benar-benar merupakan isu atau hanya sekadar hearsay? Tuan Ibrahim yang merupakan tokoh penting dalam merangka strategi propaganda PAS nampaknya amat gemar bermain dengan slogan dan kenyataan palsu yang sengaja direka demi kepentingan membina pengaruh politik. Strategi “sugar coating” dalam kenyataan politiknya itu bakal mengundang bahaya, kerana setiap orang sangat memerlukan tanah walaupun pada dasarnya keluasan tanah tidak pernah bertambah secara semulajadi. Rakyat semakin hari semakin bertambah, dan pertambahan pendudukan memberikan tekanan kepada penggunaan tanah. Oleh itu, Tuan Ibrahim menghidu ia adalah sesuatu yang boleh memberikan political mileage, maka janjinya adalah berkisar kepada persoalan tersebut sebagai daya tarik utama.
Untuk bercakap dalam konteks perancangan dan program pembangunan yang komprehensif, PAS hingga kini masih belum mampu melakukannya. Kegagalan melakarkan program pembangunan yang mapan dan berkesan akan menyebabkan parti itu sampai bila-bila pun akan menyerang projek pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak lain sebagai sesuatu yang tidak seimbang dan melahirkan masyarakat yang mementingkan kesenangan dunia.
Itu adalah hujah lapuk yang sedang dibangunkan semula dalam pakej baru bagi mensenadakan dengan kepentingan politik Pakatan Rakyat, termasuk dasar mengutamakan bumiputera. Seharusnya, PAS sudah lama memberikan dorongan dan sokongan kepada kerajaan dalam menyusun program pembangunan untuk rakyat, kerana kerajaan tidak mengetepikan penyokong PAS dan pembangkang dalam sebarang bentuk bantuan. Tetapi, disebabkan kegagalan elit politik PAS meningkatkan sumber pendapatan rakyat, maka selama itulah mereka cuba menyalahkan sistem sedangkan amalan pengurusan mereka tidak menjurus kepada nilai-nilai integriti, dan faedah jangka panjang kepada rakyat.
Itulah politik perlumbaan mendapatkan kuasa secara mudah yang sering berlaku apabila parti itu kian terdesak. PAS kini semakin terdesak untuk mempertahankan kedudukannya kerana parti itu semakin goyah dan dilihat tidak lagi relevan dengan perjuangan asal, di mana perubahan pucuk pimpinan lebih mengutamakan nilai-nilai sekular dan para ulamak yang ada didalamnya semakin kerdil pengaruh dan kuasa. Itulah yang sepatutnya Tuan Ibrahim gempur, kerana PAS sebenarnya sedang berhadapan dengan serangan bertubi-tubi daripada bekas ahlinya yang merasakan matlamat asal terkorban dan dikorbankan demi kepentingan pihak lain yang lebih dominan. PAS akan lakukan apa sahaja demi memancing undi, kerana kekalahannya nanti akan menyebabkan kedudukannya dalam Pakatan Rakyat terumbang-ambing dan semakin tidak bermakna.
Mahanor Saleha





