Parasit PAS, Fir’aun PKR, Dominannya DAP

January 17, 2012 5:53 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Kini Pakatan Rakyat Bermusuh Dengan Bekas Pendokongnya, bukan UMNO

Apabila Datuk Dr Hasan Ali mendedahkan ada parasit dalam PAS dan tidak berapa lama dahulu, Datuk Zulkifly Nordin menyatakan dalam PKR terlalu banyak fir’aun sama ada kecil atau besar, maka Pakatan Rakyat sebenarnya telah memperlihatkan kedudukannya yang semakin goyah. DAP terus menjadi kuasa politik yang dominan sehingga berjaya melenturkan semangat keislaman PAS sehingga parti itu sudah berkiblat kepada sebuah falsafah politik acuan kebajikan yang lahir dari pandangan Karl Marx.

Meskipun PAS pada suatu ketika menolak sebarang bentuk ideologi komunisme dan sosialisme, akhirnya terpaksa menerima balutan itu bagi membolehkan ia terus bersama DAP dan PKR. DAP yang terkenal dengan sosialisme demokratik manakala PKR dengan sosialisme yang berjuang atas nama “ketuanan rakyat” telah memerangkapkan PAS agar berubah dari kepompong “negara Islam” kepada “negara berkebajikan.”

Perubahan itu telah menyebabkan kedudukan DAP semakin kuat walaupun pada luarannya pemimpin-pemimpin DAP hanya mengambil pendekatan “tidak masuk campur”. Kemenangan moral DAP itulah menyebabkan perekayasaan matlamat baru bermula, yakni dengan giatnya mencari calon-calon Melayu yang boleh dijadikan batu loncatan menguasai lebih banyak kawasan majoriti pengundi Melayu sedangkan PAS terus terbelenggu dengan masalah dalam yang kian runcing.

Sejak kemenangan Mohamad atau Mat Sabu pada pertengahan tahun lalu, PAS sudah menukarkan konsep perjuangannya bagi membolehkan parti itu dilihat relevan dan mempunyai matlamat yang sama kerana sebelum ini, pakatan pembangkang dinilai sebagai pakatan yang tidak boleh tidur sebantal. Pakatan Rakyat hanya boleh tinggal serumah, tetapi suasana yang terbina dalam rumah tersebut saling bercakaran bermula dengan kemarahan pemimpin-pemimpin DAP apabila Datuk Husam Musa terperangkap dengan dialog untuk meneruskan sebuah pemerintahan berasaskan syariat.

Apabila terdengarnya ada perbincangan untuk membentuk “kerajaan perpaduan dengan UMNO” selepas PRU ke-12, lontaran kemarahan telah menyeruak hingga ke dinding sengketa yang berpanjangan. Oleh kerana cadangan tersebut, maka Nasharudin Mat Isa yang ketika itu Timbalan Presiden PAS semacam digam oleh Mursyidul Am PAS dan tidak melibatkan diri dalam kempen pilihan raya kecil Manek Urai. Meskipun Nasharudin sekali bertemu dengan Nik Aziz, suasana pertemuan tersebut tidak menampak kemesraan yang berkekalan.

Dalam masa yang sama, Nasharudin turut diberikan kata dua agar melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden, wakil rakyat Bacok dan kemungkinan tidak dicalonkan semula oleh PAS untuk bertanding di Kelantan (NIK Aziz berjanji akan menyemak semula kebenaran bukan anak Kelantan yang mewakili parti itu), maka apabila kekalahan itu, adalah lebih mudah untuk melupakan anak Negeri Sembilan dan lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia untuk tempoh seterusnya.

Setelah Datuk Dr Hasan Ali dilanda kemelut yang membawa kepada penyingkirannya dalam PAS (awal tahun baru) dan EXCO Negeri Selangor (15 Januari 2012), maka lengkaplah sudah proses konspirasi yang sudah sekian lama berjalan dalam politik PAS di Selangor. Datuk Dr Hasan Ali telah dilihat sebagai faktor penghalang kepada gerakan DAP untuk meliberalkan peraturan dan menyerang Islam secara halus, termasuk pernah memberikan tentangan dalam penyitaan minuman beralkohol, menyerang JAIS yang memeriksa sebuah gereja di malam “thanksgiving” dan menolak pandangan tidak membenarkan orang Islam bekerja di kelab-kelab hiburan, menguatkuasakan secara tegas masa operasi kelab-kelab hiburan bahkan yang lebih penting ialah tekanan untuk menyokong dan membersihkan peribadi penasihat ekonomi negeri Selangor.

Kesemuanya itu melengkapkan andaian bahawa dalam PAS memang banyak parasit dan dalam PKR memang banyak fir’aun. Sebagaimana peranannya, parasit akan sentiasa mencari jalan untuk ‘memakan” apa sahaja yang dilihat boleh menyuburkan perjuangan Islam dengan harapan, suatu hari akan gugurlah idealism itu. Pandangan ini berdasarkan perubahan yang berlaku, di mana dari dalam PAS kepimpinan tertinggi tidak memberikan sokongan moral kepada setiap apa yang dilakukan oleh Dr Hasaan Ali dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Islam Selangor. Bahkan, beliau turut dikecam oleh pemimpin tertinggi PAS yang sudah mendapat suluhan dari bateri Pakatan Rakyat dari PKR dan DAP.

Cara ekonomi Selangor dikembangkan ialah dengan merancakkan lebih banyak pertumbuhan pusat-pusat hiburan dan kelab-kelab hiburan dibenarkan beroperasi lebih masa. Tujuannya adalah mudah, dengan memberikan kelulusan lesen operasinya, kerajaan tidak perlu berfikir secara serius bagaimana untuk menghasilkan pertumbuhan dan memberikan peluang pekerjaan kepada rakyatnya. Pihak pengendali pusat-pusat hiburan boleh menggunakan keuntungan tersebut bagi membiayai gaji pekerja, manakala untuk merancang peluang pekerjaan, kerajaan Negeri Selangor sebenarnya sudah kekeringan idea.

Nasihat ekonomi yang diberikan oleh Anwar hanyalah tertumpu kepada bagaimana nak menyelamatkan kedudukannya dan meneruskan perjuangan untuk menjadi Perdana Menteri selepas PRU ke-13. Lainnya tidak ada, dan kerana itulah sejak bertanggungjawab menasihati pembangunan ekonomi Selangor, masih belum ada sebuah rancangan yang komprehensif yang dibangunkan oleh kerajaan pimpinan PKR. Hal ini terus dipersoalkan dengan lantangnya oleh generasi muda yang hadir dalam Konggress Pakatan Rakyat ke-3 yang diadakan pada hari Sabtu lalu, 14 Januari 2012.

Bahkan Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, yang menjadi salah seorang tenaga penggeraki Himpunan Bersih 2.0, Datuk S Ambiga menyelar apa yang terkandung dalam buku Jingga, yang dipromosikan sebagai kerangka ekonomi politik Pakatan Rakyat. Datuk S Ambiga meminta agar Pakatan Rakyat dapat memberikan perancangan yang komprehensif bagaimana untuk memerangi rasuah, melaksankan program kebajikan untuk rakyat kerana beliau sebenarny semakin memahami bahawa perjuangan PKR sebenarnya lebih mengutamakan peribadi Anwar Ibrahim. Terlalu banyak retorik yang cuba diketengahkan dan kerana itulah pendokong PKR semakin ramai yang mengambil keputusan meninggalkan parti itu.

Belum pun ketua parasit dan konco-konconya didedahkan oleh Dr Hasan Ali, sudah ada percubaan untuk menghalang beliau daripada meneruskan siri penerangan kepada umum dan tentunya politik samseng dalam PAS terus digerakkan kerana pendedahan tersebut bakal mengakibatkan parti kehilangan lebih banyak kerusi. Dr Hasan Ali berjanji akan membawa bersamanya lebih 20 orang penyokong dalam misi tersebut ke seluruh negara tidak sedikitpun gentar dengan kaedah samseng yang bakal dilakukan oleh PAS.

PAS sebenarnya sudah banyak kali bertindak seperti lagak kumpulan samseng apabila berhadapan dengan musuh-musuh politiknya terutama dari kalangan UMNO. Namun gaya samseng PAS menjadi terlalu lembut apabila berhadapan dengan DAP, kerana parti itu sebenarnya amat takut dengan reaksi balas daripada sebuah parti yang didominasi oleh orang Cina. Hal itu bukanlah perkara baru kerana PAS pernah memberikan sokongan yang kuat kepada bukan Melayu untuk mempersendakan ayat-ayat al-Qur’an manakala bila ulamak UMNO menggunakan petikan tersebut ia dinilai tidak tepat dan bercanggah.

Dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin ulamak dalam PAS terus mempersendakan al-Qur’an tanpa mengikut tertibnya dan asal muasal sesuatu ayat itu diturunkan demi kepentingan politik sendiri. Misalnya mengenai tuduhan bahawa Tuhan Juga Mencarut dan Allah Lebih Samseng sebenarnya untuk mewajarkan tindakan dan reaksi balas PAS apabila ramai yang mengkritik penggunaan perkataan yang salah bagi menilai UMNO. Kemudiannya, turut menyokong gaya penulisan kreatif Shahnon Ahmad kerana sastrawan itu adalah ahli seumur hidup PAS dan kemudiannya menang dalam pilihan raya umum bagi parlimen Baling. Kini, Shahnon telah menjadi pengkritik PAS yang tajam kerana melihat terlalu banyak gejala samseng dan salah landasan yang dibawa oleh pemimpin-pemimpinnya.

PAS sebenarnya akan menjadi semakin tidak relevan bukan kerana UMNO musuhnya, tetapi kesan pendedahan keburukan dari dalam yang dibangkitkan oleh bekas-bekas ahlinya. Kalau dahulu ada pemimpin PAS berjaya mendedahkan pembohongan dana membantu mangsa Memali, PAS telah mengecamnya dengan keras kerana takutkan keluarga mangsa terus membuat gesaan sejauhmanakah dana tersebut digunakan untuk kepentingan mereka. Sikap PAS yang tidak pernah mengisytiharkan sebarang jumlah kutipan dan perbelanjaan yang dikeluarkan menyebabkan parti itu sudah dinilai sebagai “harapkan pagar, pagar makan padi.” Jika dalam jumlahitu boleh diselewengkan, bermakna untuk memerintah negara, tentunya lebih banyak lagi pembohongan dan penyelewengan dana negara akan terjadi.

Hingga kini misalnya, PAS Kelantan tidak pernah mengisytiharkan ke manakah perginya sejumlah wang yang dipinjamkan daripada kerajaan Persekutuan pada tahun 1987 untuk memulakan projek membekalkan air bersih kepada rakyatnya. Setelah berlalu selama lebih dua puluh tahun, masalah bekalan air bersih tidak menjadi kenyataan sepenuhnya. Rakyat Kelantan masih menggunakan punca air yang banyak mengandungi e-coli dan boleh membahayakan kesihatan. Rakyat mula bertanya ke manakah wang berjumlah RM 600 juta itu dibelanjakan?

Kalaulah sebanyak itu tidak boleh diuruskan, maka untuk menguruskan ekonomi negara pun PAS dijangka tidak akan mampu. PAS sudah dilihat sebagai sebuah parti yang penuh pembohongan dan selewengkan agama. Hal yang sama turut berlaku dalam PKR kerana parti itu dikenalpasti mendapat sumber kewangan dari luar negara. Hingga kini, PKR belum membuat pengesahan kepada beberapa dakwaan yang dikeluarkan oleh bekas pemimpin mereka sendiri, sebaliknya Anwar mengambil sikap berdiam diri. Dalam soal itu sahaja PKR sudah dilihat tidak berintegriti dan amat dipengaruhi oleh unsure luaran. Maka, kalaulah PKR diberikan peluang memerintah, maka rakyat negara ini tidak akan menikmati kebebasan sebagaimana mereka terima pada masa kini.

Rakyat akan menjadi kumpulan yang tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sendiri kerana amat tertakluk kepada kepentingan negara luar yang menjadi sebahagian penaja penting Anwar dalam misinya menjadi Perdana Menteri. Dan, tentunya dalam situasi itulah Anwar akan bertindak sebagaimana pernah dimainkan oleh John Perkins. John Perkins mendedahkan peranan Economic Hit Man (EHM), di mana mereka bukan sahaja memberikan nasihat kepada sesebuah negara, bahkan akan mendominasikan negara tersebut menurut kepentingan organisasi Yahudi. Ramai orang boleh membaca mengenai kelibat EHM kerana John Perkins telah mendedahkannya dalam sebuah buku pada tahun 2007 dan pada tahun 2011, buku tersebut diterjemahkan ke bahasa Melayu.

Lebih menarik lagi ialah bagaimana Anwar dan geopolitik Asia Tenggara yang dipeloporkan oleh Amerika Syarikat sehingga mampu menggerakkan PKR menjadi sebuah parti politik yang menghentam sistem dan institusi dalam negara sendiri. Pendedahan Datuk Ruhanie Ahmad dalam tulisannya bertajuk Anwar dan Geopolitik Asia Tenggara, Utusan Malaysia, 17 Januari 2012 boleh memberikan kita maklumat bagaimana rancaknya strategi Anwar dalam menghentam kepimpinan negara ini kerana beliau sebenarnya sudah ditautkan dengan pakatan luar negara.

Hal ini bukanlah sesuatu yang baru, bahkan telah berlaku sejak sekian lama termasuk bagaimana Anwar menghulurkan bantuan bagi menubuhkan International Institute of Islamic Thought (IIIT) yang berpengkalan di Amerika Syarikat bagi memudahkan masyarakat antarabangsa memahami penglibatannya dalam mempeloporkan Islam Liberal.

Memetik salah satu analisis Datuk Ruhanie, “amalan siasah Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak era reformasi hingga ke era pra-901 sentiasa menerima dukungan moral dan simpati segelintir individu serta organisasi di Amerika Syarikat (AS), termasuk mantan Naib Presiden dan seorang pengasas neokonservatif. Ini menyemarakkan gerakan siasah alternatif yang kurang etika, dangkal susila dan longgar disiplin, di samping menyamakan demokrasi dengan aktiviti jalanan, atas motif peribadi.” Itulah yang menjadi bukti bahawa Anwar memang “ sentiasa berusaha mendapatkan legitimasi antarabangsa bagi mencerahkan kegerhanaan peribadinya serta menyemarakkan kelesuan politiknya.”

Kalau begitu, bolehkah kita mempercayai bahawa Anwar adalah bakal Perdana Menteri yang terbaik dan paling beruntung? Jawabnya, Anwar akan lakukan apa sahaja untuk menaikkan dirinya sehingga kempen bebaskan Anwar sudah bercampur dengan kepentingan politik. Wajarlah Dr Hasan Ali melarang golongan muda untuk tidak menyertai 901, dan kerana seruan itu, secara paling tidak beretika parasit PAS mengenakan jarumnya memecat beliau.

Kini semakin jelas, siapakah sebenarnya parasit dalam PAS sehingga menyebabkan Dr Hasan tersingkir. Mungkin pula suatu hari nanti, bila semua parasit itu berjaya mengalahkan sebahagian pemimpin tertentu dalam PAS, maka mereka akan berhimpun bersama-sama membaca talkin untuk menguburkan PAS. Selepas berjaya melumpuhkan PAS dari dalam, parasit itu sebenarnya tidak boleh duduk diam kerana lebih banyak fir’aun dalam PKR yang akan membunuhnya.

Maka akhirnya berlaku pertembungan yang maha dahsyat dalam politik Malaysia, setelah kehancuran daari dalam digantikan dengan pertembungan galaktik dengan DAP yang tidak pernah mahu mengakui kalah. Tata politik Pakatan Rakyat sebenarnya banyak dicorakkan oleh DAP secara diam tetapi sangat berkesan. Dalam Pakatan Rakyat, DAP menjadi semakin dominan kerana Anwar terlalu asyik dengan misinya manakala PAS sudah dibuai oleh kepalsuan matlamat.

Mahanor Saleha

No Comments

Leave a Reply