Institut Wasatiyyah Buktikan Kerajaan Tegas Tolak Ekstremisme

January 26, 2012 2:16 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Lebih setahun lalu, Dato’ Sri Najib mempromosikan pendekatan kesederhanaan bagi mengatasi masalah kemanusiaan dan ketegangan politik dunia, maka 17 Januari 2012 dengan rasminya tertubuhnya Institut Wasatiyyah sebagai wahana membina strategi dan merealisasikan pendekatan sederhana dan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan.

Promosi itu kemudiannya dipersetujui oleh masyarakat antarabangsa sehingga tertubuhnya Global Movement of  Moderates atau Pergerakan Kesederhanaan Global di mana Malaysia diberikan kepercayaan untuk memulakannya secara lebih meluas. Keyakinan masyarakat antarabangsa itu adalah disebabkan Malaysia merupakan negara Islam yang paling stabil dari segi politik manakala kedudukan ekonominya juga menjadi model tentang keanjalan sistem sehingga mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Cabaran yang paling besar ialah bagaimana Malaysia begitu tangkas membuat keputusan untuk tidak bergantung kepada institusi kewangan antarabangsa apabila berlakunya krisis nilai matawang negara-negara Asia. Ketika itu, kemerosotan nilai matawang sehingga 40 peratus menyebabkan keadaan politik di beberapa buah negara Asia menjadi tidak stabil. Tempiasnya walaupun turut dirasai oleh Malaysia, tetapi disebabkan asas ekonominya yang kukuh, keadaan politik dapat distabilkan dalam masa yang begitu singkat berbanding negara-negara lain.

Pengalaman itu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang begitu cepat bangkit dan mampu melonjakkan kembali pertumbuhan ekonomi sehingga menyaksikan sekelompok pemimpin politik pembangkang mula melancarkan pelan reformasi dengan bantuan pihak luar. Walau bagaimanapun, sikap anarkisme dan penentangan menerusi kaedah demonstari jalanan tidak memberikan impak yang besar apabila parti yang memerintah mampu mempertahankan kekuasaannya sehinggalah pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

Akibat sikap tergesa-gesa untuk memerintah, parti-parti yang membentuk barisan pembangkang semakin ghairah melancarkan strategi “berperang” secara lebih agresif melampau konteks budaya dan nilai-nilai tradisi. Tentunya,  pendekatan tersebut bukanlah suatu pendekatan yang terbaik, kerana masih ramai rakyat Malaysia tidak bersetuju dengannya. Apatah lagi, dalam masa yang sama gelombang kebencian terhadap Islam semakin semarak kesan daripada peranan media dan ekstremisYahudi melobi dengan mengkambinghitamkan semua ikon yang berkaitan dengan budaya masyarakat Islam.

Melihat kepada situasi itulah memangkinkan sebuah alternatif  penyelesaian kepada persekitaran politik global di samping terdesaknya Amerika Syarikat untuk menjernihkan hubungan yang semakin keruh dalam kalangan negara-negara  Islam. Apabila memahami dengan jelas maksud pendekatan wasatiyyah yang dikemukakan olehDato’ Sri Najib ketika menjelaskannya dalam Persidangan Umum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada akhir tahun 2010, idea itu mendapat sambutan yang amat memberansangkan.

Bagaikan mendapat sokongan moral di peringkat antarabangsa, maka Malaysia telah mempelopori penganjuran sebuah persidangan peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur di mana pada majlis perasmiannya, dengan rasminya tertubuhkan Institut Wasatiyyah yang akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri manakala sebuah Kerusi Wasatiyyah diwujudkan di Universiti Malaya, sebuah universiti tertua di Malaysia.

Dengan penubuhan Institut Wasatiyyah, parti-parti pembangkang yang amat mengharapkan strategi politik “kekalutan” mula mencari jalan bagaimana untuk mensabotajkannya. Parti-parti pembangkang semakin berada dalam suasana penasaran, kerana kehadiran  masyarakat antarabangsa dalam persidangan itu dapat memudarkan persepsi buruk yang selama ini berjaya dilakukan menerusi forum-forum dan media antarabangsa oleh penggerak reformasi.

Berdasarkan beberapa ulasan dan pandangan peserta, penubuhan Institut Wasatiyyah itu bakal menggugah perspektif buruk yang dijelmakan menerusi kempen oleh rakyat Malaysia agar tidak melihat kuasa politik yang ada sebagai kuasa yang sah. Kekuatan Malaysia telah mendapat perhatian masyarakat antarabangsa bahawa kerajaan yang memerintah adalah lebih demokratik berbanding sekumpulan pemimpin pembangkang yang cuba menafikannya.

Penubuhan Institut Wasatiyyah juga membuktikan bahawa Malaysia adalah serius untuk mendidik rakyatnya bagaimana mencintai cara hidup yang sederhana dan seimbang. Perspektif itu adalah suatu pendekatan terbaik dan telah dibuktikan mampu membawa kesan yang besar dan berpanjangan sebagaimana dipraktikkan Nabi Muhammad SAW sejak menerima perintah Allah SWT untuk menyampaikan risalah-Nya, sebagaimana terkandung dalam al-Qur’an.

Pendekatan sederhana dan seimbang yang dipelopori oleh Nabi Muhammad SAW telah menjadikan pola kehidupan masyarakat Madinah sebagai contoh terbaik sebagai masyarakat madani. Hingga kini, masih belum ada contoh kehidupan bermasyarakat yang benar-benar adil dan boleh hidup dengan aman, kerana prinsip-prinsip pemerintahan baginda tidak menggunakan  kekerasan dalam menyelesaikan sebarang kemelut yang berlaku meskipun ada desakan-desakan untuk melaksanakannya.

Contoh teladan yang dipraktikkan itu menjadi ilham kepada seorang penjuang nasionalisme India untuk menggunakan pendekatan tanpa kekerasan. Dalam istilah pendekatan politik, perspektif tindakan tanpa kekerasan itu dikenali sebagai pasifisme. Ideanya telah muncul selepas Perang Dunia Kedua, namun realiti kemajuannya tidak begitu meluas kerana pejuang-pejuang yang menggunakan kaedah tersebut akhirnya terpaksa menerima takdir dibunuh oleh kumpulan pelampau.

Mahatma Ghandi yang dilihat sebagai tokoh nasionalisme India yang membawa konsep pasifisme dalam setiap idealism perjuangannya dibunuh walaupun beliau sentiasa menunjukkan sikap merendah diri dan sentiasa membuka pintu perundingan. Begitu juga dengan pejuang kebebasan asasi Amerika Syarikat, Martin Luther King dan Malcom X. Sikap sederhana dan praktis merujuk setiap masalah melalui kaedah penyelesaian menerusi rundingan tidak dapat diterima oleh kumpulan pelampau.

Hal yang sama turut berlaku di Malaysia. Apabila pendekatan sederhana dilakukan semasa berunding untuk mendapat kemerdekaan dan pemuafakatan antara kaum pada tahun 1955 menyebabkan segelintir pejuang kemerdekaan yang berhaluan kiri mengambil jalan penuh revolusioneer. Tidak sekadar membuat bantahan, kelompok tersebut meneruskan perjuangan bersenjata dengan menjadikan rakyat biasa sebagai tempias kemarahan dan  kehidupan rakyat menjadi semakin sukar serta tersiksa.

Sejarah itu tetap menjadi iktibar yang begitu mendalam di sanubari rakyat Malaysia dan menyedari hakikat itulah juga telah mengilhamkan Perdana Menteri untuk menghidupkan dengan berkesan gerakan kesederhanaan dan keseimbangan. Dalam Islam sendiri sudah terbukti, dengan pendekatan dakwah yang berhemah dan sentiasa menggalakkan persefahaman jumlah penganutnya bertambah dengan begitu pesat.

Bahkan dalam situasi semaraknya kebencian terhadap Islam selepas peristiwa robohnya Pusat Dagangan Antarabangsa pada bulan September 2001, jumlah penganut Islam sudah berkembang menjadi kedudukan yang kedua terbanyak selepas Kristian. Populasi penduduk Islam sedunia sudah menjangkau 1.8 bilion dan dalam jangka waktu kurang lima puluh tahun, jumlah penganut Islam dijangka akan berada di kedudukan teratas.

Inisiatif terbaru dalam mempromosikan gerakan kesederhanaan itu bukanlah satu kaedah dan tindakan yang  hanya tertumpu kepada pemulihan imej kerajaan yang dikatakan merudum selepas Pilihan Raya Umum ke-12.  Ada pandangan serong mengenainya, kerana penubuhan Institut Wasatiyyah dilihat oleh kelompok pembangkang sebagai reaksi balas parti yang memerintah yang semakin terdesak untuk kembali berkuasa, kedudukan pembangkang semakin kuat dan bakal memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

Andaian pembangkang ialah kenapa sekarang baru kerajaan menyedari bahawa “aspek kesederhanaan dan keseimbangan menerusi rasa hormat terhadap demokrasi, peraturan dan undang-undang, pendidikan, maruah dan harga diri seseorang serta keadilan sosial” sedangkan sebelumnya gaya pentadbiran penuh dengan keangkuhan dan kesombongan.

Jika diimbas kembali sejarah politik, sikap ekstremisme sebenarnya sudah bermula sejak permulaan lahirnya semangat kebangsaan, tetapi ia tidak sampai kepada peringkat membunuh dan terbunuh. Tragedi menyerang secara kekerasan itu sebenarnya dimulakan oleh sekelompok pemimpin yang menyanjungi prinsip perjuangan revolusi, kerana dengan cara itulah akan mempercepatkan proses kemerdekaan sesebuah negara.

Pendekatan yang diambil oleh orang Melayu lebih berkesan kerana menghormati prinsip perundingan dan pemuafakatan. Prinsip sedemikianlah menjadikan Malaysia sebuah negara yang merdeka tanpa perlu mengorbankan rakyatnya, kecualilah dalam usaha menentang sekumpulan mereka yang tidak bersetuju dengan kaedah tersebut. Kelompok itu kemudiannya melancarkan perang dan gerakan bersenjata sehinggalah meninggalkan trauma yang mendalam hingga sekarang walaupun secara mutlaknya darurat telah ditamatkan pada tahun 1960 di Semenanjung dan pada tahun 1971, di Sabah dan Sarawak.

Setelah gerakan bersenjata dilumpuhkan, sebahagian kecil penggerak komunis meneruskan serangan dan melancarkan tahun pemberontakan pada tahun 1975, dengan harapan akan beroleh kejayaan besar apabila lebih ramai anggota pasukan keselamatan berjaya dibunuh. Rupa-rupanya pendekatan tersebut terus mengalami kegagalan dan semakin dibenci oleh masyarakat umum.

Kaedah kemudiannya dikembangkan dalam strategi berperang oleh parti-parti pembangkang apabila terasa kedudukan mereka terdesak mula menggunakan slogan, bukan penyokong dan pengundi kepada parti mereka, seseorang itu dengan sendirinya menjadi “kafir”. Seruan itu dikesan bermula pada tahun 1964 di Pasir Mas, Kelantan dan kemudiannya disegarkan kembali dengan semangat jihad pada tahun 1981 sehingga mencetuskan perbalahan dan sengketa politik yang memalukan: berlaku perceraian dalam keluarga atas perbezaan politik, sikap bermusuh dan tidak boleh menerima hakikat keislaman orang lain walaupun masing-masing tetap bersyahadah, berimankan nabi, menuju ke kiblat dan menggunakan kitab yang sama, iaitu al-Qur’an.

Sikap ektremisme itulah yang menyebabkan berlakunya perpecahan dalam masyarakat pada tahun-tahun 1980-an dan kini pepecahaan kembali berlaku dalam kalangan orang Melayu atas sebab-sebab politik yang berfokuskan kepentingan peribadi seseorang. Kemuncaknya ialah apabila seramai 5,000 orang sedia berhimpun untuk membebaskan seseorang, sedangkan orang yang hendak dibebaskan itu sudah pun bebas dan menikmati peluang yang lebih luas daripada sebahagian daripada mereka yang ikut berhimpun.

Selain penubuhan Institut Wasatiyyah (di JPM) dan penubuhan Kerusi Wasatiyah (di UM),  Penubuhan Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global pula dijangka mampu meningkatkan  peranan GMM sebagai pusat penyatuan kepada semua usaha dan pendekatan menentang keganasan dan ekstremis sama ada yang digerakkan oleh agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Dato’ Sri Najib lagi, “Selain menjadi inisiatif eksklusif yang digerakkan oleh Malaysia, GMM juga akan menyokong inisiatif lain yang digerakkan oleh badan antarabangsa ke arah mempromosikan gerakan kesederhanaan dan keseimbangan termasuk dialog dan kerjasama sama seperti United Nations Alliance of Civilisations (UNOAC).”

Gerakan kesederhanaan atau wasatiyyah bukanlah menampilkan sikap yang lemah atau mengalah kerana ia adalah langkah berani yang penuh kebijaksanaan. Seperti digambarkan oleh seorang pemikir tingkahlaku manusia yang semakin diyakini oleh masyarakat antarabangsa, Steven Covey, era masakini ialah era yang bakal dibentuk oleh kebijaksanaan. Sesuatu tindakan yang boleh disifatkan bijaksana, dalam pendekatan falsafah Melayu ialah menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus manakala tepung tidak terburai.

Tindakan menggunakan pendekatan sederhana dan seimbang bukan bermakna pengecut ataupun terlalu berlembut. Ia adalah sebuah pendekatan yang dalam konteks psikologi pengurusan atau perundingan ialah strategi “menang-menang” dan dalam keadaan itulah ia dinamakan sebagai “situasi bijaksana.” Kebijaksanaan itulah yang amat diharapkan akan lahir dari jiwa manusia yang sanggup mendahulukan rakyat dan melonjakkan prestasi, dan bukannya daripada mereka yang hanya tahu bercakap, mengkritik, mencaci dan merendah-rendahkan keupayaan orang lain bagi menutupi kelemahannya.

Sikap melampau memang sentiasa berada dalam kerugian, kerana yang dikejar itu adalah baying-bayangnya sendiri yang hanya muncul sekadar visual dan bukannya berbingkai serta boleh dipegang. Ia adalah sebuah kengerian yang bakal mencetuskan lebih banyak tragedi. Lahirnya Intitut Wasatiyyah di Malaysia bermakna kerajaan benar-benar mahu mempraktikkan prinsip kesederhanaan dan mengetepikan keseluruhan nilai kekerasan serta sikap melampau. Ia akan dibudayakan sebagai satu corak kehidupan yang beradab dan bersusila, menghormati nilai dan hak setiap orang secara yang lebih wajar dan bermakna.

* Artikel ihsan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Leave a Reply