Ilmu Adalah Dana Dunia dan Akhirat

January 26, 2012 2:13 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Apabila kita berusaha mencari dana di dunia ini sebelum ke akhirat, terlintas di fikiran kita untuk mencari segala keperluan yang berupa wang, harta dan kemewahan di dunia sebelum ajal menemui kita.

Inilah perkara yang selalu difikirkan oleh sebahagian masyarakat kita sehinggalah kita lupa bahawa kehidupan ini sebenarnya hanya sementara untuk mencari bekalan menuju kehidupan yang hakiki di akhirat kelak.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Rebutlah lima perkara sebelum berlakunya lima perkara; masa mudamu sebelum tiba masa tuamu, masa sihatmu sebelum tiba masa sakitmu, masa kayamu sebelum tiba masa fakirmu, masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum tiba kematianmu.” (Riwayat Al-Hakim)

Berdasarkan hadis di atas jelas menunjukkan bahawa sementara kita hidup di dunia, sewajarnya kita penuhkan diri kita dengan mencari dana berupa ilmu dan amal, bukannya mencari kemewahan dan kesenangan hidup semata-mata.

Malah dengan ilmu ia menjadi pedoman hidup dan mendasari segala tindak tanduk dan amalan kita.

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Ilmu dalam ertinya memahami sesuatu dengan hakikatnya. Dengan pengetahuan inilah manusia melakukan perbuatan amalnya. Jika manusia tidak memiliki ilmu dan amal, maka tiadalah dana baginya di dunia dan sia-sialah hidupnya serta mendapat kerugian di akhirat.

Telah disebut dalam Matan Zubad:

“Dan bagi mereka yang beramal tanpa ilmu, amalannya akan ditolak, tidak diterima.”

Saidina Ali Bin Abi Talib berkata, “Ilmu adalah pemimpin amal dan amal adalah pengikutnya.”

Demikian juga dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesiapa yang beramal tanpa ilmu maka adalah lebih banyak membawa kerosakan daripada kebaikan.” (Riwayat Abi Said)

Berdasarkan hujah-hujah tersebut jelaslah bahawa usaha menambah ilmu pengetahuan dan diiringi dengan amal adalah harta yang amat bernilai untuk memperoleh keredaan Allah di dunia dan akhirat.

Setiap amalan akan mempunyai nilai jika berlandaskan ilmu pengetahuan, begitu juga dengan ilmu akan mempunyai nilai yang tinggi jika diiringi dengan amal. Kedua-duanya tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia.

Pengertian amal dalam pandangan Islam adalah setiap amal soleh atau setiap perbuatan kebajikan yang diredai oleh Allah s.w.t.

Dengan demikian, amal menurut Islam tidak hanya terbatas pada ibadah, sebagaimana ilmu dalam Islam tidak hanya terbatas pada ilmu fikh dan hukum-hukum agama sahaja.

Ilmu ini mencakupi semua yang bermanfaat bagi manusia seperti meliputi ilmu agama, ilmu alam, ilmu sosial dan lain-lain.

Ilmu-ilmu ini jika difahami dan dikembangkan dengan sebaiknya akan memberikan impak yang besar kepada peradaban dan kemajuan tamadun manusia. Misalnya, perkembangan sains dan teknologi akan memberikan kemajuan dan daya saing dalam kehidupan manusia.

Demikian juga perkembangan ilmu-ilmu sosial akan memberikan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang berlaku dalam masyarakat. Justeru, penghayatan ilmu dengan amalan merupakan satu perkara yang dituntut oleh Islam.

Susunan HASHIM ISMAIL

 

Leave a Reply