Hasan Ali, Anwar dan Nasharudin: Pembuka Tirai Sengketa Politik Pembangkang 2012
Minggu kedua tahun 2012 nampaknya menjadikan tiga watak yang telah banyak mengheret perbincangan masyarakat sejak tersiarnya kempen 901 “bebaskan Anwar Ibrahim” pembuka tirai yang boleh menyeliratkan denyut nadi kerjasama pembangkang. Anwar menjadi watak antagonis yang menyebabkan dua orang pemimpin PAS itu membuat pendirian yang bertentangan dengan keputusan parti.
Ekoran komen Hasan Ali terhadap percubaan Anwar untuk mengheret rakyat dalam kancah peribadinya menyebabkan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor telah dipecat oleh partinya setelah berjuang lebih 15 tahun dalam memperkasakan Islam, orang Melayu dan Raja-Raja Melayu. Perjuangan tersebut ternyata bercanggah dengan keinginan PAS sendiri yang tidak merasakan bahawa Melayu itu sebagai sesuatu yang boleh menjamin kelangsungan politiknya, kerana Melayu itu bakal mengheret sekutunya daripada DAP terngadah dan PKR lesu tidak bermaya.
Dengan meletakkan Melayu sebagai landasan perjuangan, PAS dan PKR akan kehilangan tampuk politiknya kerana ia akan disamakan dengan perjuangan UMNO. Atas alasan yang melihat perjuangan menegakkan Melayu sebagai perkauman dan apartheisme, kedua parti itu mula melonjak galak sehingga melupakan dari manakah sebenarnya mereka berasal. Hasan Ali amat kecewa dengan keputusan tersebut, maka beliau dengan tegasnya berjanji akan terus melakukannya walaupun terpaksa berada dalam platform yang lain.
Jiwanya penuh dengan kebanggaan menjadi Melayu dan jiwa Islamnya semakin kental. Pada malam sambutan tahun baharu, Hasan Ali mengetuai pegawai-pegawai penguatkuasan JAIS untuk menyelongkar beberapa premis dan kawasan yang menjadi tumpuan anak muda Melayu, demi mengekang maksiat dan masalah sosial. Bagaimanapun, tindakan Hasan Ali tidak sedikitpun menimbulkan sebarang reaksi sokongan daripada PAS sebaliknya mereka sedang mengumpul bukti bagi menyingkirkan beliau sebagaimana berusaha menutup komen-komen tindakan memeriksa sebuah gereja yang menjadi tempat aktiviti pemurtadan orang Islam dalam bulan Ogos 2011 yang lalu.
Komen Mursyidul Am PAS mengenai pemecatan Hasan Ali juga menggambarkan bagaimana tidak konsistennya semangat Islam, kerana menggunakan alasan “tidak ada parti di dunia yang tidak memecat ahlinya, sedangkan orang yang berkahwin pun boleh bercerai.” Mursyidul Am PAS sebenarnya lupa bahawa pemecatan Hasan Ali ialah kerana beliau berbeza pendapat dengan kepentingan parti yang sudah berubah. Hasan Ali mahukan PAS kembali ke perjuangan asal dan tidak menyokong sebarang tindakan Anwar yang terlalu menginginkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan mengheret rakyat untuk bertindak melanggar segala peraturan dan undang-undang demi “membersihkan diri” yang sudah lama terjeruk dalam krisis moral.
Benar pasangan yang berkahwin boleh bercerai, tetapi amalan budaya politik PAS bukanlah bersifat adil kepada Hasan Ali. Dalam konteks Islam, seseorang yang dilihat bersalah atau difikirkan membawa masalah perlu diberikan peluang untuk “mempertahankan diri” atau memberikan keterangan sebagaimana pihak mahkamah memberikan ruang yang amat luas kepada Anwar untuk membela diri. Anwar diberikan ruang untuk melakukan pembelaan sehingga berupaya melambatkan proses perbicaraan sampai berlarutan lebih tiga tahun sejak Saiful Bakhari Azlan membuat laporan dan bersumpah laknat, ekoran dakwaan diliwat pada 26 Jun 2008.
Pada akhir tahun lalu, Hasan Ali dipuji oleh Mursyidul Am PAS kerana “menjadi anak jantan” yang sanggup mengakui kesilapannya. Komen Nik Aziz itu bagaimanapun disangkal oleh Hasan Ali kerana perjumpaan mereka (termasuk Nasharudin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden PAS) bukan membincangkan perkara tersebut, perjumpaan itu adalah untuk tujuan lain. Mungkin kerana merasakan kredibiliti tercabar, ada kenyataan yang bercanggah menyebabkan Presiden PAS terpaksa mencari lebih banyak sebab bagi membolehkan satu keputusan dibuat, termasuk mengkritik Anwar.
Bagi PAS, sikap dan personaliti Anwar tidak boleh disentuh kerana beliau hampir disamakan sebagai “imam Mahadi”, dan kini sedang diuji mengenai kejujurannya. Apabila Anwar dibebaskan atas bukti yang kurang lengkap, tentunya ada pengikut tegarnya akan memberikan wajaran, menandakan ujian besar itu sudahpun lulus. Kalaupun ujian ini bukanlah ujian pertama, sekurang-kurangnya akan menambahkan lagi senarai ujian yang telah berjaya dilepasinya, dan itu agaknya cirri-ciri yang pernah disifatkan oleh Wan Azizah sebagai “anugerah Tuhan.”
Mursyidul AM PAS pernah dijolokkan oleh seseorang pendokong tegarnya “setaraf nabi”, walaupun pendakwah itu sedar bahawa kenabian seseorang itu bukanlah ditentukan oleh manusia sendiri. Allah SWT yang melantik atau mengutuskan seseorang manusia menjadi nabi, tetapi sebenarnya beliau telah lupa bahawa tidak ada lagi nabi selepas nabi terakhir, iaitu Nabi Muhammad SAW. Kali ini, ramai yang ternanti-nanti apakah label yang paling mulia akan diberikan kepada Anwar Ibrahim, kerana usaha menyamakan beliau dengan Tayyip Erdogan, Aung San Kyu Yi disangkal oleh banyak pihak.
Imej Tayyip Erdogan muncul beberapa hari lalu, yakni menjelang keputusan perbicaraan dengan menyifatkan bahawa atas apa alasan sekalipunm Anwar akan tetap menjadi Perdana Menteri meskipun beliau dipenjarakan. Jika terpaksa merengkuk dan Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya umum ke-13, akan adalah seorang ‘perdana menteri sementara” sebagaimana berlaku di Turki, iaitu Abdullah Gul dilantik ketika Tayyip Erdogan dipenjarakan. Di situlah timbul pelbagai nama, termasuk percubaan mengheret seorang ahli parlimen veteran yang pernah kecewa setelah kalah dalam perebutan jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987 dan akhirnya menubuhkan Semangat 46.
Perjuangannya tidak ke mana-mana dan tentunya ada sekumpulan yang rasa tawar hati untuk memberikan sokongan jika beliau benar-benar berusaha menyeberang parti atas alasan dijanjikan jawatan sebagai Perdana Menteri sementara. Setakat ini, tuanpunya diri tidak memberikan apa-apa komitmen dan sekumpulan lagi berharap beliau tidak akan keluar daripada UMNO kerana semangatnya terbukti masih sayangkan parti yang berasaskan orang Melayu.
Selepas Hasan Ali dipecat, kemungkinan Nasharudin Mat Isa akan berhadapan dengan tindakan yang sama apabila mempertahankan prinsip tidak gentar dengan kehilangan jawatan dan hukuman oleh partinya sendiri. Bahkan, sewaktu Hasan Ali mengadakan siding media di rumahnya di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail pada hari pembebasan Anwar, Nasharudin turut hadir memberikan sokongan padu.
Sehari sebelumnya, Nasharudin membuat komen pedas mengenai apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan PAS dan tentunya, kali ini bekas Timbalan Presiden PAS itu akan turut kehilangan kerusinya. Beliau mungkin tidak akan diberikan peluang sekali lagi untuk bertanding mewakili PAS, kerana Nik Aziz sebelum berlangsungnya pilihan raya kecil Manek Urai membuat kenyataan akan mengkaji bukan anak Kelantan yang bertanding mewakili PAS di Kelantan.
Kali ini, Nik Aziz akan diasak agar mengotakan janjinya. Nik Aziz perlu memberikan peluang kepada bukan anak Kelantan untuk bertanding bagi mewakili parti itu. Nik Aziz perlu menolak nama Dr Hatta Ramli, Salehudin Ayub, Takiyudin Hassan kerana beliau bukanlah anak Kelantan jati. Pada masa yang sama, Nik Aziz perlu menyatakan pendirian bahawa Sharifudin Nasution Ismail yang menang di Macang atas tiket PKR perlu disaring semula kerana beliau juga bukan anak Kelantan. Beliau berasal dari Kedah.
Nik Aziz harus sedar pada ketika ini kedudukannya dalam PAS masih dihormati kerana beliaulah yang sebenarnya memberikan nafas baru kepada parti itu, dari sebuah parti yang hidup segan dan mati tidak mahu, dengan melengkapkan banyak sumber kewangan sehingga boleh memiliki banyak asset termasuk membiayai kempen pilihan raya, membeli bangunan dan sebagainya. Tapi sayangnya, Nik Aziz yang tidak mempunyai pengalaman dalam pengurusan ekonomi membisu dan kelu untuk memperjuangkan nasib para pelabur yang telah kerugian lebih RM 40 akibat salah pelaburan oleh Kohilal, sebuah koperasi yang ditubuhkan oleh penyokong PAS.
Kenapa PAS tidak memperjuangkan kedudukan ahli-ahli Kohilal yang kehilangan wang pertaruhan mereka? Jawabnya mudah, jika melakukan tindakan seperti menubuhkan Suruhanjaya Siasatan maka akan terbongkarlah banyak rahsia yang cuba disembunyikan. Dengan mendiamkan diri bererti PAS akan selamat kerana Nik Aziz boleh membuat rayuan bahawa kerugian tersebut bukan ada kena dengan PAS. Beliau boleh memberikan pandangan dan pendirian bahawa, salah urus itu berlaku kerana dalam perniagaan mestilah ada untung dan rugi. Kohilal telah ditakdirkan mengalami kerugian sebagaimana beliau memberikan komen, suami isteri pun ada yang bercerai kerana tidak sefahaman lagi.
Jawapan penuh dengan tipa induk (archetype) itu sebenarnya sesuatu yang amat lumrah dilontarkan oleh Nik Aziz. Seperti hujah beliau, apa salahnya bila ada orang menaja pemergiannya sekeluarga ke Mekah, ia bukan satu tindakan yang salah. Beliau sebenarnya berusaha untuk mewajarkan tindakannya sendiri walaupun secara prinsipnya ia adalah salah kerana Tok Guru itu sebenarnya tidak boleh ditegur. Tok Guru dan Anwar mempunyai sifat yang sama, tidak boleh ditegur walaupun kata-kata dan tindakan mereka adakalanya tidak betul dan terkeluar daripada hukum moral.
Kerana memberikan teguran itulah Hasan Ali terpaksa menerima renjatan politik dan kali ini akan memberikan petunjuk yang semakin kukuh, dalam pilihan raya akan datang, namanya tidak lagi menjadi pilihan bagi mewakili PAS. Jawatannya sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor telah disingkirkan kerana pernah memberikan komitmen menyerbu kedai-kedai runcit yang menjual arak, mendesak agar kelab-kelab hiburan tidak beroperasi lebih masa, cadangan tidak membenarkan orang Melayu bekerja di kelab hiburan yang menghidangkan minum arak sedangkan perniagaan tersebut telah bertumbuh dengan pesatnya selepas Pakatan Rakyat memerintah Selangor.
Sebahagian besar tuanpunya premis itu adalah penyokong DAP, maka DAP tetap melihat halangan itu bakal menggugat sokongan kepada parti itu, maka desakan agar ianya tidak dikuatkuasakan. PKR yang memerintah terpaksa akur dan memberikan amaran agar PAS mengambil tindakan untuk mengunci mulut Dr Hasan Ali dan ini dapat dilihat bagaimana PAS mengambil keputusan sedemikian setelah kecohnya pemeriksaan JAIS terhadap sebuah gereja di Damansara Utama.
Komen Ketua Pemuda PAS yang menyokong pemecatan tersebut dan mengharapkan Hasan Ali akan mempunyai tempoh bertenang boleh memikirkan semula untuk sikap bekas Ketua Dewan Pemuda PAS, Datuk Abu Bakar Hamzah. Datuk Abu Bakar Hamzah pernah dipecat kerana membuat kenyataan yang bercanggah dengan keputusan parti, tetapi setelah berada di luar beberapa lama, beliau kembali berjuang dalam PAS di penghujung usia. Rasanya, Dr Hasan Ali tidak akan melakukan perkara yang sama, kerana terlalu banyak dosa PAS yang tidak dapat dipadamkan kecualilah seluruh anggota kepimpinan PAS bertaubat. Seluruh kepimpinan PAS kembali memperjuangkan Islam dan melupakan pakatannya dengan PKR dan DAP.
PAS harus menetapkan lanskap politiknya dengan lambang kesuburan warna hijau. Kini PAS sudah bertukar warna menjadi kekuningan kerana terlalu banyak bercampur dengan warna merah (DAP) manakala warna merah terus menyerlah meskipun sesekali cuba untuk mendekatkan dengan palitan warna biru. Setakat ini belum berlaku pengkamilan sebenar dan jitu antara warna DAP dan PKR. Yang berlaku sekarang ialah PAS telah larut dalam calitan warna merah yang disemarakkan oleh DAP.
Atas calitan warna itulah DAP semakin berani untuk mencabar PAS secara halus. PAS akan disingkirkan sekiranya kedudukan DAP menjadi kuat, yakni jika calon-calon Melayunya menang. Kemasukan dua orang veteran UMNO ke DAP akan memberikan implikasi yang besar kepada PAS, kerana PAS sebenarnya sedang bertelagah akibat perubahan ideologi dan tidak sanggup menerima kritikan daripada ahlinya sendiri kerana terlalu ingin mempertahankan hubungan dengan Anwar yang semakin bermasalah. PAS sebenarnya semakin hilang keupayaannya, kepimpinan Nik Aziz semakin tidak relevan.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, PAS menjelaskan, pemecatan itu dibuat berdasarkan Fasal 82(9) dan setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa kerja PAS pusat. Keputusan tersebut dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Dr Hasan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS. Bagaimanapun, keputusan sebelah pihak itu adalah sesuatu yang tidak bersifat demokratik dan ini pernah berlaku dalam PKR apabila memecat Zulkifli Noordin yang tidak lagi mahu memberikan sokongan kepada Anwar disebabkan terlalu banyak “fir’aun kecil”.
Jelaslah, di pihak PKR pembebasan Anwar memberikan banyak kemenangan moral untuk jangka pendek, manakala kesannya kepada PAS ialah kehilangan lebih ramai pemimpin pelapis yang berwibawa akibat menangkis sebarang pujukan untuk membawa penyokong PAS bersama menjadi pelakon dan tunggangan PKR untuk membersihkan persoalan moral yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim. Apakah PAS wajib membersihkan dosa orang lain sehingga sanggup menggadaikan prinsip perjuangannya?
Hal ini sudah pun terjadi, dan akhirnya Dr Hasan Ali menjadi mangsa yang menakutkan, bagaimanapun Nasharudin Mat Isa masih dibayangi misteri. Apakah Nasharudin akan tersingkir atau dipecat kerana mendokong prinsip Hasan Ali atau kerana tidak bersetuju dengan campur tangan Timbalan Pengerusi PKR yang mendesak agar PAS mengambil tindakan ke atas ahli yang tidak mahu menyertai perhimpunan “membebaskan Anwar?” Apakah benar perhimpunan 901 untuk berjaya membebaskan Anwar? Bukankah perhimpunan itu sebenarnya merupakan konspoirasi untuk menjatuhkan sistem perundangan negara dan merombak persepsi umum?
Mahanor Saleha.







No Comments