Arak Ibu Segala Kerosakan

January 26, 2012 2:10 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Islam adalah agama yang mengajak manusia kepada kebaikan serta menghindari dan menjauhi segala perkara yang membawa kepada keburukan dan kemudaratan.

Wajib ke atas setiap umat Islam untuk menjaga diri mereka sendiri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan dan haram hukumnya seseorang itu meletakkan dirinya sendiri dalam keadaan merbahaya dan ke arah kemudaratan.

Kesannya lebih besar lagi sekiranya kemudharatan itu turut melibatkan orang lain.

Islam bukanlah agama yang hanya menyentuh aspek rohani semata-mata. Ia bukannya agama yang hanya membincangkan soal ketuhanan dan ibadat sahaja. Islam menekankan cara hidup yang menepati fitrah manusia dari sudut rohani dan jasmani, mental dan fizikal luaran dan dalaman manusia itu sendiri.

Kita yakin bahawa dengan Islam, seseorang manusia itu akan merasa sangat bahagia apabila aspek-aspek ini dapat dipenuhi dengan jayanya.

Berdasarkan ayat yang telah dibacakan pada pendahuluan khutbah ini, menjelaskan sesungguhnya Allah s.w.t telah mengharamkan kepada kita suatu jenis minuman yang disebut sebagai ‘al-khamar’.

‘Al-khamar’ adalah minuman yang memabukkan yang sering kali disebut sebagai arak. Dalam dunia yang serba moden ini, arak dikenali dengan pelbagai nama dan jenama seperti wine, tuak dan sebagainya.

Arak adalah minuman yang boleh membawa kepada kemudharatan dan menjerumuskan peminumnya kepada kemaksiatan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Arak itu ibu segala kejahatan, sesiapa yang meminumnya solatnya tidak diterima Allah selama 40 hari. Sekiranya ia mati arak itu masih di dalam perutnya, maka matinya sebagai seorang jahiliyah.” (Riwayat Daruqutni)

Sesungguhnya arak itu terlalu banyak keburukan dan kemudharatannya kepada manusia. Arak bukan sahaja boleh merosakkan fikiran dan kesihatan manusia. Malahan ia juga boleh menjadikan seseorang itu hilang pekerti dan rosak akhlak serta akidahnya.

Manusia yang ketagihan arak bukan sahaja akan memalingkan dirinya daripada mengingati Allah s.w.t, malahan lupa tanggungjawabnya sebagai hamba, lupa tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga, bahkan mereka yang sedang hanyut dalam kemabukan arak akan mudah terdorong untuk melakukan dosa-dosa besar yang lain seperti berzina, bergaduh dan membunuh.

Ini kerana arak telah merosakkan pertimbangan akal mereka yang waras sehingga menyebabkan segala tindak-tanduknya hanya mengikut dorongan hawa nafsu semata-mata.

Arak akan membawa kepada masalah yang lebih besar iaitu keruntuhan institusi keluarga, masyarakat dan negara. Arak bukan sahaja menyebabkan peminumnya hilang pertimbangan diri, malahan ianya boleh membawa kepada ketagihan yang berpanjangan.

Penagih arak tidak lagi mempedulikan diri, keluarga dan masyarakat. Mereka hanya memikirkan bagaimana cara untuk memastikan bekalan arak diperolehi setiap masa sehingga sanggup bergaduh, mencuri malahan membunuh sekalipun untuk mendapatkan arak.

Cuba kita bayangkan keadaan masyarakat dan negara kita seandainya perkara ini semakin berleluasa. Keruntuhan sosial akan menjadi semakin kritikal ekoran daripada meluasnya penggunaan arak di kalangan masyarakat kita.

Maka benarlah seperti sabda Rasulullah s.a.w (maksud hadis di atas) bahawa arak adalah ibu kepada segala maksiat dan kerosakan.

Susunan KHAIRUL NAIM

Leave a Reply