Home » Fikrah » Perpecahan Bukan Anjuran al-Quran

Perpecahan Bukan Anjuran al-Quran

Perpaduan, persamaan dan persaudaraan merupakan nilai-nilai fundamental yang menjadi pemangkin bagi perkembangan, kemajuan, dan kemakmuran sesebuah negara. Malahan semua aliran dalam Islam menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w menuntut kita agar memelihara persaudaraan dan rasa saling hormat menghormati di antara sesama Muslim. Maknanya, persatuan atau perpaduan di antara sesama Muslim amat dititikberatkan oleh Nabi s.a.w.

Demikian juga semangat al-Quran secara keseluruhan sebenarnya adalah semangat perpaduan atau persatuan. Kerana itu jumlah ayat yang menganjurkan semangat perpaduan lebih banyak daripada ayat yang menjelaskan perihal perpecahan. Antaranya ialah Surah al-Hujurat ayat 10, al-Syura ayat 13, al-Mukminun ayat 32 dan ayat yang paling popular ialah surah Ali-Imran ayat 103. Dalam ayat lain, al-Quran mencerakinkan tentang sebab perpecahan yang terjadi kerana kedengkian antara golongan sesama mereka (Surah al-Syura ayat 14, al-Baqarah ayat 213, Ali-Imran ayat 19, dan al-Jathiyah ayat 17) juga kerana kecintaan manusia kepada dunia (Surah Ali-Imran ayat 152), tidak menggunakan akal sihat (al-Quran surah al-Hasr ayat 14), dan tidak saling percaya antara mereka (Surah Hud ayat 116).

Pada ketika ini umat Islam di negara ini sedang mengalami suatu macam kekalutan yang ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin politik, ulama-ulama, parti pemerintah dan pembangkang. Secara fitrah ummah sebenarnya menuntut keamanan dan perpaduan, bukan persengketaan. Fitrah semulajadi manusia inginkan kehidupan yang aman damai kerana di situ letaknya kebahagiaan dan keharmonian yang diidamkan oleh semua maanusia. Justeru itulah manusia sangat inginkan kepada perpaduan. Lebih penting dari itu umat Islam inginkan amalan yang sebenar bukan berbaur dengan kepentingan politik, perbadi atau sebagainya.

Umat Islam perlukan kematangan untuk menghadapi situasi hari ini dengan tenang  supaya segala faktor negetif ini tidak memerangkapkan dan menjatuhkan kita sekali lagi dalam fitnah kekacauan seperti yang berlaku dizaman sahabat (Saidina Ali dan Uthman) dahulu. Sejarah mencatat seringkali kita dikalahkan kerana kita tidak bersatu. Demikian juga dalam keadaan berpecah belah itu pasti nanti akan saling menyerang dan saling berusaha menghancurkan satu sama lain.

Memang tidak dinafikan, untuk berpendapat dan berfikiran sama tidak mungkin tetapi untuk bersatu pasti tiada halangan asalkan semua pihak bersikap jujur pada diri sendiri dan menghormati orang lain. Nabi Muhammad s.a.w telah membuktikan hakikat tersebut di dalam setiap tingkah laku, khususnya dalam hubungan sesama manusia.

Sikap jujur, toleransi, dan menghormati orang lain merupakan sikap yang berupaya membawa kepada kejernihan hubungan, sekali gus memantapkan penyatuan ummah bagi menangani segala macam bentuk permasalahan yang datangnya sama ada daripada kalangan ummah itu sendiri mahupun dari dunia luar.

Peri pentingnya kesatuan ummah itu dapat diselaraskan dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati kamu. Maka menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, padahal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang neraka, tetapi Dia menyelamatkan kamu daripadanya.” (Ali-Imran: 103)

Nikmat yang dimaksudkan menerusi ayat tersebut ialah Islam – di mana yang menyebut Islam itu sebagai nikmat (yang membuat manusia bersaudara) bukan ahli tafsir atau ulama mana-mana pun, tetapi Allah s.w.t sendiri.

Tidak ada yang menyatukan perbezaan di antara selain Islam dan tidak ada yang menciptakan persaudaraan, juga selain Islam. Ingatlah, bahawa Islam bukan hanya milik umat tertentu sahaja.

Justeru, tiada alasan bagi sesama umat Islam untuk berpecah belah kerana al-Quran mengajar kita agar jangan terlalu cepat menghukum orang lain yang mungkin kebetulan berbeza dari segi fahaman. Kita seharusnya membetulkan fahaman yang salah atau meragukan itu dengan penuh hikmah dalam suasana persaudaraan. Itulah yang diajarkan atau disarankan oleh al-Quran.

Sikap tidak mahu bertolak ansur dengan mengatakan diri sendiri yang benar belaka sedangkan orang lain tidak betul merupakan antara sifat yang akan melonggarkan ukhuwah sesama ummah. Inilah yang disebut di dalam al-Quran sebagai tanda-tanda musyrik kerana ‘memutlakkan’ pendapatnya sendiri dan tidak menghiraukan pendapat orang lain.

Justeru kita mengakui al-Quran dan sunnah sebagai pandua hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaiakan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan. Suhubungan ini Allah s.w.t menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal: 1)

 

Amat malang sekali apabila seseorang yang telah dianugerah Islam serta menjadi pengikut Nabi s.a.w yang pengasih dan penyayang sentiasa berada di jalan perpecahan.

* Artikel ihsan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 − 13 =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib