Home » Resensi » Bukti ilmiah Israk dan Mikraj

Bukti ilmiah Israk dan Mikraj

Peristiwa terbesar dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW telah berlaku pada tarikh 27 Rejab, iaitu setahun setengah sebelum hijrah ke Madinah. Peristiwa tersebut dikenali sebagai Israk Mikraj di mana Nabi Muhammad SAW yang diiringi oleh malaikat Jibrail dan Israfil  melakukan perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan hanya mengambil masa selama sehari.

Kalau sebelumnya, untuk melakukan perjalanan tersebut dengan menggunakan kenderaan berkuda, ia mengambil masa selama 15 hari. Perjalanan tersebut jika dilihat dari perspektif pengetahuan pada masa itu adalah sesuatu yang boleh disifatkan dongeng, kerana belum ada catatan ada yang boleh meringkaskan masa perjalanan dan kuda merupakan kenderaan terpenting. Peristiwa tersebut menjadi sesuatu yang amat besar erti dalam kalendar Islam, kerana sebelum itu Nabi Muhammad SAW terlebih dahulu terpaksa menjalani proses penyucian, iaitu pembedahan di bahagian dada/perut yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mikhail.

Proses penyucian itu menggunakan air zam-zam dan dibuang seketul daging hitam (‘alagah). Daging hitam itu diyakini sebagai tempat bersarangnya syaitan yang sentiasa membisikkan kemungkaran dan hasutan agar menjadi was-was. Setelah dibasuh dengan air zam-zam dan dikeluarkan seketul dagin hitam itu, dimasukkan hikmat, ilmu dan keimanan ke dalam hati Rasullullah. Luka akibat pembedahan itu pun dijahit dengan “khatimin nubuwah”. Setelah selesai, seekor binatang yang dikenali sebagai Buraq tercengat di hadapan Rasullullah SAW. Binatang itulah yang menjadi kenderaan dalam perjalanan Nabi Muhammad SAW itu menenui Allah SWT.

Digambarkan bahawa Buraq mempunyai sayap dan badannya ialah seekor kuda. Ringkasnya, ia berupa seekor kuda yang boleh terbang, maka itulah laluan perjalanan menjadi amat singkat, hanya dalam tempoh sehari berbanding sebelumnya 15 hari.

Sepanjang perjalanan itu, Rasullullah SAW diarahkan oleh malaikat Jibrail berhenti untuk bersembahyang dua rakaat di beberapa tempat bersejarah. Antara tempat-tempat yang disinggahi oleh Rasullullah SAW ialah Thaibah (Madinah), tempat di mana baginda bakal melakukan proses Hijrah; Bukit Tursina, tempat di mana Nabi Musa a.s. menerima wahyau daripada Allah SWT; dan Baitul-Laham, tempat kelahiran Nabi Isa a.s. (kini menjadi kawasan yang menjadi rebutan tiga agama besar, Yahudi, Kristian dan Islam).

Baginda sentiasa diganggu oleh jin Afrit yang membawa api jamung dan di sepanjang perjalanan tersebut terjadi beberapa peristiwa ajaib. Antaranya ialah baginda dapat melihat bagaimana sekumpulan kaum yang bercucuk tanam dalam masa yang sama dapat menuaikan hasil buah-buahan. Meskipun buah-buah tersebut dipetik, buah baru keluar semula tanpa kehabisan.

Melihat kepada peristiwa tersebut, baginda menjadi hairan dan bertanya kepada Jibrail. Dalam jawapan tersebut, Jibrail memberitahu bahawa itulah balasan bagi mereka yang melaksanakan jihad fisabillah. Allah SWT menggandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali gandaan malah lebih daripada itu.

Di samping itu, baginda turut menemui beberapa tempat yang berbau harum dan diterangkan oleh malaikat Jibrail bahawa itulah bau kubur Mayitah, si tukang sikat rambut anak fir’aun bersama suami dan anak-anaknya yang telah dibunuh. Mayitah dan seluruh ahli keluarganya tetap tegap pendirian tidak mengakui fira’aun sebagai Tuhan. Akibatnya seluruh ahli keluarganya dibunuh.

Baginda turut menyaksikan sekumpulan manusia yang sedang menghantuk dan cuba memecahkan kepala mereka sendiri. Setiap kali dicuba, kepala yang pecah itu kembali bertaut kembali dan sembuh dari luka-luka.Mereka melakukannya berulang-ulang, tetapi tetap sembuh dan kembali ke kedudukan asal. Rasullullah SAW diberitahu oleh Jibaril bahawa itu adalah balasan kepada orang-orang yang berat kepala untuk sujud (bersembahyang).

Dalam peristiwa yang lain, Rasullullah SAW turut menyaksikan sekumpulan manusia yang hanya menutup kemaluan mereka dengan secebis kain sedang dihalau sebagaimana menghalau binatang peliharaan. Dalam masa yang sama, sekumpulan manusia tersebut memakan bara api dan batu-batu panas dari neraka Jahanam. Menurut keterangan Jibrail, mereka adalah golongan yang tidak mengeluarkan zakat harta benda sepanjang hayatnya.

Lain-lain kejadian yang disaksikan oleh Rasullullah SAW sepanjang perjalanan tersebut ialah: sekumpulan pasangan manusia (lelaki dan wanita) yang sedang memakan daging busuk sedangkan di sebelahnya ada terhidang daging masak (simbol kepada mereka yang suka berzina sedangkan masing-masing sudah mempunyai isteri/suami yang sah); lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan dengan batu (orang yang memakan riba); lelaki yang menghimpun seberkas kayu tetapi tidak berupaya memikulnya dan terus menambahkan bilangan kayu (orang tidak dapat menunaikan amanah tetapi terus menerima amanah yang baru); sekumpulan manusia yang menggunting lidah dan lidah berkali-kali, terus bercantum walaupun dilakukan berkali-kali (orang membuat fitnah dan menyebarkan fitnah);  sekumpulan mereka yang mencakar-cakarkan muka dan dada sendiri dengan kuku tembaga (orang yang suka mengumpat dan menjatuhkan maruah orang lain); seekor lembu jantan yang besar keluar dari satu lubang yang sempit tetapi tidak dapat memasuki lubang itu kembali (orang yang bercakap besar, walaupun menyesal tetapi terlambat); seorang perempuan membawa dulang penuh perhiasan tetapi tidak menarik perhatian Rasullullah SAW (orang yang tertarik dengan material, tapi baginda tidak tergoda); seorang wanita tua menyuruh Rasullullah SAW berhenti, tetapi tidak dihiraukan (orang yang mensia-siakan umurnya); dan, perempuan bongkok tiga menahan Rasullullah SAW bertanyakan sesuatu (gambaran umur dunia yang tua dan sedang menunggu saat kehancurannya –kiamat);

Sebaik sahaja tiba di Masjidil Aqsa dan turun dari Buraq, Rasullullah SAW mengerjakan sembahyang dua rakaat bersama para anbia dan mursalin. Baginda sendiri mengimamkan sembahyang tersebut. Setelah selesai bersembahyang, Rasulullah SAW terasa amat dahaga lalu malaikat Jibrail menghulurkan dua bekas, satu berisi susu dan satu lagi mengandungi arak.Baginda memilih bekas yang mengandungi susu dan diminumnya. Pilihan Rasullullah SAW menggambarkan sikap terpujinya kerana tidak memilih minuman haram sebagai simbol kepada kesesatan dalam memimpin ummat.

Baginda dihulurkan tangga dan kemudiannya diangkat naik ke langit sebaik sahaja menjejakkan kaki ke anak tangga pertama. Pintu langit terbuka dan baginda bersama Jibrail mula memasuki Langit Pertama. Semasa di langit pertama, mereka menemui Nabi Adam a.s. di samping dapat melihat orang-orang yang memakan riba, harta anak yatim dan penzina dalam keadaan yang buruk dan hodoh. Penzina lelaki bergayutan di dada (payu dara) penzina perempuan.

Di Langit Kedua, Rasullullah SAW dan Jibrail bertemu dengan Nabi Isa a.s. dan Nabi Yahya a.s.. Di Langit Ketiga, mereka bertemu dengan Nabi Yusuf a.s. manakala di  Langit Keempat bertemu Nabi Idris a.s..Di Langit Kelima bertemu dengan Nabi Harun a.s. yang dikerumuni oleh kaumnya sendiri, iaitu Bani Israel, di Langit Keenam bertemu dengan lain-lain nabi termasuk Nabi Musa a.s. dan 70,000 orang yang diterima memasuki syurga tanpa saringan dan di Langit Ketujuh, bertemu denganNabi Ibrahim a.s. yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur bersama-sama kaumnya.

Setelah bertemu Rasullullah SAW, Nabi Ibrahim a.s. berkata : Engkau akan berjumpa dengan Allah mala mini. Umatmu adalah umat yang terakhir dan terlalu daif, maka berdoalah untuk mereka. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH

Nabi Ibrahim a.s. turut bersabda: “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”.

Berdasarkan riwayat yang lain, setelah melihat beberapa peristiwa ajaib yang lain,  Rasulullah dan Jibrail berjalan masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Di  Tangga Kelapan, Rasullullah SAW menemui pokok Sidratul-Muntaha yang mana terdapat beberapa keajaiban termasuk mengalirnya air dalam sungai yang tidak berubah, sungai arak, sungai susu dan sungai madu lebah. Dahan dan batang pokok tersebut berubah warna menjadi permata yang memancar-mancar kilauan cahaya manakala unggas emas berterbangan. Keindahan tersebut tidak dapat digambarkan oleh manusia dan baginda juga dapat menyaksikan sungai al-Kautsar yang mengalir masuk ke syurga. Baginda seterusnya memasuki syurga dan melihat neraka lengkap dengan penunggunya, Malik.

Pada Tangga Kesimbalan, kebetulan berada di bahagian pucuk pokok Sidratul-Muntaha, baginda masuk ke dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Di sana, baginda dapat melihat seorang lelaki telah ghaib di dalam nur ‘Arasy. Lelaki tersebut merupakan orang selalu dibasahi dengan zikir, hatinya sentiasa tertumpu kepada masjid dan tidak pernah memaki hamun kedua ibu bapanya sepanjang kehidupan di dunia.

Di Tangga Kesepuluh, baginda tiba di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab. Di sana baginda dapat bertemu dengan Allah SWT. Setelah itu, baginda sujud dan berlakulah dialog antara Rasullulllah SAW dengan Allah SWT:

Allah SWT                    :  Ya Muhammad.

Rasulullah   SAW        :  Labbaika.

Allah SWT                    :   Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah  SAW         :  Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang yang berpenyakit kulit (sopak) dan menghidupkan orang yang telah mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah SWT        :        Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, Hijrah, sedekah dan amar makruf , nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim a.s.. Kemudian, Nabi Musa a.s. menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberikan pertimbangan untuk mengurangkan jumlah waktu sembahyang. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah SWT memperkenankan dengan memfardhukan sembahyang sebanyak lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu.

Apabila selesai, Rasulullah turun ke langit dunia semula menerusi Baitul Maqdis. Baginda seterusnya menaiki Buraq untuk pulang ke Mekah pada malam yang sama dan dalam perjalanan pulang itu baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi bukti berlakunya Israk Mikraj yang amat ajaib itu.

Peristiwa itu dikatakan berlaku 18 bulan sebelum terjadinya peristiwa Hijrah. Dari segi perbahasan mengenai bukti ilmiah peristiwa tersebut, Armansyah, seorang penulis muda dari Indonesia memberikan fakta yang menarik melalui bukunya, Israk Mikraj: Tinjauan Saintifik Di Sebalik Kontroversi. Edisi berbahasa Malaysia diterbitkan oleh PTS Islamika Sdn. Bhd. mengandungi 27 bab kesemuanya dalam tiga bahagian.

Bahagian Pertama: Tinjauan Ilmiah Israk Mikraj mempunyai 7 bab, Bahagian Kedua: Israk Mikraj Dalam al-Qur’an mengandungi 10 bab, dan Bahagian Ketiga: Hadis Israk Mikraj Dalam Kritik mengandungi 10 bab. Dalam bahagian pertama disoroti mengenai tradisi awal solat, memahami kaedah solat, huraian mengenai Israk Mikraj, kisah pembedahan , kehadiran Buraq, Kisah Batu Terbang dan Israk Mikraj dalam tinjauan nubuat

Dalam bahagian kedua dibincangkan mengenai permulaan surah al-Israk, kesucian Allah SWT, makna kehambaan Nabi Muhammad SAW, perjalanan malam, Masjidil Aqsa, Sidratulmuntaha, makna keberkatan, Nabi Muhammad SAW bertemu Allah SWT dan persoalan kehidupan di luar bumi.

Di bahagian ketiga pengarang membuat tinjauan sejarah perdebatan dan periwayatan mengenai Israk Mikraj berdasarkan pendapat Nashirudin al-Albani, hadis Abu Hurairah dari al-Musayyab dan Abi Salmah, hadis Anas bin Malik dari Abu Zar, Qataah, Tsabit al-Bani dan Sayrik bin Abi Namr, dan sumber-sumber lain bagi memperjelaskan kebenaran mukjizat yang hanya diperoleh Nabi Muhammad SAW itu.

Buku kecil ini memangnya merupakan sebuah bacaan menarik dan boleh dikatakan terlengkap mengenai huraian pembuktian secara saintifik mengenai kejadian tersebut. Saya berpendapat ia adalah bacaan yang berjaya menganalisis secara kritis hadis-hadis sahih yang menceritakan peristiwa tersebut. Hujah-hujah yang dikemukakan terasa segar dan menarik kerana ikut disusuli dengan nalar ilmiah bersumberkan pengetahuan sains dan bukti terbaru.

NAMA BUKU             : ISRAK MIKRAJ: TINJAUAN SAINTIFIK DI SEBALIK KONTROVERSI

NAMA PENGARANG   : ARMANSYAH

NAMA PENERBIT       : PTS ISLAMIKA SDN. BHD, SELANGOR

NAMA PENGULAS     : KAMARUN KH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

10 + two =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib