Home » Komentar » Teknologi canggih tingkat kadar perceraian

Teknologi canggih tingkat kadar perceraian

Kadar perceraian di Malaysia mengikut statistik Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) pada 2009 ialah satu kes pada setiap 15 minit. Pendedahan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim baru-baru ini menunjukkan bahawa kebanyakkan kes pasangan bercerai adalah mereka yang usia perkahwinannya adalah lima tahun ke bawah.

Beliau turut mendedahkan bahawa salah satu punca utama peningkatan kes perceraian ialah disebabkan suami atau isteri sibuk meladeni ’pasangan maya’ masing-masing di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Sebenarnya, fenomena ini bukanlah sesuatu yang baru. Lama sebelum adanya Facebook dan Twitter, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah mempengaruhi rutin kehidupan rakyat negara ini apabila mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 1996.

Ledakan ICT pada waktu itu menyebabkan ramai individu teruja dan ’lupa diri’. Golongan ini asyik masyuk dengan alam siber khususnya berborak di laman sembang atau chat room. Ada yang sanggup tidur di pejabat dengan alasan menyiapkan kerja walaupun hakikatnya ingin menggunakan kemudahan ICT untuk bersembang.

Medium baru ini menjadi tapak untuk masing-masing menjadi Mr. atau Mrs. Perfect. Menyorok di sebalik nama samaran (nickname). Sudah beranak pinak mengaku masih bujang. Si janda atau duda kembali dara dan teruna.

Bermula dari alam siber lalu bertemu di dunia nyata. Di sisi positif, ada yang bertemu jodoh dan kekal bahagia. Manakala di sisi lain, perbualan di alam siber ini menjadi punca keretakan rumah tangga. Menjadikan statistik perceraian terus meningkat.

Sama seperti laman sosial sedia ada, ruang sembang menjadi tempat meluah masalah dan memasang jerat mencari ’kekasih gelap’. Sesiapa yang pandai mengayat pasti dapat mangsa.

Dari situ, mula berlaku kes main kayu tiga sama ada salah seorang pasangan curang atau kedua-duanya berskandal di Internet. Lazimnya, dengan kekasih lama sewaktu di alam persekolahan atau ketika di menara gading. Tidak kurang yang menjalin hubungan dengan Romeo Siber yang sekadar untuk maksiat dan berseronok-seronok sahaja.

Selain itu, sikap pasangan yang suka meluahkan masalah melalui laman sosial dan bukan saluran yang betul seperti ahli keluarga atau pakar kaunseling turut menyumbang kepada peningkatan kadar perceraian.

Tujuan murni untuk mendapat nasihat ini kadang kala menjadi punca si pengadu jatuh hati kepada si pemberi nasihat. Seolah-olah insan yang baru dikenali itu amat memahami dan serasi. Hal ini mungkin disebabkan kedua-duanya mengalami masalah yang sama dengan pasangan masing-masing.

Pendedahan ini, jika terhidu oleh pasangan, mungkin menjadi punca pergaduhan dan seterusnya meleraikan sebuah ikatan perkahwinan. Maklum sahaja, ICT ialah dunia terbuka tanpa sempadan. Apa sahaja boleh terdedah dalam sekelip mata lebih-lebih lagi dalam laman sosial yang jaringannya begitu meluas dan berkembang dengan amat pantas.

Kini, Internet bukan sahaja boleh diakses menggunakan komputer riba tetapi boleh juga diakses menggunakan telefon bimbit. Teknologi mobile ini turut menjadi faktor kepada peningkatan kadar penceraian di negara kita apatah lagi selepas talak sah dijatuhkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Dari segi proses perceraian, talak SMS ini membolehkan suami menceraikan isteri secara jarak jauh dan tidak perlu bersemuka. Maka, tiada lagi adegan air mata yang dalam banyak keadaan berjaya mengekalkan sesebuah perkahwinan. Melalui SMS, elemen emosi tidak memberi kesan simpati di hati suami. Akibatnya, cerai menjadi semakin mudah dan bilangan kesnya terus bertambah.

Manakala dari aspek punca perceraian pula, panggilan atau SMS menggunakan telefon bimbit juga menjadi salah satu penyebab utama. Perceraian berlaku apabila salah seorang mendapat tahu pasangannya berhubung dengan perempuan atau lelaki lain.

Sebagai tip untuk mengesan pasangan curang melalui telefon bimbit, sila perhatikan tingkah lakunya apabila menjawab panggilan atau membalas SMS. Sekiranya pasangan mula menjawab secara bersembunyi atau menghindar daripada menjawab di hadapan kita maka ada sesuatu yang tidak kena.

Cuba selidik dan pastikan pasangan tidak membuat onar tetapi kalau suami meminta izin untuk berpoligami maka izinkanlah. Ia dibenar agama dan Sunnah Nabi. Jika dihalang, mungkin menyebabkan zina dan berlaku nikah secara ’tanpa izin’ di Selatan Thailand.

Oleh AZMY MOHAMED

commentscomments

  1. Nenek says:

    Tapi teknologi juga banyak membantu pasangan2, terutamanya dalam mencari informasi secara online untuk memperbaiki hubungan suami isteri. Tak semestinya (dalam kes saya) akan membawa kepada penceraian. Saya mengenali suami saya yang datang dari Itali melalui game online, dan kami sudah pun mempunyai seorang anak. Ramai di kalangan kawan2 saya yang berkahwin dengan cara ini dan masih hidup bahagia. Ada juga pasangan yang mengisi masa bermain game online bersama-sama ketika masing2 tidak berminat atas perkara lain.

    Teknologi seharusnya digunakan atas landasan yang betul. Jika pengguna tersebut tidak mahu memanfaatkan teknologi, maka terjadilah perkara2 seperti cerai, curang, dan sebagainya. Semuanya bergantung kepada diri sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × 1 =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib