Home » Kajian » Satu Malaysia Satu Ummah (Bhg. 1)

Satu Malaysia Satu Ummah (Bhg. 1)

Oleh DR NOR RAUDAH HJ SIREN

Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan

Akademi Pengajian Islam

Universiti Malaya


1. PENGENALAN

Malaysia merupakan Negara yang istimewa. Kepelbagaian masyarakat yang terdiri dari berbilang etnik, budaya dan agama menjadikan Negara ini begitu unik dan mencabar kepimpinan dan pentadbirannya. Usaha-usaha ke arah menghapuskan halangan komunikasi antara masyarakat yang pelbagai ini sering menjadi agenda utama bagi mewujudkan pembinaan masyarakat Malaysia yang bersatu padu.

Masyarakat Malaysia dilihat mempunyai pengalaman sejarah yang harmonis antara semua bangsa dan agama. Mereka bebas menjalankan aktiviti kehidupan dan aktiviti keagamaan malah boleh berinteraksi antara satu sama lain secara harmoni dan sejahtera. Suasana ini wujud kerana sikap masyarakat yang terbuka dan bersedia berkongsi prasarana Negara dan bertoleransi dalam mencapai kesepakatan dalam pembangunan yang dirancang.

Walau bagaimanapun, kadang–kala timbul beberapa isu dan konflik yang menggugat perhubungan yang sedia terjalin itu, sebagaimana lidah yang sering tergigit, inikan pula manusia yang mempunyai kepelbagaian pendapat, tingkah laku dan sikap. Malah perbezaan nilai-nilai bangsa dan agama sering menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum ini bagi mendapatkan hak dan kepentingan bangsa serta agama masing-masing.

Isu polemik ini penting untuk diperkatakan kerana komposisi rakyat Malaysia yang mempunyai keanekaragaman yang mungkin boleh malahirkan perasaan curiga, prasangka, dengki dan pelbagai sifat negatif yang boleh mencetuskan suasana huru-hara, kacau bilau dan pertumpahan darah. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan sejarah hitam yang mencetuskan sejarah perkauman di Malaysia kerana sifat-sifat yang disebutkan. Malah beberapa isu perkauman terus berlaku apabila wujudnya isu perpecahan kaum di Kampung Medan, isu membakar gereja, isu membuang kepala khinzir dalam masjid, isu menconteng surau dan sebagainya yang jika terus dibiarkan akan menggugat kestabilan Negara.

 

2. REALITI MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA

Sejarah Malaysia memiliki latar belakang penerimaan pelbagai kaum dan agama lain dalam melaksanakan pembangunan ekonomi di bawah pemerintahan British (divide and rule). Kesediaan orang Melayu menerima kaum-kaum lain dan agama mereka telah membuka jalan bagi pergaulan etnik yang bersepadu iaitu orang Melayu, Cina, India dan kaum bumiputera lain seperti Iban, Kadazan dan sebagainya. Bahkan Negara Malaysia telah menerima liga agama utama dunia iaitu Islam, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian di samping pelbagai kepercayaan animisme.

Penerimaan masyarakat Melayu terhadap kehadiran kaum dan agama lain mempunyai kaitan yang akrab dengan agama Islam. Kehadiran agama Islam yang dibawa oleh para mubaligh Islam dan penerimaan raja-raja Melayu sebagai ketua Negara telah mensinonimkan bangsa Melayu  dengan agama Islam. Lantaran itu, agama Islam yang kita kenal hari ini telah berjaya mengintegrasikan dan menyatupadukan masyarakat hingga ke hari ini.

Dimensi agama merupakan satu pendekatan perpaduan untuk menyatupadukan masyarakat sesama kaum dan antara kaum. Di Malaysia, amalan perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum telah lama difikirkan oleh para pemimpin dari sudut penekanan agama. Malah syarat mendapatkan kemerdekaan dari tangan British ialah perpaduan yang dimasukkan dalam agenda Perlembagaan Persekutuan yang dibentuk. Dalam artikel 3(1) ada menyebutkan bahawa, “Ugama Islam ialah ugama Persekutuan tetapi ugama-ugama lain boleh dipraktikkan dengan aman damai di mana-mana bahagian kawasan persekutuan.”.

Pada masa yang sama, artikel II menyatakan bahawa setiap orang berhak menganut dan mengamalkan agamanya dan setiap kumpulan agama berhak untuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri, menubuhkan dan menyelenggarakan hal ehwal agama atau khairat dan boleh memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirnya mengikut undang-undang.

Perlembagaan persekutuan juga telah diperkukuhkan melalui penghayatan dan pengamalan prinsip-prinsip Rukun Negara untuk setiap lapisan masyarakat, iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan. Prinsip yang dibentuk ini merupakan ikrar setiap rakyat Malaysia bagi mewujudkan rasa cinta dan taat setia kepada Negara di bawah satu payung pemerintahan tanpa mengira bangsa dan agama.

Perlembagaan berfungsi mengisi konsep kenegaraan dan telah memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Kedudukan bahasa Melayu pula diangkat menjadi bahasa rasmi Negara dengan keistimewaan institusi Raja-raja Melayu berperlembagaan. Penerimaan kepada perlembagaan ini juga merupakan kesediaan setiap individu untuk bersatu, bekerjasama dan berkongsi dengan menghormati budaya dan kepercayaan masing-masing.

Agama Islam yang diangkat sebagai agama rasmi Negara telah membolehkan penganut agama-agama lain mengamalkan agama mereka dengan aman. Kewujudan pelbagai bangsa dan agama merupakan sesuatu yang sudah ditetapkan dan sebagai sebahagian dari nikmat Allah SWT. Allah berfirman dalam Surah al-Hujurat 49 ayat 13 yang bermaksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu, dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku-puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya) sesungguhnya Allah amat mengetahui dan amat mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Ayat di atas menjelaskan bahawa manusia ini sama sahaja di sisi Allah tanpa melihat kepada bangsa, warna kulit dan kedudukannya. Islam juga melihat masyarakat bukan Islam sebagai anggota masyarakat yang diberi hak untuk hidup bersama dengan rukun dan damai. Tiada halangan untuk mereka saling bergaul dan berinteraksi antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, Allah SWT hanya membezakan kedudukan manusia di sisi-Nya adalah dari segi keimanan dan ketakwaannya kepada Allah SWT.

 

3. KEPERLUAN DALAM MASYARAKAT MAJMUK

Pergaulan dan perhubungan dalam pelbagai keyakinan, kepercayaan, cara hidup dan pegangan ini merupakan satu kehidupan yang kompleks dan memerlukan satu panduan asas untuk memelihara hubungan tersebut demi menjaga keamanan dan kestabilan Negara. Nilai-nilai agama yang dianuti oleh setiap bangsa perlu dipupuk dan diamalkan oleh masyarakat bagi mewujudkan kesederhanaan, toleransi, kesefahaman, hormat-menghormati, kesabaran, keamanan dan perpaduan. Nilai-nilai itu tercetus dari akar tradisi setiap bangsa dan semua kaum yang mampu mewujudkan kekuatan perpaduan masyarakat Malaysia.

Setiap sentimen agama perlu dikawal agar tidak merosakkan hubungan yang sekian lama dijalin. Isu-isu agama yang pernah wujud boleh mempengaruhi kestabilan dan perpaduan Negara dan mengancam keamanan Negara jika tidak dibendung secara matang dengan fikiran yang waras. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan pengajaran paling pahit kepada kita untuk memikirkan tentang perlunya perpaduan kaum ini diwujudkan dalam Negara yang mempunyai masyarakat majmuk ini.

3.1 Perpaduan

Perpaduan merupakan isu yang boleh dilihat dari pelbagai dimensi. Peranannya merangkumi sistem nilai, psikologi, perasaan, sikap, pemikiran dan tingkah-laku setiap individu. Faktor agama pula bertindak sebagai pencorak dalam mengaplikasikan unsur-unsur tersebut dalam kehidupan masyarakat.

Terdapat lima tamadun besar yang berkembang di Malaysia iaitu Tamadun Melayu, Tamadun India, Tamadun Cina, Tamadun Barat dan Tamadun Islam.  Kesemua tamadun ini bergerak dan membina pengaruhnya dalam kehidupan bangsa yang mendokonginya. Ia bukan sahaja membentuk struktur pemikiran dan kebudayaan pelbagai kaum tersebut bahkan telah membentuk perspektif moral dan kepercayaan mereka.

Walaupun mempunyai kepelbagaian dari segi ideologi, kepercayaan, kebudayaan dan tradisi sesuatu bangsa, kita melihat adanya persamaan dari aspek nilai dan norma  yang boleh dikongsi bersama bagi memupuk perpaduan. Garis persamaan yang terdapat antara seorang manusia dengan manusia yang lain walau berbeza agama ini jika ditekankan akan mampu mencapai dan mempertingkatkan nilai perpaduan dalam masyarakat. Antara nilai-nilai yang ada adalah sikap toleransi, sikap bersederhana, berkasih-sayang dalam hubungan kemanusiaan, dan kemesraan.

Hubungan kasih-sayang dan bersederhana dalam kehidupan contohnya merupakan aspek nilai yang wujud dalam setiap kebudayaan bangsa. Setiap agama telah mengajarkan etika hubungan sesama manusia yang menekankan kesederhanaan dan nilai kasih sayang untuk semua manusia. Malah sifat ini akan melahirkan sifat tolong-menolong, suka melakukan amal kebajikan dan berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk memenuhi tuntutan masyarakat.

Islam juga melihat perhubungan sesama manusia sebagai sebahagian daripada ibadat. Dasar perhubungan antara manusia ditekankan dalam mewujudkan persaudaraan, bekerjasama dan sikap saling bantu-membantu. Permusuhan, konflik dan persaingan yang tidak adil perlu dibendung untuk mengelakkan pertelagahan bagi mengukuhkan perdamaian dalam hubungan antara manusia (hablum min al-nas). Ini kerana semua manusia itu adalah makhluk yang berpunca dari penciptaan yang sama iaitu Adam. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud, “Wahai manusia! Allah telah menghapuskan rasa besar diri yang dipertahankan oleh sesetengah orang di zaman Jahiliyah dan telah membasmikan sebarang penonjolan ketinggian martabat yang disandarkan kepada keturunan. Sesungguhnya hanya dua jenis manusia sahaja: orang yang baik disanjung oleh Allah dan orang yang jahat yang dihina di sisi Allah. Semua manusia adalah anak Adam dan Allah telah menjadikan Adam daripada tanah liat.”

Konsep kenal-mengenal antara manusia yang pelbagai bangsa dan kaum merupakan dasar pemupukan perpaduan kerana di dalamnya terkandung nilai kebebasan beragama, hak untuk menikmati keselamatan, keadilan, dan perundingan. Persamaan nilai ini merupakan prinsip yang universal dan semua kaum menerimanya serta mampu dijadikan asas untuk memupuk perpaduan.

3.2 Toleransi

Toleransi merupakan amalan dan persiapan masyarakat Malaysia untuk bersedia hidup bersama dalam keadaan aman damai. Toleransi dalam konteks bangsa dan agama bererti setiap ahli masyarakat berhak untuk menjalankan aktiviti kehidupan seharian, dan melaksanakan ajaran agama masing-masing serta mengamalkannya tanpa halangan. Semua penganut agama di sisi undang-undang Negara adalah sama.

Rasulullah SAW ketika berpindah ke Madinah berhadapan dengan pelbagai bangsa dan agama.  Umat Islam ketika itu merupakan golongan minoriti sementara golongan bukan Islam yang terdiri dari orang Yahudi, Arab Kristian dan Arab Musyrik adalah golongan majority. Nabi Muhammad SAW yang dilantik sebagai pemimpin tidak memaksa orang bukan Islam supaya memeluk Islam. Tetapi mereka diajak untuk hidup bersama secara aman dan damai, tanpa sebarang kezaliman dan penindasan. Situasi ini menunjukkan tentang sikap toleransi yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Malah apabila baginda berjaya menawan kembali Mekah, penduduk-penduduk Mekah juga tidak dipaksa memeluk agama Islam malah boleh meneruskan kehidupan seharian mereka tanpa sebarang halangan.

Islam tidak melarang masyarakat Islam untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang lain selagi mereka tidak memerangi umat Islam kerana agama. Al-Quran menjelaskan bahawa peperangan dan penentangan yang dibenarkan dalam Islam adalah untuk tujuan mempertahankan diri, kehormatan, harta, keturunan dan agama sahaja. Perkara ini ditekankan dalam Surah al-Haj 22 ayat 39 yang bermaksud, “Diizinkan berperang bagi orang Islam yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya, dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan), iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar semata-mata kerana berkata, “Tuhan kami ialah Allah” Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kristian) dan tempat sembahyang (Yahudi) dan Masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah di dalamnya dan sesungguhnya Allah akan menolong siapa yang menolong agamanya (Islam) sesungguhnya Allah Maha Kuat dan Maha Kuasa.”

Sifat tasammuh yang ada dalam Islam tidak semata-mata merujuk kepada toleransi yang dinyatakan. Ia memberi maksud memberi dan menerima. Dengan erti kata lain, Islam tidak menghalang manusia untuk menerima pendapat dan pendirian orang lain serta tidak menyekat kebebasan manusia untuk berfikir dan berkepercayaan. Islam amat mementingkan sikap toleransi sebagai menunjukkan sikap keterbukaan dalam mendengar pandangan yang berbeza serta bebas juga mengemukakan pandangan selagi tidak menjejaskan pegangan agama masing-masing dalam ruang lingkup yang dipersetujui bersama.

Sifat toleransi ini merupakan syarat bagi setiap ahli masyarakat majmuk yang menginginkan kehidupan yang aman dan tenteram. Apabila wujud interaksi dan persefahaman yang baik dalam kalangan masyarakat beragama dan berlainan budaya ini, ia akan membentuk masyarakat yang harmonis. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ankabut 29 ayat 46 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang baik.”

Orang Islam di Malaysia sudah menunjukkan sikap toleransi sejak pembentukan Perlembagaan 1957. Sifat tolak ansur dan persefahaman antara kaum telah membentuk sebuah Negara yang bersatu padu dengan syarat kerakyatan yang longgar kepada warga bukan Melayu dan keistimewaan orang Melayu mengikut perlembagaan sejajar dengan hakikat orang Melayu sebagai tuan Negara ini. Tolak ansur dan kelonggaran kerakyatan merupakan keuntungan yang besar kepada pihak bukan Melayu kerana selepas setahun Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, seramai 800,000 orang bukan Melayu telah diterima sebagai warganegara.

Sikap toleransi di kalangan orang Melayu terus diamalkan apabila orang bukan Melayu juga diberi ruang dan peluang untuk bergerak aktif dalam politik dan ekonomi Negara. Hal ini mewujudkan keseimbangan antara kaum dan mewujudkan kesamarataan sosial serta melahirkan sifat perlumbaan secara adil serta mengurangkan diskriminasi dan konflik antara kaum yang ada. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat perlu berpegang teguh kepada asas persetujuan ini dan sentiasa menanamkan nilai faham-memahami dan hormat-menghormati.

3.3 Persefahaman dan sifat hormat-menghormati

Masyarakat majmuk di Malaysia mempunyai pelbagai adat dan budaya yang tersendiri. Kepelbagaian adat dan budaya ini menjadikan Malaysia menjadi Negara yang istimewa sama ada dari aspek berpakaian, makanan, pantang –larang dan cara hidup serta amalan keagamaan. Oleh itu, bagi memastikan kepelbagaian ini dapat dilangsungkan dengan murni dan bebas, setiap kaum dan bangsa perlu kepada saling memahami keperluan masing-masing.

Persefahaman dalam masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama ini adalah penting untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan kaum. Sensitiviti setiap agama dan bangsa perlu didedahkan agar masing-masing faham-memahami tuntutan agama masing-masing dan pantang larang adat kaum masing-masing. Pendedahan ini boleh dilakukan melalui sistem pendidikan, media dan berdialog mengikut batas-batas yang tertentu.

Allah berfirman dalam Surah al-Muntahanah, 60 ayat 8 yang bermaksud, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu: kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”

Ayat di atas memperlihatkan bagaimana Islam amat mementingkan hubungan antara manusia walaupun dengan orang yang bukan Islam sebagai cara mewujudkan keamanan Negara. Malah sikap adil dalam kehidupan ini merupakan aspek nilai sejagat yang perlu dikongsi bersama tanpa mengira agama dan bangsa.

Semua masyarakat di Malaysia ini perlu memberi ruang untuk berinteraksi dan berkomunikasi bagi berbincang mengenai nilai-nilai agama masing-masing. Mereka perlu berusaha untuk memahami realiti kehidupan beragama dalam masyarakat sama ada di kalangan masyarakat Islam mahupun masyarakat bukan Islam. Umat Islam sendiri tidak seharusnya memencilkan diri untuk berbincang tentang Islam hanya dalam kalangan umat Islam sahaja. Pendedahan terhadap nilai-nilai Islam perlu dijelaskan bagi membantu orang bukan Islam memahami nilai-nilai Islam yang universal itu dan menghormatinya sebagai agama rasmi Negara.

Secara kesimpulannya rakyat Malaysia  yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat iaitu membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni bagi memudahkan pelaksanaan pembangunan negara. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

 

4. DASAR SATU MALAYSIA

Konsep satu  Malaysia  dijelaskan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib  Tun Abdul Razak sebagai, “Kita berdiri, kita  berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita; Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

Dasar ini dibentuk bagi tujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang meneruskan nilai-nilai perpaduan dan sifat hormat-menghormati antara kaum dan agama serta melaksanakan kehidupan sebagai rakyat Malaysia bukan berdasarkan kaum atau agama tertentu. Mereka perlu berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing agar bertindak tanpa memikirkan kepentingan etnik dan kaum masing-masing.

Dasar ini juga menegaskan agar setiap tindakan yang hendak dilaksanakan perlu berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara ini terutama peranan pemimpin yang perlu menangani semua permasalahan dan tuntutan keperluan serta hak semua kaum dan etnik di Malaysia.

Dasar ini dibentuk sebagai pelan tindakan para pemimpin dalam melaksanakan tugas kepimpinannya. Ia membawa matlamat untuk mengekalkan perpaduan dalam kepelbagaian masyarakat yang menjadi tunggak kekuatan Malaysia dan mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat melalui slogan, “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.”

Sebagai merealisasikan hasrat dan matlamat ini, Satu Malaysia digerakkan berdasarkan tiga prinsip teras iaitu prinsip penerimaan, prinsip kenegaraan dan prinsip keadilan sosial. Ketiga-tiga prinsip teras ini penting untuk tujuan memperkukuhkan perpaduan nasional. Penekanan terhadap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum dan penerimaan keunikan pelbagai kaum akan mewujudkan sifat hormat-menghormati antara satu sama lain sebagai rakyat Malaysia. Prinsip kenegaraan pula menerapkan semangat perpaduan, semangat nasionalisme dan semangat cinta akan negara sebagaimana yang termaktub dalam Rukun Negara sejak sekian lama. Manakala prinsip keadilan pula membela nasib semua kaum serta mengambil kira taraf kemajuan kaum yang berada pada tahap yang berbeza agar pembelaan yang sewajarnya diberikan kepada golongan yang memerlukan.

Ketiga-tiga prinsip tersebut mendasari konsep Satu Malaysia dan memerlukan pemimpin yang sentiasa mengamalkan lapan prinsip kepimpinan iaitu mewujudkan budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

 

5. KEDUDUKAN AGAMA ISLAM DALAM PEMBENTUKAN UMMAH

Realiti kejadian manusia yang bersuku-suku dan berbangsa-bangsa bukanlah suatu bentuk diskriminasi tetapi merupakan limpahan rahmat serta memperlihatkan kebesaran Allah SWT. Islam melihat kewujudan masyarakat majmuk sebagai suatu bukti bahawa masyarakat saling memerlukan antara satu sama lain. Semua anggota dalam masyarakat berhak untuk mendapatkan keadilan dan bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas masing-masing. Malah Islam mampu menyatukan pelbagai etnik, social dan budaya secara adil dan saksama hingga tiada golongan yang tertindas atau terpinggir.

5.1 Islam merupakan agama rahmatan lil-alamin

Islam merupakan agama yang membawa kepada kesejahteraan, keselamatan dan kerahmatan. Ia juga bermaksud berserah, tunduk dan patuh kepada Allah SWT, Tuhan semesta alam. Allah berfirman dalam Surah al-Anbiya 21 ayat 107 yang bermaksud, “Dan tidaklah Kami mengutuskanmu (wahai Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat kepada seluruh alam.”

Oleh kerana agama Islam merupakan agama yang memberi rahmat kepada seluruh alam, maka Islam adalah agama yang sempurna dan lengkap. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Islam itu agama yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya.” (Sunan al-Baihaqi al Kubra: 12399). Ketinggian agama Islam ini jelas kerana ia didatangkan oleh Allah SWT yang memiliki segala kesempurnaan, ketinggian, kekuatan dan kemuliaan. Ia mempunyai cara hidup yang sesuai untuk diamalkan oleh semua umat manusia tanpa mengira bangsa dan budaya. Peraturan yang disusun juga memperlihatkan peraturan yang umum dan sesuai dengan keperluan semasa. Garis panduan yang diberikan oleh Islam kepada penganutnya mempunyai mesej kesejahteraan yang jelas sama ada secara khusus atau umum, secara langsung atau tidak secara langsung.

Status yang tinggi dipegang oleh agama Islam ini menjadikan ia agama yang termulia dan tiada tandingannya dengan agama-agama samawi yang lain. Tujuan Islam diturunkan ialah untuk membawa kebahagiaan kepada seluruh umat manusia. Melaluinya, manusia boleh memperolehi kesenangan, kemudahan hidup, kesihatan, ketenangan jiwa dan kesenangan hati. Peraturan syarak yang ditetapkan merupakan garis panduan kepada umat manusia untuk kebaikan dan kepentingan manusia di dunia dan akhirat. Ia diturunkan bagi memastikan kelangsungan keadilan, kerahmatan dan manusia hidup dalam keadaan sentosa.

Bagi memastikan, manusia hidup dalam keadaan sentosa dan dalam kerahmatan, Islam menyeru agar manusia sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan mendapatkan kebaikan di dunia ini sebanyak-banyaknya mengikut garis panduan yang ditetapkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Usaha kerja untuk mencari yang halal itu diwajibkan atas setiap orang Islam.” Islam juga memberi ruang dan peluang yang sangat luas kepada manusia untuk mempertingkatkan mutu kehidupan dengan persaingan yang sesuai dengan tabiat manusia. Ibn Khaldun (1332-1395) menjelaskan sifat manusia yang hidup bermasyarakat. Mereka hidup saling memerlukan untuk melangsungkan kehidupan, memperbaiki keselesaan hidup serta memajukan diri untuk mencapai sesuatu hasrat dan matlamat.

5.2 Rasulullah SAW sebagai Pembangun Ummah

Mengimbas kembali sejarah pembukaan Kota Yathrib sebagai Madinah al-Munawarah (Bandar bercahaya), kita menyaksikan bagaimana Rasulullah SAW  berupaya mengetengahkan penempatan yang dipenuhi dengan cahaya tamadun ummah yang gilang-gemilang. Baginda memperlihatkan contoh kepimpinan yang baik sehingga mampu menarik orang bukan Islam untuk menerima Islam dan mengaplikasikan sistem Islam dalam kehidupan mereka bersama-sama orang Islam.

Rasulullah SAW telah menumpukan dakwahnya kepada pembinaan keperibadian umat dengan asas akidah bagi membentuk manusia yang cemerlang. Baginda menegaskan bahawa asas pembinaan sesebuah Negara yang maju dan bertamadun ialah dengan agama yang mampu menjadi budaya hidup masyarakat sejagat dan melalui contoh kepimpinan yang baik.

Rasulullah SAW memperkenalkan Islam sebagai agama yang membawa amanah        ke atas manusia dalam pengurusan pembangunan bumi mengikut prinsip dan peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah 2 ayat 143 yang bermaksud, “Dan demikianlah (sebagaimana kami telah memimpin kamu ke jalan lurus). Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”

Oleh itu, bagi menunaikan amanahnya, Rasulullah SAW telah membangun nilai kemanusiaan dalam diri manusia untuk menyempurnakan akhlak mereka berbanding makhluk lain. Akhlak manusia yang sempurna meliputi keseluruhan cara hidup iaitu corak pemikiran, perbuatan, sosial, ekonomi, politik, muamalat dan ekologinya. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak manusia.” (Riwayat Ahmad, Hakim, Baihaqi dan Abu Hurairah).

Rasulullah SAW telah menyempurnakan akhlak manusia apabila tauhid dan takwa berupaya membentuk keperibadian manusia. Akidah yang kukuh terhadap keesaan Allah SWT mampu mengubah corak hidup manusia dari kejahilan kepada cahaya yang mampu membimbing manusia mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Fatihah ayat 6-7 yang bermaksud, “Pimpinlah kami ke jalan yang benar, iaitu jalan orang yang menerima kenikmatan, bukan jalan orang yang Engkau murkai dan bukan jalan orang yang sesat.”

(…bersambung)

commentscomments

  1. nana says:

    tp apakah sumbangan tamadun barat kpd umat manusia????boleh jelaskan…..

  2. nana says:

    tp apakah sumbangan tamadun barat kpd umat manusia???tlg jelaskan….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × four =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib