Hidup sederhana, teladan daripada Rasulullah s.a.w

February 18, 2011 3:26 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Tags:

Setiap kali tiba tarikh 12 Rabiulawal, setiap kali itulah umat Islam menyambut kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dengan berhimpun beramai-ramai sambil berselawat. Tradisi itu terus menerus dilaksanakan oleh umat Islam di Malaysia dan secara tradisinya juga diadakan perarakan menandakan tanda kesyukuran kerana melalui perantaraan Rasulullah s.a.w, maka Allah s.w.t telah sempurnakan agama yang membawa kerahmatan dan budaya salam ke atas seluruh umat manusia sejak hampir empat belas setengah abad yang lalu.

Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w sebagai anak yatim pada tahun gajah itu, tahun di mana tentera Abrahah menyerang Mekah menggunakan gajah telah dikalahkan oleh burung-burung yang membawa ketulan batu melambangkan kegagahan, kesombongan dan kemegahan manusia tidak akan ke mana, ia akan dapat dikalahkan oleh sesuatu yang lebih kecil dengan kehendak Allah s.w.t.

Peristiwa itu juga mengingatkan kita bahawa, dari segi saiz badan manusia adalah jutaan kali lebih besar dari seekor nyamuk, dalam keadaan tertentu dengan gigitannya nyamuk boleh membunuh manusia. Kita kenal pada suatu ketika dahulu, nyamuk menyebabkan yang digigit diserang demam kesejukan, dan wabak penyakit tersebut dikenali sebagai malaria. Sebelum ditemui penawarnya, ribuan manusia mati setiap tahun disebabkan oleh nyamuk. Kini, malaria bukan lagi penyakit yang menakutkan.

Akibat gigitan nyamuk, sekurang-kurangnya dua lagi penyakit yang boleh merebak sehingga membawa maut, iaitu denggi dan chikunya. Setiap tahun, lebih seratus orang meninggal disebabkan oleh denggi berdarah, manakala ratusan lagi dapat disembuhkan apabila mendapat rawatan awal walaupun penawar sebenarnya masih belum ditemui. Chikunya, tidak mengakibatkan kematian secara langsung, tapi menjadi katalis kematian bagi mereka yang menghadapi lain-lain komplikasi penyakit.

Apakah yang perlu kita pelajari melalui perkara ini ialah bagaimana Islam itu hanya ditegakkan oleh seorang yang bernama Muhammad s.a.w, sejak diberitakan akan lahirnya seorang nabi yang terakhir melalui beberapa kitab suci agama Kristian, Yahudi dan skripsi Hindu seluruh pendeta agama-agama tersebut merasa cemas. Cemas kerana keaslian ajaran agama mereka itu telah diselewengkan demi kepentingan pihak tertentu.

Kitab agama Kristian telah ditulis semula oleh paderi yang mempunyai kepentingan diri di mana agama yang disebarkan oleh Nabi Isa a.s. tidak pernah menamakannya sebagai Kristian. Dipercayai bahawa orang yang bertanggungjawab menamakan pengikut nama Isa dengan panggilan Kristian ialah Paul atau disebut juga sebagai Saul.

Paul juga merupakan seorang paderi yang banyak meminda prinsip ajaran yang dilakukan oleh Nabi Isa a.s. termasuk memperkenalkan “konsep dosa warisan”, penyaliban dan doktrin triniti (Tuhan Bapak, Tuhan Anak dan Rahul Kudus).

Menurut Yussanir Yusof, Akidah Kita Nyawa Kita (2010), perkataan Christ adalah penyesuaian dari bahasa Greek, Christos. Perkataan Christ membawa maksud the anointed one, “yang diilih”. Daripada Christ ini, wujudlah perkataan Christian yang bermaksud “segolongan manusia yang mengikut ajaran Jesus. Semasa hayatnya, Nabi Isa a.s tidak pernah memanggil pengikutnya sebagai Christian, sebaliknya memanggil mereka sebagai Nazarenes, sebagaimana dijelaskan dalam Bible Act 24:5 (hal. 165-166).

Bagi Rashidy Jamil Muhammad ar Rashid, Benarkah Nabi Isa Disalib? (cetakan ke 15, 2010) konsep “dosa warisan” adalah antara rukun iman yang utama dalam agama Kristian. Kristian percaya bahawa Nabi Adam a.s yang menyebabkan terjadinya dosa warisan kerana telah melanggar perintah Allah dengan “memakan buah dari pohon larangan setelah terpedaya dengan godaan iblis. Ini telah dinyatakan di dalam Perjanjian Lama (Kejadian 3:6)…Oleh kerana seluruh manusia itu berketurunan Adam a.s, maka manusia turut sama menanggung dan mewarisi dosa Adam.” (hal. 1).

Bagi menghapuskan atau menebus dosa yang diwarisi dari perbuatan Nabi Adam a.s. itu dan menurut pendeta Kristian , seseorang perlu mengorbankan dirinya bagi ‘menyelamatkan” manusia dari dosa tersebut. Orang yang layak untuk “menebus dosa” itu adalah “orang yang suci”, maka disebabkan Nabi Isa a.s. dianggap sebagai Anak Tuhan, mempunyai peribadi yang suci, maka hanyalah baginda sahaja yang boleh menyelamatkan semua manusia (Muhamad al-Husaini Ismail, Kebenaran Mutlak: Tuhan, Agama dan Manusia, 2006)

Menurut al-Husaini, dalam kitab suci Kristian, “Tuhan hanya mempunyai kemampuan terbatas. Dengan kata lain Tuhan mempunyai kemampuan yang sama dengan kemampuan manusia yang paling lemah. Tuhan layak untuk mati dengan cara yang hina untuk tujuan yang hina pula, iaitu mati di tangan manusia.

Kemudian Tuhan membiarkan iblis untuk menipu manusia agar manusia berpegang kepada Tuhan. Tuhan juga ditelanjangi hingga ketika tidak ada sehelai benang pun ditubuhnya, Tuhan kemudian dikeronyok oleh manusia. Tuhan dipukul di kepalanya dan disiksa serta disalib sampai mati di bawah slogan Tuhan berbuat begini kerana mencintai manusia –Matius 26:67-68, 15:15 dan 27:27-31.” ( al-Husaini, hal. 44).

Bagi sesetengah pengikut Kristian mereka percaya bahawa Jesus adalah anak pertama Tuhan yang telah dipersiapkan “untuk melakukan penebusan dosa dan penyalipan”, “memimpin pasukan dalam memerangi syaitan”, “Jesus adalah Tuhan yang telah melakukan perubahan bentuk dan turun ke bumi dalam bentuk manusia”, “peperangan antara kebaikan dan keburukan – amargeddon—tentera Allah yang tidak dapat dilihat memperoleh kemenangan atas tentera syaitan, ..hari kemenangan itu seperti hari kiamat dan merupakan hari permulaan munculnya perdamaian di muka bumi ini.” (al-Husaini, hal.50-53).

Kerosakan akidah itu telah menjalar masuk ke dalam setiap keyakinan penganut agama Kristian atas inisiatif yang dikembangkan oleh Paul atau Saul. Paul merupakan seorang Yahudi yang tidak pernah mempunyai hubungan dengan Nabi Isa a.s. walaupun mendakwa sebagai “murid” dan “orang yang paling dekat dengan Jesus.” Dengan niat untuk “membasuh otak” penganut Kristian yang memahami ajaran sebenar yang disebarkan oleh Barnabas, Paul menjadikan dirinya sebagai seorang yang berilmu dan akhirnya diterima oleh Barnabas.

Setelah mempunyai hubungan tersebut, Paul akhirnya menggunakan kesempatan untuk melakukan banyak perubahan terhadap ajaran asal agama Kristian. Beliau telah meminda beberapa ajaran yang terkandung dalam Kitab Perjanjian Lama dan memasukkan apa yang diingininya dalam Kitab Perjanjian Baru.Dalam hal ini, Yussamir Yusof memberikan menjelaskan bahawa:

“Keinginan beliau (Barnabas) untuk member petunjuk dan memastikan bahawa Paul benar-benar telah menganut ajaran Jesus dengan mempelawanya sebagai pasangan dakwah adalah satu kesilapan yang besar. Ini kerana Paul telah memanipulasi pengaruh tersebut untuk menyebarka doktrin ciptaannya sendiri…Menurut Paul, ajaran Jesus perlu diubah berdasarkan keadaan dan masa…Paul adalah tokoh penting yang membina, menyebar dan menukar ajaran Jesus…rancangan yang teliti telah dirangka bagi memastikan agenda menjatuh serta memesongkan ajaran…Akhirnya, rancangan beliau berjaya hasil daripada kelicikan dan muslihat tersebut.” (hal.127-160).

Gambaran tindakan meminda ajaran Nabi Isa a.s. itu adalah berbeza dengan apa yang berlaku dalam Islam. Islam terus mempertahankan kedudukan al-Quran dan sebarang gerakan untuk menyerang hadith Rasulullah s.a.w akan terus ditentang. Percubaan meruntuhkan benteng Islam telah lama berlaku, termasuk setelah empayar Islam telah ditewaskan melalui Perang Salib.

Kemunculan ideologi sekular menjadi kemuncak kepada pemisahan nilai-nilai agama, sehinggakan menjadi orang Islam yang mempertahankan nilai kesyumulan Islam dilabelkan sebagai fundamentalisme, manaka mereka yang melentur prinsip dinamakan moderat, walaupun dalam pemikirannya bersalutkan fahaman liberalisme.

Revolusi Mesir yang berakhir dengan kemenangan rakyat, memberikan sedikit ingatan bagaimana hidup sederhana yang pernah dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w semasa memimpin. Ada satu peristiwa yang benar-benar memberika banyak pengajatan, iaitu pada suatu petang, selesai sembahyang Ashar, baginda tergesa-gesa pulang. Sebelumnya Rasulullah s.a.w tidak melakukan tindakan seperti itu. Beberapa lama kemudian, sebelum memasuki waktu Maghrib, Rasulullah s.a.w muncul semula dengan membawa makanan dan dibahagi-bahagikan kepada setiap jemaah.

Melihat kepada keadaan itu, seorang sahabat bertanya kepada baginda: “Wahai Rasulullah, apakah sebabnya tiba-tiba tuan meninggalkan jemaah dan lalu kembali membahagi-bahagikan makanan? Jawab Rasulullah , “Aku tidak ingin setelah matahari tenggelam, di rumahku masih ada makanan yang tersisa.” (Riwayat Bukhari)

Maksudnya jelas, sebagai manusia yang paling zuhud, baginda resah akan berlakunya pembaziran makanan di rumahnya. Baginda merasakan pembaziran itu sebenar tidak harus berlaku kerana masih ramai lagi rakyat memerlukan bahan untuk meneruskan hidupnya.

Cara hidup sedemikian dipraktikkan oleh Rasullullah SAW sepanjang kehidupanya, berbanding dengan umat Islam sekarang yang lebih menekankan kebendaan. Mereka sanggup menangguhkan masa beribadat kerana ingin mendapatkan peluang menambahkan wang atau menikmati jamuan mewah yang dianjurkan oleh pihak tertentu. Masing-masing melihat kemewahan, malah menjadi lebih glamour apabila majlis kenduri disambut di hotel dan sebagainya.

Pola hidup sederhana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w bukan menggambarkan kepapaan dirinya. Berbanding dengan pemimpin kita, terasa jijik dan rendah status apabila makan bersama orang ramai secara bersila ataupun setalam. Bagi Rasulullah s.a.w, makan bersama dalam suasana yang sederhana lebih membuktikan keikhlasan dan sikap kepedulian kepada masyarakat. Tidak ada pemisahan antara meja orang kenamaan dengan orang kebiasaan.

Terdapat juga sebuah kisah, bahawa Rasulullah pernah ditawarkan dengan pelbagai bentuk batu yang ada di kota Mekah ditukarkan menjadi emas sebagai asset. Dengan rendah hati Rasulullah s.a.w menjawab,  “Tidak, wahai Tuhan. Tapi (biarkan) aku lapar sehari dan kenyang sehari. Jika aku sedang kenyang, maka aku akan memuji-Mu, dan di saat lapar aku akan bersimpuh dan berdoa kepada mu.” [ Muhammad Alwi Al Maliki, Muhammad al Insan Al Kamil, hal. 156.]

Dengan kedudukan baginda sebagai seorang pemimpin, baginda sememangnya mempunyai peluang untuk mendapatkan apa sahaja kelebihan material, tetapi Rasulullah s.a.w terus memilih untuk hidup sederhana. Baginda tidak terarah kepada potensi tersebut, tidak sebagaimana berlaku dalam era moden di mana pemimpin membolot wang rakyat melalui pelbagai bentuk transaksi (legal dan illegal), dan semakin lama berada di puncak, semakin banyak asset yang dikumpulkan.

Mengenai kesederhanaan, banyak cerita yang memperlekehkan semangat orang Melayu-Islam. Kerana orang Melayu tidak berjiwa besar, maka orang Melayu telah ketinggalan dalam serba-serbi bidang kehidupan termasuk ekonomi. Walaupun masih memegang tampok pentadbiran politik, kuasa Melayu semakin terhakis malah apa yang ingin dilaksanakan menggunakan tertib Islam dianggap melanggar prinsip kebebasan dan hak asasi manusia.

Usaha pihak berkuasa agama untuk menghalang masyarakat Melayu dan Islam mengambil bahagian dalam upacara Memperingati Hari Kekasih dilihat sebagai sesuatu yang bertentangan dengan prinsip kebebasan asasi. Mereka yang menentangnya ialah mereka yang mempunyai kepentingan dalam aspek penyediaan kemudahan, termasuk penjual bunga, pengendali restoran, pihak hotel dan kedai-kedai cenderamata. Walhal yang ditentang oleh Islam ialah kecenderungan meraikan hari itu kerana ada kaitannya dengan maksiat.

Sepasang kekasih, bukanlah pasangan yang sudah disahkan secara Islam boleh berdua-duaan menikmati temaram cahaya romantik tanpa gangguan. Mereka masih terhalang, kerana ikatan perkahwinan belum diakad antara mereka. Mereka menjalin “kasih sayang” dalam tautan nafsu, dan ini cenderung menyebabkan maksiat.

Inilah yang ditentang oleh Islam walaupun premis asal sambutan itu sudah berubah, bukan lagi mengenangkan kisah seorang paderi yang menikahkan pasangan muda mudi pada zaman Rom. Seorang lelaki yang kuat ialah tidak menyentuh perempuan, maka tenaga mereka amat diperlukan bagi mempertahankan negara dalam suasana politik ketenteraan. Pernikahan tidak digalakkan. kerana pernikahan akan menyebabkan lebih ramai lelaki tidak sanggup menjadi tentera.

Rasullullah SAW menunjukkan teladan kasih sayang sepanjang hayat dan bukannya pada hari tertentu sahaja. Baginda menunjukkan kasih sayangnya tidak berbelah bahagi ialah kepada rakyat jelata, sanggup menahan lapar demi menghilangkan kelaparan orang lain. Rasulullah s.a.w sanggup berkorban walaupun dengan orang yang sentiasa bermusuh dengan baginda.

Baginda setiap hari dikisahkan menyuap makanan kepada seorang Yahudi buta. Sedangkan orang tersebut setiap hari membenci baginda kerana membawa ajaran yang bercanggah dengan keyakinan masyarakat Yahudi. Peristiwa itu berlangsung begitu lama, sehinggalah baginda wafat. Abu Bakar al-Siddiq yang kemudiannya diangkat menjadi khalifah, menyambung peranan itu. Pada mulanya, Yahudi buta tidak mahu menerima suapan Abu Bakar, sehinggalah diberitahu bahawa orang selama ini menyuapkan makanan itu adalah Rasulullah, dan baginda telah wafat beberapa hari lalu.

Atas kelembutan dan sikap sederhana itu, Yahudi buta akhirnya memeluk Islam. Bagaimana dengan sikap ulama kita apabila berhadapan dengan mereka yang tidak setuju dengan pandangannya? Ada ulamak kita terus merajuk dan kecewa. Tidak kurang juga yang menimbulkan fatwa bercanggah kerana terasa kedudukannya terancam dan sokongannya berkurangan.

Trend hidup sederhana bukanlah menggambarkan seseorang itu berada dalam kemiskinan. Dengan hanya bersepatu sederhana, tidak menggambarkan seseorang pegawai tinggi itu “sengkek” tetapi lebih mendekati dengan kehidupan masyarakat kebanyakan. Ia menggambarkan sikap “rendah diri” tetapi bukan bermakna “malu alah”sebagaimana yang disimpulkan oleh Tun Dr Mahathir mengenai kelemahan politik Melayu-Islam.

Dengan mengamalkan sikap berlebihan, menonjolkan kemewahan diri termasuk mengubah bentuk fizikal semula jadi dengan pelbagai suntikan menggambarkan seseorang itu menikmati sebanyak mungkin pilihan kerana kekayaannya. Ia turut memberikan gambaran bahawa “telah melukai” perasaan orang-orang di sekitar kita, malah akan mudah melenting apabila ditegur mengambil suntikan tertentu, walaupun sebahagian bahan yang digunakan tidak diketahui asalnya, sama ada dari sumber haram atau halal.

Seharusnya, sebagai seorang Islam yang menyedari akan kekurangan diri dan kebesaran Allah s.w.t, kita menerima sifat qana’ah, menerima apa yang ada, bersyukur dengan nikmat yang diperoleh. Dalam hal ini, Al-Ghazali memberikan pedoman: sederhana dalam hidup dan perbelanjaan; sederhana dalam menentukan cita-cita; dan memahami apa sebenarnya yang bersifat qana’ah tidak menjadikan hidup meminta-minta dan mengharapkan ehsan orang lain –mentaliti subsidi. Maka dengan cara ini, kita akan bebas dari ketamakan.(Al-Ghazali, Mutiara Ihya `Ulumuddin, Mizan, 2003, hal, 265).

Pada tarikh 12 Rabiulawal 11 Hijrah, Rasulullah s.a.w meninggalkan kita semua. Pada hari lahirnya yang ke-63, baginda kembali mengadapi Allah s.w.t, maka ketika itulah umat Islam mula memahami kehilangan baginda amat besar ertinya dalam sebuah peradaban manusia. Rasulullah bukan sahaja menjadi potret suci umat Islam, malah bukan Islam yang memahami fakta sejarah secara adil, malah Micheal Hart mengangkat baginda sebagai “manusia yang paling berpengaruh” dala, jagat raya.

Cuma, hanya segelintir kelompok dan orang perseorangan yang tidak mahu mengakui mengenai kehebatan Nabi Muhammad s.a.w kerana naluri ingin dianggap dirinyalah yang paling berpengaruh dan boleh menggugat pemikiran masyarakat. Orientalis memang bencikan Islam, kerana itulah sanggup  menceraikan kajian mereka dengan asas dan pendekatan kesyumulan Islam berdasarkan kacamata  akademik dan terpisah dengan asas ketuhanan.

Kini, tanggungjawab memperbetulkan salah tanggapan itu adalah tokoh-tokoh Islam sendiri. Tapi, hati-hari semakin ramai cendekiawan Islam menjadi liberal dan terus menyanjungi prinsip akademik barat, dan ingin meniru kebebasan mereka walhal sikap kesederhanaan telah terbukti sebagai strategik berdakwah yang amat berkesan. Malah, dalam psikologi barat ada istilah “jalan ketiga”, jalan itu adalah usaha untuk memperlihatkan perspektif yang lebih jernih dari dua titik yang berbeza.

Maka, tatkala selawat dan salam ke atas junjungan masih terus bergema, sebagai umat Islam yang cintakan kedamaian, seharusnya kita sambut dalam sesederhana yang mungkin, kerana tarikh kelahiran itu juga sama dengan tarikh kemangkatan baginda. Tidak salah kita memperingati baginda, kerana memangnya baginda adalah pemimpin ulung kita, pemimpin yang telah mencurahkan bakti untuk memberikan cahaya keimanan, tetapi jangan sampai kita terleka sehingga melanggar tembok keimanan.

Bersederhanalah dalam setiap tindakan, kerana kesederhanaan tidak akan menyebabkan kita dianggap lemah dan bodoh. Sederhana itu memberikan kita kekuatan, kerana akal fikiran tersingkap jauh dari ketamakan dan nilai-nilai sombong, besar kepala dan bongkak. Bukankah ini amat dilarang oleh Rasulullah s.a.w sepanjang hayatnya memimpin Islam?

Belajarlah dari sejarah, kerana al-Quran telah merakamkan lebih 1,000 ayat kisah-kisah yang perlu kita jadikan teladan dan mengambil ikhtibar daripada-Nya. Bukanlah seluruh ayat al-Quran mengandungi lebih 6.600 ayat, maka kisah sejarah sudah pun terakam hampir seperenam daripada keseluruhan kandungan. Tidakkah ini merupakan jumlah yang besar, yang sengaja diwahyukan oleh Allah s.w.t sebagai peringatan kepada manusia?

Oleh MONOSIN SOBRI

Leave a Reply


Topik Lain

  • Artikel Makalah Pilihan Tinta DMI

    Pondok Lahir Pemikiran Islam Kukuh

    Oleh Dato’ Dr Mashitah Ibrahim ANTARA sebab institusi pondok masih relevan hingga ke hari ini, justeru perlu dipertahan dan diperkasa, ialah kerana ilmu pondok boleh diguna dan dirujuk untuk menangani pelbagai serangan ilmiah dan trend pasca-modernisme yang sedang berlaku. Banyak karya hebat dan kajian akademik bersumberkan teks pondok. Inilah juga yang dibaca oleh orientalis Barat dan musuh-musuh Islam. Berikutan itu, amat perlu sekali bagi ulama dan intelek Islam untuk berdiri dalam satu saf bagi melahirkan pemikiran Islam yang kukuh dan […]

    Read more →
  • Artikel Makalah Pilihan Wasatiyah Adalah Mesej Perpaduan Sedunia: Prof Dr Hlayyel

    Wasatiyah Adalah Mesej Perpaduan Sedunia: Prof Dr Hlayyel

    KUALA LUMPUR: Konsep wasatiyyah (kesederhanaan) dalam Islam merupakan suatu mesej perpaduan sedunia yang penting bagi menepis segala persepsi buruk masyarakat dunia terhadap Islam. Penasihat Agama kepada Raja Jordan, Prof Dr Ahmad Mohammad Hlayyel, ketika menyatakan perkara ini berkata konsep itu dapat memperkukuh lagi imej keamanan dan keharmonian yang dianjurkan Islam kepada pengikutnya. Perkara ini dinyatakannya dalam kertas kerja bertajuk ‘Pelaksanaan Pendekatan Wasatiyyah Masa Kini: Cabaran dan Masa Depan’ pada Seminar Antarabangsa “Penghayatan Wasatiyyah Dalam Kerangka Maqasid Syariah”, Khamis. Penyampaian kertas […]

    Read more →
  • Ensiklopedia Siapa Sheikh Tahir Jalaluddin

    Siapa Sheikh Tahir Jalaluddin

    SYEIKH Tahir Jalaluddin atau nama sebenarnya Muhammad Tahir bin Syeikh Muhamad bin Ahmad Jalaluddin, adalah seorang ulama reformis yang mempunyai kaitan rapat dengan gerakan Kaum Muda di Tanah Melayu sekitar hujung 1890-an dan awal 1900. Bapa beliau, Muhammad bin Ahmad Jalaluddin atau dikenali dengan gelaran Syeikh Langgang bin Ahmad Jalaluddin, merupakan seorang ulama yang terkenal di Minangkabau. Syeikh Tahir dilahirkan di Bukit Tinggi, Sumatera Barat pada 1869 Masihi dan berketurunan Melayu Minangkabau. Beliau pernah menetap dan mendapat pendidikan di Mekah […]

    Read more →
  • Artikel Paparan Khas Wasatiyyah: Malaysia Berada Di Landasan Benar

    Wasatiyyah: Malaysia Berada Di Landasan Benar

    Ucapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak,  merasmikan seminar antarabangsa ‘Penghayatan Wasatiyyah Dalam Kerangka Maqasid Syariah, di Menara Felda, Kuala Lumpur ALHAMDULILLAH, lafaz syukur dan segala puji-pujian yang tidak terhingga saya panjatkan ke hadrat Allah SWT di atas limpah kurnia dan inayah-Nya jua, kita dapat berkumpul di dalam majlis ilmu yang saya anggap sangat penting lagi bermakna ini. Saya harus katakan semuanya bermakna dan penting kerana ianya menjadi akar kepada usaha pembenihan faham wasatiyyah dan kesederhanaan yang seringkali kita ucap […]

    Read more →
  • Artikel Komentar

    MB, Salehuddin Boleh Selesai Bible Di Rampas?

    Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan exco agamanya, Salehuddin Muhkyi, mempunyai kuasa untuk menyelesaikan isu rampasan bible Melayu, jika mereka mahu. Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Ng Chok Sin, berkata dua individu itu paling layak untuk memulangkan bible yang dirampas pihak berkuasa agama negeri jika Kerajaan Negeri Selangor serius. Menurut satu laporan media arus perdana, difahamkan Exco Pelancongan Selangor, Elizabeth Wong, dilaporkan menulis surat kepada Pejabat Peguam Negara meminta naskah bible yang dirampas pada Januari […]

    Read more →
  • Artikel Paparan Khas

    Malaysia Wujudkan Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa: PM

    Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, mahu Malaysia memainkan peranan ke arah penubuhan Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa, bagi mengukur komitmen sesebuah negara dalam melaksanakan syariat Islam. Beliau berkata, indeks itu boleh berperanan menangkis dakwaan pihak tertentu kononnya kesungguhan Malaysia melaksanakan dasar-dasar Islam tidak mengikut syariat Islam sebenarnya. “Saya merasa begitu musykil kalau ada pihak masih menuduh kita sebagai tidak cukup Islam, ada juga yang mempertikaikan dasar-dasar kita tidak berlandaskan kepada Islam. “Alangkah baik kalau ada Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa, […]

    Read more →
  • Berita Kassim Dituduh Hina Islam Dibicara 6, 7 Mei

    Kassim Dituduh Hina Islam Dibicara 6, 7 Mei

    PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 6 dan 7 Mei depan, perbicaraan terhadap bekas aktivis politik dan sosial, Dr Kassim Ahmad, atas dua tuduhan iaitu menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama dalam sebuah seminar pada Februari lalu. Hakim Syarie, Azzeman Omar, menetapkan tarikh tersebut ketika sebutan semula kes itu, Isnin. Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Ibrahim Deris, memberitahu pihaknya akan memanggil lebih daripada 10 saksi pendakwaan pada perbicaraan tersebut. Ketika ditanya pemberita […]

    Read more →
  • Artikel Paparan Khas

    Parlimen Lulus Rang Undang-Undang GST

    Dewan Rakyat Isnin meluluskan Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dengan mendapat sokongan 118 ahli Parlimen, manakala 81 ahli Parlimen yang menyuarakan bantahan. Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena, meminta pertimbangan Yang Dipertua supaya diadakan undi kali kedua dan diterima oleh dewan. Bagaimanapun proses pengundian menyaksikan ahli Parlimen pembangkang membawa sepanduk membantah GST dan menimbulkan kekecohan dalam dewan. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak, semasa mengumumkan Bajet 2014 bahawa GST akan dilaksanakan pada April 2015 dengan pengenalan cas […]

    Read more →
  • Berita Makalah Pilihan

    PAC Akan Panggil Lima Kementerian Beri Penjelasan

    KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil lima buah kementerian untuk memberikan penjelasan dalam waktu terdekat berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1. yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin. Pengerusi PAC Dato’ Nur Jazlan Mohamed berkata kelima-lima kementerian berkenaan ialah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan. “Pertanian dan Industri Asas Tani perlu dipanggil berhubung kelewatan Empangan Paya Peda di Besut sementara Kementerian Pendidikan perlu […]

    Read more →
  • Berita Paparan Khas

    Najib Cadang ‘Jambatan Persahabatan’ Malaysia-Singapura

    PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, berkata beliau telah mencadangkan pembinaan ‘Jambatan Persahabatan’ untuk menambah baik rangkaian jalan dan menjadi simbol persahabatan yang semakin berkembang antara Malaysia dan Singapura. Cadangan itu adalah inisiatif jangka panjang yang akan membabitkan perbincangan meliputi pelbagai aspek serta kajian mendalam yang perlu dijalankan bersama-sama oleh kedua-dua negara, kata beliau. Najib berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, selepas kedua-dua mereka mengakhiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura selama dua hari di […]

    Read more →