Home » Resensi » Kuasa baru media sosial

Kuasa baru media sosial


Kemenangan Obama dalam kempen pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 4 November 2008 bukan sahaja menarik untuk dikaji dari aspek komunikasi semiotik yang digunakan, malah buat pertama kalinya beliau muncul sebagai seorang yang bijak menggunakan kelebihan teknologi komunikasi. Setiap masa kemunculan Obama sepanjang kempen yang menggunakan slogan Change! Yes, We Can itu ditangannya tergenggam sebuah telefon selular blackberry. Bagaikan tidak lengkap jika Obama dilihat tidak menggenggam blackberry.

Blackberry telah menjadi satu alat yang penting bagi Obama bagi menujnukkan kesediaannya menerima sebarang maklum balas, berkongsi pandangan dengan para pengundi dan keterbukaannya menerima teguran. Apa yang lebih menggembirakan pengundi muda, generasi yang tidak boleh meninggalkan gajet komputer dan alat berkomunikasi itu ialah kesanggupan Obama melayani mereka.

Sosok peribadi tersebut turut menarik dua orang pengkaji media sosial untuk menulis sebuah buku menarik bagaimana seseorang atau sesebuah organisasi boleh menggunakan kemunculan media baru itu mempengaruhi masyarakat. Jennifer Aaker, seorang pakar dalam bidang psikologi sosial berkongsi pandangan dengan suaminya, Andy Smith, seorang perunding pemasaran dan strategi pengguna menulis buku The Dragonfly Effect: Quick, Effective, And Powerful Ways to Use Social Media to Drive Social Change. Kesan sebenar teori pepatung ini ialah meskipun nampaknya kecil, tetapi ia mampu mempengaruhi ramai orang.

Persoalan yang timbul kenapa kedua pengarang itu menggunakan simbol sejenis serangga untuk membentuk teorinya? Pepatung atau dragonfly, juga dikenali sebagai sibur-sibur merupakan sejenis serangga yang paling laju terbang, mempunyai mata bersegi besar, dua pasang sayap yang lutsinar tapi cukup kuat, berbadan panjang dan tiga pasang kaki. Kerana sifat sayapnya yang lutsinar hampir sama dengan sifat media sosial yang boleh diinterkasikan bersama- berbincang, mengeluarkan pendapat dan secara langsung—itulah mungkin menjadi asas kepada pemilihan pepatung sebagai imej teori yang dikemukakan oleh Jannifer Aaker dan Andy Smith.

Pepatung juga merupakan pemangsa berguna, memakan nyamuk dan pelbagai serangga kecil maka berasaskan ciri-ciri tersebut pengarang mengandaikan sekiranya laman sosial digunakan secara bijaksana ia mampu menangkis sebarang tohmahan, mengikis imej negatif seseorang. Apa yang berlaku kepada Obama ialah sentimen bukan keturunan kulit putih berjaya dikikiskan dalam stereotaip pengundi apabila beliau dilihat lebih mesra, dekat dengan masyarakat dan matanya yang jernih jujur dengan apa yang diperkatakan.

Faktor penarik itu banyak membantu Obama setelah sepanjang kempen beliau telah mampu mengumpul penyokong 2.5 juta di facebook, 115,000 melalui twitter dan 14 juta jam menonton siaran kempen melalui youtube dengan jangkauan penonton seramai 50 juta. Ini merupakan sesuatu yang amat berbeza dengan apa yang dilakukan oleh lawannya dari parti Republikan. Kedudukan Obama di twitter adalah lebih 23 kali ganda tinggi berbanding John MacCain.

Kekuatan kedudukan Obama di laman sosial ini telah melahirkan kesan emosi yang tersebar luas, emotion contagion kepada rakan-rakan dan sahabat handai. Ia diperbincangkan secara meluas dengan penuh semangat, ripple effect oleh mereka yang memerhatikan kempen Obama melalui laman sosial. Pengundi menjadi semakin besar berpihak kepada Obama seolah sedang dilanda oleh virus baru perubahan, viral effect.

Empat sayap sibur-sibur itu mewakili empat pendekatan laman sosial yang dicadangkan oleh pengarang. Sayap pertama mewakili fokus, sayap kedua ialah ambil peluang dengan cepat (grab attention), saya ketiga ialah hubungkanlah (engage) dan sayap keempat laksanakan tindakan (take action). Formula ini dikenali sebagai Focus + GET (grab attention, engage dan take action)

Mengenai fokus, kedua penulis menyarankan agar mengingati kependekan HATCH, iaitu humanistik, actionable, testable, clarity dan happiness. Unsur-unsur kemanusiaan ialah mengambil kira kefahaman khalayak berbanding membuat andaian kepada sebuah penyelesaian masalah dengan cepat. Unsur-unsur kemanusiaan dikupas dengan mudah dan menarik kerana ia mampu menarik simpati dan empati khalayak.

Dalam kes ini pengarang memberikan satu contoh bagaimana seorang pengidap leukimia Shameer Bhatia, seorang lulusan Universiti Stanford dan mengasaskan MonkeyBin, sebuah agensi pertukaran barangan pengguna. Setelah disahkan dengan penyakit itu oleh seorang doktor di Mumbai, Shameer diminta supaya bergegas pulang ke Lembah Silikon, Amerika Syarikat bagi membolehkan beliau berterusan menerima rawatan dengan doktor yang berhampiran tempat tinggalnya.

Shameer memerlukan pembedahan tulang sumsun dan ini menyebabkan beliau menghadapi masalah kerana pemindahannya boleh dilakukan dalam kalangan saudara mara terdekat yang mempunyai kesesuaian darah. Shameer merupakan anak seorang imigran dari Asia Selatan. Untuk mendapatkan perfect match, hampir kesemua saudara mara diuji, tetapi tiada kesesuaian.

Berita itu kemudiannya diketahui oleh rakan-rakannya, yang sama-sama bekerja di Lembah Silikon. Rakan kongsinya, Robert Chatwani mengambil inisiatif untuk melakukan sesuatu kerana takut kehilangan Shameer. Robert tidak mempunyai masa yang panjang, doktor hanya memberitahu tahu pemindahan tulang sumsun perlu dilakukan dalam tempoh beberapa minggu sahaja.

Robert membuat keputusan untuk menyebarkan berita tersebut melalui e-mel. Beliau menulis e-mel secara jujur mengenai Shameer termasuk apa yang diusahakan mereka berdua dalam bidang pembiayaan mikro. E-mel itu disebarkan kepada semua rakan baik dan rakan niaga Shameer, sekitar 400 hingga 500. Rakan-rakan tersebut kemudiannya mengeposkan kembali e-mel itu ke dalam laman peribadi mereka dan mesej tersebut telah menjangkau ke lebih 35,000 penerima dalam tempoh 48 jam.

Hal yang sama turut disedari oleh seorang lagi pesakit leukimia, juga berketurunan Asia Selatan, Vinay Chakravarthy, dari Boston. Menyedari kedua mereka menghadapi masalah yang sama, kumpulan yang mencari bantuan untuk Shameer dan Vinay telah bergabung dan menyebarkan mesej tersebut melalui kemudahan Web 2.0.

Sementara memperoleh penderma yang sepadan, kedua mereka menjalani pelbagi prosedur perubatan dan pada bulan Ogos 2007, mereka hampir menemuinya, iaitu beberapa bulan selepas kempen tersebut dilancarkan. Vinay mendapat penderma yang hampir sepadan, manakala Shameer juga demikian.

Setelah itu, Shmeer menulis dalam blognya bahawa untuk mendapatkan kesepadanan melalui kaedah tradisi adalah sesuatu yang tidak mungkin. Harapan untuk menemui penderma yang sepadan adalah jelas memberikan harapan baru untuknya meneruskan kehidupan. Shameer tidak mempunyai perkataan yang mampu menggambarkan keadaan tersebut hanyalah dengan ucapan terima kasih.

Kumpulan Shameer telah berjaya mendapat sejumlah 24,611 orang keturunan Asia Selatan yang sudi menderma tulang sumsun, hanya dalam tempoh sebelas minggu. Shameer akhirnya berjaya menjalani pembedahan pada tahun itu juga, sehari sebelum menjalani pemindahan tulang sumsum, Shameer menulis bahwa dirinya adlah orang yang paling bertuah. Beliau seolah memperoleh semula kekuatan sebenar dan tidak terasa sakit atau tidak selesa. Makanan di hospital dapat diterima malah cuba menjawab hampir semua panggil telefon dan melaksanakan beberapa tugas sepanjang berada di hospital.

Tulis Shameer “ Oh, and in case you were wondering, the reason cancer patients are bald is to maximize their Kissable Surface Area (KSA)! Isn’t that obvoius??” Beliau turut mengepos gambar dan video melalui laman blog dan youtube, termasuk gambar beliau merenung satu beg yang mengandungi tulang sumsum yang tertulis namanya. Meskipun dinasihatkan jangan melakukan banyak pergerakan oleh ayahnya, Shameer tidak mempedulikannya.

Beberapa hari selepas pemindahan, pada 26 Disember 2007, Shameer menghadapi masalah dalam penerimaan tubuhnya. Keadaan tersebut disifatkan oleh Shameer “I don’t believe in setback…We must grow from this experience, whatever pains—physical and emotional—it brings us. What else, after all, is the process of life if not growth?

Setelah melalui beberapa tindakbalas, Shameer akhirnya meninggal dunia pada bulan Mac 2008. Namun kisah ini tetap menjadi sebuah kes bagaimana penggunaan laman sosial boleh membantu dengan cepat mencari penderma yang sesuai berbanding kaedah biasa. Cerita ini memberikan ilham kepada pengarang untuk membuktikan bahawa cerita yang mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi mampu menarik simpati ramai, membuak lebih luas peluang dan seterusnya mampu mempengaruhi kehidupan sosial.

Meskipun jangka hayat pepatung dewasa hanyalah selama 4 bulan, kekuatan yang terjelma dalam diri pepatung telah menjadikan buku ini sebuah panduan praktikal bagi mereka yang berhasrat menggunakan laman sosial sebagai kaedah komunikasi dalam suasana yang dikenali sebagai microtrend ini. Manusia lebih gemar dan mudah percaya dengan cerita-cerita yang menyentuh peribadi dan maka dalam sentuhan itu, jangan pula salah menggunakan laman sosial untuk mengkhianati orang lain.

Laman sosial tidak sepatutnya digunakan untuk menipu sebagai berlaku di Malaysia dan menurut pendedahan Kosmo, 22 November 2010, lebih RM 300,000 setahun kerugian akibat daripada penipuan tersebut.

Laman sosial perlu digunakan secara berhemah, agar tidak menjadi medan meluahkan perasaan, memaki hamun bekas kekasih kerana telah ditinggalkan, atau mencurahkan perasaan marah, benci dan menyesal, kerana itu adalah mencorakkan peribadi kita sendiri, yakni penulisnya. Ia cepat tersebar, secepat virus yang menyerang manusia dan boleh melumpuhkan sistem imunisasi badan. Itulah kesan yang sentiasa menular dalam laman sosial. Bijak menggunakan laman sosial, mampu memberikan kita kekuatan,sebagaimana Obama berjaya memenangi pilihan presiden pada tahun 2008.

Kini kekuatan Obama melalui laman sosial sudah tercabar dengan kehadiran Lady Gaga. Lady Gaga sudah muncul sebagai fenomena baru dalam laman sosial sehingga menjadikan Prof Mathieu Deflem dari sebuah universiti di California Selatan memperkenalka satu subjek khusus mengenai ketakjubannya.

Lady Gaga mungkin merupakan individu yang pertama bakal dikaji secara ilmiah, bagaimana mampu menempatkan diri sebagai manusia yang paling berpengaruh dalam laman sosial. Hingga kini, Lady Gaga telah berjaya mengumpul 10 juta peminat di facebook dan enam juta pengikut setia di twitter.

Kehebatan Obama mempengaruhi pengundi melalui laman sosial, kehebatan Lady Gaga mengumpul peminat setia melalui laman sosial, menyebabkan kita berfikir, kenapa ramai pemimpin politik masih takut untuk mengambil peluang dari kemunculan media baru ini? Tentunya, sebahagian pemimpin kita takut dikerumuni oleh pertanyaan bukan-bukan, termasuk kesilapan peribadi yang silam. Tetapi, itu dapat menjami rahsia akan terus tersimpan kemas, akhirnya terbongkar juga kerana ada orang lain akan lakukan menerusi laman sosial, terutama yang membecinya.

Buku ini memang menarik, dan boleh dibincangkan secara meluas untuk menyelami bagaimana laman sosial mampu membunuh persepsi, membentuk emosi dan seterusnya mengekalkan kepercayaan rakan-rakan yang sama-sama bergabung dalam mencapai tujuan tertentu. Sebuah buku yang menarik dan cukup signifikan dalam memahami kuasa laman sosial, mungkin ia adalah yang terbaik setakat ini. Small actions create big change.

Nama Buku : The Dragonfly Effect: Quick, Effective, and Powerful Ways to Use Social Media to Drive Social Change

Nama Penulis : Jennifer Aaker, Andy Smith dan dibantu oleh Carlye Adler

Nama Penerbit : Jossey-Bass, San Francisco, USA, 2010

Jumlah Halaman : 211

Pengulas : KAMARUN KH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × two =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib