Home » Wacana » Islam dan media Barat

Islam dan media Barat

Oleh DATO’ DR. ISMAIL IBRAHIM

Islam merupakan agama yang paling pesat membangun di Barat. Tetapi di dalam masa yang sama, Islam merupakan agama yang paling sukar difahami di sana, dan banyak sekali menimbulkan kekeliruan dan tanda tanya.

Barat mempunyai gambaran stereotaip dan prasangka terhadap Islam, yang di antara sebabnya ialah kerana laporan media mereka yang sering menonjolkan Islam sebagai agama extremist, fundamentalist, terrorist, dan kepelbagaian label negatif lainnya.

Apabila Islam ditonjolkan di dalam imej dan gambaran yang demikian, maka orang Barat membenci Islam dan umatnya, malah lebih daripada itu, tidak ingin memahami dan mendapatkan pengetahuan tentang ajaran Islam yang sebenarnya. Hal ini menjadi lebih serius lagi, apabila Barat melihat realiti masyarakat dan negara Islam yang sering berada di dalam konflik dan peperangan sesama sendiri, jihad yang berdasarkan “pengebom berani mati”, peristiwa 11 September dan sebagainya yang disalahmengertikan.

Sebuah majalah di Barat cuba menonjolkan pengertian yang salah tentang Islam, iaitu dengan kenyataan berikut: “Islam is the terrorist… Muslims are the victim”….”we pray that the weapon of mass destruction, Islam, be torn down.” (Terjemahan: Islam adalah pengganas… Orang-orang Islam sendiri yang menjadi mengsanya. Kita berdoa supaya senjata pemusnah itu, iaitu Islam dimusnahkan) – (majalah TIME, hal. 50, 30 Jun, 2003)

“This battle is going to be won and lost in the Middle East…. If the jihadists win there, I am in trouble here….there will be such a surge of confidence for jihadists. This Islamic pull is more powerful than of communism. The communists never fully trusted one another across racial boundries. But with the Islamists, there is total trust: you are a warrior for Islam, so am I: we swear to fight together.” (Terjemahan: Peperangan ini akan mengalami kemenangan atau kekalahan di Timur Tengah, sekiranya para juhadis menang di sana, maka saya di sini akan mengalami kesusahan, nampaknya ombak keyakinan para jihadis ini semakin bertambah. Gerakan Islam ini lebih perkasa daripada gerakan komunis. Komunis tidak pernah mempunyai kepercayaan sesama sendiri melampaui batasan bangsa. Tetapi  golongan Islam amat yakin sesama mereka: anda adalah pejuang Islam, demikianlah juga saya, kita bersumpah untuk sama-sama berjuang) – (Lee Kuan Yew, TIME magazine,  cover story, December 12, 2005)

Dalam satu program CNN, Larry King Live, dalam bulan Disember 2001, seorang pendeta Yahudi (Rabbi Hier) memetik satu ayat al-Quran yang menurutnya bahawa Islam adalah amat tidak toleran, iaitu ayat yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman,  janganlah menjadikan Yahudi dan Kristian sebagai kawan. Sesiapa di antara kamu yang berbuat demikian adalah seorang daripada mereka.” Larry King  mencelah, “Tetapi ayat itu tidak menyebut supaya mereka dibunuh?”  Rabbi itu menjawab, “Memang tidak, tetapi terdapat petikan-petikan ayat Quran yang lain  dalam hal ini yang bermaksud demikian.” Jadi sekiranya saya ditanya secara langsung: Apakah terdapat pandangan yang ekstrem di dalam Quran? Maka saya akan menjawab: Ya!”

Peristiwa 11 September 2001 jelas menunjukkan gambaran buruk kepada umat Islam keseluruhannya, kerana 19 orang “manusia ganas” yang mempunyai nama orang Islam telah bertindak nekad sekali, menculik dua buah pesawat gergasi, sarat dengan minyak yang baru diisi, menerbangkannya dengan laju dan merempuh dua buah menara berkembar World Trade Center di tengah-tengah kota New York, negara kuasa besar dunia itu, meruntuhkan kedua-duanya dan mengorbankan ramai sekali manusia di dalamnya yang terdiri daripada kepelbagaian latar belakang bangsa dan agama.

Kemuncak daripada serangan 11 September 2001 yang dikatakan dilakukan oleh “pengganas” Islam inilah yang menimbulkan ketakutan dan kebencian orang Barat dan musuh-musuh Islam terhadap Islam yang diistilahkan sebagai Islamofobia, iaitu gerun dan benci kepada Islam dan umatnya.

Kebencian kepada Islam dan umatnya ini sebahagian besarnya ialah kerana kesalah fahaman Barat terhadap ajaran Islam itu, dan tindakan segelintir umat Islam sendiri yang telah bersikap dengan sikap yang radikal dan melampau ketika terdesak, atau dalam memperjuangkan hak mereka untuk membebaskan diri daripada penindasan dan sebagainya.

Sebahagian besar negara Islam tidak mencapai tahap masyarakat yang bertamadun, terutamanya selepas kemunculan semangat “kembali kepada Islam” yang merupakan gelombang perubahan besar yang melanda masyarakat Islam kira-kira empat dekad yang lalu. Pertelingkahan pentafsiran tentang gelombang perubahan baru ini amat meruncing di kalangan umat Islam, sehingga melahirkan pemerintahan dan mentaliti umat Islam yang lebih mundur, tertutup, fanatik mazhab, aliran sempit dalam politik, penindasan ke atas wanita di dalam bidang sosial dan pekerjaan, membawa kepada tragedi kemanusiaan yang lebih serius lagi di dalam masyarakat Islam dengan berlakunya konflik keagamaan, kuasa kuku besi pemerintah, kelahiran kelompok pelampau dan golongan ulama yang mengambil pendekatan authoritarian ketika mentafsirkan undang-undang Islam sehingga amat mudah melemparkan tuduhan dan menjatuhkan hukum terhadap golongan lain sebagai liberal, sekular, dan sebagainya. Hal ini menjadi lebih serius apabila pendekatan dan pemikiran ini menjadi trend yang diambil sebagai model “perjuangan Islam” oleh banyak golongan ‘pejuang Islam’ di negara-negara Islam, pertubuhan bukan kerajaan, dan pusat-pusat pengajian Islam anjuran golongan tertentu.

Gambaran stereotaip tentang Islam di dalam media Barat, dan seperti yang difahami oleh orang Barat, sebenarnya bukanlah satu perkara baru dalam pertembungan antara Islam dengan Barat. Masalah ini sebenarnya telah dapat dikesan kembali kepada jangka masa 1400 tahun yang lalu, ketika Islam dan Kristian terlibat di dalam Perang Salib pada tahun 1100, demikian juga dalam konflik empayar Uthmaniah ketika Islam berjaya mengembangkan sayapnya ke Eropah yang dianggap sebagai ancaman kepada agama Kristian dan gereja serta pemerintah mereka.

Akibatnya, maka bukan hanya serangan bersenjata sahaja yang dilakukan terhadap Islam, malah perang mulut dan segala kenyataan negatif terhadap Islam telah dikeluarkan dengan begitu lantang sekali oleh golongan elit Barat, kerajaan dan gereja sendiri, untuk memastikan bahawa Islam tidak akan bertapak di Barat dan tidak akan mendapat sambutan daripada orang-orang Barat. Perlakuan dan perasaan inilah yang sebenarnya masih disebarkan pada masa kini di dunia Barat, seperti yang berlaku di Bosnia, Sudan, India, dan sebagainya.

Kini, Barat, tanpa memahami ajaran Islam yang sebenarnya, serta didorong oleh rasa permusuhan yang telah berakar umbi agak lama dengan Islam, telah mengenal pasti Islam sebagai musuh “baru” selepas tumbangnya kuasa Komunis ketika berlaku “perang dingin” diantara dua buah kuasa besar dunia, iaitu Amerika Syarikat dan Soviet Union. “Musuh baru” yang dimaksudkan itu ialah “radikal Islam”, yang kemudiannya menerima lebih banyak istilah negatif seperti fundemantalist, extremist dan lain-lain lagi.

Label-label buruk inilah yang telah dilabelkan terhadap Islam, dan salah satu saluran penting dalam mempengaruhi pemikiran awam tentang Islam sebagai musuh baru ini ialah media.  Media Barat mempopularkan istilah yang amat mengelirukan, seperti istilah fundemantalis yang dihubungkan dengan keganasan dan fanatik melulu orang Islam, returning to Islam yang ditafsirkan sebagai kembali kepada sistem perundangan Islam yang keras dan tidak bertamadun, Muslim terrorists, pengganas Islam, dan label-label lainnya.

Ramai para pengkaji Islam dan penulis yang telah memberikan istilah “Peperangan Dunia Keempat” ketika mengulas tentang pertembungan yang berlaku di antara Barat dengan Islam, atau yang lebih jelas lagi pertembungan di antara Islam dengan Kristian. Barat sebenarnya telah mengharungi dua kali Perang Dunia, dan peperangan ketiganya ialah menentang Soviet Union. Maka “Peperangan Dunia Keempat” ialah peperangan terhadap Islam, sungguhpun mereka cuba memberi gambaran bahawa pertembungan sekarang adalah merupakan pertembungan tamadun (The Clash of Civilizations).

Malah peperangan ini dilancarkan oleh Barat terhadap Islam bukanlah sepenuhnya berdasarkan pertembungan budaya dan agama dalam istilah The Clash of Civilizations, seperti yang diheboh-hebohkan oleh Huntington itu, malah lebih kepada Islamofobia, dan dalam masa yang sama merangkumi juga peperangan untuk mengaut kekayaan minyak dari Dunia Islam yang dianugerahkan Allah dengan kekayaan hasil bumi ini. Peperangan dan serangan inilah yang dilancarkan oleh Barat terhadap Afghanistan dan Iraq yang telah berlarutan sehingga sekarang. Media Barat sering memutarbelitkan isu pendudukan Barat ke atas negara-negara Islam di Timur Tengah atas alasan war on terror, fight against terrorisme, weapon of  mass destruction, al-Qaeda, dan seribu satu macam helah lagi yang diada-adakan oleh pihak Barat dan media mereka.

“Jihad” dalam Islam juga telah diselewengkan konsepnya oleh Barat, iaitu yang ditafsirkan sebagai “holy war” untuk membunuh orang-orang bukan Islam, sedangkan jihad dalam bentuk asalnya ialah yang melibatkan peperangan untuk mempertahankan agama dan akidah daripada dicerobohi oleh musuh. Alasan ini sering juga digunakan di Barat bahawa Islam adalah tersebar dengan pedang, kerana Islam kononnya memaksa orang bukan Islam sama ada memeluk Islam atau mati dibunuh. Inilah pengertian jihad yang sering dihebohkan sebagai amalan suci umat Islam, sedangkan jihad dalam bentuk memerangi syaitan dan hawa nafsu, menuntut ilmu dan memerangi kemiskinan,  dan sebagainya, tidak pernah diberikan perhatian, malah dilupakan begitu sahaja.

Dalam konteks melabelkan Islam sebagai agama yang menggalakkan peperangan seperti yang dibincangkan di antara pendeta Yahudi dengan Larry King di atas, maka ayat-ayat peperangan yang terkandung di dalam al-Quran seharusnya dibaca dan difahami secara holistik dalam konteks yang pelbagai. Al-Quran menyebut, “Perangilah pada jalan Allah mereka yang memerangi kamu, tetapi janganlah kamu menceroboh, sesungguhnya Allah tidak sukakan orang-orang yang menceroboh.” (al-Baqarah:190)

Ayat ini dan banyak ayat lain lagi yang menjelaskan tentang konsep perdamaian yang dibawakan oleh Islam untuk umat manusia, terutamanya dalam isu hidup bersama secara aman damai di antara berbagai-bagai komuniti dan bangsa, dan Piagam Madinah sendiri telah menjelaskan hal ini dengan amat terang sekali. Tetapi media Barat lebih cenderung menonjolkan gambaran negatif tentang Islam yang telah menjejaskan kemurnian imej Islam itu sendiri.

Buku-buku yang diterbitkan di Barat tentang keburukan imej Islam sering mendapat sambutan hebat daripada pembaca, dan kesannya amat negatif terhadap Islam. Di antara buku-buku tersebut ialah buku yang bertajuk Religion of Peace? Islam’s War Against the World, tulisan Gregory M. Davis. Buku ini mendapat pujian yang tinggi daripada pembaca sebagai buku yang mendedahkan kebenaran tentang Islam dalam bentuknya yang radikal dan ganas. Penerbit buku ini telah memutarbelitkan hakikat tentang penaklukan negara Islam di Timur Tengah, kononnya untuk tujuan keamanan, iaitu menentang Osama bin Laden, sedangkan hakikat yang sebenarnya ialah untuk melemahkan negara Islam dan umatnya, di samping mengaut keuntungan hasil minyak di sana. Antara isi buku tersebut berbunyi:  “In the days following 9/11, George W. Bush assured America and the world that Islam was a “religion of peace” and that the violent followers of Osama bin Laden had twisted the true Muslim faith. Acting on this belief, President Bush and other Western leaders sent troops to the Middle East in an effort to bring freedom and democracy to the Muslim world….” (Terjemahan: Beberapa hari selepas 9/11, President George W. Bush memberi jaminan kepada dunia bahawa Islam adalah “agama perdamaian” dan penyelewengan yang dilakukan oleh para pengikut Osama bin Ladin itulah yang telah menyelewengkan ajaran Islam. Berdasarkan kepercayaan inilah Presiden Bush dan ketua-ketua negara Barat telah menghantar tentera ke Timur Tengah dalam usaha untuk membawa perdamaian dan demokrasi kepada dunia Islam…)

Gary Bauer, Presiden American Values membuat komen berikut untuk buku ini: “A very important work at a very important time. Anyone interested in understanding the growing violence on the world scene today must read this book. Its message for America and the West is, “Wake up before it’s too late.” (Terjemahan: Buku yang amat penting yang diterbitkan pada masa yang penting. Sesiapa yang berminat untuk memahami keganasan yang semakin merebak dalam senario dunia pada hari ini mestilah membaca buku ini. Mesejnya kepada Amerika dan Barat ialah “segeralah sedar sebelum terlalu lambat.”)

Media juga sebenarnya membuat laporan yang sensasi dan menarik minat umum adalah untuk tujuan komersial, bukan kerana kejahilan tentang isu yang sebenarnya. Inilah juga yang berlaku kepada gambaran negatif Islam.  Islam sering menjadi berita “panas” di dalam media perdana antarabangsa. Peristiwa keganasan sememangnya menarik perhatian dunia, seperti kejadian merampas pesawat, demonstrasi jalanan dan konfrantasi dengan pemerintah yang sering berlaku di dalam dunia, maka hal-hal begini sering dibesar-besarkan apabila berlaku di Dunia Islam atau di tangan orang-orang Islam, sedangkan sesuatu peristiwa yang baik dan positif di dalam dunia Islam sering dilupakan dan tidak mendapat liputan, malah sesuatu peristiwa buruk yang berlaku di kalangan orang Barat, termasuk perbuatan ganas dan perkauman yang dilakukan oleh orang Barat,  sering  dibiarkan berlalu tanpa mendapat sebarang liputan.

Malah kejadian tidak berapa lama dulu tentang kehilangan pesawat Perancis yang terhempas di Lautan Atlantik yang mengorbankan 228 orang penumpang pada 10 Jun 2009, menjadi berita panas dalam Fox News 10 Jun 2009, bahawa kononnya terdapat beberapa orang penumpang di dalam pesawat tersebut yang mempunyai hubungan dengan anasir jihad Islam, walaupun kebanyakan agensi berita melaporkan bahawa pesawat tersebut hilang ketika berlaku ribut petir yang amat kuat ketika itu.  Tajuk berita itu berbunyi “Passengers on Air France jet crash killing 228 had jihadi-terror links” (Terjemahan: Pesawat Air France yang terhempas membunuh 228 orang mempunyai kaitan dengan pengganas juhadis). Berita itu seterusnya melapor “Two passengers with names linked to Islamic terrorism were on board Air France flight that crashed in the Atlantic Ocean, killing all 228 on board, it has emerged.” (Terjemahan: Telah timbul bahawa dua orang penumpang yang mempunyai nama berkaitan dengan pengganas Islam berada di dalam pesawat Air France yang terhempas di Lautan Atlantik membunuh 228 penumpang.)

Hal ini sama juga seperti peristiwa pengeboman yang berlaku di Oklahoma City tidak lama dulu, iaitu apabila tersibarnya saja berita ini, maka orang Barat, termasuk medianya, segera menuding jari kepada “pengganas” Islam, sedangkan hakikat yang terbongkar kemudiannya, ternyata bahawa keganasan itu bukanlah dilakukan oleh orang Islam.

Reuters pula melaporkan pada 11 Jun 2009, secara besar-besaran pembunuhan seorang lelaki Buddha di Yala sebagai perbuatan kejam Muslim,  yang mempunyai hubungan dengan “jihad” Islam, sedangkan pembunuhan 10 orang Islam yang sedang bersembahyang di masjid pada hari sebelumnya tidak ditonjolkan, berbanding dengan berita kematian seorang penganut Buddha itu.  Tajuk berita itu berbunyi: “Thailand: Jihad against Buddhist construction workers.” Berita itu seterusnya menyatakan: “A note left at the scene said, “You kill our innocents, so we kill your people. It is noteworthy that they said “our innocents,” but “your people”   “……but in the case of Buddhist construction worker, some jihadists apparently chose to shoot first and ask questions later, or not at all.”

Inilah ketidakadilan laporan media antarabangsa yang sememangnya mempunyai agenda tersembunyi dalam mencemarkan imej Islam di mata dunia.

Tidak ada jalan mudah dalam keadaan peringkat sekarang ini untuk kita mencadangkan bagaimanakah gambaran negatif imej Islam di dalam media perdana antarabangsa ini dapat dibetulkan.

Islam sering dipolitikkan di dalam dunia antarabangsa bertujuan untuk melemahkan agama dan umat Islam supaya tidak menjadi agama yang kuat dan kelihatan bertamadun, demokratik, cintakan perdamaian, dan mesra sesama umat manusia.

Umat Islam sendiri sering mempunyai persepsi yang salah tentang ajaran agamanya, undang-undangnya, sistem sosial dan ekonominya dan hal-hal kehidupan moden lainnya yang menyumbang kepada gambaran negatif terhadap Islam.

Kelemahan umat Islam dalam bidang ilmu pengetahuan, teknologi dan ekonomi membuatkan negara dan Kerajaan Islam amat bergantung kepada Barat, dan hal ini membawa implikasi negatif kepada maruah dan prestasi umat dan Kerajaan Islam.

Kekeliruan umat Islam sendiri dalam mentafsirkan ajaran Islam sesuai dengan contoh tauladan yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat, serta mengikut falsafat Siyasah Shar’iyah dan hikmahnya, menimbulkan krisis pemikiran yang amat mengelirukan pandaangan umum terhadap Islam, termasuk dalam memperojekkan imej positif Islam itu sendiri.

Kecenderungan para pemimpin Islam yang mengambil kuasa Barat sebagai kroninya dengan motif menjaga takhta dan kekayaan serta kuasa masing-masing meletakkan pemerintahan Islam di bawah kawalan dan telunjuk Barat, seterusnya tidak menyumbang kepada peningkatan maruah dan prestasi umat Islam sendiri, dan hal ini membantu penindasan Barat terhadap umat Islam, termasuk medianya yang berusaha seiringan dengan kuasa Barat untuk melemahkan umat Islam dan agama Islam itu sendiri.

Masanya telah tiba untuk media Islam dalam semua salurannya meletakkan keutamaan untuk menjalankan usaha dan aktiviti serta penerangan yang berkesan dalam menggambarkan ajaran Islam yang sebenarnya dalam aspek-aspek yang menjatuhkan imej Islam pada hari ini, dan lebih giat lagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan “road show” untuk menjelaskan hakikat agama Islam dalam masyarakat moden.

Satu cita-cita yang ideal bagi saya ialah mendapatkan kesefahaman umat Islam seluruhnya tentang agenda pembangunan negara dalam bidang pendidikan, ekonomi, politik, wanita, dan agama sendiri dalam menghadapi persaingan dunia moden dan global ini, maka pada ketika itu negara-negara Islam akan dapat membangun seiring dengan dunia maju di Barat dan menonjolkan model umatnya yang bertamadun. Hanya dengan kemajuan Dunia Islam, dan ketrampilan umat Islam dalam segala aspek kehidupannya, yang diharapkan dapat mengubah persepsi Barat terhadap Islam dan umatnya, termasuk projeksi media Barat terhadap Islam sendiri.

- Penulis ialah Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, UKM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ten − 3 =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib