Home » Resensi » Sejarah peradaban Islam kota suci Madinah

Sejarah peradaban Islam kota suci Madinah

Ibn Khaldun (1332-1406), seorang tokoh sejarah dan kemasyarakatan walaupun tidak menyebut secara terang-terangan mengenai peradaban yang ada di kota Madinah (sebelum penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dikenali sebagai Yathrib), beliau sebenarnya cuba menggambarkan bahawa kota tersebut telah membentuk sebuah peradaban yang tinggi dan sebuah tatacara kehidupan masyarakat pelbagai keturunan dan agama yang harmoni. Asas itulah menjadikan istilah masyarakat madani atau civil society yang kita kenali sekarang.

Menurut Profesor Dr. Muhammad Naguib Al-Attas dalam Masyarakat Madani Malaysia: Satu Gagasan , perkataan madani berasal dari kata dasar “din” atau agama (Islam) itu sendiri. Meskipun makna perkataan “din” itu pelbagai, secara tepatnya pengertian tersebut menjurus kepada kebenaran. Hakikatnya, kehalusan makna “din” itulah kita mendapat perkataan “madinah”.

Perkataan madinah pula menunjukkan sebuah tempat yang telah wujud satu bentuk kefahaman yang tinggi dan dari perkataan tersebut juga dikatakan lahirnya istilah tamadun. Tamadun merujuk kepada tempat di mana masyarakatnya telah mencapai tahap keinsanan yang luhur.

Tahap keinsanan yang menyanjungi dan menghormati tatasusila hukum dan undang-undang, pihak penguasa yang melaksanakan peraturan itu melakukan secara berhemah, adil dan bijaksana. Setiap rakyat diberikan hak yang sesuai dengan  kedudukannya selagi mereka menghormati prinsip bermasyarakat. Tidak terdapat paksaan dan istilah hagemoni politik atau agama kerana setiap rakyat berhak dengan agama asal masing-masing sebagaimana ditentukan oleh Islam dengan syarat tidak mengkhianati penganut Islam.

Membaca buku Madinah: Kota Suci, Piagam Madinah dan Teladan Nabi Muhammad SAW karangan seorang penggiat organisasi Islam Indonesia dan anak muda Nahdatul Ulama (lulusan Universiti Azhar) ini terasa sebuah analisis yang tepat pada masanya untuk kita memahami apakah sebenarnya bentuk masyarakat yang ingin diasaskan oleh Islam. Zuhairi Misrawi nyata menulis dengan menggunakan sudut pandangan yang kuat, kajian mendalam mengenai warisan intelektual tentang kota pertama yang membentuk tamadun kemasyarakatan yang terbesar dan penuh kedamaian ini.

Tamadun awal sebelum Islam kebanyakannya berasaskan faktor ekonomi dan budaya, tidak banyak menyorot secara mendalam mengenai hubungan sosial antara masyarakat pelbagai agama. Tamadun awal kebanyakannya lahir dalam keadaan homogeny, iaitu berdasarkan penyatuan satu kaum, agama dan kepercayaan, serta budaya. Ia tidak merangkumi kehidupan hetrogen, masyarakat majmuk.

Madinah merupakan kota suci yang kedua dikunjungi oleh jemaah haji atau umrah dan jika tidak ke sana seolah-olah ibadat tersebut tidak lengkap. Tanpa memerlukan promosi yang berlebihan, sebagaimana lain-lain kota termewah di dunia, Mekah dan Madinah tetap dikunjungi oleh jutaan umat Islam setiap tahun.

Dengan memahamai setiap bab yang dianalisis berdasarkan pendekatan sosiologi dan sejarah ini memberikan kita kefahaman mendalam betapa Islam telah lama mewariskan satu bentuk masyarakat madani atau civil society jauh sebelum pemikir-pemikir barat seperti Thomas Hobbes (1588-1679), John Locke (1632-1704), Baron de Montesquieu (1689-1755), Friederich Hegel (1770-1831), Karl Marx (1818-1883), Frederick Engels (1820-1895), Antonio Gramsci (1891-1937) dan Max Weber (1864-1920).

Piagam Madinah (590-an atau Abad ke-6) telah muncul lebih seribu tahun sebelum Montesqieu mengemukakan teori kesejahteraan undang-undang bagi mengurangkan ketidakadilan dalam masyarakat. Islam telah mempraktikkan suasana hubungan antara kelompok secara saksama hampir seribu dua ratus tahun sebelum Antonio Gramsi mempopularkan istilah hegemoni sosial bagi menjelaskan hubungan antara kelompok bangsawan (termasuk tuan tanah) dengan pekerja, pusat dengan desa dan kuasa politik kerajaan dengan penduduk. Piagam Madinah lebih terkedepan berbanding pandangan Karl Marx dan Frederick Engels mengenai masyarakat tanpa kelas dan cengkaman kaum borjuis.

Menurut pengarang,Madinah adalah “kota suci yang menyimpan keistimewaan makna dan nilai. Madinah adalah tempat turunnya wahyu al-Qur’an dan hadis-hadisnya. Dari kota inilah sumber primier Islam disebarkan ke seantero dunia. Di kota ini pula, alqur’an untuk pertama kalinya dikodifikasikan dalam mushaf yang dibaca oleh seluruh umat Islam, yang kemudian dikenali dengan Mushaf Utsman. Madinah adalah kota spiritual yang telah membangkitkan gairah dan kepercayaan yang tinggi bagi setiap muslim.” (hal.14).

Kerana Madinah memberikan kadar “pencerahan batin yang sangat kuat”, “kehidupan yang dibangun oleh prinsip saling pengertian, pengakuan hidup terhadap hak orang lain dan membangun spritualitis yang dapat mengukuhkan ketauhidan” maka pengarang memberikan 10 konteks kepentingannya kepada umat Islam/

Konteks pertama ialah berkaitan bahasan awal mengenai literature Madinah. Ia bermula dengan rasa ingin tahu pengarang mengenaim kota ini sehingga menyebabkan beliau begitu kagum dengan beberapa gambaran awal hasil tulisan klasik Arab termasuk rangka teori kemasyarakatan Ibn Khaldun.

Dalam kerangka dimensi sosial Ibn Khaldun, pengarang menemukan bahawa “Madinah merupakan salah satu laobratorium sosial..Di Madinah, Islam tidak hanya menjadi panduan teologis, tetapi juga menjadi panduan peradaban, terutama dalam membentuk sebuah masyarakat yang menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan dan kesetaraan.” (hal.16)

Konteks kedua ialah perjalanan menuju ke Madinah sebagai “sebuah perjalanan dalam rangka mengenal perjalanan hijrah Nabi di masa lalu… Perjalanan ke Madinah merupakan perjalanan spiritual yang berawal dari mimpi..Madinah mempunyai magnet yang sangat kuat, kerana  setiap Muslim yang datang ke kota ini merasakan ketenangan batin tersendiri. Perjalanan yang lumayan melelahkan terobati oleh aura kota Madinah.” (hal. 17)

Konteks ketiga mengenai keistimewaan Madinah, Keistimewaannya tidak dimiliki oleh lain-lain kota Arab. Ia mempunyai kaitan yang rapat dengan Nabi, setelah menghadapi ancaman dari penduduk Mekah, baginda berdoa agar dapat menemukan sebuah tempat yang dapat menerima Islam dengan baik. Setelah berhijrah, menyususn strategi dakwah, mendapat petunjuk Allah s.w.t, baginda begitu menyintai Madinah sehingga ia merupakan tempat baginda dikebumikan, walaupun Mekah merupakan kota kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Madinah juga dikenali sebagai kota ilmu dan pertanian. Sebelum itu, kebanyakan pendudukan Arab mengamalkan konsep pertanian pindah, dan setelah Islam bertapak di Madinah,atas kesuburan tanahnya maka penduduk mengusahakan pertanian secara kekal. Tidak lagi sebagai kelompok nomad.

Konteks keempat semasa sebelum kemasukan Islam. Orang pertama dikatakan tiba di Madinah bernama Yatsrib maka itulah permulaan dinamakan dengan nama tersebut. Apabila Yathrib pindah ke Juhfah tidak lama kemudian, pemtadbirannya diambil oleh Dinasti Amalekit dari Mesir. Kemudiannya, orang Yahudi menguasai kota Madinah setelah Nabi Musa a.s berjaya mengalahkan firaun.

Setelah dikuasai oleh Yahudi, bani Qaynuqa, diikuti bani Qurayza dan Nadhir mula memasuki dan tinggal di Madinah. Kelompok Yahudi menjadi semakin besar apabila kabilah-kabilah Arab yang tiba di Madinah mulai tertarik dengan agama tersebut dan berakhir dengan ketibaan kabilah Aws dan Khazraj. Dengan bantuan Raja Ghassan, kabilah Aws dan Khazraj berjaya menakluki Madinah dari kelompok Yahudi. Sejak dari itulah berlakunya persaingan antara Yahudi dan Kristian di Madinah.

Konteks kelima ialah semasa dikuasai oleh Islam. Jika sebelumnya ia banyak memberikan gambaran konflik dan persaingan antara kebilah, dengan kedatangan Islam Madinah sudah menjadi pusat pertumbuhan baru dalam hubungan kemasyarakatan antara agama. Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w disambut baik oleh kabilah Aus dan Khazraj, namun atas niat buruk kelompok Yahudi terus mencari jalan untuk memecahbelahkan perpaduan antara dua kabilah yang berkuasa.

Nabi mengamalkan komunikasi secara intensif dengan semua kaum yang ada di Madinah. Hasilnya, setiap kaum yang tinggal di Madinah ikut beriltizam untuk tinggal secara aman dan damai, tanpa berusaha menyakitkan hati kabilah yang lain. Tahap persaudaraan antara kelompok kabilah berjaya dibentuk oleh Nabi Muhammad s.a.w, dan bukan Islam ikut menghormati masyarakat Islam. Masyarakat Islam menghormati penganut agama lain, selagi mereka tidak memburuk-burukkan Islam.

Konteks keenam ialah period moden Madinah. Dinasti Uthmaniyyah (Ottoman) merupakan penggerak utama kemodenan Madinah yang kemudiannya diikuti oleh Dinasti Arab Saudi (Saud). Dinasti Saud menguasai Hijaz pada tahun 1932 dan terus membangunkan Madinah dengan kemudahan-kemudahan moden yang serba lengkap. Setelah ditemukan sumber minyak dan peningkatan harga, Madinah turut mengalami kadar pembangunan yang cepat dan drastik. Dalam masa setahun lagi, Madinah turut mempunyai rangkaian keretapi metro yang tercanggih selepas Mekah yang mula beroperasi pada musim haji tahun ini.

Konteks ketujuh ialah mengenai Piagam Madinah. Piagam Madinah dikatakan sebagai konteks perjanjian bertulis yang pertama dalam sejarah manusia dan termoden. Sebelum masyarakat mengenali undang-undang bertulis, penduduk Madinah sudah mempunyai sebuah peraturan yang menjamin kehidupan dan kerukunan masyarakat dan merupakan khazanah penting dalam pembentukan sebuah negara bangsa yang dikenali dalam konteks sosio-politik moden.

Madinah pada zaman Rasulullah memberikan pengajaran yang besar tentang kehidupan bermasyarakat dan menjadi rujukan ulang mengenai konsep masyarakat madani. Keteladanan politik yang diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w di Madinah dikatakan menyamai dengan konsep demokrasi deliberative yang menjadi keinginan semua pihak yang cintakan keamanan, kedamaian dan kesejhateraan sosial.

Konteks kelapan ialah nilai-nilai sejarah yang terdapat di Madinah. Madinah mempunyai warisan sejarah yang besar bagi Islam. Jika di Mekah ada Kaabah, maka di Madinah terdapatnya Masjid Nabawi (masjid pertama yang didirikan oleh Rasulullah s.a.w). Setelah baginda wafat, struktur masjid ini terus diperbaiki oleh pemerintah selepasnya, termasuk Dinasti Umayyah, Abassiyah, Usmaniyyah dan Dinasti Saud. Di zaman Raja Fahd bin Abdul Aziz dari Dinasti Saud, Masjid Nabawi mengalami penambahbaikan secara besar-besaran bagi membolehkan lebih ramai jemaah dapat ditampung dalam sesuatu masa.

Konteks kesembilan ialah ziarah ke makam Nabi Muhammad s.a.w. Kunjungan ke Madinah terasa hambar jika tidak menziarahi makam Rasulullah s.a.w walaupun ada kontroversi berlebihan bahawa ritual tersebut tidaklah termasuk dalam ritual haji. Jika di Mekah dianggap sebagai Rumah Allah, Madinah adalah rumah Nabi Muhammad s.a.w.

Konteks kesepuluh ialah meneladani peribadi Nabi Muhamad SAW. Dari keseluruhan kisah sejarah kehidupan bermasyarakat, strategi berdakwah dan struktur sosio-ekonomi kita dapat banyak pengajaran yang berguna baik sebagai kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan urusan ekonomi, Madinah memberikan ruang model yang sempurna dalam kehidupan damai, tenang dan harmoni. Inilah yang harus diteladani apa yang dipraktikan oleh Nabi Muhamad SAW sepanjang proses penyampaian dakwah sehingga menjadikan keseluruhan wilayah Arab menerima Islam dan tersebar ke seluruh dunia.

Peribadi penuh hemah, teladan penuh kesederhanaan menjadikan Madinah kota suci peradaban tinggi. Hal ini turut diakui oleh Karen Armstrong (2002), “langkah Muhamad SAW untuk melaksanakan hijrah ke Madinah merupakan sebua langkah revolusioner. Baginda berhasil menerapkan nilai-nilai al-Qur’an secara  komprehensif. Hubungan antara kelompok yang sebelumnya dibangun atas pertalian darah, kemudian diubah oleh Nabi berdasarkan ideologi yang sama. Nabi tidak melakukan pemaksaan kepada kelompok lain. Ia justru menyebut orang-orang Muslim, kaum pagan, dan Yahudi sebagai ummah, yang mana antara mereka bersepakat untuk tidak saling menyerang dan menjamin kebebasan bagi setiap kelompok. Nabi Muhammad SAW telah menjadi sumber inspirasi bagi perdamaian.” (hal. 31)

Buku setebal hampir 500 halaman ini sebenarnya amat menarik. Pada mulanya terasa agak tebal, tetapi setelah memulakan bacaan, saya tidak mampu untuk berhenti. Saya ikut tersentuh dengan gaya bahasa yang digunakan walaupun kadangkala disulami oleh pendapat dan kutipan tulisan, kerana pengarang cuba mengadunkan perspektif ilmiah. Saya mempunyai kepuasan dan memungut banyak pengetahuan mengenai Kota Madinah.

Madinah yang menjadi kiblat pertama umat Islam, turut memberikan kita ilham segar mengenai keteladanan kepimpinan unggul yang pernah hadir dalam sejarah manusia. Membaca buku ini telah memberikan saya motivasi dan keyakinan bahawa Islam mampu mendepani setiap masalah sosial yang sedang ruwet pada zaman ini, termasuk masalah bencana sosial, hagemoni kaum dan ketimpangan kepimpinan. Ia bergantung kepada bagaimana kita mampu mendefinisikan kembali makna tanggungjawab dan kewajipan kepada diri sendiri, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Pedoman sudah ada, Cuma yang tinggal ia iltizam kita bersama untuk memperkasakan sebuah masyarakat madani muncul setelah Madinah memberikan kita sebuah model pada zaman keagungan Islam.

Nama Buku               : Madinah: Kota Suci, Piagam Madinah dan Teladan Muhammad SAW

Nama Penulis            : Zuhairi Misrawi

Nama Penerbit          : Kompas, Jakarta, 2009.

Jumlah Halaman        : 488 + xxiv

Pengulas                    : KAMARUN KH

commentscomments

  1. chen says:

    jk melihat dari paparan di atas, saya berkesimpulan bahwa ternyata Islam mampu menjadi sistem kemasyarakatan yg utuh,dan ataau bisa jadi sebuah sistem pemerintahan negara
    apakah Islam adalah solusi terbaik untuk negara republik ini??
    mohon petunjuk!

  2. Banisoleh says:

    madinah adalah kota terpenting untuk kita karena disitu ada maqom baginda Rosul mari kita kokohkan aqidah Ahlussunnah waljama’ah ….. pertahankan… Jangan sampai Wahabi mengacak-acak maqom Nabi ….. ? dengan alasan Syirik,musyrik ….

  3. I used to be suggested this web site by my cousin. I’m now not certain whether this publish is written by means of him as no one else understand such precise approximately my difficulty. You’re amazing! Thank you!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twelve − eight =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib