Wang beribadat untuk kita

August 25, 2010 10:51 AM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh AZMY MOHAMED

Ungkapan ‘Wang Bekerja Untuk Kita’ menyebabkan ramai orang terjerumus ke dalam skim cepat kaya. Daripada yang tidak berpelajaran kepada lulusan universiti termasuk yang berstatus Ph.D. Semuanya gara-gara mahu menjadi jutawan segera dengan goyang kaki sahaja.

Dari segi ilmu ekonomi, ungkapan ini tidak salah malah memang ada kebenarannya. Secara konsepnya, wang yang kita laburkan akan menjana pulangan tetapi tidak semestinya keuntungan. Ia tertakluk kepada turun naik pasaran.

Hal ini berbeza dengan skim cepat kaya yang menjanjikan pulangan secara tetap pada tempoh tertentu. Skim ini langsung tidak menjalankan sebarang transaksi atau urusan perniagaan mahupun pelaburan. Pengendalinya membayar dividen, faedah dan bonus menggunakan duit ahli baru. Apabila tiada ahli baru maka mereka ’mati’. Tiada lagi pulangan. Hanya tinggal kerugian.

Tambahan pula, cara kutipan wang melalui ejen-ejen yang tidak mendapat lesen daripada Bank Negara Malaysia amat berisiko tinggi. Kes yang melibatkan orang tengah melarikan duit pelaburan banyak telah dilaporkan. Namun masyarakat masih tidak serik dan ramai yang gagal mengawal nafsu.

Sesungguhnya memiliki harta dan wang yang banyak memang menjadi impian semua orang. Melalui wang atau harta ini, sebagai umat Islam, kita boleh memanfaatkannya untuk tujuan ibadat atau dengan perkataan lain “Wang Beribadat Untuk Kita’.

Pertama, sebahagian daripada wang atau harta yang kita miliki perlu dibayar zakat. Ia merupakan ibadat wajib dan salah satu Rukun Islam. Zakat harta dan hasil perniagaan ini akan digunakan oleh pengurus zakat untuk membantu para asnaf dan golongan yang layak menerimanya.

Ada yang dibelanjakan untuk pendidikan anak-anak yatim dan golongan yang tidak berkemampuan.  Sebahagian lagi untuk membiayai rawatan perubatan orang-orang tua dan penghidap pelbagai penyakit kronik.

Secara mudahnya, pelaburan melalui zakat ini bukan sahaja menyucikan harta malah memberi keberkatan kepada individu berkenaan. Doa daripada anak-anak yatim dan orang-orang tua ini juga sentiasa memberi rahmat kepada para pengeluar zakat.

Kedua, gunakan wang atau yang harta ini untuk menubuhkan yayasan demi memajukan ummah dan pembinaan modal insan. Contoh terbaik ialah Yayasan Al-Bukhary yang menyediakan skim baucer tuisyen untuk membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar Melayu Islam yang kurang berkemampuan tetapi berpotensi cemerlang.

Malah pendekatan ini turut diamalkan oleh bilionwan antarabangsa seperti Bill Gates dengan Yayasan Bill dan Melinda Gatesnya. Aktiviti kebajikannya bersifat global merentas agama, budaya dan bangsa.

Ketiga, wang atau harta boleh dibelanjakan untuk jihad di jalan Allah sebagaimana yang dilakukan isteri baginda, Saidatina Kadijah. Wanita agung ini telah menyedekahkan segala kekayaannya untuk digunakan oleh Rasullullah mengembangkan syiar Islam. Beliau tinggal sehelai sepinggang  pada akhir usianya namun dijanjikan ganjaran syurga oleh Allah s.w.t.

Justeru, kita perlu mencontohi sikap beliau. Membelanjakan wang atau harta untuk tujuan jihad dan dakwah tetapi bukan dengan cara kekerasan seperti pendekatan pengebom berani mati atau perang gerila ala al-Qaeda.

Mungkin pendekatan mubaligh Kristian yang sanggup berdakawah sehingga ke tengah hutan belantara demi menyampaikan ajaran mereka. Golongan ini sanggup menghabiskan masa dan meninggalkan kesenangan dunia untuk mencapai misi suci mengkristiankan  penduduk Asli atau masyarakat primitif yang lain.

Malah mereka sanggup membantu golongan remaja di bandar yang bermasalah dengan cara penuh kasih sayang. Memberi sedikit wang, makan dan tempat perlindungan adalah kaedah halus untuk memurtadkan budak-budak remaja ini.

Semua ini memerlukan biaya dan dana yang besar. Oleh itu, para haratawan dan dermawan Muslim yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh perlu memikirkan satu pendekatan untuk menyalurkan bantuan dana bagi membiayai usaha dakwah dan jihad ini sama ada di eringkat nasional mahupun global.

Keempat, wang juga boleh beribadat untuk kita jika digunakan untuk membantu meringankan penderitaan sesama insan yang ditimpa musibah akibat peperangan atau bencana alam.

Aktiviti kebajikan seperti Misi Bantuan Keamanan Ke Gaza adalah satu cara bagaimana wang dapat ’menggantikan’ tempat kita kerana tidak dapat menyertai Misi tersebut atas kekangan yang tidak dapat dielakkan. Wang  yang disumbangkan boleh digunakan untuk membeli ubat-ubatan, makanan dan pakaian bagi kegunaan penduduk Gaza yang dizalimi rejim Zionis.

Selain itu, kita juga boleh menyumbang untuk mangsa banjir di Pakistan sekarang ini. Membantu sesama umat ini setidak-tidaknya menunjukkan semangat setia kawan kita. Ia juga bagi memberi satu persepsi positif kepada masyarakat dunia bahawa umat Islam bersatu dan mampu membantu antara sama lain.

Sebelum ini, ketika Aceh dilanda tsunami, negara kita menghulurkan sumbangan dana yang besar jumlahnya untuk pembangunan semula wilayah itu. Aceh juga menerima sumbangan daripada pertubuhan dan organisasi  yang lain.

Cuma yang menjadi kebimbangan ialah bantuan asing ini datang dengan agenda tersembunyi. Mungkin untuk merosakkan akidah anak muda kita. Mungkin juga sebagai satu penjajahan bentuk baru yang membataskan kerajaan daripada melaksanakan ajaran dan tuntutan agama.

Sebaliknya, jika bantuan diterima daripada rakan seagama, tiada apa yang yang perlu dirisaukan. Segalanya mencari keredaan yang Maha Esa dalam menyebarluaskan syiar Islam.

Kesimpulannya, bersedekah atau beramal jariah menggunakan wang dan harta yang dimiliki sebagai pelaburan untuk bekalan di akhirat adalah satu tuntutan agama sepertimana sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud: “Apabila manusia mati, terputuslah daripadanya segala amalannya, kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang berdo’a untuknya”.

Leave a Reply