Turki berhasrat bina masjid terbesar di Washington (dan 4 berita lain)
Belum pun reda dengan kontroversi pembinaan Cordoba House setinggi 13 tingkat yang turut mengandungi pusat aktiviti, masjid dan bilik persidangan berhampiran kawasan runtuhan World Trade Center sembilan tahun lalu, kerajaan Turki dengan kerjasama beberapa buah pertubuhan wakaf Islam sedang berusaha untuk membangunkan sebuah masjid terbesar di Washington DC.
Sepuluh tahun lalu, kerajaan Republik Turki telah membeli sebidang tanah seluas 63,000 meter persegi di sebuah kawasan di Washington bagi tujuan tersebut, yang bakal merupakan sebuah masjid terbesar. Sejak itu juga Kerajaan Turki dan beberapa pertubuhan wakaf Islam turut berusaha untuk mendapatkan kebenaran dari pentadbiran Amerika Syarikat bagi menyempurnakan hasrat tersebut.
Menurut sebuah akhbar online Turki, Dunya Bulteni pada 27 Ogos lalu melaporkan kebenaran tersebut dijangka akan dapat diputuskan oleh pentadbiran Amerika Syarikay sebelum berlangsungnya pilihan raya separuh penggal yang akan diadakan pada bulan Oktober ini bagi Washington DC.
Masyarakat Turki di Amerika Syarikat yang dibantu oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan semakin giat melancarkan kempen dalam kalangan masyarakat setempat termasuk melipatgandakan usaha berkempen dari rumah ke rumah dan gereja berdekatan bagi meraih sokongan mengenai cadangan tersebut.
Setakat ini terdapat sekitar 15,000 rakyat keturunan Turki yang menetap di Washington dan mengikut perancangannya, pembangunan masjid terbesar itu turut mengambil kira penyatuan rekabentuk masjid Turki Saljuk, Ottoman dan Turki moden.
Pemuda Maghribi dituduh rekrut pelampau Islam menerusi internet
Seorang pemuda Maghribi telah ditahan oleh pihak keselamatan Sepanyol atas tuduhan merekrut lebih ramai anggota ekstrimis Islam dan mengumpul dana bagi membiayai aktiviti ganas melalui internet.
Menurut sumber dari Kementerian Dalam Negeri Sepanyol, Faical Errai, 26 tahun telah ditahan pada hari Jumaat (27 Ogos) di Bandar Poble Nou de Benitatxell berhampiran dengan Bandar pesisir di timur Alicante.
Dalam kenyataan tersebut, Faical dituduh telah menggunakan laman web bagi menyebarkan maklumat mengenai rancangan tersebut dan menyeru lebih ramai akan menyertai gerakan itu melalui tafsiran mengenai konsep jihad, termasuk jihad melalui kekerasan.
Pihak polis turut mengesyaki bahawa Faical telah membantu mengumpulkan wang untuk disalurkan kepada kelompok ekstemis Islam di kawasan yang sedang berhadapan dengan konflik termasuk Afghanistan dan Chechnya.
Semasa menggelidah rumahnya, pihak polis turut merampas tiga buah unit komputer yang disyaki dapat membantu mendapatkan maklumat lengkap mengenai aktiviti
Melalui siasatan awal yang mengarahkan kepada penangkapannya, pihak polis Sepanyol telah mendapat kerjasama dari pasukan polis Belgium, Amerika Syarikat, Perancis, Jordan, Mexico dan Maghribi.
Media Amerika Syarikat penyebar Islamofobia
Corey Slayor, pengarah perundangan Majlis Hubungan Islam-Amerika (CAIR) mendakwa bahawa media Amerika Syarikat telah menimbulkan Islamofobia sehingga menyebabkan orang Islam merasa dirinya terasing dan sering ketakutan.
Kecaman tersebut telah dibuat oleh Corey Slayor dalam satu temu ramah oleh Press TV dengan berkata: “beberapa orang yang membuat ulasan dan mengetengahkannya seperti disiarkan oleh Fox News amat cenderung berbahaya. Ungkapan-ungkapan yang dilontarkan memperlihatkan satu kesan yang menakutkan dan kini semakin menjadi bahan kemarahan.”
Kenyataan CAIR itu muncul ketika beberapa orang pakar turut menyelar aktiviti memperburuk-burukkan maysrakat Islam. Pakar-pakar tersebut turut melahirkan keperihatinan mereka terhadap dasar yang diamalkan oleh kerajaan yang turut mengembangkan salah faham dan kebencian terhadap Islam.
Bagi memperbetulkan salah tanggapan tersebut, ia akan mengambil masa yang panjang dan menurut Slayor, penentangan golongan tertentu termasuk ahli politik terhadap pembinaan Pusat Komuniti Islam berhampiran Ground Zero sebagai bukti jelas meningkatnya sentimen anti-Islam di Amerika Syarikat.
Pada hari Jumaat lalu seorang pemandu teksi yang mengesahkan identitinya sebagai seorang Islam telah ditikam oleh seorang pemuda di New York manakala sehari selepasnya telah berlaku percubaan seorang yang lain meredah masuk ke dalam sebuah masjid dengan menyiram arak ke atas sebidang sejadah ketika umat Islam sedang melakukan ibadat.
Kemarahan masyarakat Lower Manhattan menjadi semakin panas apabila presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama memberikan reaksi bahawa masyarakat Islam berhak untuk mengamalkan agama dan boleh mendirikan masjid di atas tanah persendirian. Sebagai rakyat dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berkata atas prinsip kebebasan beragama, pembinaan masjid dan mengamalkan hak beragama tidak menjadi suatu kesalahan.
Atas dokongan tersebut, kumpulan yang melancarkan kempen menentang pembinaan masjid tersebut telah mengadakan beberapa siri bantahan dan beberapa pemimpin politik sama ada dari Parti Republikan dan Demokrat turut mengambil bahagian. Walau bagaimanapun, Parti Republikan mendahului dalam protes tersebut kerana ia dilihat sebagai senjata paling berkesan untuk merampas pengaruh Parti Demokrat menjelang pilihan raya pertengahan penggal yang akan diadakan pada bulan November di New York.
Sebuah gereja telah mengumumkan akan mengadakan hari membakar al-Quran sempena ulang tahun ke-9 runtuhnya Pusat Dagangan Dunia pada 11 September ini dan tragedi tersebut terus dilihat sebagai bukti keganasan Islam.
Ekoran tragedy itu, Islam terus diserang dan dikambinghitamkan sebagai terror. Era George W. Bush mengisytiharkan bahawa beberapa buah negara Islam yang ada hubung kait dengan pergerakan al-Qaeda sebagai sasaran penghapusan “terrorisme” termasuk menyerang Iraq, Afghanistan dan melakukan serangan ke atas beberapa buah negara tanpa mempedulikan kemusnahan yang terpaksa ditanggung oleh negara mangsa.
Lapan buah bank di Amerika Syarikat ditutup
Sebanyak lapan buah bank di Amerika Syarikat telah ditutup pada hari Jumaat lalu menjadikan keseluruhan bank yang mengalami masalah beban hutang kesemuanya berjumlah 118 buah diisiytiharkan bangkrap sejak berlakunya krisis subprima pada tahun 2007.
Enam buah bank yang tersungkur itu sebenarnya sudah lebih dua tahun berada dalam pengawasan The Street’s Bank Watch.
Menurut Federal Deposit Insurance Corporation, nisbah deposit dan cawangan bank yang bangkrap itu telah mencapai ke peringkat deposit insuran terkumpul sebanyak USD 473.5 juta
Shore Bank of Chicago yang mempunyai jumlah asset sebanyak USD 2.16 juta merupakan bank yang mengalami ketidakupayaan terbesar dan akhirnya diisytiharkan bangkrap pada hari Jumaat lalu. Berdasarkan laporan Bloomberg, pada 5 Ogos lalu pihak pengurusan bank menolak cadangan untuk dibailoutkan oleh sebuah dana.
Lain-lain bank terlibat dalam kemelut tersebut ialah empat buah di California dan dua buah lagi di Florida.
Peningkatan jumlah bank yang diisytiharkan bangkrap jelas memberikan petunjuk bahawa ekonomi Amerika Syarikat semakin lemah dan jauh dari jangkaan pemulihannya sehingga menyebabkan awal bulan ini Presiden Barrack Obama menyarankan agar para pelabur rakyat Amerika Syarikat kembali melakukan pelaburan dalam negeri.
Keinginan bunuh diri makin menghantui tentera Amerika Syarikat
Menurut sebuah tinjauan yang dilaksanakan bahawa semakin ramai tentera Amerika Syarikat membayangkan akhir kehidupan mereka sebagai tentara adalah dengan cara membunuh diri.
Akibat tertekan dengan tugas yang tidak diketahui kepentingannya, tentera Amerika Syarikat merasakan penglibatannya dalam peperangan di beberapa negara adalah suatu bentuk penyiksaan yang menyebabkan kecelaruan mental.
Dengan meningkatnya peperangan, semakin ramai warganegara Amerika Syarikat terpaksa melupakan kehidupan bebasnya, sebaliknya terpaksa dikerahkan menganggotai pasukan militer yang semakin meningkat dan membebankan.
Beberapa tugasa yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat telah menyebabkan ganggungan fizikal dan mental. Keadaan ini sebelumnya tidaklah seburuk yang berlaku pada masa kini, setelah Amerika Syarikat menjajah Iraq dan Afghanistan di mana kemungkinan serangan balas dari kelompok penentang semakin hebat dan tidak dapat dibendung sepenuhnya.
Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Joint Department 0f Defense Prevention of Suicide Task Force, lebih ramai anggota tentera membayangkan akan membunuh diri. Kesan terkumpul dari pelbagai faktor menjelaskan bahawa banyak sebab yang mendorong kepada keputusan tersebut.
Melalui temuduga lebih 2,000 responden, termasuk keluarga anggota tentera, ahli psikitiari professional dan tokoh agama mengakui bahawa perubahan tingkahlaku anggota tentera telah menyebabkan meningkatnya stress secara mendadak.
Bagi mengurangi masalah tersebut, responden turut mencadangkan agar stres yang sedang dihadapi oleh askar yang bertugas di luar negara perlu dikurangkan, termasuk tidak berada terlalu lama di sesebuah negara. Askar Amerika Syarikat turut tidak berpuashati dengan dasar kerajaan yang menggunakan khidmat firma swasta dalam mengendalikan keselamatan manakala askar-askar terus dikerahkan untuk berperang. Anggota keselamatan swasta hanya dipertanggungjawabkan menjadi keselamatan kawasan kem dan asset Amerika Syarikat, mereka tidak berada di medan peperangan tetapi dibayar upah yang tinggi.
Masalah bunuh diri dalam kalangan tentera Amerika Syarikat semakin meningkat dan pada tahun ini sudah mencapai tahap 250 orang termasuk anggota marin dan juruterbang. Masalah lain yang menyebabkan kes bunuh diri ialah tidak ada hubungan yang mesra, masalah kewangan dan persoalan peraturan tentera yang meminggirkan hal-hal yang bersangkutan dengan nilai kemanusiaan. Pihak tentera tidak semuanya berhati singa, malah masih ramai juga mempertimbangkan persoalan moral sebelum melakukan sesuatu tindakan, dan ini amat bertentangan dengan prinsip ketenteraan.
Susunan MAHANOR SALEHA





