Simbolisme Lailatul Qadar

August 29, 2010 8:33 AM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh MUHAMMAD HATIM

Disebabkan Lailatul Qadar itu abstrak, bersifat spiritual dan rohaniah dan tidak boleh dipastikan melalui kajian, maka timbullah pendapat yang pelbagai mengenainya. Pelbagai cerita mitos terbit ketika lailatulqadar turun iaitu seperti air sungai berhenti mengalir, pohon-pohon serta tumbuhan tunduk tenang, alam maya kelihatan cerah dan sebagainya.

Justeru, Lailatul Qadar ini kita dapatkan asas legalitasinya dalam al-Quran, maka selayaknya ia memberi tanda-tanda itu agar tidak terjadi penyelewengan dan menimbulkan cerita-cerita karut dan tidak masuk akal. Bagaimana sebenarnya al-Quran berbicara soal tanda- tanda Lailatul Qadar ini?

Di dalam surah al-Qadr (97), ayat terakhir, Allah s.w.t menyebut tanda-tandanya: “Sa laamun hiya hatta matla‘il fajr” – kedamaian atau kenikmatan hakiki (terjadi) pada malam itu hingga terbit fajar. Jadi, jelas tandanya tidak bersifat lahiriah kerana kedamaian itu adalah sesuatu yang dirasakan. Hakikatnya sesiapa yang mendapatkan Lailatul Qadar, akan berasa kedamaian atau ketenangan yang luar biasa dalam dirinya pada malam itu hingga terbit fajar. Justeru itu di dalam surah ad-Dukhan (44) ayat 3, Lailatul Qadar disebut Laylatun mubaarakah kerana kedamaian hati yang bersumber terus daripada Allah adalah berkat yang paling tinggi. Ia bagaikan air sejuk bagi musafir yang kehausan.

Al-Quran adalah sumber pengetahuan tertinggi dan kerananya, kebenarannya tidak diragukan. Ia hanya dapat dicapai melalui darjat intelektual paling tinggi iaitu intelek kenabian. Sekurang-kurangnya jika kita dapat sekadar percikannya sahaja pada malam Lailatul Qadar bermakna mujahadah kita waktu itu sekurang-kurangnya berhasil menyentuh intelek kenabian. Dan itulah kenikmatan dan sekali gus berkat yang paling tinggi. Nilainya pasti lebih mulia dari seribu bulan.

Inilah malam yang sangat dinantikan oleh umat Islam, malam yang penuh barakah dan lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun rahmat dan kebaikan daripada Allah kepada umat-Nya. Pengalaman mendapatkan lailatulqadar merupakan pengalaman spiritual dan individual. Tidak semua orang mampu mendapatkannya. Ia tidak boleh dicapai hanya dengan kehadiran kita pada malam-malam ganjil 10 malam terakhir Ramadan.

Apa dan bagaimanakah malam Lailatul Qadar itu? Apakah ia terjadi sekali sahaja yakni malam ketika turunnya al-Quran atau terjadi setiap bulan Ramadan? Ada pendapat sesetengah ulama bahawa malam Lailatul Qadar juga berlaku pada malam nisfu Syaaban. Walau bagaimanapun yang pasti ia harus diimani oleh setiap Muslim berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Dukhan (ayat 3 – 5) yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada suatu malam dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan semua urusan yang penuh hikmah, iaitu urusan yang besar di sisi Kami.”

Dari al-Quran kita menemukan penjelasan bahawa wahyu-wahyu Allah itu diturunkan pada malam Lailatul Qadar. Akan tetapi kerana umat Islam percaya bahawa al-Quran telah sempurna. maka ada yang berpendapat malam mulia itu tidak akan hadir lagi kerana kemuliaan malam itu disebabkan turunnya al-Quran.

Pakar hadis, Ibnu Hajar menyebut riwayat dari penganut fahaman di atas menyatakan, Nabi pernah bersabda, malam Lailatul Qadar tidak akan datang lagi.

Pendapat tersebut ditolak oleh majoriti ulama kerana mereka berpegang pada teks ayat al-Quran serta sekian banyak teks hadis yang menunjukkan lailatulqadar terjadi pada setiap Ramadan. Bahkan Rasulullah menganjurkan umatnya mempersiapkan jiwa menyambut malam mulia itu, secara khusus pada malam-malam ganjil setelah berlalu 20 Ramadan.

Suatu ketika Rasulullah bersabda kepada umatnya yang sedang berkumpul di masjid menunggu Lailatul Qadar. Sabda baginda: Apa yang kamu tunggu-tunggu malam ini akan datang kerana aku telah melihat dalam visi (rukyah) bahawa akan berlaku hujan lebat kemudian aku berlumuran lumpur dan basah kuyup oleh air. Kemudian mereka yang berkumpul itu bersurai.Ternyata malam itu memang terjadi hujan lebat.

Justeru, bangunan masjid di zaman Nabi diperbuat daripada daun kurma, maka air hujan mudah menitis masuk ke dalam lantai masjid yang bertanah. Umat Islam yang ada pada saat kejadian itu melihat apa yang dikatakan Nabi. Nabi dengan mukanya yang basah kuyup dan badan berlumuran tanah liat. Lalu apa yang dimaksud dengan lailatulqadar oleh Nabi? Kerana Nabi mengatakan “Itulah yang kau tunggu-tunggu.” Justeru Lailatul Qadar adalah persoalan rohani, maka tidak ada kata-kata yang mapan untuk menjelaskan. Ia hanya boleh diungkap melalui simbol atau metafora.

Di sinilah timbul masalah tafsir dan takwil di mana Nabi dengan lumpur dan basah dengan air sebenarnya adalah suatu peringatan kepada kita bahawa tingkat paling tinggi dari pengalaman rohani itu ialah kalau kita sudah kembali ke asal kita.

Dari mana kita berasal kalau tidak dari tanah dan air. Allah berfirman yang bermaksud: “Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan yang memulai penciptaan manusia dari tanah.Kemudian Dia menjadikan ke turunannya dari saripati air yang hina (air mani).” (as-Sajdah: 7-8).

Dalam surah Yasin ayat 77 juga diingatkan yang bermaksud:

“Dan apakah manusia tidak memperhatikan bahawa kami menciptakannya dari setitik air (mani), maka tiba-tiba ia menjadi penentang yang nyata.”

Maka dengan berlumuran lumpur dan basah kuyupnya oleh air itu, sebenarnya merupakan simbolisme kita harus kembali menyedari siapa diri kita. Kita harus berhati rendah dan jangan takbur.

Ini semuanya mensyaratkan adanya kesedaran untuk kembali kepada Allah. Pulang kepada Allah itu kemudian dimulai dengan pulang ke tanah. Jadi yang dialami Nabi ialah satu simbolisasi bahawa kita pun akan kembali ke tanah, juga kembali menjadi air.

Tidak ada kebahagiaan yang ingin dicapai melainkan kebahagiaan hakiki di sisi Allah. Inilah yang kita cari dalam tahap rohani puasa ini yang kita alami melalui satu simbolisasi dari lailatulqadar. Tetapi semuanya memang harus dimulai dengan tanah dan air dengan kata lain, kesedaran tentang diri kita yang sesungguhnya.

Jika orang yang ikhlas ada tandanya, maka demikian juga orang yang mendapat lailatulqadar pasti ada tandanya jua. Pertama, apakah kita sudah semakin memahami maksud-maksud suci Allah ketika membaca al-Quran? Kedua, apakah ibadat kita sudah lebih banyak, lebih baik, dan nikmatnya? Ketiga, apakah kita melihat manusia sebagai satu kesatuan tanpa dipilih oleh mana- mana mahzab? Keempat, apakah kita sudah berasa jijik melakukan dosa dan maksiat? Kelima, apakah kita bersedia berlapang dada memaafkan musuh kita?Keenam, jika kita berada dalam kesibukan tetapi banyak melakukan amal ibadah dan zikir dengan tidak mempunyai apa-apa yang harus dibanggakan di hadapan Allah?

Ini semua bererti kemungkinan besar kita berhasil mendapat curahan berkat-Nya melalui Lailatul Qadar.

Leave a Reply