Semangat Ramadan dan semangat merdeka
Oleh ZULKARNAIN ZAKARIA
Ramadan kita jalani. Tibanya ia ketika kita menyambut bulan merdeka. Tibanya hampir serentak, tamatnya pula nanti hampir seiringan. Inilah yang menjadikan Ramadan pada tahun ini begitu istimewa berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Mengapa? Sebenarnya jika kita memahami erti sebenar Ramadan dan merdeka, kedua-duanya hampir sama makna serta semangatnya. Cuba kita tanyakan, apakah yang paling bermakna dalam hidup sahabat Nabi yang bernama Bilal bin Rabbah? Tidak lain dan tidak bukan, ialah Islam dan merdeka – mendapat cahaya kebenaran Islam dari rasul junjungan Muhammad s.a.w dan kemudian, dimerdekakan oleh Saiyidina Abu Bakar r.a.
Akhirnya, dengan Islam dan merdeka itu, Bilal menjadi seorang manusia baru yang berhati waja, bermaruah, tidak dihina dan ditindas lagi. Dengan Islam dan merdeka juga, Bilal – pemuda kulit hitam dari Habsyah yang dipandang hodoh serta diejek kaum jahiliah Quraisy – berubah menjadi pejuang Islam yang tinggi keyakinan dirinya. Tanpa Islam dan merdeka, kita takkan kenal siapa Bilal bin Rabbah.
Begitu jugalah dengan seorang hamba yang bernama Al-Hasan bin Yasar. Beliau adalah seorang maula (hamba lelaki yang telah dimerdekakan) milik seorang sahabat bernama Zaid bin Thabit. Ibunya pula bernama Khairat, seorang maulat (hamba perempuan yang telah dimerdekakan) milik isteri Nabi bernama Ummu Salamah.
Al-Hasan kemudian mendewasa sebagai seorang yang warak, berani, bermaruah tinggi dan sangat dihormati. Dengan Islam dan merdeka, Al-Hassan tidak pernah takut kepada sesiapa pun, termasuk pemerintah dari kalangan Bani Umaiyyah yang bengis dan kejam.
Pernah berlaku, suatu hari Al-Hasan diminta pendapat oleh Umar bin Hubairah mengenai sesuatu perkara yang diperintahkan oleh Khalifah Yazid bin Abdul Malik sedangkan Umar bin Hubairah sendiri tidak berpuas hati mengenai perkara tersebut.
Lalu Al-Hasan menjawab: “Wahai Ibnu Hubairah! Takutlah kepada Allah di dalam melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Yazid dan janganlah kamu takut kepada Yazid di dalam melaksanakan perintah Allah. Ketahuilah bahawa Allah s.w.t berkuasa untuk melindungi kamu dari kemarahan Yazid sedangkan Yazid tidak berkuasa untuk melindungi kamu dari kemurkaan Allah.
“Wahai Ibnu Hubairah! Sedikit masa lagi malaikat yang sangat bengis dan tidak pernah melanggar perintah Allah akan datang kepada kamu. Ia akan memindahkan kamu dari katil kamu ini. Ia akan memindahkan kamu dari Istana kamu yang sangat luas ke kubur kamu yang sangat sempit, di sana kamu tidak akan bertemu dengan Yazid sebaliknya kamu akan bertemu dengan amalan perbuatan kamu yang melanggar perintah Tuhan Yazid.
“Wahai Ibnu Hubairah! Sekiranya kamu tetap bersama dengan Allah dan sentiasa berada di dalam keadaan melakukan ketaatan kepada-Nya, kamu akan terselamat dari malapetaka Yazid bin Abdul Malik di dunia dan di akhirat kelak, tetapi sekiranya kamu sentiasa bersama dengan Yazid di dalam melakukan maksiat kepada Allah s.w.t, Allah akan menyerahkan kamu kepada Yazid.
“Ketahuilah wahai Ibnu Hubairah, sesungguhnya kita tidak boleh mentaati kepada perintah seseorang makhluk di dalam perkara yang melanggar perintah Allah.” Mendengar kata-kata tersebut Ibnu Hubairah terus menangis sehingga tangisannya itu membasahi janggutnya.
Bolehkah Al-Hasan berkata demikian kalau dia belum merdeka lagi? Al-Hasan akhirnya menjadi ulama yang sangat dihormati, sampailah sekarang, dan lebih dikenali dengan nama Hasan Basri.
Adakah semua kehebatan itu dapat dinikmati oleh Bilal, Sirin dan Hassan Basri kalau mereka masih menjadi hamba?
Begitulah juga dengan kemerdekaan yang dinikmati oleh negara kita sejak 53 tahun lalu. Dari kemerdekaan itu, Tanah Melayu yang sebelum itu dipandang rendah, dihina, ditindas dan ditendang-tendang oleh penjajah, berubah menjadi sebuah negara yang bermaruah, maju dan dipandang tinggi.
Bangsa Melayu yang dahulu ditertawa, dipinggirkan ke hulu sungai, kebun dan ceruk hutan, kini menjadi bangsa yang bermaruah, maju dan dipandang tinggi juga. Mampukah kita capai semua ini tanpa kemerdekaan?
Namun, hendak mencapai kemerdekaan bukanlah mudah. Kita terpaksa melalui kesusahan, kezaliman, kekejaman dan berjuang terlebih dahulu. Tentu kita tahu apa yang telah dilakukan oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan pengganas komunis.
Itulah yang dilalui oleh Bilal. Setiap hari dia diseksa, diletakkan batu atas dadanya yang dibaringkan di atas pasir ketika matahari terik di kepala. Hanya keteguhan iman, semangat yang kuat dan daya juang yang tinggi saja yang telah membebaskan Bilal daripada perhambaan.
Begitu juga dengan negara dan bangsa kita. Hanya selepas berjuang hingga terpaksa menumpahkan darah dan air mata, barulah kemerdekaan tercapai.
Perjuangan untuk mencapai kemerdekaan memang perit, tetapi hasilnya sangat manis. Merayakan kemerdekaan itu tentulah lebih manis lagi dan menyeronokkan, seperti mana yang kita nikmati sekarang.
Demikianlah dengan Ramadan. Ramadan sebenarnya adalah sebuah perjuangan untuk mencapai kemerdekaan. Apakah perjuangannya? Itulah perjuangan untuk menewaskan nafsu – ammarah, lawwamah, muthmainnah, mulhimah, radhiah dan mardhiah.
Puasa dalam erti kata yang sebenarnya bukan setakat menahan nafsu makan dan minum, tetapi juga mencegah diri daripada melakukan perkara-perkara yang makruh serta keinginan nafsu.
Perlu diingat, ada perbezaan yang besar antara malaikat, haiwan dan manusia. Malaikat dibekalkan oleh Allah dengan akal, tetapi tidak diberi nafsu. Haiwan, diberi nafsu, tetapi tidak diberikan akal. Tetapi manusia, Allah s.w.t membekalkan kedua-duanya.
Kalau akal manusia dapat menundukkan nafsunya, maka naiklah manusia ke darjat malaikat. Bahkan, darjatnya lebih tinggi dari malaikat jika mereka beramal ibadah kepada Allah. Tetapi jika manusia itu tunduk kepada nafsunya, maka jatuhlah darjatnya menjadi darjat haiwan. Malah, mereka boleh menjadi lebih rendah tarafnya daripada haiwan jika manusia itu langsung tidak menggunakan akalnya, sebaliknya hidup hanya berpandukan nafsu.
Nafsu itu dikuasai oleh syaitan. Ia sangat sukar ditundukkan kerana ia terdapat di dalam diri kita yang dikendalikan oleh syaitan.
Di sinilah letaknya perjuangan dalam ibadah puasa di bulan Ramadan. Nafsu dan syaitan, yang begitu kuat, kejam serta licik itulah yang perlu ditewaskan. Perjuangan itu teramat payah dan memerlukan pengorbanan. Ia juga perlukan `ubat’ yang kuat, iaitu amal ibadah yang ikhlas, siang dan malam, melakukan ibadah-ibadah sunat, banyakkan beristighfar, bertadarus, bertasbih, berselawat serta berzikir, seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah berpuasa pendengaranmu, penglihatanmu, lidahmu daripada dusta dan dosa, dan elakkan meyakiti khadam. Hendaklah kamu hormatinya dan bersikap tenang pada hari puasamu. Jangan kamu samakan hari berpuasa dengan hari tidak berpuasa.”
Selepas berjuang dalam melaksanakan puasa, berjaya memerdekakan diri daripada belenggu nafsu serta hasutan syaitan, imbuhan yang dijanjikan oleh Allah amatlah lumayan. Antaranya:
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Diberikan kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat terdahulu, iaitu bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah, segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya, diampunkan dosa-dosa mereka pada malam lailatulqadar, amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali dan dikurniakan nikmat dan keseronokan ketika berbuka dan ketika menemui Allah di akhirat kelak.”
Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud, “Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardu, dan amal fardu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar dan sabar itu adalah syurga balasannya. Bulan ini dilebihkan rezeki kepada hamba-Nya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa, barang siapa memberi makan kepada orang yang berpuasa, pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya.”
Selain itu, Rasulullah s.a.w turut bersabda, bahawa pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadan hingga akhir malam Ramadan. Setiap orang yang bersolat pada malamnya ditulis baginya tiap satu sujud 1,700 kebajikan, dibina rumah baginya di dalam syurga daripada yaqut merah indah, baginya 70 pintu daripada emas yang bertatahkan yaqut merah indah. Orang yang berpuasa awal Ramadan diampunkan segala dosanya hingga ke akhir Ramadan, dibina baginya tiap-tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga, mempunyai 70,000 malaikat dari pagi hingga tenggelam matahari.”
Sebenarnya, selain lailatul qadar dan aidilfitri, banyak lagi hadiah yang dijanjikan oleh Allah kepada mereka yang berjuang memerdekakan diri mereka daripada belenggu nafsu. Lalu, fahamilah makna Ramadan dan merdeka ini kerana kedua-duanya menyediakan hadiah yang begitu lumayan kepada mereka yang berakal.
Sesungguhnya juga, Ramadan dan merdeka itu mengajar kita erti perjuangan. Manakala nikmat Ramadan dan merdeka itu pula hanya dapat dinikmati oleh manusia-manusia yang mampu menggunakan akal serta imannya untuk menundukkan nafsu.





