Ramadan: Kita terus berperang, Islam terus dimalukan

August 29, 2010 8:54 AM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh ZULKARNAIN ZAKARIA

Lebih 1400 tahun dahulu Ramadan adalah bulan kemenangan. Ramadan juga adalah bulan perpaduan, bulan bersatu, berkasih sayang dan saling memaafi. Lebih 1400 tahun dahulu, Ramadan adalah bulan membersih diri dari dosa, mendekatkan diri dengan Allah s.w.t dan menjauhkan diri dari syaitan, nafsu serta kejahatan.

Lebih 1,400 dahulu juga, junjungan mulia Rasulullah s.a.w bersama kaum Muslimin sekurang-kurangnya enam kali berperang menentang kafir Quraisy demi menegakkan daulah Islamiah di bumi ini. Salah satunya yang paling terkenal ialah Perang Badar pada 17 Ramadan tahun 2 Hijrah. Sungguh hebat, dalam keadaan lapar dan dahaga, tentera Muslimin seramai 313 orang dengan 2 ekor unta berjaya menewaskan tentera kafir Quraisy yang seramai 1,000 orang. Malah pertarungan seorang lawan seorang sebelum pertempuran sebenar berlangsung, semuanya juga dimenangi oleh pahlawan-pahlawan Islam.

Lebih 1,400 tahun dahulu, iaitu pada Ramadan tahun kelapan Hijrah, Nabi bersama para Muslimin menawan Mekah (Fathu Makkah) dari kafir Quraisy, seterusnya membersihkan Kaabah daripada 360 buah berhala. Lalu berduyun-duyun kaum Musyrikin ini memeluk Islam dan kota Mekah menjadi sebuah lagi kota Islam, sampailah sekarang.

Sesungguhnya, banyak lagi peristiwa-peristiwa kemenangan Muslimin berlaku lebih 1,400 dahulu termasuk runtuhnya masjid Adh Dhirar milik orang-orang munafik dan datangnya rombongan kaum Tsaqif yang ingin memeluk Islam.

Sejarah moden pula mencatatkan, keangkuhan rejim Zionis berjaya diruntuhkan dalam Perang Ramadan pada Oktober 1973. Dalam perang yang digelar juga Perang Yom Kippur (nama salah satu hari keagmaan Yahudi) tentera Mesir, Syria, Jordan dan Iraq mulanya berjaya menewaskan rejim zalim itu. Mereka berjaya membunuh beribu-ribu orang tentera rejim Zionis dan masuk ke wilayah yang mereka ambil secara haram dari bangsa Palestin, tetapi tindakan Amerika Syarikat yang membantu Israel dengan membekalkan snejata dan peralatan canggih, membalikkan situasi itu. Biarpun di akhir perang itu Mesir, Jordan, Syria dan Iraq telah ditewasan, tetapi peperangan ini membuktikan bahawa Ramadan adalah bulan kemenangan.

Itu dahulu. Tetapi, apa yang berlaku pada Ramadan sekarang ini, khususnya di bumi Malaysia ini? Lihatlah, Ramadan al-Mubarak sudah mula menuju ke penghujung, tetapi sejak hari pertamanya lagi, kita terus berperang sesama sendiri.

Politik kata mengata, kecam mengecam, kutuk mengutuk, hina menghina, tidak pernah mengenal erti rehat. Ia berlangsung setiap hari seolah-olah bulan Ramadan itu tidak wujud. Seolah-olah juga, Ramadan dan puasa itu hanya rukun fi’li sahaja, bukannya bulan penyucian jiwa.

Bukalah akhbar, atau tontonlah televisyen, kita terus dihidangkan dengan kata-kata mencaci dalam isu-isu tertentu. Kes pasir di Selangor, khutbah Jumaat di Pulau Pinang, kapal selam yang didakwa tidak boleh menyelam, pemindahan kilang arak, saman ekor, perlembagaan baru dan pelbagai lagi isu, terus dipolemikkan dengan rasa saling membenci, menuduh dan memfitnah.

Tidak kira pihak mana yang benar, tetapi pertelagahan dan permusuhan ini amat-amat memalukan imej Islam kerana yang melakukannya adalah pemimpin-pemimpin Islam. Lebih menyedihkan, yang galak mengajak orang Islam ini bertelagah, bermusuhan dan saling membenci ialah orang yang sepatutnya mengajak masyarakatnya bersatu padu, saling menghormati dan saling menyayangi. Malah ada di antara mereka yang memakai kupiah, berserban dan bergelar haji.

Bukankah elok kiranya perselisihan pendapat itu dilalui dengan muka yang manis, kata-kata nasihat serta doa. Bukankah elok juga andainya pertelagahan itu diganti dengan muzakarah, musyawarah dan berjabat tangan?

Tapi ternyata, Ramadan bukanlah bulan berhenti rehat atau bulan gencatan senjata. Sebaliknya, perang diteruskan walaupun semangat Ramadan itu menghendaki umatnya menahan dirinya daripada mengatakan sesuatu yang buruk, memfitnah, membohong, menghina dan menyakiti hati orang lain. Malah sampai kini, masih ada pihak-pihak yang berperang kerana persoalan sembahyang tarawikh perlu dilaksanakan lapan rakaat atau pun 20.

Ternyata, kalau Ramadan 1,400 tahun dahulu adalah masa Nabi dan kaum Muslimin berperang menentang kafirun, tetapi sekarang, Ramadan adalah masa umat Islam berperang sesama sendiri.

Dan amat malang sekali, ketika kita seronok berperang sesama sendiri, imej Islam terus tercalar dengan pelbagai kerenah memalukan. Anak-anak muda terus bergelumang dosa dan maksiat. Sebagai contoh, kes buang bayi terus juga meningkat  dalam bulan Ramadan ini.

Misalnya pada 12 Ogos, mayat seorang bayi ditemui dalam lubang najis di Tanah Merah, Kelantan. Tanggal 15 Ogos, mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam beg berhampiran sungai di Damansara. 17 Ogos, seorang bayi perempuan ditinggalkan di hadapan sebuah rumah di Bukit Minyak, Pulau Pinang. Esoknya, seorang bayi lelaki pula dibuang ke dalam tong sampah Hospital Melaka. Rupa paras bayi-bayi malang ini persis sungguh dengan orang Melayu. Malah selama ini pun dalam kebanyakan kes buang bayi di negara ini, ibu bapa mereka sememangnya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Lebih memilukan, dalam bulan Ramadan ini juga, kita dikejutkan dengan kes seorang bayi berusia 10 bulan ditemui mati di Melaka (pada 20 Ogos lalu) dalam keadaan penuh kesan lebam dipercayai akibat didera.  Bayi itu turut dipercayai anak kepada ibu dan bapa yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Kemudian, dalam bulan puasa ini juga kesucian Islam diperlekeh dan diinjak-injak oleh hotel, pub serta restoran yang menawarkan buffet berbuka puasa, tetapi menghidangkan makanan yang diragui status halalnya. Malah hotel-hotel dan restoran mewah ini juga tidak mempunyai sijil halal, tetapi menawarkan buffet halal.

Kemudian, kita terkejut bukan kepalang apabila dua buah pusat hiburan di Bukit Bintang dan Ampang menawarkan minuman keras sebagai penghilang dahaga untuk umat Islam berbuka uasa. Sudahlah begitu, ramai pula umat Islam yang menjadi pelanggan pub tersebut dan berbuka puasa di situ dengan meneguk arak!

Itu di Malaysia, negara yang tercinta ini. Di luar negara, umat Islam juga terus berperang dan bertelagah. Hamas, Fatah dan PLO di Palestin masih bercakaran dan tidak boleh duduk semeja, walaupun sama-sama mengaku bahawa Ramadan mengajak umatnya bersatu-padu, saling memaafkan dan berbaik sangka. Di Baghdad, Iraq, pengikut sunnah dan syiah terus berperang sesama sendiri. Kemudian, pada 25 Ogos, satu siri serangan bom dilancarkan. Akibatnya, 52 orang saudara seagama terkorban sia-sia.

Akhirnya, apa yang tinggal pada Ramadan ini? Kasih sayang atau kebencian? Memaafkan atau dendam? Cubalah kita tanyakan pada diri kita, tidak bolehkah kita berehat sebentar (kalau tidak selama-lamanya pun) daripada berperang sesama sendiri pada bulan yang mulia ini, sebagai menghormati rahmat dan berkat yang diturunkan bersamanya.

Tidak bolehkah kita menggunakan Ramadan ini untuk duduk berbincang dalam suasana berkasih sayang serta bersatu padu, kemudian merumuskan resolusi bagi menangani masalah sosial umat Islam yang semakin parah ini? Tidak bolehkah kita menggunakan semangat Ramadan ini untuk berbaik-baik dan berganding bahu, walaupun berbeza aliran, dan bersama-sama menjalankan program merapatkan perpaduan di antara kita?

Akhirnya, tidak bolehkah kita mengambil semangat Ramadan 1,400 tahun dahulu itu sebagai pemangkin semangat baru untuk memulihkan semula imej Islam yang sedang tercalar ini?

Leave a Reply