Menyempurnakan Rukun Islam
Setiap orang Islam diwajibkan beribadat kepada Allah s.w.t. Firman Allah dalam surah az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”
Kewajipan beribadat itu telah ditentukan oleh Allah s.w.t menjadi kewajipan fardu ain, terkandung di dalam Rukun Islam yang lima, iaitu:
Pertama, mengucap dua kalimah syahadat iaitu berikrar dengan lafaz dan hati, bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w itu utusan Allah. Ikrar ini diucapkan pada setiap kali sembahyang iaitu ketika membaca tahiyat.
Kedua, mengerjakan sembahyang lima waktu sehari semalam. Sembahyang atau menyembah Allah ini wajib dikerjakan sejak seseorang itu baligh sehinggalah ke akhir hayatnya. Adalah berdosa besar sesiapa yang meninggalkan sembahyang. Sekiranya ada waktu yang tertinggal, maka hendaklah bertaubat dan wajib mengkadakannya.
Perintah Allah supaya manusia taat mengerjakan sembahyang tersebut dalam berpuluh-puluh firman Allah di dalam Al-Quran iaitu dalam surah al-Baqarah, an-Nisa’, al-Maaidah, al-An’am, at-Taubah, Hud, Ibrahim, al-Isra’ dan banyak lagi. Satu daripada firman Allah itu ialah dalam surah al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud:
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”
Ketiga, setiap orang Islam diwajibkan mentati ibadat puasa dalam sebulan Ramadan pada tiap-tiap tahun. Perintah Allah ini tersebut dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”
Firman Allah ini menunjukkan perintah berpuasa juga pernah diwajibkan diwajibkan kepada umat nabi-nabi yang terdahulu.
Ibadat puasa ini mengandugi banyak faedah. Selain untuk kesihatan badan, puasa juga melatih manusia agar bersifat sabar disamping melemahkan hawa nafsu.
Keempat, umat Islam juga diwajibkan supaya mengeluarkan zakat, iaitu bagi mereka yang mampu menurut kadar yang ditentukan. Antara jenis-jenis zakat itu ialah zakat peniagaan, zakat harta iaitu simpanan emas atau perak, zakat pertanian, zakat ternakan dan zakat fitrah.
Perintah Allah s.w.t tentang zakat ini tersebut dalam berpuluh-puluh firman Allah, biasanya setiap ayat yang memerintahkan sembahyang diiringi perintah agar mengeluarkan zakat.
Islam memandang amat penting ibadat ini supaya ditaati kerana ia dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan umat Islam. Orang yang berada membantu orang yang fakir atau miskin dan ini membawa kepada hidup harmoni dalam amsyarakat Islam.
Kelima, setiap orang Islam diwajibkan mengerjakan haji ke Baitullah di tanah suci Mekah, sekali dalam seumur hidupnya jika mampu. Perintah Allah supaya umat Islam mengerjakan haji ini tersebut di dalam surah Ali Imran ayat 97 yang bermaksud:
“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
Semua kewajipan menyempurnakan Rukun Islam yang lima ini, adalah ibadat kepada Allah yang mesti ditaati dan dikerjakan. Mereka yang enggan taat dan mematuhinya walaupun satu daripada rukun-rukun itu, bererti telah ingkar dan berdosa besar.
Selain daripada lima Rukun Islam yang wajib ditaati itu, ada banyak lagi perkara yang diperintahkan oleh Allah agar dilaksanakan oleh umat Islam.
Antaranya ialah kewajipan menuntut ilmu agama, kewajipan mencari rezeki yang halal, kewajipan supaya berlaku adil terhadap semua saudara sesama Islam, kewajipan berdakwah menyebarkan ajaran Islam terutama di kalangan anggota keluarga sendiri, berakhlak baik, bersopan-santun, berbudi bahasa, merendah diri, amanah, benar, bantu-membantu,, hormat-menghormati dan jangan sombong, jangan fitnah-memfitnah, jangan mengadu domba, jangan berdusta, dan sebagainya.
Susunan SOLEHUDIN HUSSIN





