Media penyambung profetik

August 30, 2010 8:25 AM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh  PENOLONG  EDITOR

Media massa mempunyai peranan strategik dalam pembentukan masyarakat, kerana ia bukan sahaja mampu menembusi bilik-bilik rumah, malah dapat menusuk minda manusia. Media massa juga boleh diaplikasikan sebagai medium yang muncul membatasi masa seharian. Namun begitu, media massa yang berselerakan pada hari ini belum tentu menyebarkan informasi yang tepat, seringkali terjadi media digunakan untuk menyebarkan informasi yang telah digunakan. Mungkin kerana itulah perihal ini menyebabkan Alfin Toffler mengatakan bahawa media adalah “the highest quality of power.” Sehingga perang media mempunyai posisi istimewa dalam perang pemikiran.

Hakikatnya, media adalah sebagai alat yang mampu mempengaruhi pandangan, membentuk peribadi dan merangsang nurani terhadap sesuatu isu bukan satu pandangan yang wajar ditolak. Justeru kerana fungsinya yang luas sebagai penyalur maklumat yang berkesan, penyampai berita yang muktahir, siaran cerita-cerita yang membuat terharu mahupun hiburan malah membuat penonton tersenyum, bahkan sekaligus berperanan dalam mendidik masyarakat. Inilah kuasa penyebaran media khususnya penyiaran dan multimedia dalam memupuk pembinaan tamadun.

Bagaimanapun, jika santapan media itu bersifat carca marba dan destruktif dengan konsep tahyul, aksi ganas dan melampau serta hedonistik pasti memberikan impak negatif dalam corak pemikiran serta identiti Islam dan umatnya. Umumnya, mengetahui media sebagai suatu landasan yang mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk baik dan buruknya pola pemikiran ummah.

Di sebalik itu, media yang Islamik bukan sahaja berperanan dalam  mendidik dan membentuk nilai budaya yang semakin terhakis dengan produk media acuan barat. Bahkan ia mesti bertunjang kepada konsep tauhid serta bersifat progresif, kontemporari, proaktif, kompetitif, informatif serta interaktif tetapi objektif dalam menyampaikan mesej-mesej dakwah sekali gus dapat menambat hati penonton. Secara ringkas, media Islamik harus mampu menyorot serta menyebarkan fragmen-fragmen ideologi bukan sekadar mencerminkan realiti sosial, melainkan lebih jauh iaitu menciptakan realiti sosial yang Islamik.

Tanpa disedari, dunia sedang berada pada abad 21, iaitu era persaingan global yang menampilkan babak-babak baru dalam sejarah perkembangan peradaban manusia. Sebagai medium yang sangat responsif kepada tuntutan zaman dan cabaran lingkungan media yang Islamik tidak terlepas dengan pendekatan media yang berbentuk informasi.

Zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini memerlukan perisai ilmu dan iman bagi menuras segala informasi dan maklumat supaya tidak banyak rancangan yang destruktif. Turki antara contoh yang memaparkan dan menyaksikan pelbagai siaran dan mekanisme lain yang menyiarkan rancangan dan informasi tanpa saringan dan penapisan yang sewajarnya. Tanpa persiapan seampuhnya, generasi kelak bakal merupakan generasi yang daif dan naif yang tidak mampu berdepan dengan arus deras globalisasi dan evolusi.
Persediaan dan kerelaan ini secara sedar atau tidak akan membuka seluas-luasnya ruang kepada penjajahan minda dalam bentuknya yang lebih rencam dan merosakkan pelabagai aspek. Sekiranya kemasukan unsur-unsur pemikiran asing yang negatif ini tidak dituras, kita akan terus terbelenggu dan terperangkap dengan imperialisme budaya yang bakal menghakis rentak kehidupan.

Tidak dinafikan usaha untuk dakwah dan media dapat memberikan implikasi yang besar dalam mengembang misi dakwah. Namun ia memerlukan sokongan dan perhatian semua pihak dengan lebih serius. Hanya dengan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi sahaja mampu menterjemahkan media massa menjadi saluran dakwah yang efisyen.

Justeru, media massa seharusnya menampil dan menyiarkan lebih banyak program ilmiah yang berlandaskan syariat supaya dapat mendidik minda dan nurani umat agar pembinaan masyarakat sivil berasaskan sahsiah yang terpuji dapat dikecapi di negara maju (hadhari).

Dalam merealisasikan agenda besar ini, media Islamik juga harus berperanan bukan sahaja menyebarkan dakwah di kalangan Islam bahkan melebarkan dakwah di kalangan bukan Islam. Selain dapat mengubah persepsi golongan bukan Islam yang kian tercemar dengan dakyah Barat, ia juga mampu menarik minat golongan bukan Islam untuk mengenali dan mendekati pengajaran Islam yang sebenar.

Lantaran kerana mahukan penyampaian dakwah dengan berkesan di media, tenaga kepakaran dan terlatih harus dibangunkan dalam bidang media penyiaran dan komunikasi massa. Usaha ini perlu bagi memastikan kesempurnaan penyampaian dapat menghasilkan
produk media yang dinamik.

Kesimpulannya, media massa yang membawa agenda dakwah harus ditatang seutuhnya. Penyertaan daripada pelbagai pihak dipandang serius dalam menjayakan agenda informasi dakwah Islamik. Adalah menjadi harapan supaya rancangan berbentuk Islam dapat diperbanyak dan mampu menyaingi rancangan-rancangan hiburan hedonistik.

Leave a Reply