Malaysia terus dihina

August 30, 2010 9:10 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh MONOSIN SOBRI

Perusuh yang marahkan Malaysia berhubung penangkapan tiga orang kakitangan maritim Indonesia di kawasan perairan bertindih pada 13 Ogos lalu menjadi semakin biadab apabila bukan sahaja berdemontrasi di perkarangan kedutaan Malaysia, malah turut melumur najis dan membakar Jalur Gemilang.

Penghinaan yang melampau oleh Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) bagaimanapun bukanlah merupakan sesuatu yang mendapat sokongan kerajaan Indonesia, ia hanyalah dari sekumpulan manusia yang sudah tidak lagi menghormati kepimpinan presiden yang dianggap lemah dan memperkasakan rakyat. Bendera sebenarnya telah ditubuhkan pada tahun 2009, iaitu semasa berlangsungnya kempen pemilihan presiden Indonesia.

Apabila kelompok pendesak yang terikut-ikut dengan emosi membangkang itu tidak dapat mempengaruhi rakyat untuk menumbangkan sokongan kepada presiden, Bendera telah menukar rentak dengan melancarkan beberapa siri provokasi bagi membuktikan kelemahan pengurusan presiden Indonesia, Bambang Susilo Yudhiyono. Provokasi menentang Malaysia pernah dilakukan oleh Bendera pada pertengahan bulan September 2009 melalui aktiviti “sweeping Malaysia.”

Kelompok perusuh yang dibakar sentimen bencikan Malaysia berhubung penyiaran sebuah iklan pelancongan yang dibuat oleh Discovery Channel telah menggunakan buluh runcing mengadakan sekatan jalan raya bagi mencari pelajar-pelajar Malaysia dan turut membakar serta merusuh di Kedutaan Malaysia di Jakarta. Rusuhan tersebut tidaklah dilihat mampu menggugat hubungan antara kerajaan di mana kelompok tersebut bukanlah mewakili rakyat Indonesia dalam gelombang kebangkitan yang besar dan meluas.

Oleh kerana itulah, usahanya untuk mengganyang Malaysia, sebagaimana pernah dilaksanakan oleh Sukarno semasa memulakan Konfrontasi dengan menyusup masuk ke negara ini tidak dilaksanakan. Kumpulan pendesak yang menggelarkan dirinya sebagai Bendera pernah mengancam akan menyelusup masuk ke Malaysia pada 8 Oktober 2009 dan ketika itu salah seorang penyelarasnya, Mustar Bona Ventura memberitahu bahawa mereka telah b erjaya merekrut lebih 1,200 orang dan dalam tempoh seminggu, 600 orang di Jakarta telah menyertai Benteng.

Pengakuan tersebut merupakan sesuatu yang berupa provokasi bagi menakut-nakutkan Malaysia ketika itu, tetapi, Malaysia hanya menganggap tindakan tersebut hanyalah sebagai satu provokasi untuk melemahkan hubungan antara kerajaan. Dalam insiden kedua yang berlaku sejak pertengahan bulan ini, Bendera nampaknya menjadi sebagai biadab tanpa menghiraukan amaran pihak berkuasa Indonesia.

Kumpulan tersebut turut mendesak agar Malaysia memohon maaf, dan provokasi itu turut dilakukan setahun lepas apabila mengkelasifikasikan Malaysia sebagai “maling-sia”, kumpulan merombak dengan mengambil beberapa artifek budaya asli Indonesia menjadi sebahagian artifek budaya Malaysia. Pada mulanya mereka menganggap hasil batik hanyalah hak ekslusif Indonesia dan ini telahpun diberikan pengiktirafan oleh UNESCO, bahawa ia menjadi milik Indonesia, tetapi tidak bermakna hasil-hasil batik yang ada di luar Indonesia perlu diharamkan.

Proses pengaruh mempengaruhi merupakan satu hakikat pertembungan budaya dan terdapat perbezaan jelas antara batik Malaysia dengan batik keluaran Indonesia. Begitu juga dengan dakwaan bahawa Malaysia turut mencuri tarian pendet yang dikatakan berasal dari penganut Hindu di Pulau Bali, yang menjadi intro kepada iklan Discovery Channel. Lagu Negaraku, yang menjadi lagu kebangsaan Malaysia dikatakan ikut dirompak dari karya Allahyarham Saiful Bahri.

Tuduhan tersebut sebenarnya hanyalah provokasi kerana latar iklan yang disiarkan oleh Discovery Channel bukanlah merupakan produksi Malaysia. Syarikat yang mengeluarkan program tersebut berpengkalan di Singapura, yang mungkin ketika sedang melakukan provokasi untuk menimbulkan emosi kurang senang hubungan antara budaya serumpun apabila negara tersebut cuba memprotes promosi nasi lemak sebagai salah satu tarikan pelancongan ke Malaysia. Singapura menganggap nasi lemak itu merupakan warisan dan menjadi hak mutlaknya, negara lain tidak boleh menggunakannya sebagaimana hak ekslusif sesuatu jenama yang didaftarkan.

Dalam rusuhan yang menggunakan tema “ganyang Malaysia” kali ini, kumpulan perusuh menggunakan najis manusia sebagai satu langkah biadab dengan harapan Malaysia akan tunduk dengan setiap dakwaannya. Malaysia akan memohon maaf apabila menahan tiga orang pegawai maritim Indonesia berhampiran Kepulauan Bintan dalam kawasan perairan yang bertindih.

Pihak tertentu di Indonesia melihatnya sebagais atu kesalahan yang perlu diminta maaf kerana menahan mereka dalam perairan Indonesia. Seramai 600 orang menyertai demonstrasi yang bermula pada pukul 1 petang dan rusuhan kali ini turut diikutserta oleh Forum Kebangsaan Indonesia dan Forum Betawi Rempug. Kira-kira dua jam kemudian, perusuh dipaksa meninggalkan kawasan kedutaan Malaysia oleh pihak polis, namun perusuh tetap menunjukkan aksi ganas dengan melempar buluh runcing dan kasut kea rah polis.

Mungkin kerana keadaan panas terik menyebabkan para perusuh menjadi semakin kurang bermaya. Pada mulanya mereka mengecam penahanan tiga orang pegawai maritim yang ditahan oleh Malaysia di mana tangannya digari dan dipaksa menanggalkan pakaian seragam bagi digantikan dengan pakaian orang tahanan. Kesan dari penanggalan pakaian seragam dan tangan digari itu juga menyebabkan sebahagian besar ahli parlimen pembangkang menuntut Malaysia memohon maaf.

Desakan tersebut tidak dihiraukan oleh Menteri Luar Malaysia dan sebaliknya Menteri Luar Indonesia terus memberikan jaminan bahawa akan menghantar nota bantahan diplomatik kedua bagi menyelesaikan kekeruhan tersebut. Setelah diberikan keyakinan dan penjelasan oleh Menteri Luar Indonesia, maka akhirnya ahli parlimen bersetuju menarik balik desakan agar Malaysia memohon maaf. Namun rusuhan yang dibuat oleh kelompok Bendera turut menyebabkan ramai rakyat Malaysia mula memikirkan sikap baiknya dengan warga Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Walaupun pada zahirnya belum ada lagi bantahan terbuka, sekurang-kurangnya ada percakapan untuk mendesak Kerajaan Malaysia agar mengkaji balik kemasukan tenaga kerja Indonesia. Rundingan mengenai kemasukan tenaga kerja Indonesia ke Malaysia yang dijangka akan diadakan pada bulan September nanti akan turut membincangkan situasi ini di mana desakan untuk menetapkan gaji pembantu rumah sebanyak RM 800 sebulan tidak diendahkan.

Rakyat Malaysia yang menggaji pembantu rumah Malaysia sanggup mencari alternatif lain, termasuk menggunakan pembantu rumah dari Kemboja bagi menggantikan desakan melampau agen pembekal pembantu rumah dari Indonesia. Desakan untuk meningkatkan bayaran gaji kepada pembantu rumah Indonesia telah menyebabkan Arab Saudi mula memikirkan untuk mencari sumber lain termasuk dari Bangladesh. Arab Saudi mulai tahun ini akan mengurangkan secara drastiknya pembantu rumah dari Indonesia yang dikatakan semakin melampau menuntut bayaran tinggi termasuk komisyen agen.

Terdapat laporan mengatakan bahawa pihak agen Indonesia akan cuba mengurangkan kos pengambilan pembantu rumah, tetapi rakyat Malaysia sudah banyak kali berfikir bahawa kehadiran pembantu rumah Indonesia tidak semuanya benar-benar membantu. Terlalu banyak kesan negatif yang ditinggalkan oleh pembantu rumah Indonesia. Memang ada majikan Malaysia yang mendera pembantu rumah, tetapi seharusnya rakyat Indonesia perlu sedar dan bukanlah menjadi pendesak yang keterlaluan. Kesalahan tersebut tetap tertakluk kepada undang-undang dan sepatutnya ia diselesaikan secara perundangan dan bukan tunjuk perasaan.

Tunjuk perasaan akan menyebabkan luah emosi melampau dan bukanlah boleh menyelesaikan masalah termasuk desakan agar Malaysia membantu untuk mengurangkan hukuman ke atas rakyat Indonesia yang telah dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan dadah dan membunuh.

Seharusnya rakyat Indonesia perlu menasihatkan rakan-rakannya agar mematuhi setiap peraturan sesebuah negara dan jangan pula cuba melakukan kesalahan jika berada di sesebuah negara. Memasuki negara lain tanp mempunyai kebenaran adalah satu kesalahan dan tentunya tidak menjadi kesalahan jika hukuman yang berat dikenakan. Ramai rakyat Indonesia tidak cuba memahami masalah tersebut, dan ini telah menyebabkan lebih ramai rakyat Indonesia semakin ingkar peraturan.

Kita boleh lihat bagaimana rakyat Indonesia mula menunjukkan gelagat kurang sopan seamasa berebut-rebut mendapat tempat dalam kenderaan awam, termasuk awal pagi dengan menggunakan kemudahan komuter. Kita boleh saksikan bagaimana bingit dan kurang sopannya warga Indonesia berebut-rebut menerjah ke dalam komuter di Stesen Segambut, walaupun sebahagian besarnya adalah perempuan. Kita boleh kenal gelagat mereka, sesama sendiri pun berebut dan tolak menolak sedangkan tidaklah begitu sesak.

Mungkin kerajaan perlu menguatkuasakan peraturan dan lebih kerap membuat pemeriksaan di stesen-stesen komuter untuk mencari pendatang tanpa izin. Ramai dari mereka adalah pengguna pengangkutan awam, dan bergerak dalam waktu awal pagi dengan keyakinan bahawa pihak polis tidak banyak berada di stesen ataupun jalan raya. Kalau mereka mahukan Malaysia menghormati mereka termasuk hak asasi dan perlindungan undang-undang, mereka juga haruslah mematuhi undang-undang negara ini.

Jika mereka ingin melihat hubungan baik dengan rakyat tempatan, mereka perlulah menjalin hubungan akrab dan bukannya hubungan dengan cara menipu, berbohong dan penuh syak wasangka. Bagaimana nanti jika rakyat Malaysia mengambil keputusan tidak lagi mahu menerima tenaga kerja dari Indonesia. Dan, ketika itu seperti yang didesak oleh Bendera agar semua warga negara Malaysia dikembalikan, dan masing-masing negara menutup kedutaan, maka mampukah kehidupan yang selesa lebih 2 juta rakyat Indonesia di Malaysia dapat mereka kecapi apabila pulang ke kampong asal.

Apakah Bendera mampu memberikan mereka pekerjaan dan sebuah kehidupan yang lebih baik, walhal menurut risikan tertentu, mereka yang menyertai rusuhan anjuran Bendera sebenarnya tidak mengetahui maksud sebenar, hanya diberikan upah berupa sebungkus nasi dan beberapa ribu rupiah, sanggup dipergunakan oleh kelompok yang memangnya sedang menangguk di air keruh. Kelompok inilah sebenarnya perlu dicari dan dihapuskan, kerana tidak dapat membantu menjadikan Indonesia maju, makmur dan stabil politiknya.

Indonesia tidak sunyi dari pertumpahan darah dan rusuhan, maka mungkinkah benar ada satu pendapat mengatakan Indonesia sentiasa dirundung malang, kerana balasan atas apa yang dilakukan oleh rakyatnya. Benarkah Tuhan mulai bosan dengan tingkahlaku rakyat Indonesia, maka terlalu banyak malapetaka melanda. Mungkinkah bait-bait lagu puisi Ebiet G. Ade ada kebenarannya, Tuhan mulai bosan bersahabat dengan kita. Maka Indonesia tidak dapat melepasi kemajuan sebagaimana lain-lain negara yang lebih terkemudian mencapai kemerdekaan, walhal, kekayaan bumi Indonesia adalah yang terbesar berbanding lain-lain negara Asia Tenggara.

Kekayaan sumber asli, tidak mampu melonjakkan kemajuan Indonesia, kerana sumber manusianya sentiasa bertelagah dan sukar bersatu, walaupun pada suatu ketika amat bangga dengan Pancasila. Kini, Emha Ainun Najib mula mempersoalkan, Pancasila tidak memasukkan roh Tuhan dalam kehidupan rakyat Indonesia, maka dengan itulah selalu terjadi sengketa, konflik dan perbalahan atas desakan emosi dan kepentingan tertentu, bukannya kepentingan agama, bangsa dan negara.

Semangat itu telah lama pudar, maka kerana tidak mahu mengakui kelemahan sendiri, maka adalah lebih mudah mengkambinghitamkan orang lain, termasuk memprovokasikan Malaysia dengan pelbagai persepsi negative. Bendera adalah ikon baru bagaimana rakyat Indonesia mula mempersoalkan keburukan dan mencari kesalahan orang lain tanpa berusaha menjengok ke dalam diri bagaimana untuk menggerakkan transformasi dan pembangunan sebenarnya. Tidak cuba mengupayakan sumber manusia, sebaliknya semakin terkenal menjadi negara paling handal dalam mengambil hak orang lain, termasuk merompak hak cipta dan sebagainya.

Ramai rakyat Malaysia menyokong pendirian Menteri Luar, tetap tidak akan memohon maaf. Malaysia tetap berpendirian bahawa rusuhan yang berlaku bukanlah merupakan sebab yang boleh menjejaskan hubungan antara negara, tetapi terus menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak menjadikan Indonesia sebagai destinasi penacongan dalam masa terdekat, “jika urusan boleh ditangguhkan, maka tangguhkan sementara waktu.”

Dan, ketika itulah tentunya lebih ramai rakyat Indonesia sedar, pelancongan merupakan rezeki yang terbesar bagi pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Indonesia. Rusuhan akan menambahkan sengsara rakyat Indonesia sendiri. Ia bukan kaedah penyelesaian masalah yang terbaik dan terpuji, hatta Islam sendiri pun menggalakkan perundingan dan pemuafakatan.

Leave a Reply