Kedinamikan umat islam dalam kesatuan falsafah dan tindakan
Oleh MUHAMMAD IQBAL
Ramadan sudah melepasi minggu kedua, dan bermakna ketibaan Syawal mula menjadi sesuatu yang dinantikan penuh debar, kerana ia melambangkan kejayaan umat Islam mengharungi ibadat berpuasa selama sebulan. Apabila kita memahami falsafah puasa, sebagai nilai ketabahan menghadapi dugaan dalam beriabadat, memberikan kita bahawa puasa itu bukanlah semata-mata amalan ritual sebagaimana dilakukan oleh penganut agama lain.
Bermula dari kemunculan cahaya fajar hinggalah lewat senja, umat Islam bukan sahaja menjauhkan diri daripada mengambil makanan dan minuman, tetapi diminta dan digandakan pahalanya untuk melaksanakan lain-lain ibadat, bersembahyang secara berjemaah, membawa al-Quran, membantu golongan yang kurang bernasib baik, menjengok keluarga yang berada dalam kesusahan dan sebagainya.
Maka, sepanjang Ramadhan banyak sekali aktiviti turun padang menemui golongan yang susah, hidup melarat, warga emas, anak-anak yatim dilakukan oleh pelbagai pihak sama ada secara perseorangan ataupun berkumpulan. Bagi anak-anak yatim, ketika inilah mereka turut dibawa ke pecan-pekan atau bandar untuk membeli belah sebagai kelengkapan berhari raya, manakala bagi warga emas yang hidup dalam kesulitan, mereka akan dibantu sama ada berupa barang makanan ataupun perbelanjaan untuk menghadapi sambutan Aidilfitri.
Ciri-ciri kedinamikan Islam inilah yang menjadikannya tetap membawa falsafah dan tindakan yang satu, iaitu berdasarkan gagasan tauhid, iaitu keesaan Allah s.w.t. Perintah membantu golongan yang kurang bernasib baik, juga merupakan hakikat bahawa rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada seseorang bukanlah merupakan hak mutlaknya, ia mesti dikongsikan bersama.
Rezeki yang diperoleh adalah amanah, maka amanah itu perlu dikongsikan bersama dengan mereka yang lain, maka di situlah wujudnya prinsip, yang kaya membantu mereka yang miskin. Bantuan itu berupa dalam bentuk amal jariah, sedekah, bantuan kebajikan dan tidak kurang juga berzakat. Setiap orang Islam yang mempunyai pendapatan yang memadai, perlulah membayar zakat di samping fitrah.
Sebagai sumber pengukuhan umah, zakat digunakan untuk membantu umat Islam yang memerlukan, termasuk memberikan bantuan pendidikan bagi anak-anak yang ingin melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang. Pada tahun lalu, kutipan zakat di seluruh negara buat pertama kalinya mencapai tahap lebih RM 1 bilion. Ini membuktikan bahawa, sumber kewangan melalui zakat adalah sesuatu yang besar ertinya bagi pembangunan dan perkembangan umat Islam.
Wang zakat itu boleh digunakan sebagai sumbangan biasiswa kepada anak-anak yang mempunyai keinginan belajar yang tinggi tetapi tidak mampu. Ini telah dilaksanakan oelh banyak lembaga zakat, termasuk apa yang dilaksanakan oleh Baitulmal Wilayah Persekutuan, termasuk menubuhkan sebuah institut pendidikan tinggi swasta bagi menanpung keperluan menjadikan professional Islam.
Sebagai umat yang satu, kita dapat saksikan bahawa setiap umat Islam mengerjakan ibadat yang sama, iaitu bersembahyang sebanyak lima kali sehari dan mengarahkan kiblat yang satu. Kita tidak akan dapat nilai-nilai kesatuan ini dalam agama lain, walaupun mereka melaksanakan ritual yang sama, tetapi arah mereka tidak bertemu di satu pusat atau tempat. Bagi umat Islam setiap kali bersembahyang, sama ada sembahyang itu merupakan fardu atau sunat, kiblatnya adalah tetap sama, iaitu Kaabah.
Sewaktu melakukan ibadat haji, di tanah suci Makkah al-Mukarramah umpamanya, ia turut membuktikan lingkaran ibadat dalam satu kesatuan. Setiap umat Islam mengelilingi Kaabah dalam posisi ibadat yang dinamakan tawaf, dan ini dilakukan secara beramai-ramai. Dalam melaksanakan tawaf itu, setiap umat Islam berpakaian ihram, yang tentunya memberikan makna sebuah kehidupan yang sederhana, pakaian yang tidak berjahit, berwarna putih dan membaca ayat-ayat yang sama, walaupun dari segi fizikalnya umat Islam itu berlainan keturunan dan bangsa.
Mereka yang berlainan warna, bangsa dan budaya datang dari seluruh pelosok dunia membentuk formasi ibadat yang begitu besar, dan tidak berlaku dalam mana-mana posisi ibadat bukan Islam. Ini satu lagi bentuk yang menunjukkan kesatuan umat Islam ini. Walaupun bilangan umat yang melakukan ibadat umrah atau haji, bertawaf, bersa’i dan lain-lain berjumlah berjuta-juta orang, tetapi semua umat Islam bersembahyang dan melakukan ibadat lain dalam bentuk dan niat yang sama, iaitu niat kerana Allah s.w.t, tawaf tujuh kali, sembahyang sama bilangan rakaatnya mengikut sembahyang fardhu yang dilakukan dan seterusnya melakukan segala rukun dan syarat ibadat itu dalam bentuk yang sama.
Ketika di Masjidil Haram, kita dapat melihat persamaan apabila tibanya waktu sembahyang, ketika bilal mengucapkan iqamah, maka setiap individu yang berada dalam masjid akan segera bangun menghadapkan muka ke kiblat, meskipun ketika itu berada dari pelbagai sudut dan arah, dengan memasuki barisan (saf) secara penuh sopan, tanpa memberikan ruang berlakunya kekosongan pada barisan di hadapan bersama mengikut iman mengangkat takbir, rukuk dan seterusnya bersalaman sebelum berpisah.
Susunan dinamik itu bagaikan satu simfoni kehidupan yang menarik dan dilaksanakan secara cepat. Jika kita diberikan kekuatan meneropong sebagaimana “bird’s eye view”, kita mungkin akan dapat gambarakan gerak geri manusia walaupun dalam pelbagai penjuru dunia tetap menghadapkan mukanya ketika bersembahyang dengan kiblat yang sama.
Kita dapat melihat saf-saf yang bulat dan bergitu bersepadu sekali. Kita mungkin teringat jika dalam pelatihan sekarang, seseorang itu akan membuat beberapa kali latihan untuk mendapatkan formasi sedemikian. Tetapi, formasi itu berlaku sepanjang masa dan tanpa perlukan latihan yang cukup merimaskan, memakan masa berhari-hari, ia berlaku bagaikan sesuatu yang hampir secara semulajadi.
Inilah hakikat yang cuba disampaikan melalui falsafah kesatuan umat. Ia dijelmakan dalam bentuk amalan, ritual dan perilaku seharian, maka dengan itulah Islam mudah mendapat tempat, kerana amalan yang dipertanggungjawabkan itu adalah mudah dan amat sederhana sekali. Islam tidak meletakkan syarat yang di luar kemampuan manusia untuk melaksanakan ibadat seharian, hanya sekadar mengingatkan tentang kesiuman fikiran, berkeadaan bersih, niat yang ikhlas dan gerakan tertentu seperti dalam solat, ia tidak melampaui kepada tradisi menyembah dalam bentuk pengorbanan fizikal sebagaimana diamalkan oleh agama lain.
Akhir-akhir ini, falsafah kedinamikan dan kesatuan walaupun masih kekal, terdapat sedikit penyimpangan mula diperlakukan oleh sesetengah pejuang Islam yang bersandarkan keinginan politik. Mereka sanggup menghindarkan diri dari pembentukan jemaah, sebaliknya mengasingkan diri dengan perjuangan tertentu. Bagi mereka, kesatuan dalam Islam hanya boleh dilaksanakan apabila kita melaksanakan sepenuhnya apa yang dikatakan hukum Islam.
Oleh itu, jika ada unsure-unsur peraturan yang tidak bersesuaian, maka ia perlu digantikan terutamanya perkara-perkara yang berkaitan dengan amal ibadat. Walau bagaimanapun, oleh kerana untuk menangangi masalah sosial, tidak semuanya boleh didekati dengan kaedah Islam, misalnya menggunakan DNA sebagai bukti bagi menggantikan empat orang saksi, maka peraturan tersebut perlu diketepikan. Itulah pandangan yang cuba dibuat, walhal apabila hasrat membendung masalah buang bayi akan digunakan Kanun Acara Jenayah, maka segelintir mereka yang kurang yakin memberikan peringatan, hanya pendekatan Islam mampu membendungnya.
Kita mungkin boleh membuat pertanyaan: Bagaimana untuk menyelesaikannya secara Islam? Apakah hanya sekadar mendidik masyarakat maka bendungannya secara drastic akan turun? Tentunya akan mengambil masa yang panjang, tetapi sekurang-kurangnya langkah yang dicadangkan untuk menggunakan pendekatan “percubaan membunuh” bakal menakutkan mereka yang terbabit.
Tetapi, yang lebih penting ialah sokongan masyarakat. Masyarakat terus melaksanakan fungsinya sebagai “pengawal sosial yang aktif” dan inilah sebenarnya kedinamikan umat Islam yang sentiasa mementingkan kesejahteraan ummah atau jemaah. Mereka saling membantu dan bertekad membenteras setiap kemungkaran, kerana itulah Islam merupakan sebuah kehidupan yang mementingkan peradaban salam, peradaban sejahtera.
Kesatuan umat bukanlah hanya sekadar kesatuan dalam ritual dan ibadat khusus seperti yang ditunjukkan selama ini, tetapi kesatuan itu seharusnya menjelma dalam semua aspek kehidupan kita yang seharusnya menjadi matlamat kita untuk membangun kekuatan umat Islam di dalam semua aspek kehidupannya, iaitu kekuatan ekonomi, ilmu pengetahuan, teknologi, politik dan sebagainya.
Ramadan ini benar-benar memberikan kita keinsafan, betapa perlunya antara kita sesama Islam membetulkan iktikad, bersatu walaupun adakalanya kita berbeza pendapat, kerana penyatuan itulah menjadikan kita sebagai orang Melayu-Islam tidak mudah digugat dan dicabar. Maka setiap kali melihat kedudukan orang Melayu lemah, maka setiap kali itulah kita dicabar sehingga memaksa kita untuk berubah bagi memenuhi keperluan mereka, tetapi sebaliknya mereka tidak pun berhasrat untuk membantu kita. Kita sendirilah yang bakal menentukan kehidupan kita, kerana Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada diri kita selagi kita tidak mahu berubah.
Berubahlah, jika kita mahukan Islam itu kuat dan dihormati, bermakna kekuatan Melayu terus dapat dipertahankan selama-lamanya selagi negara ini kita setuju memanggilnya Malaysia, yang berasaskan ketuanan Melayu.





