Bukan semua perempuan berhati ibu

August 26, 2010 9:54 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh MUHAMAD IRFAN ISKANDAR

Beberapa hari lalu, kita dikejutkan dengan paparan meluas mengenai perilaku seseorang yang seharusnya menjadi ibu, melindungi dan menyayangi anaknya, tetapi dalam keadaan tertentu sanggup membuang anaknya sendiri. Dan, dalam beberapa hari lalu juga tersiar sekeping gambar yang cukup memberikan kesan betapa seekor monyet sanggup bertarung dengan seekor anjing garang bagi menghalang anaknya yang masih kecil tercicir dari pangkuan. Dua senario itu memberikan kita satu bentuk pengertian, bahawa binatang sekalipun amat menyayangi zuriatnya dan sanggup mempertaruhkan nyawa demi keselamatan anak kecil yang dilahirkannya.

Bagaimanapun, dalam perkembangan mutakhir ada data menunjukkan sehingga pertengahan tahun ini, sudah 65 bayi telah dibuang dan sebahagian besar ia dibuang oleh ibu yang melahirkannya. Kita mendapat khabar beberapa bulan lalu, seorang ibu yang melahirkan bayi luar nikah bersama teman lelakinya (juga seorang remaja dan masih bersekolah) telah menanamkan bayi tersebut di tebing sungai yang tidaklah begitu jauh dari kampung halamannya sendiri.

Bila memikirkan persoalan itu, maka timbul pula pelbagai cadangan yang kadangkala nampak agak lucu bagi mengekang tragedi membunuh dan membuang zuriat sendiri itu. Ada cadangan agar menggunakan peruntukan dalam Kanun Acara Jenayah bagi menakutkan para pelaku, kerana membuang bayi yang masih hidup akan dikategorikan sebagai “membunuh” manakala membuang bayi (atau janin) yang sudah mati sebagai “percubaan membunuh.” Cadangan ini masih belum dilaksanakan, tetapi mendapat sokongan kabinet kerana ramai menteri bersetuju bahawa tindakan tegas perlu dilakukan bagi membendung bencana sosial tersebut.

Ketua Menteri Melaka pula memberikan cadangan yang turut menimbulkan perdebatan, walaupun ada munasabahnya. Cadangan agar remaja yang terlanjur itu dibenarkan berkahwin, meneruskan persekolahan dan bagi mengelakkan diaibkan secara terbuka, maka satu sekolah khusus menampung remaja hamil akan diadakan di Jasin, Melaka. Cadangan Ketua Menteri itu, secara mudahnya adalah jelas, membendung bencana sosial yang menyayatkan hati dari terus membengkak dan berleluasa. Ia lebih merupakan satu bentuk sistem sokongan, sekurang-kurang sepanjang masa hamil sehinggalah selepas bersalin, remaja terbabit mempunyai pembelaan, ada sokongan moral dan perhatian. Dengan cara itu, insiden membuang bayi dapat dibendung.

Terbaru ialah cadangan dari sebuah parti politik yang banyak menomborwahidkan perjuangan Islam agar pasangan terbabit dinikahkan tetapi tidak digalakkan tinggal bersama. Nikah gantung itu hanyalah bagi menutup aib, tetapi tidak juga menepati dengan kehendak Islam. Dalam Islam tidak ada istilah nikah gantung, apabila seseorang itu telah menyempurnakan akad nikah dengan seorang perempuan, disahkan oleh saksi dan melalui perantaraan wali, maka pernikahan tersebut adalah sah. Kita tidak faham, kenapa parti yang terkenal dengan perjuangan Islam masih menanggap nikah gantung itu sebagai jalan terbaik menyelesaikan masalah buang bayi.

Kita mungkin berfikir dalam ruang lingkup yang terlalu sempit. Kita berfikir dalam kerangka pemikiran secara sempit, iaitu dengan mengehadkan perspektif diri kita dengan hanya melihat faktor luaran. Kita tidak pernah memikirkan, perlakuan remaja hamil sebelum nikah sebenarnya kita turut menyumbang saham, kerana sikap tidak peduli kita kepada masyarakat.

Pernah terfikirkah kita, apakah sebenarnya peranan diri kita sebagai anggota masyarakat. Cuba semak dan kaji, untuk apa kita dijadikan Allah s.w.t sebagai makhluk yang bersosial. Kenapa Allah s.w.t sentiasa memberikan kita motivasi melalui perantaraan pahala yang banyak apabila kita sentiasa mengutamakan jemaah. Dalam beribadat pun kita digalakkan untuk sembahyang berjemaah. Setiap apa yang kita lakukan, kita perlu memikirkan apakah tindakan yang kita ambil itu selaras dengan kepentingan dan tuntutan jemaah?

Kita mungkin lupa, ada pepatah Melayu memberikan kita kesungguhan bahawa bulat air kerana pembentung, kuatnya masyarakat kerana muafakat. Maka dalam hal membendung perlakuan buang bayi, di manakah peranan kita sebagai anggota masyarakat sebagaimana sepatutnya kita bertindak. Di manakah kita ketika  mendapat tahu bahawa seorang anak remaja ‘termengandung” kerana jiwanya remajanya menggelora,? Apakah kita hanya sekadar mengeluarkan kenyataan dan sindiran, “patutlah anak si fulan itu, ibu bapanya terlalu memberikan kebebasan?” “Padan dengan muka, bila kita tegur kita kena sindir?” “Tak payahlah jaga tepi kain orang, tepi kain sendiri tidak berjahit.”

Ada lagi kata-kata yang lebih pedih: ‘Jagalah kubur masing-masing. Saya tanggung dosa saya sendiri. Tak Payahlah nak nasihatkan saya.” Kata-kata itu seolah mencerminkan jiwa kacau masyarakat kita, yang sudah terlarut dengan falsafah dan pemikiran bebas. Falsafah pemikiran bebas pada mulanya datang dengan tragiknya mencabar minda kita dengan idea kebebasan dan kebijaksanaan memilih. Sebagai manusia, kita boleh membuat pilihan. Tidak ada orang lain yang boleh memaksa.

Dalam keadaan tersebut, saya teringat dengan sebuah tulisan yang pernah saya peroleh dari seorang rakan lama yang sudah lebih lima belas tahun bermastautin di London. Dia turut menggambarkan bahawa di Britain, pendidikan seks telah diajar kepada semua remaja bagi membolehkan mereka memahami persoalan seks selamat dan kesan-kesan akibat akibat melakukan seks bebas. Namun, tulisan tersebut turut mempersoalkan, meskipun pendidikan seks telah dilaksanakan secara menyeluruh dan meluas, Britain masih menjadi jaguh dalam hal remaja hamil dan melakukan seks bebas. Pendedahan sedemikian menjadikan remaja Britain teruja untuk mencuba, maka, kita di Malaysia harus menilai kembali kepada cadangan agar “pendidikan seks” ataupun “pendidikan reproduktif” dijadikan sebagai mata pelajaran hanya kerana ini membendung gejala seks tidak selamat atau remaja hamil.

Dalam hal ini, saya mengambil pendekatan yang lain. Saya mengambil pendekatan agar kita kembali ke pangkal jalan dengan cuba memahami apa peranan setiap ahli masyarakat dalam menangangi masalah ini. Memang, kita tidak dapat mengatakan pada masa silam tidak berlakunya kehamilan luar nikah, tetapi, jika ada pun ia bukanlah merupakan suatu fenomena yang besar, bukan sebuah bencana sosial yang menyebabkan kita rasa cemas, geram dan marah. Kita boleh mengetahui siapakah yang membuang bayi dengan mudah, kerana setiap ahli masyarakat yang ada dalam kelompok atau kampong kita kita kenal, kita tahu jurai keturunan dan sebagainya.

Dalam pada itu, setiap ahli masyarakat cuba memperbetulkan keadaan. Setiap ahli masyarakat yang melihat adanya perbuatan sumbang, bertentangan dengan norma sosial, maka akan adalah beberapa orang cuba menasihati, membujuk dan mempengaruhi agar pesalah itu kembali ke pangkal jalan. Semasa berusaha membetulkan kesilapan, setiap orang memberikan sokongan dan restu sehingga orang yang memperbetulkan kesilapan itu menjadi lebih baik dari sebelumnya, didikan agama dan amalannya lebih berkesan, keimanannya lebih kental.

Hari ini, apabila kita mendapat berita mengenai orang yang melakukan kesilapan, kita bukan sahaja tidak berhasrat memberikannya peluang kedua. Kita lebih banyak mencerca, mengutuk dan tidak mahu menerimanya kerana “sudah menconteng arang.” Maka dalam keadaan tersebut, kita tetap menganggap ibu bapa juga mempunyai saham kenapa anaknya yang telah silap itu mengambil tindakan nekad, kerana ibu bapa akan menghukum atau mengusir anak-anak yang bermasalah itu, terutamanya anak perempuan.

Dalam masyarakat barat, bayi tidak dibuang sedemikian tragis seperti Malaysia kerana  mereka yang terlanjur tidak dilihat sebagai “individu yang perlu dilaknat.” Seseorang yang bersalah itu perlu diberikan peluang kedua, kecualilah “termengandungg” itu disebabkan oleh unsur paksaan. Mereka mempunyai ruang dan sokongan  untuk memperbetulkan kesilapan. Tetapi, di Malaysia bukan sahaja tidak mempunyai peluang dan sokongan ahli keluarga, malah masyarakat terus memberikan hukuman sebagai “anak haram” dan sebagainya.

Kerana itulah saya berfikir, tidak semua perempuan yang melahirkan zuriatnya sendiri- sama melalui perkahwinan sah atau seks bebas—tidak semua sanggup menjadi ibu. Naluri keibuan tetap ada, tetapi kerana kutukan masyarakat telah menyebabkannya sebahagiannya sanggup berlaku kejam ke atas zuriatnya sendiri. Kita sering dipadankan bahawa seorang perempuan itu adalah seorang ibu yang penyayang. Seorang perempua tetap akan mempunyai naluri keibuaan, maka ada pepatah mengatakan bahawa seorang anak boleh hidup dan membesar dengan baik dalam dakapan seorang ibu, tetapi seorang anak tidak mampu hidup dengan tenteram dan sempurna dalam persekitaran seorang bapa.

Pendapat itu mungkin hanya bersandarkan pengalaman silam bahawa ibu merupakan seorang pengasuh dan pendidik yang baik. Bapa pula merupakan mereka yang sering berada di luat rumah kerana memenuhi tanggungjawabnya sebagai pencari rezeki dan ketua keluarga. Seorang bapa perlu bekerja, manakala seorang ibu perlu menjaga anak-anak.

Pola tersebut sudah berubah. Ada kecenderungan baru bahawa wanita yang sudah semakin ramai keluar bekerja, seorang lelaki mengambil peranan sebagai pengasuh kanak-kanak dan berada di rumah. Keterbalikan ini sedikit sebanyak mencerminkan bahawa semakin ramai wanita mula melupakan tanggungjawab tradisinya, dan ada kes di mana seorang ibu tidak mampu untuk menguruskan anak kecil sendiri. Ia lebih mengharapkan pembantu rumah atau suami yang berjiwa ibu.

Anak-anak dibesarkan oleh pembantu rumah, manakala ibu bapa hanyalah merupakan pihak yang mengeluarkan perbelanjaan. Kitaran hidup sedemikian menjadikan seharian anak-anak membesar dengan nilai-nilai yang lain, termasuk nilai kehidupan yang dibangunkan oleh sikap penswastaan tanggungjawab dalam keluarga. Nilai-nilai membesar dan membudayakan sehingga anak-anak lebih mudah mengenai nilai yang ditontoni melalui siaran tv dan laman-laman internet. Anak-anak lebih percayakan rakan sebaya kerana rakan-rakannya itu telah menawarkan belaian emosi dan layanan minda remaja. Remaja terasa kehidupan hariannya adalah kosong, maka kekosongan itu telah diisi dengan pelbagai alat, teknologi dan orang lain (maksudnya, bukan anggota keluarga sendiri).

Ibu pernah disebut sebagai “madrasah al-ula”, iaitu sebagai tempat belajar pertama kali bagi seorang anak. Ibu merupakan seorang wanita pertama yang mampu mendidik dan menjadi pendamping bagi seorang anak dalam proses interaksi, pembentukan watak dan keperibadian. Bahkan,  sepanjang proses kehamilan itu, seseorang ibu secara disedari atau  tidak sebenarnya telah melalui satu proses tarbiyah. Ia mesti cekal menghadapi cabaran termasuk menjadi semakin letih sepanjang kehamilan, kedudukan badan yang kurang stabil, pergerakan yang semakin terhad, dan ada pula yang terpaksa melalui alahan tertentu.

Sebagai madrasah,  ibu telah membangunkannya dengan nilai ruhani yang kuat, kental dan kejap, iaitu rahim. Rahim adalah nilai kasih sayang dan merupakan modal terpenting dalam proses pendidikan. Rahim ibu hanya satu dari berjuta-juta rahim milik manusia yang dianugerahkan oleh Allah SWT, tetapi hanya mereka yang diterima menjadi ibu sahajalah diberikan anugerah untuk hamil. Bukan semua wanita yang mempunyai rahim mampu hamil, dan ada kes yang terjadi setelah sekian lama berkahwin, bercerai dan kahwin lain, masih juga gagal menjadi seorang ibu. Ini membuktikan bahawa hanya seorang ibu yang memahami kehadiran rahim kepada buah hatinya.

Seorang yang menjadi ibu segera, ibu angkat tidak mampu merasai nikmat kehidupan sebenar seorang ibu sekiranya tidak pernah hamil dan melahirkan anak. Walau pun ada kemudahan perubatan moden, ibu segera mampu menyusui anak angkatnya, tetapi kenikmatan menyusui seorang bayi yang cuba dipaparkan tidaklah sehebat kesan melahirkan seorang anak.

Sebaik sahaja mendengar tangisan pertama bayi, seorang ibu merasa itulah kemuncak dirinya sebagai seorang wanita. Bayi yang baru lahir akan segera ingin didakapnya, dan bayi tersebut akan menjadi cepat mesra dan mengenali ibunya, emosinya berhubung secara dekat. Seorang ibu, mampu mententeramkan anaknya yang merengek, dan memahami tangisan bayi itu memerlukan pembelaan, atau setitis susu bagi mengisi perutnya yang mula meminta untuk diisi. Saat itu, hubungan penyusuan badan antara ibu dan anak itu sebenarnya mengikat kasih sayang sepanjang hayat.

Sebenarnya, sebahagian besar bencana sosial yang berlaku dalam masyarakat sekarang adalah kerana sikap kita sebagai ibu bapa. Siibu, suatu ketika telah terpengaruh dengan persepsi, menyusukan bayi akan menyebabkan sosok diri akan mudah longlai dan tidak lagi menarik. Maka, anak-anak diberikan susu yang dihasilkan oleh lembu dan disimpan dalam bentuk krim atau debu. Maka susu-susu itulah sebenarnya dipercayai telah memberikan kesan dab pengaruh hubungan anak-dan-ibu sebagaimana kita alami sekarang.

Ada juga penyelidikan membenarkan sebuah tanggapan. Oleh kerana ibu terlalu ingin tampil dengan sosok tubuh yang menawan sepanjang usia, tidak sanggup menyusukan bayinya dengan susu badan. Maka kerana itulah juga ada pendapat mengatakan, itulah sebabnya lebih ramai wanita sekarang menderita kanser payu dara, malah menjadi pembunuh utama wanita dan ianya semakin berkembang. Itulah, kata kawan saya bahawa bukan semua wanita adalah berperibadi ibu, maka saya tetap menganggap wanita tetap merupakan ibu yang terbaik.

Tetapi, untuk menjadi ibu yang baik, wanita harus kembali ke pangkal jalan menyedari peranannya yang asal, maka jika ini dapat dikembangkan sebagai penentu budaya, maka bencana sosial yang melanda remaja masa kini dapat kita atasi secara semula jadi. Kita tidak lagi memerlukan pendakwaan dan pelecehan, sebagaimana seringkali dipersalahkan bahawa pelakunya kurang pendidikan agama. Namun, yang berkata demikian pun sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk mendidik remaja dengan nilai-nilai agama menjadi amalan dan bukannya hanya sekadar bercakap, bercakap dan bercakap, tindakannya kosong. Hanya menjadikan kepintaran menterjemah aya-ayat al-Qur’an sebagai wadahnya, tetapi tidak mampu menterjemahkan menjadi siri tindakan bagi memperkasakan kekuatan ummah.

Para pendakwah jangan hanya pandai membuat kenyataan, pergaulan bebas punca segala masalah sosial, tetapi tidak sediikitpun menunjukkan tindakan bagaimana untuk membendungnya. Memang semua orang tahu, zina ada satu dosa, tetapi bagaimana untuk bertindak membudayakan pengharaman dan dosa berzina sebagai self control dan regulatory dalam hati setiap orang Islam. Inilah yang sepatutnya cuba diterjemahkan oleh mereka yang berkata: perkuatkan jati diri dan keimanan seseorang.

Meningkatnya zina kerana orang Islam sebenarnya lebih banyak mengutuk, tetapi tidak mampu mencegahnya dengan tindakan. Semasa mengutuk setiap nilai-nilai negatif, sebenarnya yang mengutuk itu sendiri tidak berusaha memperbetulkan kesilapannya sendiri. Islam sentiasa meminta agar umatnya melaksanakan dakwah secara berhemah, dan kebijkasanaan itulah yang mampu membakar semangat tidak ingin melibatkan diri dengan zina.

Semakin kuat kita mengutuk, maka semakin lantanglah mereka yang mencabarnya, maka marilah kita memahami perwatakan seorang ibu. Meskipun anaknya sakit kronik dan beragam perangai, seorang ibu tetap boleh memberikan kebahagian kepada anak-anaknya. Ibu masih mampu memberikan harapan kepada anak-anaknya agar suatu hari nanti mentari akan tetap bersinar. Ketika itulah kita sedar, ibu adalah seorang yang amat kita perlukan, maka ibulah yang memberikan harapan terbesar dalam kehidupan.

Ingatlah, “Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.” (al-Israa: 31)

“Oleh kerana itu, Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel, bahawa barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan karena orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan karena membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan, barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas. Kemudian  banyak di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerusakan di muka bumi.” (al-Maa’idah: 32)

Maka menjadi wanita adalah anugerah, menjadi ibu adalah sebuah penghormatan. Jangan sia-siakan peranan asas itu dan selamat menyambut hari Wanita, yang dirayakan di Malaysia setiap tarikh 25 Ogos.

Ingatlah, Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan ketika seorang sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah  yang paling berhak memperoleh layanan  dan persahabatanku?” Rasullullah s.a.w menjawab, “ibumu…ibumu…ibumu, kemudian ayahmu dan kemudian yang lebih dekat kepadamu dan yang lebih dekat kepadamu.” (Mutafaq’alaih).

“Cintailah anak-anak dan kasihsayangi lah mereka. Bila menjanjikan sesuatu kepada mereka tepatilah. Sesungguhnya yang mereka ketahui hanya kamulah yang memberi mereka rezeki.” (HR. Ath-Thahawi)

Leave a Reply