Bersatu di bulan Ramadan

August 19, 2010 9:48 AM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR

Bulan yang penuh barakah ini menyajikan pelbagai bentuk fadilat yang seharusnya kita manfaatkan demi kesejahteraan diri, keluarga, dan masyarakat seluruhnya dengan semata-mata mengharapkan keredaan-Nya.

Puasa merupakan satu latihan untuk melakukan kebaikan dan kebajikan, juga menyambung hubungan silaturrahim, bukan bertujuan membawa kepada keganasan atau perpecahan ummah. Orang yang berpuasa sudah tentu jiwanya akan menjadi lembut, suci, halus, dan penuh kasih sayang. Mereka tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemudaratan, apatah lagi mewujudkan suasana yang boleh menggugat keharmonian dan kesejateraan hidup umat Islam di negara ini.

Memang tidak dinafikan, untuk berpendapat dan berfikiran sama tidak mungkin tetapi untuk bersatu pasti tiada halangan asalkan semua pihak bersikap jujur pada diri sendiri dan menghormati orang lain. Nabi Muhammad s.a.w telah membuktikan hakikat tersebut di dalam setiap tingkah laku, khususnya dalam hubungan sesama manusia. Sikap jujur, toleransi, dan menghormati orang lain merupakan sikap yang berupaya membawa kepada kejernihan hubungan, sekali gus memantapkan penyatuan ummah bagi menangani segala macam bentuk permasalahan yang datangnya sama ada dari kalangan ummah itu sendiri mahupun dari dunia luar.

Dalam perjalanan sejarah peradaban manusia,jalan kekerasan atau menolak keharmonian hidup pada umumnya berakhir dengan kegagalan, apalagi jika falsafah yang digunakan adalah kebencian dan fanatisme. Menempuh jalan radikal sama maknanya dengan harakiri, suatu perbuatan yang hanya mungkin dilakukan oleh golongan yang sesak nafas kerana tidak berani hidup secara harmoni. Berfikir secara radikal itu adalah cara berfikir manusia pengecut. Padahal, al-Quran itu amat menitikberatkan kehidupan yang sejahtera dan aman damai.

Amat dikhuatiri sikap tidak ingin bersatu adalah sebagai petanda pengecut dalam menghadapi kehidupan yang sentiasa menuntut kita mengisi atau memaknakan dengan alam ini dengan suasana sejahtera, makmur dan penuh kesederhanaan. Kita seharusnya menggunakan akal batin yang sihat lagi waras untuk bersama-sama mencipta satu suasana kehidupan yang ceria dan harmoni, terbuka, serta lapang dada. Bukan kehidupan gelap, tertutup dan jelik. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w. diutus Allah s.w.t. untuk membawa rahmat bagi semesta alam?

Peri pentingnya kesatuan ummah itu dapat disejajarkan dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati kamu. Maka menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, padahal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang neraka, tetapi Dia menyelamatkan kamu daripadanya.” (Ali-Imran: 103)

Nikmat yang dimaksudkan menerusi ayat tersebut ialah Islam – di mana yang menyebut Islam itu sebagai nikmat (yang membuat manusia bersaudara) bukan ahli tafsir atau ulama mana-mana pun, tetapi Allah s.w.t sendiri. Begitu pentingnya persaudaraan dan persatuan sehingga Allah sendiri mengajar kepada hamba-Nya akan doa memelihara persaudaraan dan persatuan itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: ”Ya Tuhan, berilah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang lebih dahulu beriman daripada kami, dan janganlah Engkau menjadikan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.” (Al-Hasyr: 10)

Damai dan perdamaian atau salam menjadi tujuan hidup setiap muslim kerana Allah mengajak ke Dar Al-Salam (lihat al-Quran, Surah Yunus, ayat 10). Tanpa Al-Salam, iaitu Allah s.w.t atau tanpa salam yang bererti “damai” dalam jiwa manusia serta dalam interaksinya,maka segalanya akan rosak,bahkan tiada lagi kehidupan itu. Kedamaian dan ketabahan harus dilakukan, antara lain dalam menghadapi diri  sendiri serta berusaha mewujudkan kedamaian dalam hati masing-masing. Kedamaian tidak mungkin tercipta dalam masyarakat sebelum ia bersemai dalam diri anggota manusia. Bagaimana kita dapat memberi kedamaian kalau kita sendiri tidak memilikinya?

Damai yang dikehendaki Islam bukan hanya yang bersifat lahiriah, tetapi juga batiniah,termasuk menghindarkan hati dari segala aib dan kekurangan,dengki atau hasad, menghasut serta segala macam kehendak negatif terhadap pihak lain. Demikian juga menurut  Al-Ghazali: ”Siapa yang selamat hatinya daripada hal-hal tersebut,maka akan selamat pula anggota badannya dari segala kejahatan dan selamat pula hatinya daripada kesesatan, dan dengan demikian dia akan datang menghadap Allah dengan hati yang selamat.”

Membaca, menghayati dan mengamalkan petunjuk-petunjuk al-Quran adalah jalan memperolehi kedamaian. Ini kerana al-Quran  adalah petunjuk yang diturunkan oleh Allah s.w.t yang menyatakan diri-Nya sebagai, “Mengajak ke negeri yang damai.” (Lihat al-Quran, Surah Yunus, ayat 10)

Sesungguhnya Allah s.w.t telah mensyariatkan perkara-perkara yang menjadikan umat ini bersatu dan saling mencintai. Demikian juga Allah s.w.t telah melarang berbagai-bagai perkara yang akan merosakan hubungan sesama kaum Muslimin. Di antaranya sifat yang dilarang oleh Allah adalah su-uzhan (prasangka buruk) kepada orang mukmin yang zahirnya baik. Pada hakikat perbezaan aliran dalam politik tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya.

Sikap fanatik atau taksub yang menyelimuti diri, acapkali membutakan mata dari segala kebaikan yang dilakukan oleh orang-orang yang berbeza pandangan dengannya. Sebagaimana kata pepatah: “Dan prasangka baik cenderung menafikan segala keburukan. Sebagaimana prasangka buruk cenderung melebih-lebihkan keburukan”.

Orang yang taksub kepada kelompoknya juga walaupun melihat sesuatu perbuatan baik, tidak akan keluar dari mulutnya kata- kata pujian kecuali yang melakukannya termasuklah dari golongan atau orang yang bersefahaman dengannya.

Fenomena berpolitik yang tidak didasari dengan akhlak Islam seperti inilah yang menyebabkan kelompok ekstrem ini amat mudah terjerumus ke kancah mencari salah orang lain lantaran didasari sikap prejudis dan berburuk sangka. Malah sekiranya ada perkataan atau perbuatan yang mengandungi dua kemungkinan iaitu baik atau buruk, maka mereka akan beratkan kemungkinan yang buruk daripada kemungkinan baik.

Ini pastilah amat bertentangan dengan prinsip al-Quran yang jelas menegaskan:

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa.” (al-Hujurat:12)

Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w turut dipertegaskan: “Jauhilah prasangka kerana prasangka itu adalah perbicaraan yang paling dusta.” (riwayat Muttafaqun Alaihi).

Sehubungan dengan itu, bulan Ramadan menjadi ‘pengingat’ bagi setiap individu Muslim bahawa dirinya masih memiliki kerabat, keluarga, dan saudara. Kita digalakkan mengunjungi mereka, menyambung kembali jalinan silaturrahim, berbuat baik pada mereka, dan mengasihi mereka.

Tidak ada yang dapat menyatukan perbezaan di antara kita selain Islam dan tidak ada yang menciptakan persaudaraan, juga selain Islam. Ingatlah, bahawa Islam bukan hanya milik umat atau bangsa tertentu sahaja. Agama Islam milik bangsa Arab, India, Turki, Pakistan, Afrika dan seluruh umat manusia di dunia ini. Bukankah Abu Bakar berasal dari golongan Quraisy, Bilal berasal dari Habsyah, Shuhaib dari Romawi, Salman dari Parsi, Muhammad Al-Fatih dari Turki, Muhammad Iqbal dari India dan Salahuddin Al-Ayyubi dari Kurdi? Namun, mereka semua disatukan oleh kalimah tauhid.

Pada bulan yang suci ini kesatuan umat Islam semakin terserlah dan kukuh kerana kehadirannya sekali dalam setahun, puasanya pun sama, memiliki kiblat yang sama, dan juga manhaj adalah semuanya menuju ke arah satu tujuan – mencapai rahmat dan keredaan Allah s.w.t semata-mata.

Justeru itu, tiada alasan bagi sesama umat Islam untuk berpecah-belah kerana Allah sendiri melarang kita berpecah-belah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepadanya. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat.” (Ali-Imran: 105)

Al-Quran mengajar kita agar jangan terlalu cepat menghukum orang lain yang mungkin kebetulan berbeza dari segi fahaman. Kita seharusnya membetulkan fahaman yang salah atau meragukan itu dengan penuh hikmah dalam suasana persaudaraan. Itulah yang yang diajarkan atau disarankan oleh al-Quran. Umat harus dididik agar dalam kesibukan mereka berpolitik, jangan sampai memperjudikan kesatuan ummah hingga meletakkan masa depan negara diambang kemusnahan.

Sikap tidak mahu bertolak ansur dengan mengatakan diri sendiri yang benar belaka sedangkan orang lain tidak betul merupakan antara sifat yang akan melonggarkan ukhuwah sesama ummah. Inilah yang disebut di dalam al-Quran sebagai tanda-tanda musyrik kerana ‘memutlakkan’ pendapatnya sendiri dan tidak menghiraukan pendapat orang lain.Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ”Janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” (Al-Rum: 31-32)

Sempena hadirnya Ramadan dalam hidup kita pada tahun ini akan memperteguhkan lagi keimanan dan ketakwaan kita terhadap Allah s.w.t, di samping menunaikan hak persaudaraan sesama Muslim dengan mempereratkan lagi hubungan silaturrahim. Sesungguhnya, Ramadan membawa ribuan sinar yang seharusnya digapai oleh kita yang kadangkala alpa dan leka dibuai kegelapan.

Leave a Reply