Bersatu demi kelangsungan negara bangsa
Oleh KAMARUN KH
Semangat cintakan negara, atau patriotik membuatkan seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja demi menjamin kesejahteraan, mempertahankan insitusi negara termasuk menolak sebarang tekanan yang dilakukan oleh pihak tertentu. Dalam usaha kita untuk menghampiri ke angka 53 tahun ulangtahun kemerdekaan beberapa hari lagi, kita amat terkejut apabila semakin kuat kedengaran lagu sumbang didendangkan dalam merakyatkan makna sebuah kontrak sosial.
Kita bangga apabila orang luar menilai kita sebagai sebuah negara model penyatuan kaum yang terbaik malah Persidangan Model Global yang diadakan di Kuala Lumpur awal Ogos lalu telah menyuburkan semula pandangan dan pujian itu. Maka, dalam keterujaan tersebut kita sesekali bingkas dari kejutan, sebelumnya resolusi yang dibuat oleh MCA memancing perhatian dan perdebatan meluas mengenai hak bumiputera yang perlu dirungkaikan.
Resolusi 13 perkara termasuk mengetepikan kouta pemilikan 30 peratus, adalah natijah daripada seruan Perdana Menteri agar hubungan perkongsian ekonomi Melayu dan Cina yang bakal berlangsung bukan lagi dalam konteks Ali Baba. Kalau dalam permulaan Dasar Ekonomi Baru, banyak syarikat-syarikat yang ditubuhkan untuk mendapat kontrak kerajaan sebenarnya dibiayai oleh pemodal bukan Melayu, maka hanyalah beberapa orang kakitangan sahaja dilantik orang Melayu, termasuk sleeping partner dalam syarikat.
Ada juga suasana di mana, syarikat itu milik orang Melayu atau Bumiputera, tetapi yang mengendalikan urusan harian dan perjalanan syarikat bukanlah pemiliknya. Nama pemilik hanyalah “tongkol” yang hanya mempunyai sedikit imbuhan bulanan sama ada berupa gaji sebagai pengarah syarikat ataupun komisyen terhadap kegunaan nama syarikat tersebut.
Hubungan itu berlangsung begitu lama sehinggalah ramai yang sedar bahawa ia banyak menrugikan bumiputera sendiri. Maka, pandangan dan permintaan Perdana Menteri semasa merasmikan perjumpaan tersebut memangnya berasas, dan tentunya ahli-ahli MCA yang hadir dalam majlis tersebut mengambil kesempatan untuk membongkar lebih lanjut bagi membolehkan dasar yang berkaitan dengan kedudukan Bumiputera dipinda, selaras dengan perkembangan senario politik dan ekonomi semasa.
Maka dalam meniti usia 53 tahun, terdengar sedikit suara-suara bingit yang akhirnya boleh memberikan gambaran betapapun nampaknya rakyat Malaysia bersatu, kita sebenarnya bersatu dalam ketegangan sebagaimana diistilah oleh seorang tokoh sosiologi tempatan, Prof. Shamsul Amri Baharudin. Belum pun reda dengan isu yang ditimbulkan oleh Dr. Chua Sooi Lek sebagai mewakili orang Cina beresolusi, kita dikejutkan pula dengan satu lagi insiden yang kuat mendesak agar seorang pengetua di Kulai Johor dikenakan tindakan apabila membuat kenyataan yang berbau perkauman.
Walaupun penjelasan dan permohonan maaf telah dibuat, desakan dari kelompok pelobi Cina masih kuat sehingga menjadikan kita seolah-olah lupa bahawa bukan Melayu yang pernah menimbulkan perkara yang sama tidak pernah mahu mengakui kesilapan dan memohon maaf. Kita memang sedar bahawa perjuangan bukan Melayu memangnya berbau rasis, tetapi mereka bijak menggunakan platform, sama ada berbentuk politik mahupun pertubuhan-pertubuhan sosial Cina (Huatuan).
Akhbar mereka juga tidak kurang mempermainkan sentimen dari berpangkalkan kepada isu bahasa dan budaya berkembang kepada ekonomi dan politik. Apabila melihat keududukan sokongan semakin berkurangan, maka jolokan isu yang berbau rasis mula mendapat tempat sehingga memaksakan orang lain turut menerima kesan bingitnya telinga. Dalam hal ini, telah timbul pertanyaan kenapa apabila orang Melayu cuba mempertahankan hak dan kedudukannya ia dilihat sebagai tindakan bersifat rasis? Maka bagi meredakan keadaan, mereka yang terbabit dikenakan tindakan (contohnya bekas Ketua UMNO Bukit Bendera) dan pemimpin tertinggi menghulurkan tangan memohon maaf. Tetapi, apabila bukan Melayu mempersoalkan kedudukan orang Melayu, pemimpin tersebut tidak pun memohon maaf dan dikenakan tindakan oleh parti yang diwakili. Ia dilihat sebagai pendapat atau pandangan peribadi (contohnya, Ketua Wanita Gerakan yang menang dalam kawasan majority Melayu di Perak).
Sebaliknya apabila Dr. Chua Sooi Lek berusaha menjelaskan pandangan orang Cina, maka semakin menampakkan sikap bongkaknya itu sehingga sanggup pula membuat laporan polis bagi mempertahankan pendiriannya. Sesekali, orang Melayu terasa marah sehingga ada yang berpendapat, kenapa orang Melayu menjadi hati dan perasaan bukan Melayu, sedangkan orang bukan Melayu tidak pernah ingin menjaga hati dan perasaan orang Melayu?
Itulah soal hati dalam masyarakat Melayu sehingga ada yang mengeluarkan kenyataan pedas. Jangan kerana hati yang panas akan menyebabkan orang Melayu mengamuk, kerana sikap mengamuk itu telah dijelmakan sebagai satu identity khusus orang Melayu oleh penjajah Inggeris. Ketika kita sedang menghitung usia ke 53, kita tidak seharusnya terus berdendang dalam rentak sumbang sebagaimana telah dilakukan oleh seorang pemuda Cina, yang sampai kini masih belum dikenakan tindakan.
Kita telah memberikan pemuda tersebut peluang kedua, tetapi peluang itu sebenarnya telah menyebabkan ada lagi pihak yang menunjukkan-nunjukkan semangat “kurang ajar” dengan memijak bendera negara atas kekecewaan tertentu. Kalau dahulu seorang blogger mengesyorkan bendera dikibarkan terbalik, kini bloger berkenaan telah sedar dirinya menjadi sepak terajang politik tatkala parti itu sudah menunjukkan ada kekuatan sendiri. Itulah sifatnya dalam politik, saat pemimpin belum berkuasa dia sanggup merendahkan diri mempengaruhi dan apabila berada di puncak kuasa, sikapnya lebih bersifat sombong dan meninggi diri, tidak boleh ditegur dan pantang dikontrakan pandangannya.
Seharusnya dalam meniti usia 53 tahun kita sudah menjadi matang, kerana kita sudah mengenal hati budi masing-masing kerana kita sudah hidup bersama dan menerima azam yang sama. Kita telah bersetuju dengan apa yang telah menjadi tradisi sebelum kemasukan unsure-unsur baru dalam sejarah. Rundingan pada tahun 1955, kita menerima kedudukan istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai agama rasmi dan kedudukan Raja-Raja Melayu, kerana sebelum kedatangan penjajah pada tahun 1511, insitusi tersebut telah bersebati dengan masyarakat setempat.
Apabila penjajah Inggeris muncul atas desakan ekonomi, maka kemasukan buruh asing menjadikan struktur masyarakat Tanah Melayu bertikar corak. Perubahan tersebut menjadikan ia sebagai unsure baru dalam sejarah Tanah Melayu dan akhirnya semua kaum menerima satu pengesahan bahawa kerakyatan, bahasa, agama dan pendidikan vernakular diberikan kedudukan selagi ianya tidak bertentangan dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Hari ini, sistem pendidikan menjadi sedikit bermasalah apabila bukan Melayu mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan atas kebimbangan budaya, bahasa dan resam mereka akan terjejas.
Kebimbangan itu sebenarnya bukanlah merupakan sesuatu yang menakutkan kerana sebahagian besar dari bukan Melayu mula mengadaptasikan pendidikan Inggeris di peringkat selanjutnya tanpa merasakan khuatir akan kehillangan struktur budaya, nilai bahasa dan tautan resam tradisi budaya mereka. Tetapi, dengan memasuki pendidikan kebangsaan, mereka membuat lain dakwaan bahawa ia sebagai usaha mengislamkan bukan Islam kerana sekolah-sekolah kebangsaan tidak memberikan kebebasan kepada perstuan-persatuan keagamaan dan kaum bukan Melayu. Hal ini ikut berkumandang dengan bingitnya akhir Julai lalu apabila ada kecenderungan pendaftar sekolah tidak membenarkan persatuan keagamaan selain daripada Islam menjalanlan aktivitinya. Atas kebimbangan akan mempengaruhi pelajar-pelajar Islam, maka organisasi sedemikian tidak dibubarkan dan jika ingin ditubuhkan juda perlu mendapat kebenaran pihak pendaftar sekolah.
Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang keturunan dan agama. Perbezaan itu telah dijadikan asas kekuatan dengan slogan “diversity in unity”, perpaduan dalam kepelbagaian. Namun, hakikatnya perbezaan-perbezaan yang ada itulah yang telah menyebabkan ketegangan dalam masyarakat berlanjutan, tetapi masih belum melampaui ke tahap permusuhan kaum sebagaimana telah berlaku di banyan negara.
Ghana yang merdeka pada 6 Mac 1957, masih belum dapat membebaskan kemelut perkauman sehingga menjadikan negara itu tidak pernah tenteram. Malaysia yang mencapai kemerdekaan pada pada 31 Ogos 1957, telah jauh meninggalkan Ghana dalam aspek hubungan sosial dan perkembangan ekonomi, malah penilaian terbaru menunjukkan Malaysia berada di senarai ke-37 negara terbaik dalam dunia, dan tempat ketiga dalam Asia. Ia juga telah lama mengatasi negara-negara tetangga yang mencapai kemerdekaan lebih awal termasuk Indonesia dan Filipina.
Penilaian ini bukan sahaja menggambarkan meskipun ada pihak yang cuba menguji tahap patriotik rakyat Malaysia, mendeskreditkan negara di peringkat antarabangsa, penilaian yang baru dikeluarkan oleh majalah Newsweek itu memberikan kekuatan baru. Malaysia bukanlah sebuah negara yang terburuk sebagaimana digambarkan oleh sekelompok rakyat Malaysia sendiri yang cuba bermain politik dan meraih simpati asing. Seharusnya, mereka inilah yang kita harus melakukan ujian patriotiknya.
Bagaimana kalau suatu hari sebaik sahaja membuat pendedahan melampau di luar negara, setiap rakyat yang cintakan kedamaian berpusu-pusu menolak kepulangannya. Ini mungkin boleh dijadikan sebagai pengajaran dan ujian ketabahan sejauhmanakah pemimpin atau kumpulan yang digelar oportunis itu berlaku jujur dengan diri dan sejarah negara sendiri. Jika ternyata ada kebenaran memburuk-burukkan negara sendiri di luar negara, maka ada baiknya kita kenakan sekatan memasuki kembali ke dalam negara, dan dari situ mungkin mereka mula sedar diri, langit yang dijunjung itu sebenarnya masih belum mampu digapai dengan tangan.
Setahun selepas Ghana mencapai kemerdekaan, Guinea memperolehinya dan diikuti oleh Republik Congo, Madagascar, Senegal, Cyprus dan Mauritania pada 1960. Algeria dan Kenya mula menikmati kemerdekaan pada 1962 dan 1963. Walaupun banyak negara berkongsi angka kemerdekaan dalam usia 50-an, baik di Afrika ataupun Asia, kedudukan persekitaran sosial, kualiti hidup, pembangunan infrastruktur, kesihatan dan ekonomi amat jauh berbeza.
Malaysia berada di belakang Singapura bagi rantau Asia Tenggara. Singapura mempunyai kedudukan di tangga ke-20 manakala Filipina (63), Indonesia (73), Thailand (58). Malaysia berada di tahap yang lebih baik berbanding dengan India (78) dan China (59) yang dianggap sebagai dua buah kuasa ekonomi baru. Dari segi kedudukan pertumbuhan ekonomi, China telah berjaya mengatasi kedudukan Jepun sebagai negara kedua terbesar perkembangan ekonominya beberapa bulan lalu.
Pakistan yang mencapai kemerdekaan pada 14 Ogos 1947 dari British masih belum mampu menyaingi Malaysia. Pakistan masakini terpaksa bergelut dengan kepayahan apabila banjir besar yang melanda sejak hampir sebulan lalu masih belum surut sepenuhnya. Seramai 20 juta rakyatnya dijangka menghadapi masalah termasuk hampir 14 juta kehilangan rumah dan 1,600 terkorban. Wabak penyakit menanti dan Pakistan amat mengharapkan bantuan antarabangsa bagi membantu mengurangkan masalah dan membangun semula kerosakan yang berlaku dan disifatkan sebagai paling buruk berbanding tragedi tsunami 2004.
Dengan memerhatikan keupayaan negara-negara yang merdeka antara tahun pertengahan tahun 1950-an hingga pertengahan 1960-an, dalam tempoh tersebut, Malaysia jauh lebih maju dan membangun berbanding dengan kebanyakan negara-negara yang hampir sebaya. Jika diukur dalam aspek ekonomi, pembangunan fizikal atau modal insan, Malaysia berada pada tahap yang lebih baik dan terkehadapan. Berbanding dengan kehidupan masyarakat di Afrika, Malaysia sebenarnya jauh berada dalam limpahan kemewahan manakala sebahagian besar rakyat negara-negara tersebut masih bergelut dengan kepayahan mendapat sesuap makanan. Hampir separuh daripada rakyat di 53 buah negara benua Afrika menjadi pelarian dan hidup dalam khemah-khemah pelarian mengharapkan simpati masyarakat antarabangsa dan negara jiran.
Sebenarnya, nikmat kemerdekaan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia adalah kerana pengisian sejak awalnya berada dalam landasan yang betul. Pemimpin yang mengambil alih pentadbiran meletakkan asas penyatuan antara kaum sebagai landasan falsafah pembangunan, dan melalui pendekatan tersebut sektor ekonomi mampu tumbuh dengan baik kerana setiap rakyat menghormati dan menerima perbezaan kaum, etnik, budaya dan agama sebagai symbol kekayaan negara. Ia tidak menjadikan perpisahan jarak dan emosi yang terlalu jauh sehingga menjadikan sumber konflik tanpa kesudahan.
Diukur dari aspek kekayaan bahan mentah, Benua Afrika adalah antara benua yang terkaya di dunia dalam pengeluaran minyak, gas asli dan sumber bahan mentah. Antaranya Nigeria, Uganda, Congo, Angola, Sudan dan jika dibandingkan dengan Malaysia, kekayaan itu jauh lebih besar tapi kerana pengurusannya kurang cekap, hasilnya tidak dapat meningkatkan kadar pembangunan dan kemakmuran negara. Perbezaan demikian menjadi semakin jelas apabila ketidakseimbangan ekonomi dan masalah kemiskinan telah menyebabkan perang saudara sering berlaku.
Sistem pentadbiran dan elit politik yang mengamalkan nepotisme dan rasuah menjadikan ia semakin tidak keruan. Ancaman kumpulan pemberontak terhadap pemerintah menjadi semakin kuat dan sukar sehingga menyebabkan berlakunya perdaguhan agama yang memakan korban. Itulah warna-warna kehidupan negara yang mencapai kemerdekaan hampir sama dengan Malaysia, tetapi struktur kehidupan masyarakat amat jauh berbeza.
Lantaran itu, Malaysia walaupun terus menjadi medan pertelingkahan politik antara kaum, ia tidaklah sampai menjadi sebuah konflik dan ketegangan yang akhirnya menumpahkan darah. Konflik yang berlaku berjaya disisihkan dari terus membengkak melalui politik kompromi dan muafakat. Meskipun demikian, sekurang-kurangnya perbezaan politik masih belum menjadi sebuah pertumpahan darah yang besar sebagaimana berlaku di Thailand, Indonesia dan Filipina.
Thailand suatu ketika hampir mampu menyaingin pertumbuhan ekonomi Malaysia terus berhadapan dengan kekacauan politik. Kumpulan mana yang menang dalam pilihan raya akan dianggap sebagai kelompok yang tidak sepatutnya, penuh dengan dakwaan penipuan dan penyelewengan. Atas rasa tidak puas hati itulah menyemarakkan penunjuk jalanan dan perusuh sehingga menjadikan sebahagian pusat pentadbiran perlu diisytiharkan darurat.
Indonesia juga terus berkonflik sesama sendiri sehingga menyebabkan keyakinan sesetengah pihak terhadap kepimpinan pemerintah semakin luntur. Presiden bebas dikritik dan kebebasan itu menyebabkan Indonesia tidak dapat menumpukan perhatian bagi membangunkan negara dan mengisi makna kemerdekaan dengan sewajarnya. Banyak masa terpaksa digunakan untuk melayani kehendak rakyat yang seringkali dipengaruhi oleh kumpulan elit politik yang mencari arah mendapatkan kuasa, dengan menggunakan pelbagai platform.
Kejayaan Malaysia mengawal konflik politik dari terus membengkak menjadi pergaduhan kaum itulah kekuatan sebenar yang mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan kestabilan negara. Ini dapat dibuktikan, jika tanpa adanya kawalan yang berkesan, tentunya perbalahan kaum yang berasaskan perbezaan pendapat dan tuntutan boleh boleh menyebabkan negara ikut terjebak dalam kancah peperangan seperti negara-negara di benua Afrika. Setakat ini, Malaysia dan elit kuasa masih mampu meletakkan kepentingan negara dan bangsa mengatasi mana-mana kepentingan kaum. Komposisi kaum yang membentuk penduduk Malaysia seramai hampir 28 juta, yang terbahagi kepada puluhan suku kaum dan keturunan amat mudah dipecahkan oleh sentimen masing-masing. Bagi menghadapi keinginan politik antara tiga kaum utama iaitu Melayu, India dan Cina, Malaysia harus bijak menangani dan menguruskannya, termasuk memenuhi keperluan dan keinginan lain-lain kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak.
Penegasan melalui slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan menjadi olahan baru kepada konsep perpaduan yang telah diletakkan asas sejak terbentuknya kontrak sosial atau manifesto Perikatan pada tahun 1955. Walau apapun namanya, matlamat utama slogan tersebut ialah menjami akan lahirnya sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu. Sebuah masyarakat yang dapat melenyapkan sempadan psikologi yang masih melingkari nuansa bangsa Malaysia, atas perbezaan keturunan dan agama.
Sebuah masyarakat Malaysia yang diidamkan, meskipun berlainan keturunan, agama dan budaya, setiapnya mempunyai matlamat, azam dan keinginan yang sama. Malaysia terus cemerlang dan berupaya melonjakkan kedudukannya sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi melalu penyatuan semangat, azam dan tindakan. Setiap kaum yang ada tidak melihat perbezaan tersebut sebagai halangan dan garis pemisah yang boleh menyebabkan antaranya hidup terasing dan menjadi monopoli sesuatu bidang sehingga menyebabkan kaum lain yang cuba berada seiring dianggap sebagai perampas dan mendapat peluang secara tidak adil.
Politik diskriminasi menjadi dakwaan, termasuk terlalu khuatir dengan semangat Dasar Ekonomi Baru yang meletakkan sasaran 30 peratus ekuiti bumiputera. Ini bukan bermakna adanya rentapan kek ekonomi bukan bumiputera yang besar dan semakin membesar. Cuma yang cuba dilaksanakan ialah menetapkan ruang sasaran bagi bumiputera bagi sesuatu tempoh untuk dicapai, terutamanya dalam bidang-bidang ekonomi yang baru, termasuk kreativiti dan inovasi.
Tidak berlaku proses rampasan hak milik bukan bumiputera. Ia hanyalah anggapan dan ketakutan melulu elit politik yang sedang membina semula kuasa setelah kedudukannya semakin gelisah dan kurang mendapat sokongan. Strategi yang diambil dengan mengenengahkan perkara-perkara tersebut dijangka mampu menarik kembali sokongan, tetapi sebenarnya akan menyebabkan ia terus dilihat rasis dan penuh diskriminasi serta prejudis.
Dalam semangat kemerdekaan, walaupun tidak ada sambutan besar-besaran pada tahun ini, seharusnya setiap kaum yang ada mampu membentuk penyatuan demi Malaysia, negara baru yang telah menunjukkan prestasi cemerlang. Usaha memburuk-burukkan negara oelh sesetengah orang, hanyalah petanda betapa nanarnya mereka itu mencari arah kerana arahnya telah lama kehilangan pedoman. Kompas politiknya sudah rosak dan semakin kuat dinodai oleh gelombang magnet politik kepentingan diri dan balas dendam.





