Beriktikaf menghayati Lailatul Qadar
Jika kita berkeinginan untuk mendapatkan Lailatul Qadar kita harus melakukan qiam (menghayati) Ramadan siang malam dengan ta’lim (belajar) ,ibadah, zikir, solat sunat dan tadarus al-Quran.
Kegiatan ini harus kita tingkatkan pada sepuluh hari akhir Ramadan melalui kegiatan tambahan, iaitu dengan melaksanakan iktikaf. Ini sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah s.a.w yang amat bersungguh-sungguh dalam amalannya sehingga diriwayatkan bahawa baginda mengikatkan kemas kainnya dan mengejutkan para keluarganya untuk sama-sama beramal dan beribadah menghayati malam-malam tersebut. (Riwayat Bukhari)
Iktikaf yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w bukanlah perkara baru, ia adalah sebahagian daripada syariat. Ini kerana seperti juga solat dan tawaf(haji), iktikaf merupakan kelanjutan dari risalah Nabi Ibrahim a.s.
Mengapa Nabi s.a.w memilih iktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan, tidak pada 10 hari pertama Ramadan. Mungkin ia berkait rapat dengan kemuncak ibadah puasa yang makin bersemarak pada 10 hari terakhir Ramadan. Dan yang terpenting ialah ia berkait rapat dengan Lailatul Qadar. Untuk mendapatkan Lailatul Qadar, ia tidak cukup dengan bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu sahaja. Ia harus dirintis dari awal, sehingga kita benar-benar secara rohaniah bersedia menerima kedatangannya. Dengan demikian ada hubungan erat antara iktikaf dan Lailatul Qadar.
Rasulullah s.a.w terus melakukan amalan ini sehingga akhir hayatnya.Kemudian amalan tersebut diteruskan oleh isteri-isterinya. Ini menunjukan juga bahawa iktikaf bukan hanya untuk kaum lelaki. Dan memang perlu diketahui bahawa di dalam al-Quran, masalah ibadah lelaki dan perempuan tidak pernah dibezakannya. Dan yang penting khusus bagi kaum perempuan selama di masjid tempat iktikaf itu tersedia segala kemudahan seperti bilik tempat bertukar pakaian, bilikmandi, tempat tidur yang tertutup bagi memudahkan mereka untuk beriktikaf. Tetapi harus diingat ia harus dilakukan atas dasar musyawarah dengan suami atau anak-anak kerana perempuan ada tanggungjawab rumah tangga.
Bagi Nabi s.a.w, Lailatul Qadar adalah tamu agung yang harus disambut dengan cara-cara yang agung juga. Justeru itu, baginda melakukan iktikaf, meninggalkan semua aktiviti dan tinggal di masjid. Satu riwayat menceritakan bahawa Nabi s.a.w meninggalkan masjid hanya jika ada urusan dengan dua perkara, iaitu menziarahi orang mati dan menjenguk sahabat yang sakit tenat sahaja.
Penekanan masjid sebagai tempat iktikaf menjadi sangat penting mengingatkan tempat tinggal Nabi bersambung dengan masjid. Perlu dingat bahawa iktikaf bukanlah wahana untuk berdiskusi, apalagi untuk bercakap-cakap kosong. Bukan juga tempat istirahat dan tidur. Iktikaf adalah wahana untuk bersungguh-sungguh bermuhasabah diri atau berlumba-lumba menperbanyakkan ibadah. Walaupun iktikaf yang sedang kita bicarakan ini adalah dalam kaitannya dengan bulan puasa, tetapi tidak ada salahnya kalau ia hendak dilakukannya di luar bulan Ramadan, selagi tidak mengabaikan diri daripada tanggungjawab sosial.
Amat menyedihkan kita amalan iktikaf di masjid pada sepuluh akhir bulan Ramadan di kalangan umat Islam di negara ini tidak begitu popular. Realitinya, di akhir-akhir Ramadan ini masjid-masjid atau surau semakin lama semakin sepi. Para ahli jemaah yang tinggal hanya terdiri dari kalangan orang-orang tua, anak-anak muda boleh dibilang dengan jari. Anak-anak kecil yang datang pun hanya sekadar niat untuk mengambil makanan dan minuman sahaja. Mereka lebih ghairah dengan persiapan untuk menyambut Hari Raya atau pulang ke kampung.Tidak salah, kerana ia menjadi satu tradisi mereka dan yang penting mereka berbahagia bersama keluarga melakukannya. Tetapi persoalannya haruskah kita mengorbankan saat penting ibadah yang datang sekali dalam setahun ini. Mengunjungi orang tua dan sanak saudara boleh dilakukan pada bila-bila masa atau pada waktu yang lain. Tetapi iktikaf sepuluh hari terakhir Ramadan tidak boleh dipindah ke waktu yang lain.
Selama beriktikaf itu kita bertafakur, merenung diri sendiri, tentang hakikat diri kita ini, dari mana, di mana, dan akan ke mana. Ada ungkapan dan sebahagian menyebutnya hadis iaitu: “Barangsiapa yang mengenal dirinya nescaya akan mengenal Tuhannya.” Tafakur jenis kedua adalah dengan merenungkan alam ciptaan-Nya. Kalau yang pertama untuk melahirkan kesedaran diri, maka yang kedua ini melahirkan pandangan dunia (world view). Manusia mempersepsi Tuhan berdasarkan kesedaran dirinya tetapi bertindak berdasarkan pandangan dunianya. Bagi Tuhan, alam ciptaan-Nya tidak boleh dipisahkan dari dirinya. Kerana Tuhan tidak pernah berjarak dengan hasil ciptaan-Nya. Maka alam dalam konsep Islam, merupakan salah satu instrument penting untuk bertauhid, kerana di keluasan alam ada (kesatuan alam semesta) sebagai manifestasi daripada keesaan Tuhan.
Susunan MUHAMMAD QOSIM





