Berani menentang hawa nafsu

August 21, 2010 12:36 AM 0 comments

Share this Article

Author:

Berani menentang hawa nafsu atau nafsu syahwat termasuk dalam kategori berani; dan manusia yang hidupnya semata-mata mengikutkan kehendak hawa nafsu dikatakan sebagai manusia yang pengecut.         

Sesungguhnya tidak ramai manusia yang berjaya menahan atau mengawal hawa nafsu. Kebanyakan mereka mengikutkan sahaja keinginan itu. Islam melarang penganutnya menurut kehendak hawa nafsu kerana ia membawa manusia kepada kebinasaan.         

Dalam kehidupan sehari-hari ramai manusia yang berlumba-lumba dan secara tidak sedar telah bertanding antara satu sama lain. Kalau jiran kita menukar kereta baru, maka kita pun mahu menukar kereta baru, jenis yang lebih mahal pula. Kalau sahabat kita boleh berumah besar dan cantik, kita pun harus demikian juga. Begitu juga kalau perabot rumah jiran diimport dari luar negara, maka kita pun ingin mengimport perabot baru. Jika rantai leher orang daripada intan, maka kita menempah pula rantai leher daripada berlian. 

Pendek kata, mereka berlumba-lumba supaya dipandang “lebih” daripada yang lain. Kadang-kadang mereka sanggup pula bergolok bergadai untuk memenuhi keinginan hawa nafsu itu.         

Untuk memenuhi kehendak hawa nafsu, maka berbagai-bagai perilaku penyelewengan, bahkan jenayah berlaku dalam masyarakat. Segala keinginan tersebut hanya dapat dipenuhi dengan wang ringgit. Jika tiada wang, sedangkan keinginan itu mahu dipenuhi juga, maka berlakulah penyelewengan seperti rasuah, tipu, pecah amanah, dan sebagainya, bahkan ada yang sanggup melakukan jenayah seperti menculik, merompak, membunuh, mencuri, dan sebagainya. 

Semua keadaan dan perlakuan inilah yang menjadi faktor bahawa Islam melarang kuat para penganutnya daripada menurutkan hawa nafsu.         

Dari segi hukum Islam, manusia yang demikian itu telah melakukan dua dosa, iaitu dosa kerana menuruti hawa nafsu dan dosa kerana melakukan penyelewengan atau jenayah. Undang-undang negara juga akan menghukum mereka yang melakukan penyelewengan atau jenayah. Jika membunuh orang atau mengedar dadah, akan ke tali gantung. Jika mencuri dan sebagainya, akan dipenjara. Demikianlah seterusnya.         

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: 

“Perangilah  (berjuanglah) terhadap hawa nafsumu dengan berlapar dan dahaga. Sesungguhnya pahala (bagi amalan) yang demikian adalah seperti pahala orang yang berperang jihad kerana jalan Allah. Sesungguhnya tiada amal yang paling disukai Allah melainkan lapar dan dahaga (berpuasa).”         

Menurut riwayat, ada sebuah hadis baginda yang bermaksud bahawa perjuangan memerangi hawa nafsu adalah lebih berat daripada berperang jihad.         

Begitulah beratnya perjuangan untuk membanteras keinginan hawa nafsu. Oleh kerana hawa nafsu itu adalah keinginan hati, maka perjuangan untuk membanterasnya bukanlah mudah, atau boleh dilakukan dengan kata-kata sahaja. Ia mesti diusahakan dengan keazaman serta amalan yang bersungguh-sungguh. 

Satu-satunya amalan yang dapat menundukkan hawa nafsu ialah berpuasa. Puasa dapat melemahkan tenaga serta keinginan seseorang yang berlebihan di samping memberi kesedaran dan keinsafan akan tujuan hidup yang sebenarnya.         

Allah s.w.t telah menjanjikan kepada manusia yang dapat mengawal hawa nafsunya dengan balasan syurga di akhirat kelak. Firman-Nya dalam surah an-Naazi’aat ayat 40 dan 41 yang bermaksud: 

“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri d mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya di Padang Mahsyar), serta ia menahan dirinya daripada menuruti hawa nafsu; maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.” 

Susunan MUALIM MUHAMMAD

Leave a Reply