Apa muslihat doakan Guan Eng dalam khutbah?
Oleh MUHAMMAD HATIM
Pengakuan seorang khatib jemputan yang memasukkan nama Lim Guan Eng dalam dalam doa kedua khutbah Jumaat yang disampaikannya sejak dua tahun lalu memberikan gambaran bahawa telah berlaku secara terang-terangan usaha untuk mempersendakan kesucian agama Islam oleh orang Islam sendiri. Meskipun secara jelas maksud sebenar doa yang disampaikannya itu masih dipertikaikan, ramai umat Islam menganggap ianya satu petanda betapa terdesaknya khatib tersebut sehingga sanggup meminggirkan kedudukan Ketua Agama Islam secara rasmi dan sah dari segi peraturan dengan menukarkannya dengan pemimpin bukan Islam yang cuba menggunakan kebijaksanaan pemimpin Islam sebagai topeng politiknya.
Sejak mengambilalih pentadbiran Pulau Pinang, Lim Guan Eng sentiasa berhasrat untuk mencontohi keadilan pentadbiran yang ditunjukkan oleh bekas khalifah Islam yang termasyhur, iaitu Khalifah Umar Abdul Aziz. Lim Guan Eng cuba untuk bermain dengan kata-kata bahawa kepimpinannya akan cuba mendekati apa yang telah dilakukan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz demi menjamin keadilan sosial dan kerukunan hidup masyarakat pelbagai kaum di Pulau Pinang.
Nampaknya masih ramai lagi pemimpin Islam yang tidak nampak kebobrokan yang cuba ditonjolkan oleh Lim Guan Eng itu berhubung dengan nasib dan kehidupan orang-orang Islam di Pulau Pinang yang semakin terhimpit dan tersiksa dengan corak pembangunan yang sengaja bertujuan mengenepikan mereka secara halus dan terancang.
Belum pun reda dengan kegemparan merobohkan premis-premis perniagaan yang dijalankan oleh orang Melayu (juga Islam), dari Batu Uban, Gelugor dan seterusnya di Tanjong Tokong, Lim Guan Eng muncul sekali lagi sebagai hero melemparkan kegagalan dasarnya dengan menyalahkan kerajaan terdahulu. Apabila gagal menangani masalah penduduk Kg. Buah Pala, yang dijanjikan akan dipertahankan sebelum menang pilihanraya umum ke-12, penduduk Kg. Asam, Jelutong akan terus menghadapi nasib yang sama selepas Aidilfitri nanti kerana kampong tersebut akan dibangunkan dengan deretan rumah yang tidak mampu dimiliki oleh penduduk asal.
Kontroversi khutbah Jumaat yang dikatakan berlaku di beberapa buah masjid di sekitar Tasek Gelugor, Butterworth dan Jelutong dikatakan bermula apabila ada dalang yang cuba melakarkan imej tertentu Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kalangan orang Islam dan tentunya menggunakan platform pada hari Jumaat adalah langkah yang difikirkan berkesan. Ia dianggap berkesan kerana ramai orang Islam akan bersama-sama mendengarkan khutbah dan mengaminkan doa yang disampaikan oleh khatib sebelum mereka menunaikan sembahyang Jumaat secara berjemaah.
Bagi meneliti perilaku tersebut, nampaknya kedudukan EXCO yang menjaga portfolio agama Islam di Pulau Pinang sudah kehilangan arah apabila menafikan adanya perkara itu berlaku. Sekurang-kurangnya, setakat ini sudah 15 orang saksi telah memberikan keterangan dan pihak polis telahpun menubuhkan satu jawatankuasa siasatan manakala Yang di Pertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang berhasrat untuk memanggil khatib terbabit untuk menyiasat bentuk doa yang telah dilafazkan itu.
Permulaan menggunakan khutbah untuk mendoakan kesejahteraan ketua Negara dari segi sejarahnya dikatakan bermula pada zaman Dinasti Umayyah lagi. Semasa zaman khalifah ar-Rasyidin (Abu Bakar, Umar al-Khattab, Usman Affan dan Ali bin Abi Talib) tindak seumpama itu tidak pernah dilakukan.
Ketika Bani Umayyah memerintah, nama khalifah sebagai pemimpin tertinggi disebut oleh khatib dan mereka turut mendoakannya dengan kesejahteraan, keamanan dan perkara yang baik-baik, dengan harapan apabila memerintah akan melaksanakan tanggungjawab dengan adil dan mendahulukan kepentingan rakyat. Dengan kekuatan keimanan, para khalifah bukanlah dilihat sebagai satu bentuk pemujaan sehingga rakyat akan terus merasakan apa yang dilakukan itu sebagai sesuati yang wajar dan tidak bercanggah dengan konteks agama.
Selain mendoakan kesejahteraan dan keamanan, nama khalifah atau raja itu turut dimeterai pada mata wang emas atau perak yang digunakan sebagai perantara dalam jual beli yang berlangsung sepanjang pemerintahannya. Turut tercatat dalam sejarah ialah apabila terdapatnya penambahan kawasan pemerintahan, bergantinya tampok kuasa doa kedua dalam Khutbah Jumaat akan digunakan sebagai tertib bernegara. Tetapi itu berlaku dalam persekitaran pemerintahan oleh orang Islam, atas semangat menjamin kesejahteraan umat dan bernegara. Perkara ini berlangsung sejak bertukarnya pemerintahan dari Dinasti Fatimiyah kepada Dinasti Abbasiyah pada tahun 567 Hijrah di Mesir.
Dari segi perlembagaan, di Malaysia ketua agama Islam yang sah ialah Yang di Pertuan Agong manakala bagi negeri-negeri yang mempunyai raja-raja ialah Raja-Raja Melayu dan negeri tidak beraja ialah Yang di Pertua Negeri. Kesemuanya adalah pemimpin yang beragama Islam sesuai dengan kedudukannya sebagai ketua negeri dalam hal ehwal agama Islam dan adat istiadat orang-orang Melayu. Maka, secara sahnya nama-nama ketua agama yang ditentukan oleh Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri yang patut disebut dalam setiap kali melakukan doa kedua setiap kali berlangsungnya pembacaan Khutbah Jumaat. Dengan menukarkan nama tersebut dengan pemimpin politik, bermakna khatib itu sendiri telah melakukan kesalahan dan melakukan tindakan yang bertentangan dengan peraturan, ia boleh disiasat melalui Akta Hasutan.
Walaupun ad ape dapat mengatakan mendoakan pemimpin tertinggi sesebuah Negara atau negeri dalam Khutbah Jumaat diperbolehkan, mendoakan pemimpin yang bukan beragama Islam dengan perkara yang sama menampakkan satu kesalahan moral. Hanya rakyat perlu mendoakan kesejahteraan pemimpin, tetapi dalam banyak tindakan yang diambil oleh pemimpin tidak mendatangkan kesejahteraan kepada rakyat, malah ada ketikanya menampakkan tindakan peminggiran rakyat yang berlainan agama dan keturunan.
Seorang ulama fiqh, Sheikh Muhammad Asy Syarbini AlKhatib, melakukan doa ke atas Raja atau Sultan dalam doa kedua Khutbah Jumaat tidaklah menjadikannya suatu kesalahan, tetapi ia adalah lebih baik jika doa tersebut ditujukan kepada pemimpin umat Islam dan para sahabat Rasululllah s.a.w. Turut disunatkan apabila ketua Negara Islam turut dimasukkan ke dalam doa agar segala kebaikan dan pertolongan yang akan diberikan itu dapat menjamin kebenaran dan keadilan. Namun, doa yang ditujukan itu lebih tertumpu kepada pemimpin-pemimpin tertinggi yang memimpin umat Islam, dan tentunya pemimpin besar itu beragama Islam.
Sebagai ketua agama, Yang di-Pertuan Agong bagi peringkat negara (kebangsaan atau nasional) manakala Sultan dan Raja-raja Melayu atau Yang di Pertua Negeri, secara beradabnya tidak dimasukkan nama-nama Menteri Besar, Ketua Menteri sebagai dalam senarai yang perlu didoakan apatah lagi dengan menukarkannya kedudukan tersebut. Persoalannya, sebagai badan yang menyelaras penyampaian Khutbah Jumaat di negeri-negeri, kedudukan Majlis Agama Islam Negeri adalah jelas untuk membendung salahguna sedemikian sehingga boleh menimbulkan konflik dan kontroversi.
Pihak Majlis Agama Islam Negeri perlu menyediakan teks khutbah Jumaat dan menetukan bahawa hanya khatib yang bertauliah sahaja yang boleh menyampaikan khutbah Jumaat di mana-mana masjid di bawah pentadbirannya. Oleh itu, dengan mengundang khatib tertentu yang tidak mempunyai tauliah untuk menyampaikan khutbah Jumaat juga merupakan satu kesalahan, kerana ia merupakan pelanggaran undang-undang. Jadi, khatib jemputan yang terbabit perlu juga dikenakan tindakan kerana menyampaikan khutbah tanpa kebenaran dan menggunakan teks khutbah Jumaat yang berlainan dengan apa yang disyaratkan oleh Majlis Agama Islam Negeri.
Dalam hal ini, ramai umat Islam menjadi semakin celik dan sedar bahawa sudah ada satu proses indoktrinasi politik mula meresap dalam insitusi agama Islam, termasuk cuba menggunakan platform mimbar Jumaat. Perkara sedemikian pernah berlaku dalam pembasuhan minda menggunakan agama oleh segelintir pemimpin parti politik yang mentafsirkan perjuangan agamanya sahaja yang betul dan mampu membawa ke syurga sejak tahun 1960-an lagi. Hal sedemikian merebak luas sehingga menjadikan kekusutan dalam masyarakat Melayu hasil pertembungan tafsiran agama dalam konteks politik sehingga menyebabkan sembahyang dua iman, sembelihan ternakan haram dimakan walaupun mengikut prosedur dan amalan yang sama, haram menziarahi jiran yang meninggal kerana kelainan fahaman politik, pemutusan silaturrahim dan menuntut cerai atas perbezaan fahaman politik sehingga mencetuskan fenomena sengketa sesama Islam.
Dalam hal ini, perkembangan politik pemuafakatan yang mula dipraktikkan akhir-akhir ini menjadikan serangan ke atas parti lawan sebelumnya dalam hal yang sama atau hampir sama bukan lagi sesuatu yang jelek. Parti yang pernah menentangnya turut mengaplikasikan prinsip yang sama atas alasan untuk mendapatkan kuasa dan berbaik-baik dalam menyampaikan dakwah. Hingga kini, dakwaan tersebut masih belum menampakkan kejayaan kerana rakan yang bukan Islam semakin lantang menentang setiap usaha untuk menegakkan undang-undang Islam malah konsep negara Islam sendiripun belum mampu dijelaskan kerangka pembinaannya, kerana Karpal Singh tetap dengan pendiriannya, langkah mayatnya terlebih dahulu. Begitu juga dengan Lim Guan Eng, tetap menentang sebarang tindakan untuk menukarkan bentuk politik secular yang diamalkan oleh Malaysia menjadi Islam politik atau mengideologikan Islam sebagai perjuangan tunggal.
Jadi tidak ada sebab untuk pemimpin Islam memberikan ruang yang khusus kepada bukan Islam dalam doa mereka kerana pemimpin tersebut tidak pernah ingin faham dan berbaik sangka dengan masyarakat Islam. Jika benar berlaku penggantian pemimpin dalam doa kedua khutbah Jumaat, ia bukan sahaja mencemarkan hakikat Islam malah boleh dianggap menghina Yang di-Pertuan Agong. Sebelum ini, walaupun ada khutbah Jumaat di beberapa masjid, yang khatibnya tidak menggunakan teks rasmi dan tidak mendoakan untuk Yang di-Pertuan Agong atau Sultan secara khusus, ia tidak menggantikannya dengan pemimpin lain, apa lagi yang bukan beragama Islam.
Sekalipun ada sindrom penafian oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang berhubung dengan kes tersebut, kerana berdasarkan prosedur bahawa teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam tidak pernah menggunakan nama ketua menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong. Walau bagaimanapun penafian itu tidak lagi dapat menutup kelemahan yang berlaku dan kemusnahan yang terjadi apabila mimbar masjid disalahgunakan untuk tujuan politik yang sudah melampaui kelainan agama pemimpin yang ditonjolkan itu.
Gambaran apa yang berlaku di Pulau Pinang itu nampaknya sudah melampaui tahap politik yang matang, ia memberikan gambaran tahap politik menjadi semakin rendah dan kotor. Maka tidaklah keterlalaun apabila ada pandangan mengatakan agama telah dikotorkan oleh tuntutan politik yang disengajakan oleh pihak tertentu bagi tujuang mengekalkan kuasa dan membina imej dengan mencampurkan urusan ibadat. Amatlah diharapkan hasil siasatan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan oleh polis Pulau Pinang akan menemui satu petunjuk yang jelas dan dapat kita sama-sama bending bagi meletakkan kembali kedudukan Islam sebagai agama yang mementingkan perpaduan, kesejahteraan dan keamanan yang berkekalan.
Kita juga amat mengharapkan mana-mana ulama yang tidak mempunyai kaitan atau hubungan dengan mana-mana parti politik tampil menyatakan pandangan sebaik mungkin bagi menjernihkan suasana. Mengharapkan pendapat Mursyidul Am PAS memanglah sesuatu yang tidak boleh kita “pegang buku” kerana Datuk Seri Nik Aziz seringkali menimbulkan lebih banyak kekeliruan, termasuk menganggap persoalan yang berlaku kini sebagau pendapat peribadi, tetapi beliau lupa bahawa keperibadian yang luhur dan pandangan yang jitu Rasullullah s.a.w telah menyebabkan Islam terus tersebar meluas dan diterima sebagai agama kedua terbesar penganutnya hingga kjni. Janganlah kerana ingin mendapat dan mempertahankan sokongan daripada DAP, Tok Guru Nik Aziz sekali lagi akan melenturkan prinsip, bukan Islam boleh mencaci Islam kerana tidak memahami Islam. Kalau begitu, setakat ini sejauhmanakah pendekatan dakwah PAS tekah Berjaya memberikan kefahaman kepada bukan Islam yang didampinginya sebagai “rakan dan sahabat” untuk terus memperkukuhkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat?





