Seks menjadikan manusia setengah mati

July 22, 2010 9:00 AM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh MONOSIN SOBRI 

Akhbar The Sun (London), 2 Julai 2010 menyiarkan sebuah laporan menarik mengenai skandal gambar bogel VANESSA HUDGENS, seorang pelakon yang melonjak naik melalui filem High Musical School dengan tajuk “Nude Scandal Made Me Strong.” Ertinya, penyiaran gambar-gambar bogel oleh teman lelakinya sendiri Zac Erfon pada tahun 2007 dan diulang kembali pada tahun 2009 tidak sedikit pun menyebabkan artis berumur 21 tahun itu malu, aib dan sesal dengan apa yang berlaku. 

Meskipun imejnya dikatakan sedikit terjejas ekoran penyiaran dua set gambar dalam keadaan menggairahkan dengan tujuan menggoda teman lelakinya, kerjayanya sebagai artis muda tidak ikut terjejas. Masyarakat barat mempunyai ukuran yang berbeza dalam soal tersebut, kerana jika penyiaran tersebut dirakamkan secara tidak sah, ia adalah satu pelanggaran undang-undang dan hak privasi. Jika gambar itu diambil secara sengaja dan dengan persetujuan tuan punya badan, ia tidak menjadi kesalahan moral, hanya yang mungkin menjadi persoalannya ialah apakah motif gambar-gambar tersebut dipaparkan secara online oleh kekasihnya itu. 

Hal yang sama juga berlaku terhadap Ariel yang sejak awal bulan lalu menggemparkan rakyat Indonesia. Ariel, seorang penyanyi daripada kumpulan Peterpan kini dikenali sebagai peterporn kerana aksi seksnya dengan ramai wanita masih ditahan oleh pihak berkuasa. Perlakuan seks yang ditunjukkan melalui rakaman video tersebut hanya mungkin boleh disabitkan kesalahan berdasarkan undang-undang antipornografi yang telah dikuatkuasakan di Indonesia. Setakat ini, Ariel dikatakan mempunyai hubungan seks dengan ramai wanita cantik termasuk artis Luna Maya dan model Cut Tari. 

Beberapa hari lepas kita mendapat maklumat bahawa Sandra Bullock sedang memfailkan penceraian dengan James Jessie setelah berkahwin selama lima tahun apabila juruteknik motosikal itu berlaku curang, melanggani pelacur dan meniduri wanita lain selain wanita mulus bermata bulat itu. Sebelum ini kita turut digemparkan dengan ketagihan seks melampau Tiger Wood, seorang jaguh golf dunia yang memperoleh pendapatan paling lumayan. Kehebatan Tiger Wood bermain golf turut menjadikan seorang lelaki yang hebat bermain seks apabila lebih 32 wanita dilaporkan pernah berada di ranjang walaupun semuanya mengetahui Woods sudah pun mempunyai isteri. Rumahtangga Woods sedang menunggu kehancuran kerana Ellin Nordregen sudah kembali di Sweeden dan sedang merancang memfailkan penceraian. 

Skandal seks di Malaysia turut menghancurkan karier politik ramai orang. Seorang tokoh politik yang sedang berada di puncak akhirnya terpaksa meletakkan jawatan kerana rakaman aksi seksnya dengan seorang wanita disebarkan secara meluas oleh musuh-musuh politik. Seorang ahli politik yang mempunyai kedudukan sebagai seorang pemimpin utama sebuah negeri terpaksa melepaskan jawatan semata-mata kerana ada hubungan sulit dengan seorang wanita. Begitu juga kerana rakaman gambar separuh bogel hampir menyebabkan seorang wakil rakyat wanita melepaskan jawatan. Disebabkan ada pembelaan yang kuat dari naungan partinya, wakil rakyat wanita tersebut memperoleh kekuatan moral untuk meneruskan kerjaya politiknya berdasarkan ukuran privasi dan hak peribadi yang telah diceroboh oleh seseorang. 

Pemaparan imej lucah dan seks bebas melalui media bukanlah satu perkara baru. Pola sedemikian telah berkembang sejak manusia memahami bahawa kehidupan tanpa seks adalah suatu kehidupan yang tidak bermakna dan dilabelkan sebagai “separuh mati.” Seorang lelaki misalnya, setiap ketika apabila bersembang akan memperkatakan soal seks, kerana seks itulah menjadi kayu ukur kekuatannya. Atas sifat malu mengakui dirinya lemah, maka lelaki sentiasa mencari jalan bagaimana untuk tidak mengaku kalah, termasuk menukar pasangan (berkahwin lain), mencari wanita yang lebih muda (bila ada kesempatan dan wang), menemui tukang urut tradisional, mengambil ubat-ubatan dan tidak kurang juga yang menggunakan pelbagai alat sokongan. 

Namun hakikatnya kadangkala ada lelaki lupa bahawa seks itu bukanlah penentu segala-galanya. Atas kelupaan itulah ada lelaki menjadi mudah tertipu dan ditipu apabila umur senja berkahwin dengan wanita muda bagi memenuhi keinginan seksnya. Dukalara kehidupan akhirnya menjadi semakin tak terbendung lagi apabila sedar wang ganjaran semasa mula-mula bersara telah habis dikikis oleh perempuan mata duitan melalui perkahwinan kedua di luar negeri. Menyesal tanpa kesudahan, akhirnya terpaksa menghabiskan usia senja dengan menagih wang pencen setiap bulan dan ada setengah terkapai-kapai bersendirian, isteri tua telah diceraikan dan anak-anak mengambil sikap menjauhkan diri. 

Saya teringat dengan satu ungkapan yang pernah dinyatakan oleh seorang tokoh politik sedikit masa dahulu semasa kami sama-sama berbual sebelum suatu majlis keramaian berlangsung. Kata-kata tokoh politik itu, sama ada menyindir saya yang ketika itu berumur pertengahan 30-an atau sebagai nasihat. Saya menerimanya sebagai satu nasihat, apabila beliau merumuskan, seorang isteri tidak risau apabila suaminya tidak berduit, tetapi seorang isteri amat bimbang bila suaminya kaya. Pada mulanya saya berhujah bahawa lebih ramai wanita memilih suami yang berduit berbanding lelaki yang miskin.

Kenyataan saya itu disanggah kerana yang memilih lelaki berduit ialah mereka tidak menilai kebahagiaan sebenar sebuah kehidupan berumahtangga. Memang benar, wang tidak tidak membelikan kebahagiaan, tetapi ada orang membeli cinta dengan wang. Wang dijadikan pertaruhan sehingga sanggup pula “menebus talak sehingga mencecah jutaan ringgit.” Hal seperti itu pernah berlaku dalam masyarakat kita, dan setelah hampir dua tahun berlalu, tokoh politik yang menasihatkan saya turut melakukan perkara yang sama. Jumlah yang terbabit saya tidak tahu.

Apa yang saya tahu ialah beliau telah berkahwin dengan isteri seorang rakan sepejabat saya. Saya tidak tahu bila tarikh sebenarnya rakan saya bercerai, tetapi yang saya pasti sebaik sahaja tamat tempoh edah tokoh politik itu berkahwin kerana ia telah lama merindui seorang isteri setelah isteri pertamanya meninggal beberapa tahun lalu. Pernikahan tersebut tidak dilihat salah kerana yang dipaparkan ialah keduanya adalah duda dan janda. Tetapi, hubungan intim mereka berdua telah bermula beberapa tahun sebelum bercerai, si perempuan itu masih isteri orang. Gosip dan berita mengenainyalah telah memberantakkan rumahtangga mereka. Si suami hanyalah penjawat awam biasa, yang tentunya tiada kemewahan dan harta, sekadar mendapat gaji bulanan sekitar dua atau tiga ribu ringgit. Siisteri semakin “high taste” kerana telah terjebak dengan putaran politik, mencari peluang melonjakkan ekonomi.

Seorang lelaki sanggup berkorban demi kerana seks, kerana seks itulah menjadikan sebahagian daripada lelaki merasakan dirinya hidup. Maka, ada sebuah cerita yang terselit duka apabila seorang ahli politik (payung terjun) menjelaskan “seorang lelaki kalau anunya tidak kuat, hidupnya tidak ada guna lagi.” Kata-katanya itu hanya sekadar untuk menghiburkan hati kerana sebenarnya dia sendiri sudah lama “kemarau seks” kerana “berpuasa akibat isterinya sendiri ditimpa penyakit”, tetapi tetap tidak tidak mahu mengalah membincangkan soal seks. Masih ada keinginan mencari yang lain, tetapi tidak mempunyai kekuatan menghadapi berdepan dengan isteri dan anak-anak.

Persoalan seks dalam kehidupan juga menyebabkan manusia sentiasa mengalami konflik dan ketegangan. Hubungan antara dua seteru atas alasan cinta yang berlapikkan seks menyebabkan tragedi berdarah apabila suatu pihak tetap tidak menginginkan perkahwinan sedemikian berlaku. Hal yang serupa dapat kita lihat apabila ada satu doktrin dalam masyarakat Israel apabila rakyatnya yang berketurunan Yahudi tidak dibenarkan berkahwin dengan bukan Yahudi. Keyahudiannya akan terlucut apabila tidak mematuhi larangan tersebut.

Seks juga diperdagangkan dalam pelbagai bentuk sehingga menjadikan industry seks sebagai sumber pendapatan yang lumayan oleh sesetengah pihak atau negara atas alasan pelancongan. Atas dasar pemasaran produk, wanita cantik dieksploitasi secara simbolik dalam serba-serbi memukau dengan harapan mereka yang menonton akan terikut-ikut menjadi seperti model tersebut. Ada kalanya, hanya sekadar daya penarik walhal hubungan langsung dengan produk tersebut adalah tidak berkaitan seperti ketika melancarkan model baru sesebuah kereta. Wanita cantik yang seksi membuka pintu dan berdiri ghairah di sisi kereta model baru itu. Begitu juga dengan gelagat gadis litar, yang secara jelasnya tidak ada hubungan yang kuat dengan kepantasan berlumba di atas trek Formula 1 dan sebagainya.

Sesekali kita mungkin mengiyakan pendapat Sigmund Freud, seorang tokoh psikoanalisis keturunan Yahudi yang membuat kesimpulan bahawa kehidupan manusia sebenar banyak dibelenggu oleh pemikiran mengenai seks. Freud mungkin dianggap keterlaluan oleh sesetengah orang, tapi hakikatnya orang yang menolak pendapat tersebut tetap bercakap soal seks dan mudah terpesona dengan ungkapan yang berunsurkan seks. Itulah lumrah kehidupan yang dilalui oleh manusia. Tetapi, adakalanya manusia menjadi lupa oleh kerana terlalu tunduk kepada keinginan seks.

Faktor pengaruh luaran menjadi sesuatu yang sukar dielakkan apabila kita menjadi masyarakat yang semakin terdedah. Maklumat datang dari setiap arah dan penjuru dalam pelbagai pelana alasan. Para doktor membicarakan seks secara terbuka kerana ia merupakan satu bentuk pengetahuan yang perlu ada bagi setiap orang. Dengan pengetahuan tersebutlah para pakar mengharapkan manusia mempunyai kesedaran yang baik dan sehat.

Kini semakin lantang tokoh masyarakat memperjuangkan agar pendidikan seks atau reproduktif dijadikan sebagai mata pelajaran di sekolah. Kanak-kanak seawall usia 9 tahun digesa supaya didedahkan dengan pengetahuan tersebut atas alasan membendung gejala seks bebas dan kehamilan luar nikah yang semakin meresahkan masyarakat. Antara tahun 2000 hingga Julai 2008, sejumlah lebuh 257,000 kanak-kanak didaftarkan tanpa bapa. Fenomena ini semakin meningkat sehingga menjadikan perlakuan membuang bayi semakin menggusarkan hati dan perasaan, kerana mereka yang terbabit terasa sukar menerima hakikat menjadi ibu dalam usia terlalu muda dan berhadapan dengan kutukan masyarakat sekeliling.

Budaya masyarakat yang semakin berubah, dari berperanan sebagai mengawal kebejatan sosial menjadi pengutuk yang kejam menyebabkan mereka yang bersalah terasa sukar. Tambahan pula, sikap pihak yang sama-sama melakukan aksi seks luar nikah tidak mahu bertanggungjawab, menyebabkan sebahagian daripada kita setengah mati memikirkan bagaimana untuk memperbetulkan keadaan. Berhadapan dengan masyarakat umum, sebahagian yang cuba “merumahkan gadis dan wanita malang” dilontarkan kata-kata “menggalakkan zina”. Mereka yang berkata-kata hanyalah tahu menyindir dan mengutuk, akhirnya ikut terngadah apabila anaknya sendiri terjebak sama.

Kita perlu bersatu hati dan bersepakat menolak setiap perlakuan seks secara terbuka kerana ia banyak menimbulkan masalah. Jika ada video atau dvd yang dijual mengandungi unsur-unsur sedemikian, harus kita singkirkan dari daftar pembelian untuk hiburan. Jika ada media baik majalah atau buku yang memaparkan tulisan lucah jangan kita biarkannya terjual. Selagi kita menyokong industry tersebut, selagi itulah aksi seks terus dipaparkan. Kita boleh bersatu menolak semua produk yang ada kaitan dengan seks, termasuk tidak membeli ubat-ubatan tertentu yang berhasrat menambahkan “kekuatan lelaki” dan “keintiman suami isteri.”

Ubat-ubatan tersebut sebenarnya tidak perlu jika kita selalu menyedari ia anugerah Allah s.w.t bagi setiap orang. Kita perlu menjaga anugerah itu sebaik-baiknya, termasuk tidak mengambil makanan-makanan yang menyebabkan “mati pucuk” seperti alkohol, merokok dan sebagainya. Kita perlu mengekalkan stamina diri dengan bersenam dan mengawal tingkahlaku bersandarkan keimanan. Apabila anugerah itu sudah ditarikbalik, maka yakinkanlah itu adalah takdir. Sudah cukup untuk kita, tidak perlu berduka sepanjang kehidupan. Allah s.w.t sudah memberikan kita kesempatan, maka pada saat itulah kita sebenarnya sedar betapa luasnya kekuasaan-Nya dan terbatasnya kudrat diri. Janganlah asyik memperjuangkan seks sehingga setengah mati, kerana seks itu hanyalah sebahagian daripada peranan kita dalam sepanjang tempoh kita hidup.

Jangan biarkan apa yang berlaku di barat terus menggelorakan masyarakat kita, kerana kita adalah masyarakat yang berbudaya dan masih menghormati hakikat kemanusiaan yang diciptakan sebagai lelaki dan wanita. Kita hidup bersama dalam ikatan perkahwinan yang sah, kerana itulah hakikat kenapa Allah menciptakan manusia.

Leave a Reply