Pendidikan seks: Apa sebenarnya yang kita cari?
Oleh MONOSIN SOBRI
Isu pendidikan seks sama ada sebagai mata pelajaran khusus atau sebahagian daripada mata pelajaran di sekolah yang diajar rentas kurikulum kembali dibincangkan secara hangat setelah tenggelam beberapa ketika apabila pihak media membuat pendedahan mengenai masalah pembuangan bayi dan seks sebelum kahwin di kalangan remaja sedang melonjak naik.
Situasi yang membingungkan masyarakat itu nampaknya terus diasak dengan cadangan dan desakan agar pendidikan seks menjadi sesuatu yang wajib, perlu disegerakan hingga mereka yang bersikap konversatif menjadi sedikit tercabar. Para pendidik memberikan penilaian bahawa secara keseluruhannya pendidikan seks telah pun diperkenalkan di sekolah merentasi kurikulum, namun masih dilihat tidak berkesan kerana guru tidak mempunyai kemahiran mencukupi dalam mengajarkannya.
Lantaran itu sudah ada kata-kata sinis bahawa guru enggan mengajar perkara tersebut disebabkan oleh pertimbangan moral dan kefahamannya terhadap pengetahuan seks yang dianggap masih dianggap taboo dalam masyarakat. Tanggapan itu menyebabkan para remaja mencari jalan keluar yang lain, termasuk mendapatkan pengetahuan melalui buku-buku, bahan media yang lain (termasuk vcd, dvd, dan internet) dan paling banyak ialah daripada rakan-rakan.
Rakan-rakan dijadikan rujukan penting kerana sikap masyarakat Malaysia yang enggan berbincang mengenai pengetahuan seks secara terbuka atas alasan menjadi ketertiban dan susila. Hasilnya, pengetahuan seks remaja turut berkembang kerana keingintahuan itu semakin meningkat setelah kanak-kanak menjejaki alam remaja dan mula pandai bergaya untuk menarik perhatian di luar rumah.
Kerana itulah beberapa hari lalu agak lantang kedengaran suara agar pendidikan seks diperkenalkan sesegera mungkin bermula pada peringkat umur 9 tahun di sekolah. Atas desakan tersebut yang ternampak kurang manis oleh Mursyidul Am PAS dan beliau memberikan ulasan sinis dengan menyamakan usaha tersebut sebagai mengajar pencuri mencuri dengan kaedah yang betul.
Berasaskan pendapat tersebut kita mungkin boleh menyelami hakikat sebenar apakah yang kita inginkan apabila mendesak memperkenalkan pendidikan seks atau pendidikan seksualiti atau reproduktif kepada pelajar? Sejak lebih 20 tahun lalu persoalan ini menjadi garapan pemikir, pendidik dan pakar perubatan bahawa keperluannya adalah pasti kerana tanpa pengetahuan seks dengan jelas dan tepat akan mengakibatkan berlakunya aksi seks yang kurang selamat, kehamilan luar nikah yang meningkat, pembuangan bayi dan penerimaan masyarakat kesan dari perbuatan zina dan sebagainya.
Ada juga lontaran pengamatan bahawa kebanjiran atau pendedahan terhadap aksi seks melalui media turut mempengaruhi atau memotivasikan remaja dengan aktiviti seks bebas. Namun, di sebaliknya ada pendapat yang mempertikaikan pengaruh tersebut kerana beranggapan bahawa pemugaran budaya sumbang dan penyimpangan budaya itu seharusnya dilaksanakan dalam proses sosialisasi sejak masih bersama keluarga.
Pemugaran budaya sumbang tidak mampu dilaksanakan sepenuhnya oleh ibu bapa kerana sistem kehidupan sudah jauh berubah. Atas desakan semasa dan perkembangan pendidikan menyebabkan proses pemantauan anak-anak menjadi semakin sukar dilaksanakan dan jika ada pun menjadi semakin terhad. Anak-anak diasuh oleh pembantu yang digaji, dan hampir kesemuanya adalah warganegara asing yang tidak menyumbang kepada pemekaran budaya tempatan.
Mereka turut membawa budaya yang ada dalam dirinya, yang tentunya tidak sesuai dengan budaya kita. Lantaran itu, anak-anak sejak masih bayi lagi didedahkan program media (tentunya televisyen) yang secara halusnya melengkapkan proses pembelajaran nilai sejak masih dini. Maka tidak hairan, anak-anak yang masih kecil telah tahu bercakap pasal kahwin dan menilai kecantikan atas faktor himpitan kemahuan seks.
Iklan televisyen yang bercambah dengan rawatan tradisional (membesar payu dara, kulit yang tegang, tenaga kelelakian, hubungan intim dan kembali menjadi dara), tuala wanita dan pelangsingan yang melampau. Mahu tidak mahu untuk dilihat anggun menawan, suami pun makin sayang, iklan tersebut turut mempengaruhi anak remaja dengan nilai-nilai tersebut.
Persoalannya pendidikan seks telah ada di mana-mana. Cuma secara rasminya tidak diajar sebagai mata pelajaran di sekolah kerana masih ramai lagi masyarakat ragu keberkesanannya. Sehingga kini, masih belum mempunyai satu model pendidikan seks yang benar-benar berjaya, walaupun para pendesaknya mengambil contoh negara barat.
Ramai yang tahu, pendidikan seks telah diajar di sekolah-sekolah di barat, tetapi hingga kini masih belum mampu mengekang hubungan seks luar nikah, malah ada kecenderungan remaja untuk mencuba di peringkat usia yang terlalu muda. Pendedahan media turut memberikan kita bahawa, walaupun pendidikan seks telah diajar dengan sempurna di sekolah-sekolah di barat dan oleh guru yang berpengalaman, pengetahuan seks itu hanya mampu mengekang kes pembuangan bayi. Gagal mengekang hamil sebelum nikah.
Kita mungkin pernah mendengar statistik bahawa 40 peratus dari keseluruhan bayi yang dilahirkan di Amerika Syarikat adalah bayi luar nikah manakala remaja hamil semakin meningkat setiap tahun. Fenomena ini tidak mengejutkan masyarakat Amerika Syarikat kerana budaya seks bebas telah lama dipraktikkan manakala ibu bapa tidak menganggapnya sebagai satu dosa. Atas faktor rasional dan kebebasan, mereka menerimanya dengan hati yang terbuka.
Bagi remaja yang hamil dan tidak mahukan bayi mereka, boleh diletakkan di pusat pengumpulan bayi atau hatch center. Seandainya ibu bayi tersebut menukarkan fikiran untuk kembali mengambil bayi tersebut, mereka tidak menghadapi sebarang masalah. Keadaan seperti ini agak berlainan di Malaysia kerana sebahagian ahli masyarakat berfikiran bahawa adanya pusat pengumpulan bayi atau memberikan perlindungan kepada ibu yang bermasalah, ia turut menyumbang kepada peningkatan amalan seks bebas.
Kutukan terhadap pelaku seks bebas juga kuat dan kerana itulah remaja hamil seboleh-boleh menyorokkan kehamilan tersebut dari pengetahuan ibu bapa. Ibu bapa tidak dapat menerima budaya sumbang itu kerana “telah menconteng arang ke muka” maka anak-anak terpaksa membawa diri, bersembunyi dan tidak mendapat sokongan sebahagian masyarakat. Fenomena inilah yang menjurus kepada peningkatan pembuangan bayi.
Apa yang lebih penting ialah pemugaran budaya sumbang perlu dilaksanakan secara berkesan dalam setiap anggota masyarakat. Konsep kawalan sosial yang pernah diamalkan oleh ahli masyarakat dan komuniti perlu diamalkan kembali dengan tidak menganggapnya sebagai “menyekat kebebasan”, “menjaga tepi kain orang”, “menyibuk” dan sebagainya. Setiap ahli masyarakat harus menyokongnya.
Setiap ahli masyarakat perlu menanamkan budaya bahawa seks sebelum kahwin adalah sesuatu yang jijik dan menodai budaya sihat, walaupun ia berlaku dalam kelompok bukan Melayu-Islam. Setiap agama telah menetapkan bahawa hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan yang sah adalah sesuatu yang salah dan terkutuk. Maka, penguatkuasaan semula peraturan itu perlu dijelmakan secara jelas dan teratur.
Hasrat mengekang seks luar nikah tidak mampu ditangani dengan pendidikan seks di sekolah. Mengekang seks luar nikah memerlukan komitmen semua ahli masyarakat, institusi masyarakat dan kuatkuasa undang-undang yang berkesan. Fenomena memburu mereka yang berkhalwat tanpa mengira asal-usul agama hendaklah diterima oleh setiap ahli masyarakat yang cintakan budaya sihat.
Setiap ahli masyarakat perlu menegur sebagai langkah awal pencegahan apabila melihat adanya aktiviti sumbang berlaku atau hampir berlaku. Setiap ahli masyarakat tidak memberikan kebebasan melampau dalam pergaulan anak-anak sama ada kelainan jantina ataupun sesama jantina. Pergaulan bebas tanpa sekatan bukan sahaja mengundang seks luar nikah, malah menambahkan lagi masalah seks sesama jenis.
Para pengamal perubatan tidak perlu mencari publisiti murahan dengan menjawab soalan-soalan berkaitan dengan seks secara terbuka sehingga menyebabkan stigma ingin cuba. Bayangkan, apabila berusaha memberikan jawapan ke atas soalan “takat kepuasan seks” maka diberikan maklumat seperti g-spot, ejakulasi dan sebagainya. Akhirnya istilah-istilah sedemikian bukan sahaja menjadi pengetahuan umum, ia turut menyebabkan ada pihak yang cuba ingin tahu di manakah g-sport seorang wanita dan sebagainya.
Ingatlah, Allah SWT berpesan jauhilah keadaan yang boleh mendorongkan seseorang itu melakukan zina. Zina bukan sahaja merosakkan kehidupan berbudaya, malah menjadi sebahagian daripada “jerat” oleh pihak tertentu yang tentunya ingin menguasai apa yang kita miliki. Kita banyak mendapat maklumat, kerana tarikan sekslah menyebabkan ada pihak telah membocorkan rahsia negara dan akhirnya musuh berupaya menjajah.
Kerana tarikan sekslah menjadikan Samson hilang kekuatannya. Samson hilang kuasa memerintah apabila tunduk kepada pujukan Delilah, dan tertidur dalam ribaan gadis cantik itu. Meskipun ia merupakan sebuah mitos, ia adalah satu bentuk pengajaran yang besar maknanya kepada manusia. Banyak contoh lain yang boleh mengingatkan kita bahawa pendidikan seks sebenarnya masih belum mampu mengekang nafsu seks bebas manusia.
Pendidikan seks belum berkesan mengekang persoalan seks selamat, sebaliknya menyebabkan manusia semakin ghairah mencari kaedah untuk melakukan aksi seks agar kelihatan hebat diranjang, walaupun pasangan tersebut bukanlah suami isteri yang sah. Mereka semakin galak untuk mendapat gelaran sebagai lelaki terhebat dan simbol seks.





