Home » Global » Pakaian wanita Islam: Jilbab, niqab, cadur atau burqa semakin gelisahkan Barat

Pakaian wanita Islam: Jilbab, niqab, cadur atau burqa semakin gelisahkan Barat

Oleh MONOSIN SOBRI

Sekurang-kurangnya empat buah negara Eropah sudah mengadakan perbahasan atau tinjauan pendapat awam berhubung dengan larangan pakaian menutup muka bagi wanita muslim di tempat-tempat awam telah dilaksanaka. Perancis dan Sepanyol merupakan dua negara yang telah mengadakan satu peraturan yang jelas mengenai larangan tersebut manakala Belanda dan Belgium masih dalam peringkat perbahasan bagi menjadikannya sebagai satu bentuk undang-undang.

Negara lain yang turut mengeluarkan larangan yang serupa ialah Itali, manakala Britain masih di peringkat meneliti keputusan sebuah tinjauan pendapat sama ada mengikut jejak negara yang amat takutkan dengan bayang-bayang permusuhan yang dicetuskan oleh pemimpin politik mereka.

Manakala negara Mesir telah pun mengeluarkan larangan kepada pelajar perempuan mengenakan pakaian tersebut ketika berada di kampus dan Syria pula dijangka melakukan tindakan yang sama setelah beratus guru wanita dipecat kerana enggan mematuhi larangan tersebut.

Menteri Pendidikan Tinggi Syria, Ghiat Barakat telah pun mengeluarkan larangan agar pelajar wanita tidak mengenakan pakaian tersebut ketika memasuki kawasan kampus. Dalam kenyataan yang dipetik oleh Syria News pada 18 Julai 2010, keputusan tersebut dikeluarkan berdasarkan permintaan beberapa keluarga pelajar agar anak-anak mereka dapat belajar dalam suasana yang tidak cenderung menampakkan sifat-sifat ekstremisme.

Pada bulan Jun lalu, seramai 1,200 orang guru wanita Muslim telah mengenakan pakaian menutupi muka sebagai membantah sikap kerajaan yang dilihat sebagai sedang berusaha mempromosikan sekularisasi agama. Kerajaan dilihat amat prejudis apabila mendakwa pakaian tersebut cenderung kepada aksi ekstremisme.

Berdasarkan kenyataan tersebut jelaslah bahawa kontroversi pakaian itu berkait rapat dengan ketakutan masyarakat Barat dengan bayang-bayang yang telah dicipta oleh mereka sendiri, iaitu menyerang setiap imej yang cuba dibawa oleh masyarakat Islam sebagai ada kaitannya dengan aksi ganas. Pakaian menutup muka oleh wanita muslim yang menjadi penduduk minoriti sentiasa dibayangkan sebagai kaedah menyelubungi aksi pengebom berani mati.

Keresahan itu sebenarnya semakin memuncak apabila dua orang wanita yang kehilangan suami kerana diculik oleh kumpulan pemberontak Chechnya telah digunakan oleh kelompok yang menuntut pembebasan atau keadilan terhadap kerajaan Rusia telah meletupkan dua buah stesen keretapi berhampiran Moskow dan menyebabkan 38 orang terbunuh.

Kejadian pertama berlaku di stesen keretapi bawah tanah Lubyanka, tengah Moscow pada awal pagi apabila orang ramai sedang bersesak-sesak untuk ke tempat kerja. Dalam serangan “pengebom berani mati” itu 24 orang terbunuh, manakala lebih 64 orang tercedera. Kejadian kedua berlaku 45 minit kemudian, iaitu di stesen Park Kultury, Gorky menyebabkan 14 orang terbunuh. Dua kejadian tersebut berlaku pada akhir bulan Mac lalu.

Insiden tersebut telah dilihat bakal meningkatkan penglibatan wanita sebagai “pengebom berani mati” kerana pada tanggapan umum, wanita tidak akan sanggup melakukan kerja-kerja tersebut yang sebelumnya dimonopoli oleh remaja lelaki atau  golongan belia. Penggunaan remaja dan pemuda telah diketahui secara umum melalui penemuan banyak bukti berhubung dengan meningkatnya serangan ganas di tempat-tempat awam dengan mensasarkan masyarakat umum.

Bagi merekrutkan “pengebom berani mati”, kelompok berkenaan sentiasa memberikan harapan bahawa kemasukan mereka ibarat “pasangan pengantin” dan jika merelakan diri melaksanakan tanggungjawab jihad ini, kematian tersebut adalah penuh penghormatan dan syahid. Janji mendapat balasan di syurga telah menjadi faktor motivasi yang berkesan menarik penyertaan semakin ramai golongan muda, termasuk para pelajar.

Bulan Mac lalu,  Britain mengadakan pungutan suara secara online melalui akhbar Financial Times, di mana 57 peratus menyokong larangan tersebut. Hasil tinjauan itu turut memberikan gambaran bahawa Britainlah negara Eropah yang paling toleran berbanding 70 peratus di Perancis dan 65 peratus di Sepanyol.

Penduduk Muslim Britain berjumlah 2.5 juta, manakala bilangan wanita yang menggunakan pakaian sedemikian hanyalah sekitar 1 peratus. Setahun lalu, seorang wanita hamil telah ditikam sehingga mati semasa masih dalam perbicaraan apabila seorang pemuda yang mengecam wanita tersebut di sebuah taman permainan sebagai “pengganas” mengemukakan saman. Wanita yang berasal dari Mesir itu akhirnya dinobatkan sebagai “syuhada jilbab” dan sempena ulangtahun pertama kematiannya, suami mangsa sedang mengumpulkan dana untuk membina tugu peringatan bagi memberikan mesej bahawa penduduk Dressden, Jerman membantah sikap prejudis masyarakat berlainan agama terhadap penganut Islam yang menggunakan jilbab di tempat awam.

Namun bagi Menteri Imigrasi Britain, Damian Green penggunaan pakaian tersebut adalah hak setiap wanita muslim dan negaranya belum berhasrat untuk melarangnya walaupun tinjauan pendapat umum memberikan petunjuk agar turut berbuat demikian.

Beliau yang tidak bersetuju dengan larangan tersebut berkata negara tetangga Perancis tidak sepatutnya melarang pakaian tersebut sama ada di tempat awam mahupun di pejabat kerana “larangan itu tidak mencerminkan karakter Britain yang menjunjung tinggi sikap toleransi dan saling menghormati kehidupan bermasyarakat.”

“Mengatur orang soal apa yang boleh dan tidak boleh mereka kenakan ketika bersiar-siar di luar rumah merupakan tindakan yang tidak sesuai sifat kita di Britain,” kata Green kepada Sunday Telegraph. “Kita sangat tidak memerlukan  parlimen Britain  membuat undang-undang yang menentukan apa yang harus dipakai oleh seseorang. Berbeza dengan Perancis, di mana penggunaan jilbab dilarang di tempat-tempat umum. Britain bukanlah sebuah negara sekular yang aktif.”

Syor agar Britain mengambil sikap yang sama dengan lain-lain negara Eropah yang mengenakan undang-undang larangan memakai jilbab di tempat awam telah diutarakan oleh seorang anggota parlimen bernama Philip Holloborne. Green juga tidak yakin bahawa kerajaan akan terpengaruh dengan keputusan tinjauan pendapat berhubung dengan larangan memakai jilbab, niqab atau burqa ke atas wanita Muslim yang kebanyakannya adalah kelompok pendatang dari negara-negara Arab termasuk Turki.

Philip Holloborne, anggota parlimen dari Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri David Cameron terus mempromosikan lobi agar kerajaan mengambil langkah yang sama sebagaimana dilakukan oleh parlimen Perancis. Namun, di kawasan parlimennya sendiri, iaitu di Kettering, bahagian tengah Britain,  Holloborne telah membuat gesaan agar setiap wanita muslim yang ingin menemuinya perlulah menanggalkannya terlebih dahulu, jika tidak, beliau enggan menemuinya.

Menurut Holloborne, “jika wanita itu enggan dan berkata ‘tidak mahu’, saya tetap beranggapan bahawa ia tidak adil kerana dia boleh melihat wajah saya sedangkan saya tidak dapat melihatnya dengan jelas. Saya akan mempelawanya untuk berkomunikasi dengan saya melalui cara yang lain, termasuk dalam bentuk surat.”

Tambah Holloborne,  “Tuhan memberikan kita wajah dengan begitu ekspresif. Ini bermakna kita bukan hanya berkomunikasi dengan kata-kata, kita juga ikut tersenyum, sedih, marah atau menunjukkan rasa kecewa. Anda tidak mendapati semuanya itu jika dengan menutupi muka.”

Terdapat lebih kurang 50,000 penduduk di Kettering termasuk sejumlah 400 keluarga Muslim.

Pada tahun 2006, mantan Setiausaha Luar, Jack Straw, memulakan perdebatan umum apabila meminta agar wanita Muslim supaya membuka jilbab bila berdepan dengannya.

Bagi Syaikh Abdul Rahman al-Sudais, imam dari Masjidil Haram menyeru agar umat Islam mematuhi undang-undang di sesebuah negara kerana Islam adalah agama yang diturunkan untuk “melindungi kepentingan kemanusiaan, mencegah kejahatan dan menjalin hubungan baik dengan semua masyarakat di samping menawarkan sebuah mesej yang besar, iaitu rahmat dan toleransi.”

Islam membawa pesan perdamaian, kebaikan dan toleransi. Intipati khutbah itu telah disampaikan oleh Syeikh Abdul Rahman dalam khutbah Jumaatnya di Masjid Tauhidul Islam di Blackburn, Lancashire, Britain, Jumaat lalu.

Imam Masjidil Haram itu turut menyeru agar umat Islam yang tinggal di negara-negara Barat agar mematuhi undang-undang sesebuah negara tempat mereka tinggal. “Anda harus menjadi faktor positif dan konstruktif di komunitas di mana anda tinggal dan tidak boleh melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan yang akan menjejaskan keselamatan dan kestabilan.”  Intisari khutbah Jumaat itu telah dilaporkan oleh Saudi Press Agency.

Syaikh al-Sudais turut meminya agar umat Islam belajar dari kehidupan dan ajaran Nabi Muhammad s.a.w yang mengunjungi jiran berketurunanYahudi. “Ketika Nabi meninggal, baju besinya disimpan oleh seorang Yahudi sebagai jaminan,” kata Syaikh Al-Sudais sambil mendesak umat Islam untuk menjalin hubungan baik dengan bukan Islam  kerana “ini adalah cara terbaik untuk menarik mereka memahami Islam.”

Menurut Syaikh Al-Sudais lagi, umat Muslim yang tinggal di Barat harus menjadi duta besar agama dan “anda harus menjunjung tinggi nilai-nilai Islam yang besar ketika berhadapan dengan Muslim ataupun bukan Muslim dan tidak boleh terlibat dalam amalan korupsi atau ketidakadilan.”

Tahun lalu, di bawah judul “‘Hate Sheikh’s British tour sparks outrage”, Jewish Chronicle melaporkan bahwa Setiausaha Negara telah meminta agar Syaikh Al-Sudais dilarang memasuki Britain atas alasan bakal mempengaruhi orang lain untuk mengamalkan sikap anti semitic, merendah-rendahkan nilai Britain terhadap sikap  toleransi dan saling menghormati setiap orang.”

Sikap sinis Barat itu sebenarnya ketakutan atas bayang-bayang silam mereka sendiri yang sentiasa terjeruk oleh keinginan membentuk hademoni dan prejudis terhadap masyarakat Islam. Masyarakat Barat semakin risau dan takut apabila jumlah penduduk Muslim semakin bertambah, manakala dasar-dasar yang dilaksanakan semakin memperlihatkan rasa benci terhadap Islam. Sikap media mereka juga turut menyebabkan persepsi buruk semakin melampaui igauan, sedangkan masyarakat Muslim semakin kukuh ikatan keagamaannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 + 2 =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib