Manusia di dalam al-Quran

July 27, 2010 6:32 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh IZHAR SYAFAWI

 

Al-Quran adalah kitab suci untuk manusia kerana ia seluruhnya berbicara untuk manusia atau berbicara tentang manusia. Begitu yang dijelaskan oleh Dr. Yusuf Qardhawi (1977: 33) “Masyarakat Islam dibentuk kerana ideologinya, iaitu Islam,” kata Fazlur Rahman (1980: 43). Ideologi adalah weltanchauung, yang menjelaskan realiti dalam perspektif tertentu. Ideologi adalah cara memandang realiti. Di antara realiti penting yang diulas oleh ideologi adalah manusia.

Agak menghairankan apabila Marcel A. Boisard menulis tentang pandangan al-Quran mengenai manusia dalam bab les Fil d‘Adam, meskipun mengakui pentingnya falsafah antropologi dalam Islam, beliau kemudian menyebutkan bahawa al-Quran diwahyukan untuk memperkenalkan Tuhan kepada manusia; bukan untuk menjelaskan manusia – non pour expliquer l’humain (Boisard, 1979: 84). Oleh hal yang demikian itu, dalam seluruh bukunya, Boisard hampir tidak pernah membahas tentang perwatakan manusia menurut al-Quran, seperti lazimnya falsafah manusia (philosophic de l’homme). Dirk Bakker (1965) dalam bukunya yang berjudul Man in the Qur’an, mengulas tentang manusia dari segi penciptaannya, hubungannya dengan dunia, sesama manusia, Tuhan, dan fungsi manusia sebagai hamba Tuhan, tetapi tidak membahaskan aspek principe d’entre manusia.

Hanya Fazlur Rahman (1980), yang secara khusus menjelaskan principe d’entre manusia ini. Agak terperinci, beliau menjelaskan perbezaan antara manusia dengan makhluk lain. Semuanya dapat disimpulkan menerusi katanya, ‘The only different is that while every other creature follows its nature automatically, man ought to follow his nature; this tranformation of the is into ought is both fhe unique privelege and the unique risk of man.’ (Rahman, 1980: 24)

Fazlur Rahman mengulas tentang manusia dengan merumus pandangan al-Quran tentang kedudukan manusia sebagai individu dan anggota masyarakat. Beliau tidak memulakannya daripada konsep asas yang digunakan oleh al-Quran untuk mengabsorbsikan manusia. Dalam tulisan tersebut, juga dalam tulisan lain (Rahman, 1967) – yang membahas aspek amanah sebagai inti kudrat manusia – huraian Fazlur Rahman tidak berbeza dengan perbahasan Imam Al-Ghazali yang lebih klasik.

Mungkin tulisan Mutahhari (tanpa tahun) dan beberapa tulisan lainnya (Lihat Mutahhari, 1986) membahas tentang perwatakan khas manusia yang lebih ‘maju’ daripada Imam Al-Ghazali, juga walaupun pendek tulisan al-Faruqi (1404: 332). Sayangnya, seperti Fazlur Rahman, mereka meneliti ayat-ayat al-Quran yang berkenaan dengan manusia, lalu menyimpulkan secara induktif. Yang kita perlukan di sini, sebenarnya menemukan bagaimana al-Quran memberi makna tentang konsep-konsep asas manusia. Dengan kata lain, kita mengidentifikasikan istilah-istilah al-Quran tentang manusia, kemudian mengenali bidang semantik setiap istilah itu, sebagaimana digunakan di dalam al-Quran.

Kita mungkin terkesan dengan Izutsu (1964, 1965) yang memperkenalkan metodologi semantik dalam memahami konsep-konsep asas al-Quran. Tidak mungkin dalam tulisan ini, kita mampu menghuraikannya secara terperinci. Izutsu sendiri berkata, ‘Unfortunately, what is called semantics today is so bewilderingly complicated. It is extremely difficult, if not absolutely impossible, for an outsider even to get a general idea of what it is like.’ (Izutsu, 1964: 10). Malangnya makalah ini tidak dimaksudkan untuk itu, penulis makalah ini juga outsider. Jadi, dengan risiko salah beberapa langkah.

Pertama, kita memilih istilah-istilah kunci (key-terms) dari vocabulary Al-Quran, yang kita anggap merupakan unsur konseptual asas dari weltanschauung Quranik ini.

Kedua, kita menentukan makna asas (basic meaning) dan makna nasabi (relational meaning). Makna asas yang berkenaan dengan constant semantic element which remains attached to the word whereever it goes and however it is used. (Izutsu, 1964: 19). Makna nasabi adalah makna tambahan yang terjadi kerana istilah itu dihubungkan dengan konteks di mana istilah itu berada.

Ketiga, kita menyimpulkan weltanschauung yang menyajikan konsep-konsep itu dalam satu kesatuan.

Ketika Izutsu membahas konsep Tuhan dan manusia dalam al-Quran, beliau menyebut pembahasannya sebagai semantics of the Koranic weltanschauung. Beliau mengambil konsep Allah sebagai istilah kunci dan menjelaskan hubungan konsep itu dengan manusia. Beliau menyebutkan tiga hubungan ontologi, hubungan komunikasi nonlinguistik, dan hubungan komunikasi linguistik. Beliau sama sekali tidak menyebut pelbagai konsep yang digunakan oleh al-Quran untuk merujuk manusia. Tulisan ini mengambil jalan lain. Pertama, akan dibahaskan istilah-istilah kunci manusia dan bidang semantiknya. Kedua, akan dibahas implikasi dari bidang semantik tersebut untuk memperoleh gambaran tentang weltanschauung Quranik.

 Basyar, Insan, dan Al-Nas

Kita kembali kepada ketiga-tiga istilah kunci tersebut. Basyar disebut sebanyak 27 kali. Dalam seluruh ayat tersebut, basyar memberikan rujukan kepada manusia sebagai makhluk biologi. Lihatlah bagaimana Maryam berkata, yang bermaksud: “Tuhanku, bagaimana mungkin aku mempunyai anak, padahal aku tidak disentuh basyar.” (ali-Imran: 47); atau bagaimana golongan yang diseru para nabi menolak ajarannya, kerana nabi hanyalah basyar – manusia biasa yang ‘seperti kita,’ bukan superman.

 

Kata basyar dihubungkan dengan mitslukum (tujuh kali) dan mitsluna (enam kali) di antara ayat-ayat tersebut di muka. Nabi Muhammad s.a.w disuruh Allah s.w.t menegaskan bahawa secara biologi, baginda seperti manusia yang lain, yang bermaksud: “Katakanlah, aku ini manusia biasa (basyar) seperti kamu, hanya saja aku diberi wahyu bahawa Tuhanmu ialah Tuhan yang satu.” (al-Kahfi: 110; al-Fussilaat: 6).

Tentang para Nabi, orang-orang kafir selalu berkata, “Bukankah dia basyar seperti kamu, dia makan apa yang kamu makan, dan dia minum apa yang kamu minum.” (al-Ahzab: 33). Ayat ini ditegaskan dalam al-Quran, surah 25: 7, yang bermaksud, “Mereka berkata, bukankah Rasul itu memakan makanan dan berjalan-jalan di pasar.’ dan Al-Quran, surah 25: 20, ‘Dan tidak Kami utus sebelummu para utusan kecuali mereka itu memakan makanan dan berjalan-jalan di pasar.’ Ketika wanita-wanita Mesir takjub melihat ketampanan Nabi Yusuf a.s, mereka berkata, “Ya Allah, ini bukan basyar, tetapi ini tidak lain kecuali malaikat yang mulia.” (12:31).

Secara singkat konsep basyar selalu dihubungkan dengan sifat-sifat biologi manusia yakni makan, minum, seks, berjalan di pasar. Dari segi inilah, kita tidak tepat mentafsirkan basyarun mitslukum sebagai manusia seperti kita dalam hal berbuat dosa. Kecenderungan para Rasul untuk tidak patuh pada dosa dan kesalahan bukan sifat-sifat biologi, tetapi sifat-sifat psikologi (atau spiritual). Sama tidak tepatnya untuk tidak mentafsirkan: ‘Sesungguhnya telah kami jadikan insan dalam bentuk yang sebaik-baiknya.’ (95: 4) dengan menunjukkan karakteristik fisiologi manusia.

Yusuf Ali (1977: 1759) dengan tepat mentafsirkan ayat ini, ‘to man God gave the purest and the best nature, and man’s duty is to preserve the pattern on which God has made him.’ (QS 30:30). Al-Syaukani (1964, 5: 465) menyebutkan umumnya para mufasir memaknakan ayat ini untuk menunjukkan kelebihan manusia secara fisiologi yakni berjalan tegak, dan makan dengan menggunakan tangan. Tetapi Ibn ‘Arabi berkata, “Tidak ada makhluk Allah yang lebih baik daripada manusia. Allah membuatnya hidup, mengetahui, berkuasa, berkehendak, berbicara, mendengar, melihat, dan memutuskan, dan ini adalah sifat-sifat rabbaniyah.”

Sekali lagi kekeliruan pentafsiran, umumnya para mufassir bermula daripada salah faham tentang semantic field istilah insan, yang berbeza dengan basyar. Insan disebut sebanyak 65 kali dalam al-Quran. Kita boleh mengelompokkan konteks insan dalam tiga kategori, iaitu:

Pertama, insan dihubungkan dengan keistimewaannya sebagai khalifah atau pemikul amanah.

Kedua, insan dihubungkan dengan ciri-ciri negatif diri manusia.

Ketiga, insan dihubungkan dengan proses penciptaan manusia.

Kecuali kategori ketiga yang akan kita jelaskan kemudian, semua konteks insan menunjukkan pada sifat-sifat psikologi atau spiritual. Pada kategori pertama, kita melihat keistimewaan manusia sebagai wujud yang berbeza dengan haiwani. Menurut al-Quran, manusia adalah makhluk yang diberi ilmu: “Yang mengajar dengan pena, mengajar insan apa yang tidak diketahuinya.” (al-’Alaq: 4, 5). “Dia mengajarkan (insan) al-bayan.“ (ar-Rahmaan: 3). Manusia diberi kemampuan mengembangkan ilmu dan daya nalarnya. Kerana itu juga, kata insan berkali-kali dihubungkan dengan kata nazhar. Insan disuruh menazhar (merenungkan, memikirkan, menganalisis, meneliti) perbuatannya: “Iaitu hari manusia akan menigingati apa yang telah diusahakannya.” (al-Naba‘: 35)

Proses terbentuknya makanan daripada siraman air hujan hingga terhasilnya buah-buahan (’Abasa: 24-36), dan penciptaannya (at-Taariq: 5). Dalam hubungan inilah, setelah Allah menjelaskan sifat insan yang tidak labil. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?” (al-Fussilat: 53)

Kedua, manusia adalah makhluk yang memikul amanah (al-Ahzab: 72). Menurut Fazlur Rahman (1967: 9), amanah adalah menemukan hukum alam, menguasainya atau dalam istilah al-Quran ‘mengetahui nama-nama semuanya’ dan kemudian menggunakannya, dengan inisiatif moral insani, untuk menciptakan tatanan dunia yang baik. Al-Thabathabai, (tt, 351-352) mengutip berbagai pendapat para mufassir tentang makna amanah dan memilih makna amanah sebagai ciri-ciri untuk beriman dan mentaati Allah. Di dalamnya terkandung makna khilafah, manusia sebagai pemikul al wilayah al-ilahiyyah. Amanah inilah yang dalam ayat-ayat lain disebutkan sebagai perjanjian (ahd, mitsaq, ‘isr). Ciri-ciri untuk beriman inilah yang digambarkan secara metafora dalam surah al-A‘raaf, ayat 172.

Ketiga, kerana manusia memikul amanah, maka insan di dalam al-Quran juga dihubungkan dengan konsep tanggungjawab (a-Qiaamah: 36; al-Qiaamah:3; al-Qaaf: 16). Manusia diperintah untuk berbuat baik (Luqman: 14; al-Ahkaf: 15); amalnya dicatat dengan teliti untuk diberi balasan, sesuai dengan apa yang dikerjakannya (al-Najm: 39). Oleh hal yang demikian itu, insanlah yang dimusuhi syaitan (al-Israa‘: 53; al-Hasy-r: 16) dan ditentukan nasibnya di hari kiamat (al-Qiaamah: 10, 13, 14; al-Naazi‘aat: 35; ‘Abasa: 17; al-Fajr: 23).

Keempat, dalam menyembah Allah s.w.t, insan sangat dipengaruhi oleh lingkungannya. Apabila dia ditimpa musibah, dia cenderung menyembah Allah s.w.t dengan ikhlas; apabila dia memperoleh keuntungan, dia cenderung sombong, takbur, bahkan musyrik (Yunus: 12; Hud: 9; al-Israa‘: 67, 83; az-Zumar: 8; al-Fussilat: 49, 51; asy-Syuraa: 48; al-Fajr: 15).

Dalam kategori kedua, kata insan dihubungkan dengan ciri negatif pada diri manusia. Menurut al-Quran, manusia itu cenderung zalim dan kafir (Ibrahim: 34; al-Hajj: 66; az-Zukhruf:15), tergesa-gesa, terburu-buru (al-Israa‘: 11; al-Anbiyaa: 37), bakhil (al-Israa‘: 100), bodoh (al-Ahzab: 72), banyak menafikan atau membantah (al-Kahfi: 54; al-Nahl: 4; Yaasiin: 77), resah, gelisah, dan enggan membantu (al-Ma‘aarij: 19), ditakdirkan untuk bersusah payah dan menderita (al-Insyiqaaq: 6; al-Balad: 4), tidak berterima kasih (al-’Aadiyaat: 6), berbuat dosa (al-’Alaq: 6; al-Qiaamah: 5), meragukan hari akhirat (Maryam: 66). Apabila dihubungkan dengan sifat-sifat manusia pada kategori pertama, insan menjadi makhluk paradoks, yang berjuang mengatasi konflik dua kekuatan yang saling bertentangan: kekuatan mengikuti fitrah (memikul amanah Allah s.w.t) dan kekuatan mengikut ciri negatif. Kedua-dua kekuatan ini digambarkan dengan kategori ayat-ayat ketiga.

Secara menarik, proses penciptaan manusia atau asal kejadian manusia dinisbahkan kepada konsep insan dan basyar sekaligus. Sebagai insan, manusia diciptakan daripada tanah liat, intipati tanah, tanah (al-Hijr: 26; ar-Rahmaan: 14; al-Mukminun: 12; as-Sajdah: 7). Demikian juga basyar berasal daripada tanah liat, tanah (al-Hijr: 28; Saad: 71; ar-Rum: 20) dan air (al-Furqan: 54). Ini dapat disimpulkan bahawa proses penciptaan manusia menggambarkan secara simbolik perwatakan basyari dan perwatakan insani. Menurut Qardhawi (1973: 76), manusia adalah gabungan kekuatan tanah dan hembusan Ilahi (bain qabdhat al-thin wa nafkhat al-roh).

Yang pertama, unsur material dan yang kedua unsur rohani. Yang pertama, unsur basyari, yang kedua unsur insani. Kedua-duanya harus bergabung dalam keseimbangan. “Tidak boleh (seorang mukmin) mengurangi hak-hak tubuh untuk memenuhi hak roh, dan tidak boleh dia mengurangi hak-hak roh untuk memenuhi hak tubuh,” kata Abbas Mahmud al-’Aqqad (1974, 7:381). Konsep kunci ketiga ialah al-nas yang mengarah kepada manusia sebagai makhluk sosial. Inilah manusia yang paling banyak disebut di dalam al-Quran (sebanyak 240 kali, lihat ‘Abd al-Baqi, al-Mu’jam; pada kata al-nas). Tidak mungkin dalam tulisan singkat ini, dijelaskan seluruh bidang semantik istilah al-nas. Cukuplah di sini ditunjukkan beberapa perkara yang memperkuatkan persoalan pada awal paragraf ini – yakni, al-nas merujuk kepada manusia sebagai makhluk sosial.

Pertama, banyak ayat yang menunjukkan kelompok-kelompok sosial dengan perwatakannya. Ayat-ayat itu lazimnya dikenali dengan ungkapan wa min al-nas (dan di antara sebahagian manusia). Dengan memperhatikan ungkapan ini, kita menemukan kelompok manusia yang menyatakan beriman, tetapi sebenarnya tidak beriman (al-Baqarah: 8), yang mempersekutukan Allah s.w.t (al-Baqarah: 165), yang hanya memikirkan kehidupan dunia (al-Baqarah: 200), yang mempesonakan orang dalam pembicaraan tentang kehidupan dunia, tetapi memusuhi kebenaran (al-Baqarah: 204), yang ‘berdebat’ dengan Allah s.w.t tanpa ilmu, petunjuk, dan al-Kitab (al-Hajj: 3, 8; Luqman: 20), yang menyembah Allah s.w.t dengan iman yang lemah (al-Hajj: 11; al-Ankabut: 10), yang memperagakan percakapan yang menyesatkan (Luqman: 6); di samping ada sebahagian orang yang rela mengorbankan dirinya untuk mencari keredaan Allah s.w.t.

Kedua, dengan memperhatikan ungkapan aktsar al-nas, kita dapat menyimpulkan bahawa sebahagian besar manusia mempunyai kualiti rendah, baik dari segi ilmu mahupun dari segi iman. Menurut al-Quran, sebahagian manusia itu tidak berilmu (al-’A’raaf 187; Yusuf: 21; ar-Rum: 6, 30; al-Jaathiyah: 26; Saba‘: 28, 36; al-Ghaafir: 57), tidak bersyukur (al-Ghaafir: 61; al-Baqarah: 243; Yusuf: 38), tidak beriman (Hud: 17; Yusuf: 103; ar-Ra‘d: 1), fasik (al-Maidah: 49), tidak menghiraukan ayat-ayat Allah s.w.t (Yunus: 92), kafir (al-Israa‘: 89; al-Furqan: 50), dan kebanyakan harus menanggung azab (al-Hajj: 18).

Ayat-ayat ini dipertegaskan dengan ayat-ayat yang menunjukkan sedikitnya kelompok manusia yang beriman (an-Nisaa‘: 66; Saad: 24; al-Baqarah: 88; an-Nisaa‘: 46; an-Nisaa‘: 155), yang berilmu atau dapat mengambil pengajaran (ah-Kahfi: 22; 7: ali-Imran; an-Naml: 62; al-Ghaafir: 58; al-Haaqah: 42), yang bersyukur (Saba‘: 13; al-A‘raaf: 10; al-Mukminun: 78; al-Mulk: 23; as-Sajdah: 9), yang selamat daripada azab Allah s.w.t (Hud: 116), yang tidak diperdayakan oleh syaitan (an-Nisaa‘: 83).

Ketiga, al-Quran menegaskan bahawa petunjuk al-Quran bukanlah hanya dimaksudkan kepada manusia secara individual, tetapi juga manusia secara sosial. Al-nas sering dihubungkan al-Quran dengan petunjuk atau al-Kitab (al-Hadiid: 25; an-Nisaa‘: 170; Ibrahim: 1; an-Nur: 35; az-Zumar: 27; dan sebagainya).

Weltanschauung Quranik tentang manusia  

Daripada huraian di atas menunjukkan bahawa al-Quran melihat manusia sebagai makhluk biologi, psikologi, dan sosial. Sebagaimana ada hukum-hukum berkenaan perwatakan biologi manusia, maka ada juga hukum-hukum yang mengendalikan manusia sebagai makhluk psikologi dan makhluk sosial. Manusia sebagai basyar berkaitan dengan unsur material, yang melambangkan manusia dengan unsur tanah. Dalam keadaan itu, manusia secara automatik tunduk kepada takdir Allah s.w.t di alam semesta, sama taatnya seperti matahari, haiwan, dan tumbuh-tumbuhan. Dia dengan sendirinya musayyar. Namun begitu, manusia sebagai insan dan al-nas berhubungan dengan unsure ‘hembusan Ilahi‘. Kepadanya diletakkan aturan-aturan, tetapi dia diberikan kekuatan untuk tunduk atau melepaskan diri daripadanya. Dia menjadi mahkluk yang mukhayyar. Dia menyerap sifat-sifat rabbaniah menurut ungkapan Ibn Arabi, seperti sama’, bashar, kalam, qadar. Dia mengembangkan wilayah Ilahiyah, seperti kata al-Thabathabai. Oleh hal yang demikian itu, dia dituntut untuk bertanggungjawab.

Oleh sebab pada diri manusia terdapat ciri-ciri negatif dan positif sekali gus, menurut al-Quran, kewajipan manusia ialah memperjuangan ciri-ciri positif. Ini terjadi apabila manusia tetap setia pada amanah yang dipikulnya. Secara konkrit, kesetiaan ini diungkapkan dengan kepatuhan pada syariat Islam yang dirancang sesuai amanah. Al-Quran tidak lain tidak bukan merupakan rangkaian ayat yang mengingatkan manusia untuk memenuhi janjinya itu. Terdapat dua komponen intipati yang membentuk hakikat manusia yang membezakannya daripada haiwan, iaitu potensi mengembangkan iman dan ilmu. Usaha untuk mengembangkan kedua-duanya disebut ‘amal salih.’ Oleh hal yang demikian itu, kita menyimpulkannya bahawa ilmu dan iman adalah asas yang membezakan manusia daripada makhluk lainnya. Inilah hakikat kemanusiaannya,’ tulis Mutahhari (tt.: 17). Kedua-duanya harus dikembangkan secara seimbang.

Dalam pandangan al-Quran, amat sedikit orang yang dapat mengembangkan ilmu dan iman ini sekali gus. Sedikit orang yang beriman, sedikit orang yang berilmu, dan lebih sedikit lagi orang yang beriman dan berilmu. Kelompok terakhir inilah yang disebut al-Quran, yang bermaksud: “Allah mengangkat darjah orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu.” (al-Mujaadalah: 11)

Makna hidup manusia diukur sejauh mana dia berjaya beramal sebaik-baiknya, yakni sejauh mana dia mengembangkan iman dan ilmunya sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dia (Allah) yang menciptakan kehidupan dan kematian untuk menguji kamu siapa di antara kamu yang paling baik amalnya.” (al-Mulk: 2)

Dan firman Allah lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya kami jadikan apa yang ada dipermukaan bumi sebagai perhiasan untuk menguji mereka, siapa di antara mereka yang paling baik amalnya.” (al-Kahfi:7)

Jika Jean-Paul Sartre mengatakan hidup ini absurd, al-Quran menyatakan hidup ini adalah medan atau gelanggang untuk membuktikan amal salih.

 

 

Di dalam al-Quran, ada tiga istilah kunci yang mengarah kepada makna asas manusia, iaitu basyar, insan, dan al-nas. Ada konsep-konsep lain yang jarang digunakan di dalam al-Quran, anasiy, insiy dan ins. Unas disebut sebanyak lima kali dalam al-Quran (al-Baqarah: 60; al-A‘raaf:82; al-Ma’aarij:160; al-Israa‘: 71; a-Naml:56) dan menunjukkan kelompok atau golongan manusia. Di dalam al-Quran, ayat 60 surah al-Baqarah, misalnya, unas digunakan untuk menunjukkan 12 golongan dalam Bani Israil.

 Anasiy hanya disebut sebanyak satu kali (al-Furqan: 49). Anasiy dalam bentuk jamak daripada insan, dengan mengganti nun atau ya atau boleh juga bentuk jamak daripada insiy, seperti kursiy, menjadi karasiy. (Lihat al-Thabrasi, 1937), yang merupakan bentuk lain daripada insan. Ins disebut sebanyak 18 kali di dalam al-Quran, dan sering dihubungkan dengan jinn sebagai pasangan makhluk manusia yang mukallaf (al-An‘aam: 112, 128, 130; al-A‘raaf: 38, 179; al-Israa‘: 88; al-Naml: 17; al-Fussilat: 25, 29; al-Ahqaaf: 18; az-Dzaariyaat: 56; ar-Rahmaan: 33, 39, 56, 74; al-Jinn: 5, 6).

 

 

 

Leave a Reply