Jalan mudah membina madrasah, mengurus rumah amal

July 29, 2010 12:15 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh AZMY MOHAMED

Niat murni untuk membina madrasah atau mengurus rumah kebajikan bukanlah lesen untuk ‘meminta’ sedekah daripada orang ramai. Sikap memungut derma di tempat tumpuan awam bukan sahaja tidak menepati ajaran Islam malah mencemar imej agama suci itu.

Dalam Islam, umatnya diajar bahawa tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Namun apabila terdapat golongan yang mengambil jalan mudah dengan menagih simpati untuk membina madrasah atau mengurus rumah kebajikan anak-anak yatim, ia sedikit sebanyak mencalar serta memberi persepsi negatif kepada penganut agama lain.

Seolah-olahnya umat Islam tidak saling membantu dalam melaksanakan perkara-perkara kebajikan dan pendidikan agama. Bahkan ia juga menggambarkan kegagalan pihak pengurusan zakat di negara ini. Sepatutnya pembinaan madrasah dan perbelanjaan mengurus rumah amal ini mendapat pembiayaan daripada pusat zakat. Bukannya dengan meminta derma ala meminta sedekah di depan pintu masuk bank-bank utama.

Bermodalkan nama institusi dan profilnya, orang ramai diyakinkan bahawa sememangnya kutipan derma itu akan disalurkan untuk melunaskan hasrat murni mengembangkan syiar Islam dan membantu golongan yang tidak berkemampuan.

Malah penderma turut disediakan resit rasmi tetapi tidak ramai yang mengambilnya. Mereka turut menunjukkan surat kebenaran mengutip derma daripada orang ramai oleh pihak berkuasa yang berkaitan dengan jabatan agama. Walaupun kesahihannya diragui, hanya segelintir warga yang bertanya untuk mendapat kepastian. Itu pun sekadar melepas batuk di tangga.

Majoritinya menderma dengan ikhlas. Kesibukan kerja menyebabkan mereka tidak berkesempatan untuk menyelidik sama ada surat kebenaran itu asli atau palsu. Apatah lagi untuk memastikan yang madrasah atau rumah amal itu benar-benar wujud.

Kepada penderma ke mana wang itu akan dibelanjakan bukan isu dan ia menjadi tanggungjawab serta amanah si penerima. Penderma hanya mengharapkan amalannya diterima oleh Yang Maha Esa sebagai sedekah jariah.  Salah satu amalan yang terus diberi ganjaran walaupun selepas kematian seseorang itu selain ilmu yang digunakan untuk kebaikan dan doa anak yang soleh.

Oleh sebab itu, kebarangkalian untuk pihak tidak bertanggungjawab mengeksploitasi sifat pemurah rakyat negara ini dengan mempergunakan agama dan isu kemanusiaan memang tidak boleh dinafikan. Kemungkinan besar ada dalang di sebalik sindiket meletakkan warga emas, remaja lelaki berkopiah berbaju Melayu dan kaum hawa untuk mengutip derma ini.

Lebih buruk lagi, ada yang memperalatkan penuntut madrasah yang masih di bawah umur untuk menjual kalendar, doa dan buku agama. Walaupun bukan meminta sedekah tetapi cara mereka menjual dan mendekati orang ramai sama seperti peminta sedekah. Ramai yang menghulur wang kerana simpati bukan sebab ingin membeli barangan tersebut. Dan biasanya barangan itu tidak bertukar tangan.

Hal ini menimbulkan persoalan kerana selama ini kerajaan secara berterusan menyediakan peruntukkan kewangan yang mencukupi untuk pembinaan madrasah dan institusi pendidikan agama dalam belanjawan tahunannya. Sepatutnya pengutipan derma ini tidak wujud, tidak perlu dan sewajarnya dibanteras.

Sekiranya wujud kekurangan dana mereka masih boleh memohon peruntukkan tambahan daripada kerajaan Pusat dan negeri. Malah mereka juga boleh memohon sumbangan dengan cara terhormat kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), tokoh korporat Muslim dan  yayasan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa terbuka untuk membantu.

Jika pembinaan madrasah atau rumah amal ini atas inisiatif swasta atau persendirian, maka mereka perlu memikirkan kaedah lain yang lebih mencerminkan imej suci ajaran Islam. Mustahil pentadbir atau pengurus di madrasah atau rumah amal tidak mengetahui bahawa Islam tidak menggalakkan umatnya meminta-minta. Malah Allah secara jelas berfirman bahawa 90 peratus punca rezeki datangnya daripada perniagaan.

Dalam konteks ini, mereka boleh mencontohi pertubuhan Al-Arqam dalam aspek pembangunan perniagaan dan keusahawanan – bukan hal berkaitan akidah. Al-Arqam berjaya melahirkan ramai usahawan dalam perniagaan makanan halal seperti air soya, kicap dan mi.

Pertubuhan ini turut aktif dalam bidang penerbitan dan percetakan. Banyak komik dan buku yang berciri keislaman diterbit dan dipasarkan walaupun pada waktu itu permintaan masyarakat masih rendah. Mereka juga aktif menjual lagu-lagu nasyid kontemporari dalam bentuk kaset dan kemudiannya cakera padat. Kumpulan Raihan tumbuh daripada pertubuhan ini dan pernah mencatatkan rekod jualan album yang tertinggi di negara ini mengalahkan ramai artis popular lain.

Pokoknya, perlu ada kesanggupan dan komitmen. Bukan mengambil jalan mudah. Banyak peluang pekerjaan dan perniagaan di negara ini yang dikuasai warga asing. Misalnya restoran tomyam oleh warga Selatan Thai dan bisnes pengubahsuaian rumah oleh rakyat Indonesia. Asalnya mereka bekerja dengan tauke rakyat tempatan. Kemudian mereka mula bergerak sendiri dan membawa hasil keuntungan ke negara asal. Margin keuntungan dalam perniagaan ini cukup lumayan.

Justeru, pihak pengurusan madrasah atau rumah amal ini perlu melatih penuntut dan penghuninya untuk menjadi usahawan ulama seperti Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Pada masa yang sama, sebagai langkah membendung budaya mengutip derma di tempat awam ini, kerajaan wajib ’mengharamkan’ pengeluaran surat kebenaran untuk tujuan itu.  Wartakan larangan ini. Dengan itu, orang ramai boleh memaklumkan kepada pihak berkuasa jika ada individu yang masih menjalankan ’operasi’ mengutip derma ini.

Sebagai cadangan, madrasah atau rumah amal yang bermasalah kewangan perlu mendaftar dengan satu agensi atau jabatan khas yang dikawal selia oleh kerajaan. Kemudian, selaras dengan perkembangan teknologi maklumat (IT), orang ramai boleh menghulurkan sumbangan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Jumlah sumbangan tertakluk kepada nilai yang ditetapkan bermula dari RM1 hinggalah ke RM100.

Melalui cara yang lebih profesional ini, imej dan kesucian agama Islam terus terpelihara. Sumbangan juga dapat disalurkan terus ke akaun bank madrasah atau rumal amal yang sahih kewujudannya. Tiada lagi kesangsian dan tanda tanya. Segalanya jelas dan telus.

Leave a Reply