Dialog UMNO-PAS atas penyatuan Islam
Oleh MUHAMMAD IRFAN ISKANDAR
Setelah beberapa kali cadangan untuk menyatukan kembali dua parti parti politik yang asalnya dalam satu perjuangan, selepas berpisah pada tahun 1978 atas alasan “serik dan diperlakukan secara kasar”, UMNO dan Pas disaran kembali berunding ataupun berdialog dengan hati yang terbuka dan ikhlas bagi mempertahankan survival Melayu-Islam pada pilihan raya umum ke-13.
Kalau diikutkan tempoh edah sesuatu pilihan raya umum, masa yang masih berbaki bukanlah terlalu lama lagi. Pilihan raya umum ke-12 berlangsung pada 8 Mac 2008, bermakna untuk sampai ke PRU ke-13, hanya berbaki selama 3 tahun lagi. Itupun jika mengambilkira tempoh genap selama lima tahun. Namun dalam sejarah pilihan raya umum di Malaysia ia mungkin boleh diadakan dalam tempoh yang kurang daripada itu, mungkin 3 atau 4 tahun.
Walau pun tarikh sebenar bilakah PRU ke-13 masih samar-samar, nampaknya parti-parti politik sedang giat memperkemaskan strategi dan merancang tindakan untuk menjadi parti terkuat dalam kelompok masing-masing. Secara jujurnya, kerana keadaan masyarakat yang pelbagai kumpulan etnik, persoalan berhubung dengan kepentingan kaum akan tetap menjadi asas kempen dan kewujudannya.
Biarpun ada parti-parti politik yang diasaskan tidak berlandaskan kepentingan kaum secara prinsipnya, tindakan dan dasar parti terbabit tetap bercorak perkauman atau sekurang-kurangnya dipengaruhi oleh isu-isu perkauman. DAP, waluapun membuka peluang kepada semua kaum, keanggotaannya lebih dominan kepada kaum Cina dengan sokongan kecil rakyat keturunan India dan Punjabi.
Parti Gerakan juga menjadikan ruang perjuangan kaum sebagai asas yang besar apabila kekalahannya dalam PRU ke-12 dikaitkan dengan masalah “keris” dan sentimen Dasar Ekonomi Baru. Begitu juga dengan parti MIC yang secara jelasnya berusaha memperjuangkan kepentingan kaum India turut tercabar apabila kumpulan haram Hindraf tidak lagi yakin bahawa parti itu “membela masyarakat India.”
Sentimen MCA, yang mewakili masyarakat Cina menjadi tercabar apabila lebih ramai ahli-ahlinya secara terang-terangan beralih arah dengan menyokong keompok pembangkang sama ada yang mewakili DAP ataupun PKR. PKR yang merupakan parti serpihan yang hanya berhasrat membebaskan pemimpin utama dan melonjak kembali reputasi politik Anwar Ibrahim terbelenggu dengan kesetiaan wakil rakyatnya sendiri.
Hubungan parti-parti yang membentuk Pakatan Rakyat (DAP, PKR, PAS, dan PRM) menjadi semakin kurang bersengat apabila parti-parti tersebut menghadapi masalah dalaman yang serius. PAS menghadapi persoalan kepuakan apabila segolongan yang melihat Menteri Besar Kelantan sebagai “pemimpin besar” adakalanya bercelaru dengan keputusan yang didokong oleh bekas Menteri Besar Terengganu yang gagal mempertahankan penguasaan PAS.
DAP mula mencari jalan untuk mengikat wakil rakyatnya yang bercadang untuk keluar parti dengan syor membayar denda sebanyak RM 5 juta. Penetapan syarat ini menampakkan DAP sudah lagi tidak menghormati prinsip kebebasan dan parti itu menjadi semakin autokratik.
PKR dilihat semakin hanyut dibuai oleh retorik Anwar Ibrahim berhadapan dengan “kecurangan ahlinya sendiri” apabila semakin ramai meninggalkan parti itu sama ada kembali ke pangkal UMNO ataupun mengisytiharkan cabang atau rantingnya dibubarkan. Beberapa orang pemimpin mereka yang menang atas tiket PKR sudah tidak mahu lagi “menerima mentah-mentah apa yang diarahkan” kerana mula sedar terlalu banyak pembohongan dan penuh dengan dogma “balas dendam.”
Syor untuk mengadakan “kerajaan perpaduan” yang ditimbulkan oleh Presiden dan kemudiannya diperluaskan oleh Timbalan Presiden PAS selepas PRU ke-12 menjad tersangkut apabila Menteri Besar Kelantan mempertikaikan kewajarannya dengan memberikan kata putus, tinggalkan parti itu dan meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat. Sergahan keras turut dilontarkan oleh Mursyidul Am Pas itu, termasuk “mengkaji semula orang luar bertanding di Kelantan bagi mewakili PAS” dan “membersihkan dua kerat pemimpin.”
Akibat tersintak dengan hentaman keras Menteri Besar itu maka satu persidangan politik diadakan sebelum akhir tahun lalu mencari satu resolusi untuk tidak lagi membangkitkan isu “kerajaan perpaduan.” Maka semasa semaraknya idea “kerajaan perpaduan”, pemimpin DAP turut meminta agar pemimpin PAS memberikan penjelasan dan dibawa perbincangan dalam mesyuarat tertinggi Muafakat Pakatan Rakyat. Setelah rasa tersekat dan disekat, akhirnya ketiga pemimpin utama Pakatan Rakyat –PKR (Anwar), Pas (Haji Hadi) dan DAP (Lim Kit Siang)- membuat kenyataan bersama untuk memperkukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.
Haji Hadi mengeluarkan kenyataan keramatnya bahawa “rundingan kerajaan perpaduan sudah tertutup pintunya” maka isu tersebut kembali senyap seketika. Beberapa hari lalu, seseorang yang bukan pemimpin besar parti politik memberikan pandangan bahawa “UMNO dan PAS mesti bersatu bagi menjamin kuasa Melayu serta meningkatkan kedudukan Islam di Malaysia.”
Cadangan tersebut akhirnya bersambut dengan reaksi positif apabila Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri memberikan reaksi sedia berbincang demi menyatukan orang Melayu. Reaksi awal Mursyidul Am PAS mengenai cadangan tersebut nampaknya bersambut dengan penuh kecurigaan apabila meletakkan syarat perbincangan hanyalah tertumpu kepada bayaran royalti yang sepatutnya diterima oleh Kelantan atas penggerudian telaga minyak dan gas di perairannya yang bersempadan dengan Thailand.
Tokoh-tokoh agama turut menyambut seruan awal yang ada sedikit petunjuk bakal berlaku antara UMNO dan PAS. Namun, akhirnya sikap “tidak ikhlas” Mursyidul Am PAS sekali lagi memperlihatkan “kelingking berkait” seolah-olah mengatakan “tidak.”
Sikap berbelit-belit Nik Aziz itulah menyebabkan Karpal Singh tetap mempertahankan pendiriannya bahawa perjuangan PAS untuk menegakkan “negara Islam” perlu “melangkah mayatnya terlebih dahulu.” Bagi Karpal Singh, secara undang-undangnya Malaysia tidak boleh menjadi sebuah negara Islam, kerana tidak termaktub dalam Perlembagaan. Islam hanyalah setakat “agama rasmi Persekutuan” dan bukannya “asas pembentukan negara.”
Menurut pemahaman Karpal Singh, Malaysia walaupun telah diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam oleh Tun Dr. Mahathir, ia tetap sebuah “negara Islam sekular.” Penggunaan perkataan “sekular” tidak dapat diterima oleh PAS, kerana ia bakal “mencekik politiknya sendiri yang sejak bermusuh dengan UMNO melabelkan UMNO sebagai parti sekular.” Akibatnya, UMNO didakwa “tidak Islamik”, taghut, assabiyah, dan sebagainya sedangkan sebagai orang Islam sama-sama mengucap dua kalimah syahadah, membaca al-Qur’an, kiblat dan mengerjakan rukun Iman yang sama.
Hasrat para ulamak untuk melihat akan berlakunya hubungan kerjasama yang erat antara UMNO dan PAS demi mengekalkan kuasa Melayu nampaknya menjadi semakin sukar selagi Menteri Besar Kelantan masih merasakan kedudukannya sahajalah yang berkuasa ke atas parti tersebut. Beliau yang enggan berunding atas dendamnya yang lama semasa sama-sama berada dalam Barisan Nasional pada tahun 1974, PAS tidak mendapat layanan yang sewajarnya oleh pemimpin-pemimpin UMNO ketika itu.
PAS amat terasa apabila telinganya dipulas sehingga menyebabkan parti itu nanar mencari arah dan membina kembali tapak kekuatannya apabila Datuk Asri Haji Muda dan Datuk Haji Muhamad Nasir terpaksa keluar dengan masing-masing menubuhkan parti lain. Asri menubuhkan Hamim manakala Datuk Mumahad Nasir menubuhkan parti Berjasa, tetapi akhirnya kedua-dua parti tersebut dibubarkan setelah ketiadaan pemimpin pelapis dan tidak lagi berpengaruh. PAS telah teruji kekuatannya apabila pada tahun 1990 memenangi pilihan raya umum dan memerintah Kelantan di bawah paying Angkatan Perpaduan Ummah.
Ahli-ahli Semangat 46 turut merasakan sikap tidak adil pemimpin PAS apabila tidak memberikan layanan kepada mereka termasuk jawatan penting dalam barisan exco Kelantan. Keadaan ini akhirnya diselesaikan apabila Menteri Besar memberikan jawatan Timbalan Menteri Besar kepada wakil rakyat Semangat 46, Datuk Rozali Isohak yang ikut bersama Tengku Razaleigh setelah kecundang dalam perebutan jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987 dan menubuhkan parti baru apabila UMNO diharamkan pada tahun 1988.
Sejak dilantik menjadi Menteri Besar, Nik Aziz terus berjaya mengekalkan kedudukan politiknya sehingga Kelantan dilihat amat kuat bergantung kepada peribadinya. Banyak pihak meramalkan Kelantan akan kalah sekiranya Tok Guru tidak lagi bertanding atau mengundurkan diri kerana pemimpin-pemimpin PAS yang lain tidak mampu memperlihatkan kesederhanaan dan kekuatan pengaruhnya.
Mungkin kerana merasakan pengaruhnya masih kuat dan mampu bertahan sehingga PRU ke-13, Nik Aziz terus memasakkan nilai-nilai ketokguruannya dalam pemikiran masyarakat Kelantan. Tok Guru tidak akan berundur dan berbincang mengenai penyatuan antara UMNO dan PAS. Jika UMNO nak berbincang mengenai perkara itu, selagi itulah Tok Guru akan meletakkan harga yang mahal kerana perjuangan mendapatkan royalty minyak dan gas masih belum dimuktamadkan pada pandangannya.
Tok Guru memang perlukan ‘wang royalti” itu kerana wang itulah yang akan mengekalkan legasi PAS di Kelantan buat selama-lamanya selagi ada bulan dan bintang. Persoalan perpecahan orang Melayu tidak penting, kerana perjuangan PAS adalah berpaksikan Islam dan bukannya untuk orang Melayu. Perjuangan mengekalkan kuasa Melayu adalah sikap asabiyah dan tidak dapat diterima oleh PAS, walhal jika dikaji pengertian perkataan asasbiyah, PAS sebenarnya telah melaksanakan konsep tersebut secara meluas.
Dari segi pemikiran, PAS melebih semangat assabiah hanya mengatakan Membangun Bersama Islam di Kelantan sebagi satu-satunya model pembangunan yang seharusnya diterima. Apabila kita melihat dan meneliti apa yang dilaksanakan melalui Membangun Bersama Islam, ia bukanlah sebuah kejayaan yang boleh dibanggakan, masih banyak kekurangan dan kelemahannya. Jika benar Kelantan sudah membangun berlandaskan Islam, tentunya pembinaan modal insan tidak akan terpalit dengan pelbagai bencana sosial rakyat Kelantan.
Pengakuan tentang semakin meningkatnya kes-kes penagihan dadah, kematian akibat jangkitan HIV/AIDS, remaja hamil, pecah rumah dan penyeludupan di Kelantan sudah menampakkan satu bencana. Ia bukan lagi boleh dianggap sebagai masalah sosial, ia adalah bencana sosial apabila kehidupan di kampong sudah lagi tidak tenteram. Pintu rumah dan tingkap perlu dikunci setiap masa, walhal sebelum “Membangun Bersama Islam” kejadian pecah rumah, penagihan dadah tidaklah setinggi sekarang. “
PAS akan terus meletakkan syarat dengan harapan kedudukannya sentiasa menang. Sikap berlembut bukanlah perjuangan sebenar yang ditunjukkan oleh PAS kerana kepimpinan hanya mampu melenturkan matlamat perjuangan hanyalah bila berhadapan dengan DAP dan PKR. Dengan UMNO, PAS akan terus memacakkan sentimen benci dan legitimasi agama kerana telah terbina kepompong minda bahawa parti itu sahajalah yang berjiwa dan berjuang atas nama Islam.
PAS harus menilai kembali kedudukan dirinya sebagai sebuah parti politik jika mahukan Islam terus dihormati kerana desakan masakini terlalu banyak mengasak, mempersoal dan menterjemahkan Islam sebagai dogma politik yang keterlaluan dan memperlihatkan keterpurukan ummat. PAS perlu segera mencari arah agar kekuatan Melayu-Islam Malaysia terus menapaki tamadun baru yang lebih besar, kerana dunia sudah pun mula meneladani kepimpinan politik yang penuh tolak ansur dan mengamalkan watak Islam moderat.
Jika PAS terus mendendangkan irama kesidah, irama itu akhirnya hanya mampu dipertahankan dalam sebuah kelompok yang khusus, tidak lagi dapat diterima oleh masyarakat umum, termasuk bukan Islam. Bukan Islam akan terus bertenggek dengan PAS selagi dapat menumpang kekuatan yang ada, setelah kekuatan itu berubah dan menjadi semakin lesu, ketika itulah PAS akan sedar betapa sukarnya untuk hidup dan berkuasa sekali lagi.
UMNO dan PAS perlu berdialog bagi menyelesaikan masalah atau apa yang terbuku dalam hati masing-masing. Setelah semuanya terbongkar, carilah jalan perdamaian dan bersalamanlah atas nama Islam dan kekuatan ummah. Kalau Nik Aziz terus berdegil, tidak bermakna PAS tidak boleh melakukannya kerana PAS itu bukanlah hak mutlak milik Nik Aziz seorang. Ia milik setiap ahlinya.






12:24 AM
Saya setuju umno dan pas bersatu. Tetapi disebabkan umno telah banyak kali melakukan angkara terhadap pas saya cadangkan supaya pas mengetuai perpaduan melayu Islam ini. Pas ditipu diKelantan diTrengganu diPerak , sekarang diSelangor dan diKedah semata-mata kerana UMNO tidak mahu hilang kuasa. UMNO perlu beralah dan mengaku kesalahannya sebelum ini. UMNO perlu membayar kafarah dosanya kepada pas. Jika umno benar sayangkan bangsa dan agama berkorbanlah sama sepertimana juga pas pernah berkorban berulang kali demi agama dan bangsa. rakyat sudah bosan melihat bagaimana umno memegang tampok pemerintahan negara sejak merdeka hinggalah kini. selama 50 tahun harta kekayaan negara dibolot hanya untuk orang umno semata-mata. hak keistimewaan orang melayu telah dihakis mereka dan impian untuk melihat orang melayu setanding maju sama dengan bangsa lain telah terbukti gagal. orang umno juga tidak sekaya mana apabila harta yang mereka terima tidak diberkati Allah dan tidak halal. negara telah diselubungi rasyuah, nepotism, pilih kasih, asabiah, kezaliman, pembaziran dan kroni. Jika umno masih juga bercita mahu menjadi juara dan berangan-angan untuk meneruskan agenda politik untuk periuk sendiri, janganlah harapkan pas akan rela sekali lagi diperkudakan. Allah telah menjanjikan akan memberi kemenangan kepada pihak yang benar dan mereka yang bersalah akan menerima kekalahan akhirnya. Bertaubatlah sebelum nyawa sampai dipangkal leher. bermohon ampunlah sebelum tibanya angin merah yang akan membawa kemarau kepada negara. Allah maha berkuasa untuk membentuk negara baru yang gersang berpadang pasir sebelum tibanya hari kiamat menggantikan pepohon kayu yang menghijau sekarang ini. Kita akan kehilangan minyak dan air , mati kehausan dan muflis. Ketika itu UMNO sendiri tidak terliur untuk merampas takhta kerajaan dan orang melayu Islam akan semuanya menjadi ummah yang fakir dan kufur kepada tuhan. Waliazzubillah.
11:08 PM
Permulaan duka politik Melayu-Islam mula berpunca dengan PAS yang mengkafirkan orang UMNO pada tahun 1964 di Pasir Mas apabila kelompok yang menubuhkannya di Kelantan terasa amat sukar menghadapi pengaruh UMNO. PAS turut melakukan musibah yang hebat sehingga menyebabkan insiden Duff Company menggoncangkan Asri dan persoalannya kenapa terus menghasut sehingga menjadikan pondok-pondok pengajian agama yang tidak sebulu ditekan dan akhirnya terpaksa ditutup, contohnya Pondok Tok Selehor. Kenapa sembunyikan kesilapan dan tutup kelemahan diri sehingga menjadikan penyokong terus kebingungan untuk memikirkan mana yang betul dan mana pula yang salah. Saya telah membesar dalam budaya PAS tetapi akhirnya saya sedar terlalu banyak pembohongan atas nama agama yang telah diperlakukan sehingga timbul tanggapan negatif, wakil rakyat PAS turut membina kekayaan. Boleh kaji dan lihat bagaimana keindahan semulajadi Pulau Kambing telah bertukar menjadi sebuah resort yang dimiliki oleh bukan Melayu, walhal wakil rakyat yang terlibat membangunkannya adalah orang Melayu.
Boleh juga kita semak polemik penanaman pokok depu yang dikatakan bakal memberikan pendapatan lumayan kepada penanamnya Siapa yang lebih beruntung sedangkan prosesnya memakan masa lama (tujuh tahun) dan perlu disuntik dengan hormon. Setiap kali suntik memakan belanja RM 7,000 tapi belum menjamin dapat hasilkan resin yang diperlukan untuk menghasilkan pati minyak wangi.
Boleh juga fikirkan apa kesannya projek kambing yang cuba dilaksanakan oleh YB Husam di Pasir Mas. BUkankah turut melakukan pembohongan dan semua orang tahu, seorang propagandisnya yang terhandal memberikan pengakuan telah dibayar lebih RM 4 juta. Semua orang juga tahu bagaimana pemimpin-pemimpin PAS membolot kekayaan dengan cara berselindung dengan projek untuk rakyat. Lihat sahaja bagaimana PAS memperoleh wang untuk membeli sebuah bangunan ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur, harganya tentulah puluhan juta ringgit kalau bukan dari hasil komisyen atau sebagainya. Jika memajak kawasan balak, hasilnya mesti masuk perbendaharaan negeri. Jika memberikan pajakan tanah di lojing, hasilnya milik kerajaan dan bukan boleh digunakan sebegitu oleh PAS. Apa kata kita sama-sama tubuhkan satu jawatankuasa audit bagi memeriksa akaun PAS, termasuk membuat perkiraan derma yang diterima semasa menjaja kutipan ketika berceramah?
Wallahhuaklam? Tuhan Maha Mengetahui apa yang telah berlaku. Sebagai manusia kita hanya mampu menduga berdasarkan intiutif, gerak hati dan kepulan asap yang memungkinkan ada petanda api sedang menyala atau membara.
12:18 AM
Asalamualaikum kepada saudara Zaki dan moderator web yang bijaksana, saya tidak menyebelahi mana-mana pihak, persoalannya ialah sekiranya UMNO dan PAS tidak boleh bergabung, adakah kita mempunyai cara lain… harap anda membalasnya dengan hati yang ikhlas, tanpa menyebelahi mana-mana pihak… kerana ini adalah isu yang penting, umat islam di serata dunia kian ditindas dan fenomena akhlak tercemar sudah meningkat di negara ini… perlukah kita mencari seorang Pemimpin yang dapat menyatukan semua umat islam di Malaysia… jika ada yang bukan dari UMNo atau PAS, adakah kita akan mengikutinya atas nama perpaduan Islam… terima kasih
9:10 AM
Saya tidak menafikan UMNO pernah buat salah. PAS pun tak terlepas dari buat salah ke atas umat Islam. Namun, jika perpaduan dilakukan ke atas kedua-dua parti tersebut, apakah tak mungkin, mereka akan bercerai lagi?
Itu hujjah dalam kepompong politik umat Islam, bukannya kepompong umat Islam. Kepompong umat Islam pula diberikan pelbagai nama oleh umat Islam sendiri : progresif, moderate, maju dan sebagainya. Biasanya nama-nama ini hanya berpandukan kepada sebahagian dari ajaran Islam, bukan secara keseluruhannya. Susulannya ialah diberikan kesimpulan betapa lemah, daif, miskinnya umat Islam!
Perspektif sebegini kurang tepat. Mana ada dalam ajaran Islam, supaya umatnya lemah, mengalah, daif, dibiarkan ditipu dan dimanipulasi… Kan?
Jadi tak payahlah, bincangkan perpaduan UMNO-PAS! Bincangkan tentang ajaran Islam yang menerima umatnya sebagai bersaudara. Jika mereka berpecah, bererti mereka bukan bersaudara. Oleh itu mereka perlu ambil inisiatif untuk tingkatkan persaudaraan mereka!