Dari fenomena ke bencana: Keberantakan institusi keluarga

July 29, 2010 3:35 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh MONOSIN SOBRI

Menjelang tahun 2035, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan Malaysia akan mencapai status “negara tua” apabila pecahan peratus rakyat berumur 60 tahun ke atas mencecah kepada 15 peratus. Pada tahun 2000, bilangan warga tua ialah 1.45 juta atau 6.5 peratus dan pada tahun 2009, ianya meningkat kepada 2.03 juta atau 7.1 peratus.

Jika mengambil kira keadaan tersebut, bererti mereka yang berumur 35 tahun sekarang akan menduduki potensi besar menyumbangkan pola “warga tua” pada tahun 2035. Ekoran dari kebimbangan tersebut, banyak pihak mula mencadangkan agar digalakkan perkahwinan bagi membantu mengurangkan nisbah tersebut dan mengelakkan Malaysia dilabelkan sebagai “negara tua” pada tahun tersebut.

Mereka yang berada dalam kumpulan umur 30-an sebenarnya masih ramai yang belum berkahwin atas pelbagai alasan. Sesetengahnya melihat kepada perubahan status sosio-ekonomi seseorang kesan dari perubahan tingkat pendidikan, kekurangan masa memikirkan soal keluarga atas alasan kerjaya dan tidak kurang juga yang memikirkan kecukupan kewangan sebagai prasyarat melangsungkan perkahwinan atau berkeluarga kerana kos sara hidup semakin meningkat dan mahal.

Dalam situasi yang lain, umur perkahwinan yang dibenarkan bagi seorang perempuan ialah 19 tahun. Ini bukan bermakna seseorang perempuan yang berada di bawah umur tersebut perlu mendapatkan kebenaran jika ingin melangsungkan pekahwinan. Jika perkahwinan berlangsung tanpa kebenaran bagi setiap gadis bawah umur, ianya akan dianggap tidak sah dan perlu dibubarkan.

Kita mungkin teringat dengan kes yang berlaku ke atas dua orang kanak-kanak perempuan (berumur 11 tahun) yang dipaksa berkahwin dengan dua orang dewasa pengamal tabligh. Kes itu menggemparkan masyarakat dan sehingga kini seorang lagi kanak-kanak terbabit masih belum dapat dikesan. Menurut dakwaan mereka, perkahwinan mereka adalah sah kerana kanak-kanak perempuan tersebut dikatakan sudah akil baligh, iaitu cukup umur menurut perspektif Islam.

Seseorang itu dikatakan telah akil baligh apabila mula mengalami haid bagi perempuan dan “mimpi basah” bagi lelaki. Dalam tradisi silam, seorang anak gadis yang melewati usia tersebut perlu cepat-cepat dikahwinkan berbanding dengan masa kini yang semakin berubah dan usia perkahwinan semakin lambat. Pola sedemikian turut meningkatkan jumlah gadis dan teruna yang belum berkahwin sehingga menimbulkan pelbagai cadangan agar menggalakkan mereka supaya berkahwin, termasuk “match-matching”, meberikan subsidi kepada mereka yang tidak mampu dan sebagainya.

Meskipun program ini ada sedikit kejayaan, tidak pula memberikan gambaran bahawa institusi keluarga di Malaysia semakin kukuh dan kuat. Pola kekeluargaan dalam masyarakat Islam menunjukkan trend yang semakin membimbangkan, sama ada dari sudut jumlah pasangan yang berkahwin ataupun perpisahan pasangan terbabit sehingga melakarkan banyak nada sinis: Majlis Kahwin Melebihi Cinderalela, hayatnya Cuma beberapa hari; kahwin besar-besaran, mampu bertahan selama 16 jam; hantaran ratusan ribu, berantakan sebulan selepasnya; buat apa kahwin, menyusahkan; dan pelbagai lagi.

Antara tahun 1990 hingga 2008, terdapat sejumlah 1,933,353 pasangan yang berkahwin dan ini bermakna secara puratanya sejumlah 101,755 pasangan berkahwin setiap tahun bagi tempoh selama 19 tahun. Setelah mengalami pertambahan antara tahun 1990 hingga 1995 iaitu dari 84,616 (1990)  kepada 106,624 (1995), aliran tersebut mula menunjukkan penurunan pada tahun 1996 (104,856) hingga pada tahun 1999 (88,154).

Pada tahun 2000 jumlah pasangan berkahwin ialah seramai 94,055, namun turun kembali  pada tahun 2001 kepada 91,489. Tahun 2002 melonjak kepada  95,182 dan seterusnya melepasi 100,000 pasangan pada tahun tahun 2003 dan mencapai tahap tertinggi pada tahun 2007, iaitu 131,086 pasangan. Pada tahun 2008, jumlah pasangan yang berkahwin mengalami sedikit penurunan, iaitu kepada 130,314.

Tentunya trend peningkatan dan penurunan jumlah pasangan berkahwin ada kaitan rapat dengan perubahan persekitaran sosial dan perkembangan ekonomi sesebuah negara.  Ini jelas bahawa antara tahun 1998 hingga 2002, ekonomi negara dalam keadaan “krisis penurunan nilai matawang” kepada hampir 40 peratus, menjadikan sebahagian mereka yang sepatutnya berkahwin menangguhkan hasrat tersebut atas alasan “simpanan belum mencukupi” bagi menampung perbelanjaan kahwin yang semakin meningkat. Ini dapat dibuktikan apabila berlaku penurunan yang besar dari 104,856 (1996) kepada 96,874 (1997) atau 7.6 peratus dan 5.1 peratus dari 92,972 (1998)  kepada 88,154 (tahun 1999).

Aliran penurunan juga turut berlaku pada tahun 2001 apabila hanya 91,489 pasangan telah melangsungkan perkahwinan sedangkan pada tahun 2000 ialah  94,055, merosot sebanyak 2,566 pasangan atau 2.73 peratus. Walau bagaimanapun keadaan ini sebenarnya masih merupakan peningkatan jika dibandingkan semasa negara menghadapi  “krisis penurunan nilai mata wang” pada tahun 1998 dan 1999.

Mulai tahun 2002, peningkatan pasangan berkahwin telah menunjukkan trend yang menarik iaitu dari 95,182 dan pada tahun 2003 melonjak kepada 103,062 (masih rendah berbanding pada tahun 1995 (106,624) dan 1996 (104,856). Mulai tahun 2004, peningkatan pasangan berkahwin telah berjaya melepasi tahap yang pernah dicapai pada tahun 1995 (kemuncak era 1990-an) dan dalam tempoh 9 tahun (2000 hingga 2008).

Ini bererti dalam tempoh 19 tahun (1990 hingga 2008), hampir dua juta pasangan Islam telah melangsungkan perkahwinan mereka ( 947,959 bagi tempoh 1990 hingga 1999 dan 985,394 bagi tempoh 2000 hingga 2008). Ia merupakan kenaikan pada tahap 4 peratus dalam tempoh 19 tahun. Jika mengambil kira purata perkahwinan antara tahun 2000 hingga 2008, pada tahun 2009 seramai 109,488 pasangan Islam dijangka melangsungkan perkahwinannya.

Di sebalik trend perkahwinan yang meningkat, trend penceraian juga menunjukkan peningkatan dan secara puratanya puratanya 14 peratus pasangan yang berkahwin akan berakhir dengan penceraian.  Purata penceraian yang direkodkan sepanjang 19 tahun ialah 14,278 menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 271,290 kes. Antara tempoh 1990 hingga 1999, terdapat sejumlah 118,487 kes penceraian dengan purata tahunan sebanyak 11,848.7 kes. Keadaan ini terus meningkat kepada 16,975 purata tahunan kes penceraian bagi tempoh 9 tahun antara 2000 hingga 2008 menjadikannya kepada 152,803 kes.

Secara umumnya semakin bertambah pasangan yang  berkahwin, kes penceraian juga turut meningkat. Ia turut dihubungkait dengan masalah dalam perkahwinan atas sebab ketidakserasian antara pasangan. Ada andaian dibuat bahawa 75 peratus sebab penceraian adalah berpunca daripada masalah tersebut.

Bahkan, Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk Islam terbesar di dunia turut mengalami trend peningkatan penceraian setiap tahun. Purata penceraian pasangan Islam telah melebihi 200,000 kes setiap tahun. Di Jawa Timur misalnya, pada tahun 2003 sejumlah 40,391 pasangan Islam bercerai meningkat kepada kepada 42,769 (2004) dan  55,509 kes pada tahun 2005. Ini membuktikan bahawa hubungan kekeluargaan semakin longgar dan perubahan gaya hidup masyarakat telah menyumbang kepada masalah. Setiap tahun, 10 peratus pasangan yang berkahwin diramalkan akan berkahir dengan kegagalan.

Masyarakat Islam Singapura juga tidak terkecuali.  Statistik pada tahun 2006 menunjukkan berlakunya peningkatan kepada 7,061 kes berbanding 6,909 kes pada tahun 2005. Hasil penelitian juga membuktikan dalam 50 lelaki dan 40 perempuan mengakui akan bercerai bagi setiap 1,000 perkahwinan di peringkat pasangan berumur 20 hingga 24 tahun. Bagi mereka, walaupun proses penceraian itu mengambil masa yang panjang, pasangan bermasalah akan mengambil langkah tinggal berasingan manakala sebahagian kecil kembali ke rumah ibu bapa mereka bagi mengelakkan kutukan budaya dan lontaran fitnah.

Jumlah pasangan yang berkahwin di Singapura turut mencatatkan peningkatan enam kali ganda, iaitu sekitar 23.706 pada pada tahun 2007. Walau bagaimanapun, pasangan yang bercerai menganggap keputusan rujuk atau menikah kembali adalah satu tindakan yang amat mencolok.  Sementara itu sekitar 16.6 peratus pengantin perempuan dan 15.1 peratus pengantin laki-laki memilih untuk menubuh atau bergabung dalam persatuan, kerana mereka tidak menjadikan kegagalan dalam perkahwinan sebagai sesuatu yang menyakitkan.

Persefahaman hidup sebagai suami isteri memangnya merupakan pokok pangkal dalam sesebuah keluarga. Berbeza dengan pengalaman semasa bercinta, kerana mungkin kita sedari bahawa sebahagian besar pasangan yang berkahwin pada zaman moden ini adalah berdasarkan pengabadian cinta, atau secara mudahnya ialah mengenali pasangan terlebih dahulu sebelum berkahwin.

Pola ini telah berubah sejak masyarakat Malaysia mengenali erti pergaulan dan berinteraksi dalam persekitaran yang lebih luas berbanding era sebelum merdeka. Perkahwinan sebelum merdeka atau sebelum era kecanggihan inftrastruktur banyak bergantung kepada penjodohan ahli keluarga atau saudara mara, dan kerana itu pasangan tidak pernah kenal antara mereka sebelum berkahwin. Mereka tidak berpeluang “memadu asmara” sebelum berkahwin, tetapi perkahwinan antara mereka kekal lama dan mampu bertahan hingga ke akhir usia.

Mereka membina persefahaman berasaskan perhubungan yang halal. Pasangan tersebut sentiasa mencari peluang untuk memahami antara mereka, dan setiap hari terasa ada sesuatu yang menarik kerana berupaya memperoleh pengetahuan baru. Pasangan moden, saya namakan demikian kerana tidak sanggup berkahwin berasaskan penjodohan keluarga atau sanak saudara tanpa berpeluang kenal siapakah yang bakal menjadi suami atau isteri. Setelah beberapa lama “menyulam kasih” dan “menyulam cinta”, jodoh mereka menjelma dengan sebuah keraian yang memangnya gah dan megah.

Setiap kali berlakunya penceraian, banyak pihak mula membuat perhitungan bahawa kesalahan banyak tertumpu kepada masalah perempuan. Ada setengahnya berpendapat, perkahwinan perlu disulami dengan kemewahan dan kerana itulah ramai perempuan cantik memburu lelaki kaya walaupun usianya sudah boleh bergelar bapa. Sanggup menjadikan diri sebagai isteri kedua atau ketiga, kerana memangnya poligami dibenarkan dalam Islam. Akhirnya, tiba juga ke suatu nokhtah, apa berlaku kematian atau penceraian, kisah-kisah duka dan cabaran menuntut “harta sepencarian” semakin sengit. Isteri pertama atau anak-anaknya akan turut menentang, kehadiran “isteri baru” itu adalah semasa “suami sudahpun kaya” dan “tidak berhak mendapatkan harta sepencarian.”

Apa pun yang hendak kita lakukan, mesti ada peraturan. Hatta untuk makan pun ia mempunyai peraturan. Sebelum mengambil makanan, sekurang-kurangnya tangan perlu dicuci, makanan telah sedia (sama ada dibeli atau dimasak sendiri), meskipun sekadar buah-buah, ia perlu dipetik, dibasuh,dikupas dan tidak menelan bijinya. Bila tertelan biji, akan mengakibatkan pelbagai kesan negatif.

Begitu juga dalam peraturan perkahwinan (lelaki dan wanita), perlukan pemahaman yang jelas mengenainya. Perkahwinan mestilah bersalutkan kesetiaan dan bersulamkan rasa hormat, saling mengakui kelebihan dan menerima kekurangan, selesaikan masalah secara berbincang dan setiap tindakan memerlukan komunikasi yang berkesan. Persoalan ego perlu diketepikan, kerana ego itulah sebenarnya memberantakkan keseluruhan hakikat insan dan kekukuhan institusi kekeluargaan.

Ada juga benarnya apabila lebih ramai pasangan berkahwin, maka tentunya akan menurunkan pula peratusan penduduk “warga tua”, dan ini dapat mengelakkan Malaysia akan menjadi “negara tua” pada tahun 2035 nanti. Meskipun jumlahnya semakin bertambah kerana faktor kemampuan menjaga kesihatan menyebabkan meningkatkan jangka hayat, pertambahan penduduk muda mampu menolak secara berengsot-engsot peratus “warta tua” dan ini terus menampilkan wajah Malaysia yang sentiasa “muda, aktif dan cergas”. Tidak bermakna “warga tua” tidak lagi mampu menyumbang sesuatu, tetapi sumbangan mungkin terhad kepada kerja-kerja yang tidak memerlukan pergerakan yang banyak dan keringat yang besar. Mereka masih mampu menyumbang, idea, kepakaran, pengalaman dan menjadi “pengawal sosial” yang berkesan.

Perangkaan Perkahwinan, Penceraian,

Rujuk dan Poligami Pasangan Islam di Malaysia

Tahun BERKAHWIN BERCERAI RUJUK POLIGAMI
1990 84,616 11,914 2,100 1,524
1991 85,659 11,310 1,901 1,678
1992 93,667 11,207 1,769 1,405
1993 95,117 11,643 1,752 1,476
1994 99,420 11,637 1,726 1,518
1995 106,624 11,474 1,715 1,631
1996 104,856 11,053 1,536 1,643
1997 96,874 11,777 1,804 1,788
1998 92,972 13,317 1,908 1,154
1999 88,154 13,155 1,850 1,393
2000 94,055 13,605 1,775 1,799
2001 91,489 13,278 1,727 1,204
2002 95,182 13,841 1,690 2,604
2003 103,062 15,544 1,840 1,437
2004 112,262 16,505 2,267 651
2005 113,132 17,749 1,752 NA
2006 114,812 19,463 2,220 NA
2007 131,086 20,529 2,511 NA
2008 130,314 22,289 2,565 NA
JUMLAH 1,933,353 271,290 36,408 22,905

NA : data tidak diperolehi.

Sumber: Laman web Jakim, diakses pada 3 Mei 2010

Leave a Reply