Bersatu tangani homoseks yang semakin ramai dan berani

July 8, 2010 12:20 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh NUR HIKMIE 

Nampaknya sesuatu perlu dilakukan segera untuk membendung gejala homoseks yang sedang ganas melanda negara tercinta ini. Gejala ini sudah terlalu parah. Justeru ubat untuk merawatnya juga perlulah kuat, keras dan mendalam. Jika tidak, aspirasi negara untuk mewujudkan sebuah masyarakat Islam Hadhari, ummatan wasatan dan 1Malaysia, akan terpalit  kekotoran yang memalukan.         

Kita semua patut berasa malu apabila baru-baru ini seorang pengawal keselamatan yang beragama Islam dan berbangsa Melayu dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menyiarkan gambar tidak senonohnya melakukan hubungan sejenis dengan lelaki lain di Internet.         

Hukuman itu adalah bagi enam kesalahan di bawah Seksyen 233(1) (a) (i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.         

Lebih memalukan, lelaki terbabit yang sudah beristeri dan mempunyai enam anak, telah menyiarkan aksi jijiknya itu sejak tiga tahun lalu untuk mencari pelanggan.         

Kita juga patut berasa malu kerana pada penghujung Mei, pihak berkuasa menangkap sebilangan pelanggan sebuah spa dan urutan untuk golongan homoseks di Cheras, Kuala Lumpur. Sebahagian besar daripada pelanggan itu juga berbangsa Melayu dan beragama Islam. Setelah itu, tujuh orang lelaki lagi ditahan di Pulau Tikus, Pulau Pinang kerana disyaki terlibat dengan gejala serupa.         

Ini tidak termasuk dengan penangkapan dan penghukuman ke atas golongan mak nyah serta pondan yang kerap dilakukan dewasa ini. Majoriti yang ditangkap dan dihukum itu juga adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.         

Apa sudah jadi dengan umat Melayu Islam di Malaysia ini?         

Apa yang sedang berlaku kini amat memalukan. Bagaimanapun, tanpa disedari, sebenarnya kita sendiri menjadi punca hingga menyebabkan golongan homoseksual semakin membiak dan berani.         

Cubalah sesekali berkunjung ke kelab gay di sekitar Bukit Bintang. Jangan terkejut, kelab itu sebenarnya sudah beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu. Pelanggannya majoriti berbangsa Melayu dan beragama Islam. Sedangkan pengusahanya bukan Melayu dan sebilangan pelanggan yang datang mencari mangsa, juga bukan Melayu.         

Pelik, mengapa kelab gay dan homoseksual ini dibiarkan beroperasi sedangkan sudah diketahui ia menjurus kepada aktiviti melanggar moral dan undang-undang? Sudahlah begitu, dibiarkan pula beroperasi secara terang-terangan! 

Tidak adakah apa-apa seksyen undang-undang yang membolehkan perusahaan ini dibanteras atau diharamkan atas alasan menjalankan perniagaan yang merangsang kepada perbuatan bercanggah dengan agama dan moral, seperti mana pelacuran dan maksiat?  Tidak wujudkah undang-undang sedemikian? 

Kalau sekarang tiada, mengapa tidak digubal sedemikian secepat mungkin?         

Bukan setakat kelab tadi, malah terdapat puluhan lagi kelab sosial dan pusat urutan homoseks di Kuala Lumpur dan Selangor serta bandar-bandar besar di seluruh negara. Pusat-pusat aktiviti homoseks ini juga berselindung di sebalik nama spa di hotel-hotel dan taman rekreasi awam.         

Sebuah taman bunga awam di Cheras misalnya, telah diketahui menjadi pusat berkumpulnya golongan homoseks ini berkumpul, berkenalan, bercanda, memujuk, merayu dan berasmara sesama jantina. Mereka melakukannya di dalam belukar dan bawah pokok-pokok besar pada waktu dinihari.         

Kalau rajin meninjau, kita boleh menjumpai kondom yang telah digunakan serta lokasi-lokasi tersembunyi yang dijadikan sarang oleh golongan tersebut melakukan perbuatan terkutuk. 

Pelik, mengapakah golongan ini terus wujud dan semakin berkembang biak walaupun mereka tahu bahawa perbuatan itu dikutuk oleh agama dan bercanggah dengan undang-undang?         

Dalam hal ini, pihak kerajaan perlulah bertindak dengan lebih cepat, tegas dan agresif. Kementerian dan menteri-menteri yang dipertanggungjawabkan menangani isu-isu sebegini, perlu mencari jalan bagaimana gejala songsang ini dapat dibendung. Ini kerana, majoriti yang terlibat dengan gejala homoseks tersebut adalah anak-anak muda Melayu yang beragama Islam.         

Pemantauan yang lebih keras dan berterusan juga perlu dijalankan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Dalam Negeri. Ini kerana, kemudahan internet telah digunakan dengan seluas-luasnya oleh golongan homoseks untuk mempromosi aktiviti songsang mereka itu.         

Memang belum ada statistik yang tepat dikeluarkan, tetapi jika melayari Internet, kita akan dapat melihat ratusan laman-laman sesawang, blog serta ruangan sembang sosial golongan tersebut.         

Pengendali dan pelayar laman-laman ini secara terbuka memperkenalkan diri mereka sebagai  pengamal homoseks. Mereka juga menayangkan gambar-gambar peribadi serta aksi yang melampau untuk mencari pelanggan dan kenalan sejenis. Malah, terdapat juga laman-laman web yang menunjukkan pelan lokasi pusat-pusat homoseks, panduan bagaimana hendak pergi ke tempat-tempat sedemikian serta aktiviti yang dijalankan.         

Itu baru di internet, belum lagi yang dipaparkan oleh media elektronik dan cetak. Bukalah TV, anda akan lihat selebriti-selebriti ini beraksi. Begitu juga di radio, filem dan pentas. Ternyata golongan ini begitu bangga dengan identiti mereka dan bilangan pengikut pula semakin hari semakin bertambah.         

Bukankah kita yang menyediakan ruang untuk mereka? Adakah kita ingin melihat senario ini terus berkembang di tanah air tercinta ini?         

Di samping itu, kerajaan juga perlu bertindak segera mengekang berkembangnya aliran Islam Liberal yang menghalalkan homoseksual daripada merebak ke negara ini.         

Mungkin ramai yang tidak tahu, kini terdapat sekumpulan cerdik pandai di negara jiran yang sedang berusaha meyakinkan masyarakat bahawa agama Islam menghalalkan lesbian serta gay atas alasan kesamaan gender.         

Golongan ini mendakwa, homoseksual itu fitrah semulajadi yang diturunkan oleh Allah kepada makhluknya. Maksudnya, golongan homoseks ini menerima sahaja apa yang Allah turunkan untuk mereka. Jadi apa yang mereka lakukan bukanlah sesuatu yang haram dan salah. Malah, mereka tidak boleh dihukum dan dipersalahkan.         

Kata golongan ini lagi, buruk baik seseorang itu di sisi Allah diukur oleh ketakwaannya, bukan orientasi seksnya. Anehnya, golongan Islam Liberal ini didukung oleh cendekiawan-cendekiawan dan aktivis sosial pertubuhan agama Islam sendiri. 

Bukan setakat itu, kumpulan Islam Liberal tersebut telah juga menerbitkan sebuah buku yang bertajuk Indahnya Kahwin Sesama Jenis: Demokratisasi dan Perlindungan Hak-hak Kaum Homoseksual. Antara lain buku ini menyebut tentang usaha dan strategi golongan tersebut menyuburkan perbuatan terkutuk ini dalam masyarakat mereka, iaitu sebuah negara yang berjiran dengan Malaysia. 

Ketika aktiviti Islam Liberal juga sedang bergerak cergas di Malaysia, tidak mustahil gerakan ini akan  menular ke negara ini. Ini kerana cendekiawan serta aktivis Islam tersebut mempunyai jaringan serta sahabat seperjuangan yang rapat di Malaysia. 

Buku itu adalah kumpulan artikel di dalam Jurnal Justisia, Fakulti Syariah Institut Agama Islam Nasional edisi 25, Tahun 11, 2004. Strategi golongan Islam Liberal tersebut ialah: 

1. Menggembleng tenaga kaum homoseksual untuk bersatu dan berjuang mendapat kembali hak-haknya yang telah dirampas oleh negara. 

2. Memberi pemahaman kepada masyarakat bahawa apa yang terjadi pada golongan homoseksual adalah sesuatu yang normal dan menurut fitrah semula jadi; sehingga masyarakat tidak memisahkan darinya, malah sebaliknya masyarakat ikut terlibat mendukung setiap gerakan kaum homoseksual dalam menuntut hak-haknya. 

3. Mengkritik dan menulis semula tafsir dalam agama (tafsir kisah Luth dan konsep pernikahan) yang tidak memihak kepada kaum homoseksual. 

4. Mencadangkan pindaan Undang-undang Perkahwinan No 1/1974 yang mendefinisikan perkahwinan mestilah di antara lelaki dan wanita.” 

Seperti yang disebutkan tadi, kerajaan melalui agensi-agensinya termasuk Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri perlu menggandakan usaha untuk membanteras gejala homoseksual daripada terus merosakkan masyarakat Islam Hadhari, Ummatan Wasatan dan 1Malaysia yang kita ada pada hari ini.         

Benar, Islam memang menganjurkan perasaan kasih sesama insan, bukannya benci membenci. Tetapi, Islam juga menganjurkan supaya mengajak saudara-saudara kita supaya menjauhi perbuatan yang dilarang  agama. Jika usaha itu berjaya, kita akan mendapat rahmat dari Allah s.w.t. 

Tetapi jika membiarkan saudara-saudara kita itu terus bergelumang dengan dosa dan membiarkan bumi Islam Hadhari, Ummatan wasatan dan 1Malaysia ini dicemari gejala tersebut, maka tunggulah malapetaka daripada Allah. Dan apabila malapetaka itu diturunkan, ia tidak akan memilih mangsa…

Leave a Reply