Benar
Di dalam al-Qura,n terdapat banyak firman Allah s.w.t yang memerintahkan manusia agar mengamalkan sifat benar, dan mereka yang mengamalkan sifat ini adalah orang-orang yang suka berbuat kebajikan serta taat setia kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka diantara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.” (al-Ahzab: 23)
Daripada firman Allah s.w.t ini, dapat diketahui tentang sikap “benar” orang-orang Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. Mereka tetap mematuhi janji mereka berjuang membela Islam sehingga sebahagian daripada mereka gugur atau mati syahid di dalam peperangan dengan orang-orang kafir.
Mati syahid yang demikian ialah mati atau kesudahan yang baik (husnul-khatimah), yang terjamin masuk syurga. Sebahagian daripada mereka menunggu giliran masing-masing dan semuanya tidak akan mengubah janji setia mereka kepada Allah s.w.t. Itulah sikap orang-orang yang benar.
Allah s.w.t. juga memperihalkan kisah nabi-nabi dan rasul-rasul yang terdahulu tentang sifat benar mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam kitab (al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim a.s; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi nabi.” (surah Maryam: 41)
Menurut Tafsir ar-Rahman, mulai ayat ini Allah s.w.t menceritakan perihal Nabi Ibrahim a.s dan hujah-hujahnya dengan bapanya dalam menegakkan kebenaran dasar tauhid (mengesakan Allah) dengan cara lemah lembut, bersopan santun dengan serta alasan-alasan yang ma’qul (dapata diterima oleh akal).
Ayat-ayat selanjutnya menerangkan bagaimana Nabi Ibrahim a.s memujuk ayahnya yang menyembah benda-benda yang tidak bernyawa seperti patung berhala, yang tidak dapat memberi sebarang pertolongan pun. Baginda memujuk ayahnya supaya menyembah Tuhan yang sebenar, iaitu Allah s.w.t yang telah diwahyukan dan diberi pengetahuan padanya.
Baginda amat bimbang dan kasihan jika bapanya terus menyembah selain daripada Allah, bapanya akan menjadi rakan syaitan, dan akan diazab di dalam neraka. Tetapi oleh kerana bapanya tetap tidak mahu mengubah apa yang disembahnya itu, maka Nabi Ibrahim a.s. pun mengucapkan selamat tinggal kepada ayahnya sambil mendoakan semoga Allah akan mengampuni dosa bapanya. Begitulah kisah Nabi Ibrahim a.s. menegakkan “kebenaran” agama tauhid hingga terpaksa berpisah dengan ayahnya sendiri.
Putera Baginda, iaitu Nabi Ismail a.s adalah seorang yang amat benar dan menepati janji.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam kitab (al-Quran) ini perihal Nabi Ismail a.s; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji, dan adalah ia seorang rasul lagi berpangkat nabi.” (surah Maryam: 54)
Firman Allah di atas dan firman-firman-Nya dalam surah-surah yang lain, menceritakan perihal kebenaran Nabi Ibrahim a.s, puteranya yang lain, iaitu Nabi Ishak, cucunya Nabi Yaakub dan Nabi Musa yang juga berasal daripada keturunan Nabi Yaakub.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan adalah ia (Nabi Ismail a.s.) menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredai di sisi Tuhannya.” (surah Maryam: 55)
Nabi Ismail a.s menyeru kaum keluarganya lebih dahulu mengerjakan amal salih yang benar supaya menjadi ikutan yang baik bagi orang lain.
Menurut sejarah Islam, Nabi Ismail a.s adalah seorang yang begitu teguh imannya kepada agama Allah. Suatu ketika, Allah s.w.t. menguji keimanan baginda juga sekali gus menguji keimanan ayahnya Nabi Ibrahim a.s.
Nabi Ibrahim a.s. diperintahkan oleh Allah s.w.t agar mengorbankan putera sulung yang dikasihinya iaitu Nabi Ismail a.s. Walaupun syaitan begitu kuat menghasut kedua-duanya agar agar jangan mematuhi perintah Allah s.w.t itu, namun kedua-duanya tetap mematuhi kebenaran perintah Allah s.w.t. Nabi Ismail a.s sedia membaringkan diri di tanah dengan tangan tidak perlu diikat.
Ayahnya, Nabi Ibrahim a.s dengan patuh dan setia menjunjung perintah Allah s.w.t pun meletakkan pisau yang sudah diasah begitu tajam ke leher Nabi Ismail a.s.
Ketika itulah Allah s.w.t Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang menggantikan seekor kibasy untuk disembelih sebagai korban.
Susunan ISMAIL SAMAD





