Belanja perang jadikan rakyat Amerika Syarikat tercekik

July 30, 2010 2:59 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh KAMARUN KH

Penglibatan tentera Amerika Syarikat dalam peperangan menyebabkan semakin ramai rakyatnya terpaksa melupakan banyak hasrat dan harapan kepada kerajaan. Pada tahun ini sahaja Obama telah meminta tambahan sejumlah US$ 33 bilion untuk membiayai 30,000 tentera tambahan yang dihantar bertugas ke Afghanistan. Konggres Amerika Syarikat telahpun meluluskan peruntukan tersebut pada bulan lalu.

Berdasarkan data, Konggres Amerika Syarikat sudahpun membelanjakan lebih dari US $345 bilion sejak mengambil bahagian dalam peperangan di Afghanistan 10 tahun lalu. Daripada jumlah tersebut, US$ 22 bilion telah digunakan untuk menguruskan kegiatan berkaitan dengan perang.

Untuk menjajah Iraq, Amerika Syarikat sehingga setakat ini telah membelanjakan lebih US$708 bilion dengan harapan di akhir nanti mampu dikutip melalui perkongsian operasi minyak yang akan dibahagi-bahagikan dengan beberapa syarikat milik pengusaha Amerika Syarikat.

Menurut satu kenyataan terbaru, Amerika Syarikat dijangka akan mengundurkan sebahagain tenteranya dari Iraq bulan Ogos ini namun pasukan tentera NATO yang diketuai olehnya dijangka akan berada lebih lama lagi di Afghanistan.

Menurut National Priorities Project, tahun kewangan yang akan berakhir pada bulan September ini akan membuktikan bahawa Obama sebenarnya juga merupakan pemimpin yang suka berperang. Sebanyak US$723 bilion dijangka menjadi kos keseluruhan yang terpaksa ditanggung oleh Amerika Syarikat sejak berada di Afghanistan, iaitu suatu tempoh yang tidak pun sanggup dilalui oleh Rusia.

Rusia pernah menjajah Afghanistan pada tahun 1979 namun pada tahun 1989 meninggalkan negara itu untuk diurustadbirkan oleh penduduk tempatan, termasuk kelompok Taliban. Akibat peninggalan Rusia, bumi Afghanistan sentiasa bergolak di mana beberapa kelompok kaum terutamanya Kurdis dan Syiah cuba memegang tampok politik, tetapi tidak menampakkan banyak kemajuan. Perselisihan kaum dan pertempuran sering berlaku menyebabkan Amerika Syarikat mencari alasan untuk masuk campur di Afghanistan.

Seperti juga dengan kebimbangan Amerika Syarikat, suatu kuasa hegemoni baru yang muncul selepas Perang Dunia Kedua setelah meleburkan harapan Jepun dan pakatan Jerman dan Itali, kuasa besar baru itu amat bimbangkan kepada sebuah teori mengenai penularan ideologi komunis. Berdasarkan rangka teori kejatuhan seperti domino, jangkitan dari sebuah negara ke sebuah negara, Amerika Syarikat rasa terpanggil untuk menyekat kemaraan komunisme dengan melibatkan diri dalam peperangan di Vietnam pada tahun 1964.

Atas semangat yang kurang kental, akhirnya Amerika Syarikat terpaksa menyerah kalah pada tahun 1976 menyebabkan sebahagian penduduk Vietnam menjadi “orang pelarian” kerana takutkan kemaraan tentera merah termasuk Khmer Rouge. Malaysia turut menerima limpahan “orang hanyut” sebagai kem sementara menunggu negara ketiga menerima mereka.

Peperangan di Iraq, menurut tulisan Joseph Stiglizt melibatkan kos sebenar sebanyak US $ 3 trilion, dan anggaran tersebut dibuat sehingga tahun 2007, di mana bukunya The Three Trillion Dollar War: The True Cost of the Iraq  Conflict  mula dipasarkan. Menurut pemenang hadiah nobel bagi ekonomi pada tahun 2001 itu, operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Iraq telah melampau kos perang selama 12 tahun di Vietnam dan melampau dua kali ganda dari kos Perang Korea.

Bagi seorang lagi pengarang yang merupakan penulis bersama buku tersebut, Linda Bilmes, professor kewangan umum di Universiti Harvard, “Perang ini (Iraq) satu-satunya dalam sejarah kami yang memakan belanja lebih dari pembiayaan yang mesti dibayar semasa Perang Dunia Kedua, ketika 16.3 juta tentera Amerika Syarikat berperang selama empat tahun terakhir, yang menelan belanja sebanyak US $5 trilion.”

Menurut Profesor Linda Bilmes lagi, “sebenarnya pasukan angkatan bersenjata bertekad untuk berperang dengan Jerman dan Jepun, dengan pembiayaan jika dihitung dengan nilai dolar sekarang ialah sekitar US $ 100,000 setiap anggota tentera. Ini sangat berbeza dengan perang Iraq, ia memakan belanja purata US $400,000 setiap tentera.”

Sebagaimana sikap Pentagon yang memangnya telah banyak kali diduga. Tidak akan mengumumkan jumlah kos sebenar yang terlibat, hanya sekadar memberikan angka yang diluluskan oleh Konggres, kerana masih banyak kos tidak rasmi yang cuba disembunyikan. Dalam anggaran yang dibuat oleh pengarang buku tersebut, Geoff Morrel, jurucakap Pentagon pernah menyifatkan sebagai “angka yang diperbesar-besarkan” kerana “Pentagon telah membuktikan sifat keterbukaannya mengenai apa yang kami tahu mengenai pembiayaan perang itu.”

Menurut Stilgitz, Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang kaya tetapi kekayaan itu “hanyalah untuk si kaya.” Sepanjang penglibatan Amerika Syarikat dalam Perang Iraq, nilai kekayaan yang dipunyai oleh beberapa orang rakan baik Presiden George W. Bush semakin melonjak, termasuk Dick Cheney.

Bush dan Dick Cheney merupakan dua orang pengurus yang terlibat dengan syarikat minyak Haliburton. Sebelum  menjadi Presiden Amerika Syarikat, George Bush menjadi rakan akrab kepada keluarga Dinasti Saud Arab Saudi. Melalui syarikat Haliburton kedua pengurus itu membolot pelbagai kontrak penjualan dan penggerudian minyak di Arab Saudi.

Dengan melakukan serangan ke atas Iraq, Bush dan rakan-rakannya berusah mendapatkan sebanyak mungkin operasi pengeluaran minyak negara kedua terbesar dari jumlah simpanan minyak dunia itu melalui pakatan strategic, termasuk membiayai sebahagian kos peperangan.

Walaupun syarikat Haliburton telah ditutup, Bush dan Dick Cheney masih mempunyai banyak lagi rangkaian syarikat yang berkaitan dengan minyak. Dalam krisis melonjaknya harga minyak pada tahun 2007, Bush dikatakan mempunyai kaitan yang rapat bagi melakukan spekulasi dengan cara menggambarkan seolah-olah dunia kekurangan minyak disebabkan meningkatnya penggunaan oleh India dan China.

Semasa krisis minyak berlaku, beberapa laporan sengaja dibuat dengan harapan masyarakat dunia percaya bahawa kekurangan tersebut disebabkan oleh meningkatnya penggunaan oleh industri di China dan India sedangkan ada aktiviti menyorok minyak telah berlaku di Amerika Syarikat. Pada ketika itu, Bush dilihat sedang mencari “finishing point” yang terbaik kerana era pentadbirannya akan berakhir dalam tempoh setahun.

Beberapa bulan sebelum tamat tempoh kepresidenannya, harga minyak menjadi sedikit stabil dan krisis makanan turut reda. Itulah dua penyudah yang terbaik bagi Bush bagi menggambarkan seolah-olah beliau telah berjaya, walaupun hakikatnya krisis minyak dan makanan adalah sebenarnya dicetuskan oleh dasar beliau sendiri. Strategi komunikasinya yang berkesan, seolah-olah menggambarkan bahawa fenomena cuaca telah menyebabkan pengeluaran bijiran dunia jatuh mendadak, walhal apa yang berlaku ialah dasar tenaga yang diluluskan pada tahun 2007 telah menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus bahan keluaran bijirin Amerika Syarikat digunakan untuk pengeluaran etanol, bahan asas bagi mengeluarkan minyak bio, biofuel.

Penglibatan Amerika Syarikat dalam krisis dunia memang telah lama bermula sebaik sahaja negara itu mengambil alih peranan yang dimainkan oleh negara-negara Eropah. Empat buah negara Eropah (Perancis, Britain, Sepanyol dan Belanda) merupakan kuasa penjajah lebih 6 abad, dan sebahagian besar negara-negara yang dijajah dibebaskan sehingga akhir abad ke-20, Amerika Syarikat muncul sebagai kuasa baru.

Corak penjajahan yang dibawa oleh Amerika Syarikat ialah melalui gesaan ideologi dan menggunakan platform demokrasi. Atas dua alasan inilah Amerika Syarikat sentiasa mencari jalan untuk mempengaruhi negara-negara baru muncul atas hasrat menjadi kuasa dan hagemoni ekonomi. Kini, Amerika Syarikat telah pun berjaya sehingga menyebabkan banyak negara amat bergantung kepada kekukuhan ekonominya, termasuk Jepun, Korea Selatan dan Asia Tenggara.

Krisis perbankan di Amerika Syarikat menjejaskan ekonomi Malaysia, Singapura. Thailand dan Indonesia. Sebagai sebuah negara besar dan mempunyai kuasa lobi, Amerika Syarikat akan terus berperang bagi menjamin kepentingannya tidak terjejas. Itulah Amerika Syarikat, akan menggunakan sebanyak mungkin sumber kewangan yang dibayar oleh rakyat (melalui bayaran cukai) untuk membiayai perang.

Bagi melengkapkan Pasukan Keselamatan Afghanistan, Amerika Syarikat setakat ini telah membelanjakan lebih US $25 bilion. Kerana itu, beban masa depan Amerika Syarikat masih menjadi tandatanya kerana Obama sebenarnya tidaklah sehebat yang dijangkakan. Setelah setahun pentadbirannya, Obama masih belum mampu membuat keputusan tegas untuk berundur dari bumi Afghanistan walaupun pihak Rusia telah meramalkan Amerika Syarikat akan mengalami kesan yang sama seperti di Vietnam. Meskipun pada awalnya Obama cuba memberikan keyakinan akan menarik diri pada pertengahan 2011 di bumi Afghanistan, ia masih tertakluk kepada perubahan sebagaimana telah berlaku ke atas Iraq.

Menurut perkiraan purata perbelanjaan setahun bagi setiap pasukan tentera di Afghanistan adalah antara US $500,000 hingga US $1,000,000. Ini bermakna semakin lama Amerika Syarikat berada di medan perang yang bukan mempertahankan negara sendiri, Amerika Syarikat sebenarnya telah menanggung kesan yang besar. Kos membiayai perang semakin meningkat, tetapi itulah sebenarnya kekuatan Amerika Syarikat kerana semakin galak berperang, maka semakin banyaklah wang yang bakal mengalir masuk ke pihak yang mengeluarkan senjata.

Amerika Syarikat merupakan negara terbesar pengeluar senjata perang. Dengan galak melibatkan diri dalam peperangan, maka semakin kayalah pengusaha dan pengeluar peralatan ketenteraan. Kecanggihan itu juga menyebabkan lebih banyak negara bakal menjadi pembeli. Ia akan memberikan keuntungan kepada pemilik industri senjata yang sebahagian besarnya dikuasai oleh pengusaha Yahudi.

Tanpa mempedulikan rakyat awam yang terpaksa berkorban dan terkorban kerana perang, Amerika Syarikat sebenarnya sedang berusaha memulihkan ekonominya melalui peperangan. Peperangan menjadi penggerak utama ekonomi, termasuk peningkatan penjualan senjata, peralatan ketenteraan dan sebagainya. Semasa peperangan itulah pelbagai bentuk kecanggihan teknologi digunakan, diuji dan seterusnya dipertontonkan kepada masyarakat dunia, suatu ketika nanti ada negara lain yang berminat untuk membelinya.

Itulah Amerika Syarikat sebenarnya, bukan sahaja sanggup berbelanja besar membiayai peperangan, turut juga berniaga menggunakan nyawa manusia secara jelas demi mempertahankan kepentingan ekonominya di serata dunia. Rakyat awam dikerahkan menjadi anggota tentera, akhirnya semakin ramai yang menghadapi masalah sehingga membunuh diri. Trauma perang semakin menggelisahkan bekas tenteranya, tetapi dasar presiden tetap mahu meneruskan peperangan, kerana itulah sebenarnya makna hegemoni kuasa: politik, ekonomi dan budaya.

Leave a Reply