9000 orang sukarelawan daftar untuk sertai “Freedom Flotilla 2″ (dan 4 berita lain)

July 9, 2010 9:59 AM 1 comment

Share this Article

Author:

Kempen Freedon Flotila 2 telah mendapat sambutan hangat daripada masyarakat Eropah dan hingga kini seramai 9,000 orang telah mendaftarkan diri sebagai sukarelawan.

Kempen yang dilaksanakan oleh masyarakat Eropah berpengkalan di Brussel adalah bertujuan mengakhiri sekatan terhadap Gaza oleh Israel sejak tidak mahu menerima kemenangan Hamas dalam pilihan raya demokrasi Palestin pertama pada tahun 2006.

Israel tidak mengiktiraf Hamas sebagai tindak balas gerakan tersebut yang tidak pula menganggap sebagai sebuah negara yang berdaulat. Hanya gerakan Fatah yang memberikan pengiktirafan ke atas Israel sebagai sebuah negara yang merdeka.

Akibat pergeseran pengiktirafan tersebut, Israel menyerang Gaza pada akhir tahun 2008 dan menyebabkan perang berlangsung selama 22 hari. Kesan tragis daripada peperangan tersebut telah menyebabkan lebih 1,000 orang penduduk Gaza terbunuh, puluhan ribu lagi cedera, kehilangan sumber pendapatan dan rumah. Menyedari bantahan masyarakat antarabangsa mengenai kekejaman tersebut, Israel terus mengawal kemasukan organisasi bantuan antarabangsa, termasuk palang merah dan sukarelawan.

Kemuncaknya pada 31 Mei 2010, kapal Marvi Marmara yang mengetuai tujuh buah kapal yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza telah diserang hendap dalam kawasan perairan antarabangsa dan menyebabkan 9 orang sukarelawan terbunuh. Seminggu kemudian, kapal Rachel Corrie turut ditahan walau bagaimanapun tidak berlaku pertumpahan darah.

Dalam kempen Freedom Flotilla 2 kali ini, satu kumpulan sukarelawan telah bergabung atas nama Kebebasan mengeluarkan kenyataan bahawa gerakan kebebasan kali ini mempunyai beberapa kejutan buat rejim Tel Aviv, termasuk 7 buah kapal yang bakal menyertainya dua buah adalah dari negara-negara Eropah.

Sehingga kini mereka telah menerima 9,000 permohonan sukarelawan untuk mengikuti Flotilla Pembebasan Gaza Ke-2 dan dijangka akan memulakan pelayarannya dalam beberapa minggu lagi.

Dalam misi Flotilla Pembebasan Gaza pertama, jumlah sukarelawan yang ikut serta ialag 750 orang dari 40 buah negara. 44 orang daripadanya ialah warga Arab dan Eropah, termasuk 10 orang ahli parlimen Aljeria. Lebih 10,000 tan ubat-ubatan, bahan binaan dan makanan tidak berjaya dihantar ke Gaza apabila semua kapal yang terbabit dirampas secara kejam oleh komando Israel walaupun masih berada di perairan antarabangsa.

Hingga kini, Israel enggan memohon maaf di atas kebiadabannya, sebaliknya mula menyalahkan Turki yang mengeluarkan kecaman tegas apabila 8 orang rakyatnya terbunuh dalam serangan kapal Marvi Marmara.

Israel terus melaksanakan pelbagai bentuk propaganda bagi membaiki imej buruknya sebagai pengganas dan penjajah bumi Palestin dengan sokongan Amerika Syarikat. Keengganan Israel untuk menerima jawatankuasa siasatan antarabangsa berhubung tragedi terbabit mengakibatkan Persatuan Ulama Islam Antarabangsa membuat keputusan untuk membeli sebuah kapal yang lebih besar bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

 

Maria Mercedes masuk Islam setelah berhibur di Mesir

Seorang wanita Sepanyol bernama Maria Mercedes, 23, telah mengucapkan dua kalimah syahadah sebaik sahaja pulang daripada menghabiskan masa selama sebulan berada di Mesir.

Setelah menjadi seorang Muslim, Maria turut menukarkan namanya kepada Aisyah mengambil sempena nama isteri Rasulullah s.a.w yang termuda. Menurut sebuah laman web, Mafkarah Islam, Maria atau nama barunya  Aisyah, telah lama curiga dengan agama asalnya setelah membandingkan apa yang terdapat dalam Injil dan al-Quran. Setelah membaca dan mengkaji al-Quran, Aisyah akhirnya menemukan bebarapa jawapan yang dicarinya selama ini dan terus berusaha untuk mendalami Islam sebagai pilihannya yang terbaik.

Aisyah sudah pun berkahwin dengan Saif Jawaz, seorang pemuda keturunan Yunani, yang juga telah memeluk Islam. Mereka mempunyai dua orang anak, iaitu tujuh tahun dan seorang lagi berumur sepuluh bulan.

Ditengah-tengah kemarahan masyarakat Eropah terhadap ikon yang ada kaitan dengan Islam, Aisyah yang terus menetap di Sepanyol tidak gentar meskipun membuat keputusan untuk memakai jilbab.

Semalam, Sepanyol merupakan negara pertama yang memberikan kebenaran kepada remaja untuk menggugurkan kandungan tanpa perlu mendapat persetujuan ibu bapa. Keputusan tersebut menyebabkan rakyat Sepanyol mempersoalkan kewajaran tindakan yang dilakukan oleh kerajaan, termasuk bakal menimbulkan lebih banyak protes.

Tokoh liberal Mesir dan diisytiharkan murtad meninggal dunia

Profesor bahasa dan sastera Arab keturunan Mesir, Dr. Nasr Hamid Abu Zaid telah meninggal dunia di sebuah hospital Kaherah akibat serangan virus yang jarang ditemui dan dikatakan amat berbahaya.

Dr. Nasr yang dilahirkan di sebuah perkampungan miskin di tebing Sungai Nil, Mesir tinggal di Belanda selama 15 tahun setelah rayuannya ditolak oleh mahkamah atas keputusan terdahulu yang mengisytiharkannya murtad pada tahun 1995. Pada tahun 1993, Dr. Nasr diisytiharkan murtad atas beberapa sikap akademiknya yang memperkenalkan kajian al-Qur’an berdasarkan pendekatan hemeneutik.

Dr. Nasr mula terpengaruh dengan pendekatan tersebut setelah mendapat pendedahan aliran falsafah itu apabila melakukan penyelidikan selama dua tahun di Amerika Syarikat dan merasakan sudah tiba masanya al-Qur’an turut ditafsirkan berdasarkan kerangka tersebut sebagaimana telah dilakukan ke atas Bible.

Pada tahun 1992, Dr. Nasr gagal dalam percubaannya untuk mendapatkan jawatan sebagai professor penuh di Jabatan Bahasa dan Sastera Arab, Universiti Kaherah apabila salah seorang yang mengadilinya menolak atas alasan hasil penulisannya tidak berdasarkan kaedah ilmiah sebagaimana ditetapkan. Akibat itu, Dr. Shahnin Shabur yang mengetuai jawatankuasa tersebut menyelar pendekatan hermeneutika al-Qur’an yang diusahakan oleh oleh Dr. Nasr bukan sahaja mencabar pendekatan ulamak klasik malah menyimpang dari tradisi Islam.

Hampir seluruh Mesir menerima keputusan “pengisytiharan murtad” dan cadangan memisahkan perkahwinannya dengan Dr. Ebhetel Yunis, seorang professor bahasa dan sastera Perancis di Universiti Kaherah. Perkahwinan dengan Dr. Ebethel adalah perkahwinan kedua setelah bercerai secara baik dengan seorang gadis kampung yang dijodohkan oleh keluarga.

Dr. Nasr yang dilahirkan pada tahun 1943, kembali ke Mesir beberapa bulan lalu setelah pihak doktor gagal mengesan penyakit sebenarnya. Beliau telah dirawat di sebuah hospital dalam keadaan “kritikal tapi stabil” yang turut dianggap oleh sesetengah pihak mirip sakit yang menimpa bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon yang masih bernafas tetapi seluruh anggotanya sudah lumpuh.

Sepanjang menerima rawatan di unit rawatan rapi beliau tidak dibenarkan menerima tetamu.

Dr. Nasr juga menjadi kontroversi apabila mula menyebarkan hasil pengalamannya bergaul dengan masyarakat gay di Amerika Syarikat dan menganggapnya sebagai unsure kemanusiaan yang perlu diberikan pengiktirafan oleh masyarakat. Buah fikirannya dikatakan menjadi ikutan bagi mereka yang menyanjungi prinsip Islam Liberal dan beberapa buah bukunya telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia.

Sebuah buku yang ditulis semasa “dalam buangan” telah diterjemahkan ke bahasa Melayu dan diterbitkan dengan jodol Suara Orang Buangan:  Ulasan buku tersebut terdapat dalam laman web: ummatanwasatan.net dalam ruangan Resensi.

Antara karyanya yang dianggap terbaik ialah The Founding of Medieval Ideology and A Critique of Religious Discourse dan menjadi rujukan penting kelompok Islam Liberal. Buku-bukunya turut diterjemahkan ke bahasa Perancis, Belanda, Jerman dan Turki selain bahasa Inggeris.

 

Israel Siap Sedia Sekat Serangan Hizbullah

Pasukan tentera Israel sedang menjalankan latihan ketenteraan di Lebanon bagi menghadapi kemungkinan diserang oleh roket Hizbullah.

Menurut satu sumber tentera seperti dipetik oleh akhbar Haaretz, Israel menjalani latihan ketenteraan di Elyakim, berhampiran dengan Haifa sebagai persiapan menghadapi serangan roket Hizbullah.

Menurut seorang kolonel Israel, anggota tentera Amerika Syarikat berhasrat menggunakan kembali pasukan tentera Israel yang mempunyai pengalaman perang di Lebanon pada tahun 2006.

Tentera Israel yang dibantu oleh tentera Amerika Syarikat yang melancarkan peperangan selama 33 hari di Lebanon itu telah diberikan nasihat agar menjalani latihan terbuka dan bersiap sedia menyerang Lebanon suatu hari nanti.

Pangkalan tentera Elyakim dipenuhi dengan pelbagai jenis simulasi dan kelengkapan perang moden yang disimpan oleh Amerika Syarikat bagi memudahkan Israel melancarkan serangan ke atas negara-negara Arab.

Angkatan tentera Israel dilaporkan turut menjalani latihan di Tanah Tinggi Golan bagi membolehkan mereka menguasai peperangan di kawasan berbukit.

 

 

Wanita Saudi belanjakan 1.5 bilion dolar setahun membeli kosmetik

Dianggarkan wanita Arab Saudi berbelanja sebanyak US 1.5 bilion setahun semata-mata untuk membeli kosmetik dan mendapatkan rawatan peremajaan kulit.

Hasilnya, Saudi merupakan negara Arab yang paling banyak menghabiskan wang membeli barangan kosmetik di Timur Tengah.

Menurut berita yang disiarkan oleh edisi akhbar alJazeera, terdapat sebanyak 64 buah syarikat kosmetik yang menjalankan perniagaan di Arab Saudi.

Akhbar tersebut    menyebut, menurut Rasyid Gangga, seorang pengurus jualan sebuah syarikat kosmetik, pasaran Arab Saudi telah berjaya menarik jenama-jenama kosmetik tersohor menjalankan perniagaan. Terdapar lebih 50 jenama kosmetik yang berasal dari Perncis manakala dari negara-negara Eropah yang lain, Eropah dan Asia hanyalah 10 jenama.

Menurut anggaran purata perbelanjaan kosmetik, Rasyid Gangga menjelaskan bahawa kelompok wanita muda Saudi membelanjakan sekitar 14 hingga 18,000 riyal setahun untuk kosmetik.

Bagi Rasyad, berdasarkan ukuran pasaran Saudi urusniaga kosmetik mencapai tahap 4 bilion riyal setahun dan ini tidak termasuk pembelian yang dibuat oleh wanita tempatan semasa membeli-belah atau melancong di luar negara.

Menurut anggaran yang lain, pelancong dalam kalangan rakyat Saudi ke luar negara diunjurkan telah berbelanja sebanyak 45 bilion riyal (US $15 bilion) setahun.

Susunan MAHANOR SALEHA

1 Comment

Leave a Reply