Rejim Zionis laksanakan hukum rimba
Oleh MONOSIN SOBRI
Amerika Syarikat, khususnya pentadbiran Barrack Obama hanya mampu menyatakan simpati kepada sukarelawan Flotilla Pembebasan Gaza sebaik sahaja mendapat tahu kapal Marvi Marmara diserang dan ditunda dari kawasan perairan antarabangsa ke pelabuhan Ashdod oleh komando tentera laut Israel. Misi kemanusiaan yang disertai oleh 700 orang sukarelawan dari lebih 30 buah negara itu merupakan bukti kekejaman Israel apabila menggunakan kekerasan dan senjata sehingga menyebabkan 19 orang mati dan lebih 50 orang cedera seminggu lalu sebaik sahaja penumpang yang beragama Islam sedang menunaikan sembahyang Subuh.
Kapal ketujuh yang bertolak lewat tiga hari, Rachel Corrie turut dirampas oleh komando Israel di perairan antarabangsa setelah lebih empat jam dipujuk supaya mematahkan haluan tidak ke Gaza dengan menundanya ke pelabuhan Ashdod pada petang Sabtu lalu. Dalam rampasan kedua ini tidak berlaku tembakan kerana mungkin Israel sudah mula memahami bahawa tindakannya pada awal minggu lalu telah membangkitkan kemarahan masyarakat antarabangsa, termasuk masyarakat Yahudi sendiri.
Hasil bedah siasat ke atas sukarelawan yang terbunuh, terdapat kesan tembakan dari jarak dekat telah dilakukan oleh pasukan komando tentera laut Israel menyebabkan semakin bergema desakan agar rejim Zionis itu dibawa ke pengadilan antarabangsa. Sukarelawan yang dibebaskan turut mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di negara masing-masing dengan menjelaskan bahawa Isreal telah melakukan tindakan ganas dan menyalahi undang-undang antarabangsa kerana menembak mereka yang tidak bersenjata secara buta tuli.
Kesalahan juga turut diperkatakan bahawa Israel tidak sepatutnya menyekat bantuan kemanusiaan itu kerana sudah hampir empat tahun penduduk Gaza menderita dengan pelbagai sekatan yang dilakukan sejak menguasai Gaza pada tahun 2006. Akhir tahun 2008, Israel melancarkan perang habis-habisan untuk membersihkan etnik Palestin di Gaza selama 22 hari dengan menggunakan bahan kimia fosforus, termasuk menyerang khemah-khemah yang menempatkan pasukan perubatan antarabangsa sehingga menyebabkan lebih 1.400 orang awam terbunuh dan puluhan ribu orang lagi terpaksa melarikan diri kerana kediaman mereka menjadi sasaran peluru berpandu.
Catatan perang selama 22 hari yang bermula 27 Disember 2008 dan berakhir pada 17 Januari 2009 itu dilancarkan oleh Israel kerana enggan mengiktiraf kemenangan Hamas dalam pilihan raya demokratik pertama Palestin (tahun 2006). Keengganan menerima kemenangan Hamas itu menjadi latar serangan kerana Israel melabelkannya sebagai pengganas akibat tidak bersetuju dengan PLO yang diasaskan oleh Yasser Arafat apabila parti pimpinan Mahmud Abas itu mengalami kekalahan.
Akibat tidak mengiktiraf Isreal sebagai sebuah negara yang berdaulat, berbanding dengan PLO semasa dibawah pimpinan Yasser Arafat yang menandatangani perjanjian dengan Israel pada tahun 1995. Dalam perjanjian tersebut, yang bermula dengan pertemuan di Oslo pada tahun 1993 atas inisiatif Bill Clinton, Isreal bersetuju menyerahkan beberapa wilayah yang didudukinya dan pihak berkuasa Palestin dibenarkan menubuhkan kerajaan manakala kewujudan Israel sebagai sebuah negara berdaulat mendapat pengiktiran PLO.
Hamas yang ditubuhkan pada tahun 1987 menganggap persetujuan dan sikap menerima kewujudan negara Israel sebagai alasan kuat menolak kepimpinan PLO. Sejak tertubuhnya Hamas, beberapa siri serangan ke atas kumpulan PLO telah dilakukan sehingga menampakkan bahawa kedua puak ini tidak mungkin akan bersatu dan Gaza mula menjadi kawasan yang tidak pernah sunyi dengan peperangan.
Pada tahun 2005, Perdana Menteri Israel ketika itu, Ariel Sharon menarik balik askarnya dari Gaza dan ini memberikan ruang yang lebih luas kepada Hamas untuk melakukan serangan ke atas kumpulan al-Fatah yang dikuasai oleh PLO. Kemenangan Hamas dalam pilihanraya pada tahun 2006, telah dilihat oleh Isreal sebagai kemenangan yang tidak bermaruah, dan menyebabkan Israel terus melobi masyarakat antarabangsa agar tidak menerima Hamas.
Atas rasa terpukul dengan sikap Israel yang tidak menghormati keputusan rakyat, Hamas telah menculik dua orang tentera Israel, termasuk Gilad Shalit di kawasan sempadan yang dikawal oleh askar rejim itu. Serangan dan konflik dengan Israel menjadi semakin rumit sehingga menyebabkan Hamas melancarkan serangan roket ke atas wilayah Israel di bahagian selatan.
Pada tahun 2007, konflik Hamas dan Fatah berada di kemuncaknya. Kedua-dua belah pihak saling berperang dan menyebabkan puluhan penyokong masing-maisng terkorban dan akhirnya Hamas berjaya mengambil alih pentadbiran Gaza. Bulan Julai 2008, Hamas dan Gaza bersetuju melaksanakan gencatan senjata abu mengakhiri serangan roket. Walau bagaimanapun, gencatan sejata itu menjadi satu muslihat baru Israel apabila sekatan lebih ketat dilakukan ke atas penduduk Gaza, termasuk menghalang sebarang bentuk bantuan daripada masyarakat antarabangsa.
Pada bulan November 2008, gencatan senjata telah dicabuli oleh Israel apabila tenteranya melancarkan serangan ke atas terowong yang biasanya digunakan oleh penduduk Gaza bagi mendapatkan barangan keperluan daripada sempadan Mesir. Serangan tersebut dibalas oleh Hamas di bahagian selatan Israel.
Bermula pada 27 Disember 2008, Isreal melancarkan serangan udara sepanjang Gaza menyebabkan lebih 200 orang terkorban. 3 Januari 2009, Isreal menghantar ketumbukan tentera ke utara Gaza untuk memulakan serangan darat. Akibat serangan tersebut, Mesir dan Perancis menangguhkan usaha untuk merundingkan gencatan senjata.
Pada 8 Januari 2009, keputusan untuk melaksanakan gencatan senjata dibawah Bangsa-Bangsa Bersatu turut ditangguhkan apabila lebih 800 orang rakyat Palestin terkorban.
Kemuncak kemarahan Hamas seterusnya ialah apabila seorang pemimpinnya telah dibunuh oleh agensi perisik Israel pada awal tahun ini di sebuah hotel mewah di Dubai. Israel yang menduga akan mendapat serangan balas Hamas telah mengetatkan lagi kawalan di kawasan sempadan termasuk mengusahakan agar Mesir turut melaksanakan cadangan serupa. Mesir yang merupakan sekutu utama Israel di kalangan negara Arab, sejak Anwar Sadat mengusahakan perjanjian Kem David pada tahun 1981, membina cerucuk besi di pintu masuk terowong yang digunakan oleh penduduk Gaza keluar masuk bagi mendapatkan barangan keperluan harian, termasuk makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan.
Pada tahun ini Mesir turut menghalang misi kemanusiaan dibawah Viva Palestin yang berhasrat membantu penduduk Gaza apabila sukarelawan tersebut dilayan secara kasar dan ditembak. Namun, akhirnya sukarelawan itu dapat memasuki sempadan Gaza setelah campurtangan beberapa negara Islam mendesak Mesir memberikan kebenaran.
Misi kemanusiaan Flotilla Freedom for Gaza yang menghadapi serangan Isreal telah berupaya membangkitkan kesedaran yang lebih besar daripada masyarakat antarabangsa, sehingga penyertaannya melangkaui sempadan agama dan etnik. Serangan yang dilakukan oleh Israel menyebabkan masyarakat keturunan Yahudi sama ada di Amerika Syarikat, Perancis hatta di Israel sendiri membantah kekerasan yang dilakukan oleh rejim Zionis itu.
Kemarahan penduduk dunia walau bagaimanapun tidak disusuli dengan kecaman oleh pemimpin utama yang diketahui bersengkongkol dengan Israel. Barrack Obama lebih setahun lalu pernah berjanji akan melaksanakan rundingan damai dan menyelesaikan ketegangan Israel-Palestin semakin sepi apabila mengetahui komando Isreal menyerang konvoi kemanusiaan ke Gaza. Sebaliknya, Barrack Obama dilaporkan oleh akhbar Washington Post pada 1 Jun 2010 bahawa telah menghubungi Benjamin Netanyahu agar tidak melakukan siksaan ke atas sukarelawan yang ditawan dan tidak menahan mereka untuk tempoh yang lebih lama.
Seramai 18 orang sukarelawan Malaysia terlibat dalam misi tersebut. 12 orang merupakan kumpulan pertama yang menjadi penumpang kapal Marvi Marmara telahpun selamat pulang ke Malaysia pada petang Ahad, manakala enam orang lagi yang menaiki kapal Rachel Corrie dijangka akan tiba petang esok.
Semasa menyambut kepulangan 12 orang sukarelawan itu dalam satu majlis, Perdana Menteri menyifatkan apa yang berlaku ke atas misi kemanusiaan tersebut adalah satu petanda yang jelas mengenai tindakan keganasan rejim Isreal. Beliau turut mendesak Israel agar membayar ganti rugi kepada mangsa yang terkorban dan memulangkan semua barangan yang dirampas, termasuk kapal-kapal yang masih ditahan oleh askar rejim zionis itu.
Apa yang menarik mengenai kejadian ini ialah masyarakat antarabangsa akan mendapat pengetahuan yang jelas mengenai kekejaman Israel dan ini, akan memberikan tekanan yang lebih besar kepada imej buruk Israel. Sukarelawan Malaysia turut menceritakan bagaimana mereka diperlakukan oleh tentera Isreal termasuk disuruh berbogel dan tidak dilayan dengan baik, mereka dilayan sebagaimana tahanan perang yang lain, sedangkan tujuan mereka bukanlah untuk berperang.
Kesalahan Isreal melakukan “rompakan di perairan antarabangsa” turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk ahli akademik, peguam dan ahli politik. Naib Pengerusi Wanita UMNO akan mengumpulkan sebanyak mungkin bukti bagi mengajukan aduan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang beribupejabat di The Hague, Belanda untuk mendakwa Israel kerana melakukan “pelanunan di perairan antarabangsa.”
Komando Israel telah melanggar peraturan antarabangsa apabila memintas konvoi kemanusiaan itu agar menuju ke perairannya. Walaupun kapal Rachel Corrie enggan, armada tentera tetap mengepong dan menundanya bagi membolehkan Israel mendakwa kemasukan kapal-kapal tersebut dalam wilayahnya secara tidak sah. Itu adalah helah yang mungkin akan dilakukan oleh Isreal, kerana sebelumnya telah menyiarakan rakaman yang disunting dan diberikan komentar bahawa sukarelawan bertindak ganas menyerang askar-askarnya.
Isreal akan menggunakan apa saja cara dan kaedah propagandanya, kerana ia mendapat dokongan kuat daripada pelampau Yahudi yang berada di Amerika Syarikat, termasuk pentadbiran White House. Badan Kehakiman Amerika Syarikat turut dikuasai oleh 33 peratus keturunan Yahudi dan ini telah menyebabkan seorang kolumnis Amerika Syarikat, Pat Buchanan menyindir sistem politik negara paling berkuasa itu.
Jika sebelum tragedi Flotilla Pembebasan Gaza ini, rejim Zionis merupakan kelompok manusia yang bijak mereka-reka cerita sehingga masyarakat dunia akhirnya menilai kekejaman bukanlah budaya Isreal, kali ini, Benjamin Netanyahu akan terus dianggap kejam dan salah. Sebelumnya, misi kemanusiaan hanya dilaksanakan kumpulan yang lebih kecil dan terhad, konvoi Flotilla ini telah membuka mata masyarakat dunia. Walau pun gagal, kemungkinan tetap ada satu konvoi yang lebih besar akan tetap berlaku pada masa akan datang.
Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib turut membayangkan kemungkinan itu. Usaha melaksanakan misi kemanusiaan yang lebih besar akan tetap diteruskan, termasuk kemungkinan menggunakan jalan darat.
Namun yang masih menjadi tandatanya ialah apakah kali ini Isreal akan benar-benar akan dibawa ke pengadilan atas jenayah yang dilakukannya? Apakah Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu akan memainkan peranan yang berkesan bagi mengurangkan tragedi kemanusiaan yang semakin kusut dan tanpa batasan ini? Apakah undang-undang antarabangsa akan terus mengecualikan Israel sedangkan Amerika Syarikat semakin berusaha memindahkan desakan itu dengan menumpukan perhatian ke atas Myanmar kerana menjalinkan usaha memajukan senjata nuklear dengan kepakaran Korea Utara?
Kali ini, Amerika Syarikat mungkin akan menemui kegagalan untuk menyekat Myanmar, Korea Utara hatta Iran dari terus memajukan teknologi nuklear masing-masing. Amerika Syarikat terpaksa menyelesaikan dahulu isu “lanun Isreal” kalau negara itu benar-benar ingin dihormati, kerana Australia dan Britain semakin membenci Israel kerana passport negaranya telah dipalsukan oleh Mossad.
Keyakinan masyarakat umum terhadap keupayaan PBB dan Amerika Syarikat akan terus jatuh ke paras terendah , jika tragedi Flotila ini dipendamkan begitu sahaja kerana tidak berupaya menghadapi “kuasa lobi zionis atau Israel”. Barrack Obama akan terus dilihat tidak mampu melakukan perubahan sebagaimana yang dicanangkan semasa kempennya, dan sehingga kini beliau masih belum keluar daripada bayangan retorik terrorisme yang diciptakan oleh George W. Bush, melanjutkan tradisi suka berperang dan campur tangan ke atas semua negara yang dilihat mampu memberikan saingan ke atas kepentingan ekonominya.





