Obama makin tidak diyakini rakyatnya sendiri
Oleh MAHANOR SALEHA
Dua tinjauan pendapat terbaru menunjukkan Presiden Amerika Syarikat yang pernah menempa sejarah sebagai warga kulit hitam pertama dan termuda semasa kemunculannya dengan slogan “perubahan” nampaknya benar-benar berjaya mengubah persepsi politik walaupun hanya baru menjawat jawatan tersebut lebih setahun lalu.
Berdasarkan tinjauan pendapat yang dibuat oleh stesen tv CNN, rakyat Amerika Syarikat semakin kurang yakin dengan kebolehan Obama mengendalikan krisis yang dihadapi. Atas kegagalannya menangani bencana tumpahan minyak di Telok Mexico sejak 20 April, telah mengancam kehidupan marin dan sampai sekarang masih belum ada tanda akan berakhir.
Atas tindakannya yang tertangguh-tangguh, hanya beberapa hari lalu mengeluarkan kenyataan tegas untuk tidak lagi memberikan kontrak kepada British Petroleum jika tidak dapat mengatasi tumpahan minyak, persepsi rakyat Amerika terhadap Obama turut disamakan dengan kesilapan George W. Bush menangani mangsa Taufan Katrina.
Tinjauan pendapat tersebut membuktikan penerimaan rakyat Amerika Syarikat telah merosot dari 60 peratus pada bulan Januari kepada 53 peratus pertengahan Jun lalu. Obama yang diangggap cukup kuat, kerana slogan “perubahan” yang dicanangkan sudah kehilangan makna. Obama terus dilihat tidak banyak berubah, masih meneruskan sikap dan kebodohan tindakan Bush dalam menghadapi sesuatu krisis.
Kepercayaan kepada kemampuan Obama untuk megendalikan pentadbiran kerajaan juga turut merosot dari 58 peratus pada akhir tahun lalu kepada 49 peratus. Penurunan sebanyak 9 mata ini menjadikan Obama terpaksa berhempas pulas membina strategi baru jika beliau benar-benar mahu dilihat telah berjaya merealisasikan bentuk perubahan, dan terus memimpin Amerika Syarikat.
Mengenai tumpahan minyak di Telok Mexico, pada mulanya dikatakan berjumlah 15,000 tong sehari tetapi kini anggaran itu telah melonjak antara 35,000 hingga 60,000 tong menjadikan perairan tersebut semakin tidak selamat untuk hidupan laut. Tragegi tumpahan minyak itu juga menyebabkan seramai 11 orang warga Amerika Syarikat maut.
Laporan tinjauan pendapat kedua, iaitu oleh Pew Global Attitudes Projects menunjukkan lapan dari sepuluh orang di Mesir, Turki dan Pakistan sudah tidak lagi mempercayai Amerika Syarikat dan Presidennya. Hanya 21 peratus penduduk Jordan masih melihat Amerika Syarikat secara positif
Dalam tinjauan yang dilakukan ke atas tujuh buah negara majoriti penduduk Islam yang teramai itu hanya mendapati bahawa 52 peratus penduduk Lebanon, 59 peratus rakyat Indonesia dan 81 peratus warganegara Nigeria masih mengekalkan persepsi positif terhadap kebolehan Obama memimpin Amerika Syarikat.
Hanya 8 peratus penduduk Pakistan masih mempercayai kepimpin Obama dan ini akan memberikan persepsi terburuk kepada Amerika Syarikat setelah berusaha menjadikan negara itu sebagai kubu pertahanan bagi menyekat kemaraan kumpulan Taliban dan al-Qaeda. Pakistan kini sedang berhempas pulas untuk membebaskan rusuhan antara kumpulan-kumpulan radikal Islam yang semakin menunjukkan sokongan kepada gerakan al-Qaeda dan Taliban.
Ahli kumpulan al-Qaeda dan Taliban masih belum dapat dihapuskan sepenuhnya oleh Amerika Syarikat walaupun pernah mengeluarkan kenyataan telah berjaya mengesani kawasan operasinya, anggota kumpulan tersebut semakin bertambah apabila semakin ramai anak muda Afghanistan dan Pakistan sedar bahawa mereka sebenarnya melakukan “jihad ke atas penjajah.”
Kesan kegelojohan Amerika Syarikat untuk menguasai Afghanistan sebagai laluan paip minyak yang akan disedut dari Iraq untuk disalurkan ke Telok Benggala sebelum diangkut ke luar, Presiden George W. Bush menggunakan alasan “menghapuskan terroris” kerana peperangan dalam abad ke-21 adalah dengan penganut Islam. Lantaran itu, Bush sanggup mengerahkan anggota NATO dan memperkudakan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu agar mengambil ketetapan untuk merestui penghantaran ketumbukan ketenteraan bagi menghadapi sengketa di Afghanistan setelah Russia tidak lagi berminat menjajahnya.
Rusia pernah menguasai Afghanista selama 10 tahun, iaitu pada tahun 1979 dan awal tahun 1990 terpaksa mengaku menyerah kalah. Amerika Syarikat juga pernah mengalami kekalahan setelah cuba campur tangan di Vietnam yang menghadapi peperangan saudara dalam menentukan kerajaan turut akur bahawa penglibatannya selama lebih 10 tahun tidak mampu menahan gelora patriotik rakyat Indocina. Pada tahun 1974, Amerika Syarikat menarik diri dari Vietnam.
Atas sifat rakusnya, kalau semasa mengambil keputusan campurtangan di Vietnam hanya atas alasan kebimbangan berlakunya kesan domino, maka campurtangan di Afghanistan kerana ingin memburu Osama Benladin yang dikaitkan dengan pengeboman World Trade Center pada 11 September 2001 dan beberapa insiden lain, termasuk serangan ke atas beberapa kepentingan Amerika Syarikat di beberapa negara.
Tinjauan pendapat ini dilakukan setelah Obama membina harapan baru dengan Islam dalam sebuah pidato bersejarahnya di Kaherah. Dalam pidatonya beliau berjanji akan meneruskan rundingan damai Arab-Israel dan menggunakan pendekatan mesra terhadap Islam kerana beliau sedar Amerika Syarikat terus dikecam dan kurang diterima oleh kebanyakan negara Islam kesan sikap Bush yang tidak pernah mengecam sebarang tindakan ganas Israel terhadap Palestin.
Semasa Gaza diserang dengan bahan kimia posforus oleh Israel mulai penghujung 2008 sehingga pertengahan 2009, Bush tidak mengambil tindakan mengecam atau mengutuk tindakan ganas itu. Bush seterusnya mempertahankan dakwaan Israel bahawa tindakanya menyerang Gaza kerana Hamas telah menculik dua askarnya. Kemenangan Hamas dalam pilihan raya umum Palestin pada tahun 2006 dikatakan tidak sah kerana bagi Israel, hanya Fatah yang boleh memerintah Palestin atas alasan ada persetujuan antara Yasser Arafat dan Menuhum Begin atas pengiktirafan wilayah berdaulat itu.
Hamas terus dilihat sebagai kumpulan pemberontak dan kerana itu Gaza terus dikepong. Israel terus memaksa Mesir supaya tidak memberikan bantuan kepada penduduk Gaza dan mendesak Amerika Syarikat agar menyekat bantuan sekiranya ada tanda-tanda bahawa Mesir membantu rakyat Palestin. Akhir tahun lalu, Mesir semakin memperketatkan keluar masuk penduduk Gaza dengan menutup terowong bawah tanah dan membina jeriji atas desakan Israel apabila lebih banyak bantuan kemanusiaan tiba melalui Rafah.
Israel terus bimbang dengan bantuan kemanusiaan itu dengan alasan turut membawa masuk senjata kepada Hamas. Pembunuhan seorang pemimpin Hamas beberapa bulan lalu turut menggemparkan masyarakat antarabangsa apabila anngota Mosad didapati terlibat memalsukan pasport Britain dan Australia. Kemarahan itu menyebabkan Israel semakin dibenci, tetapi Obama terus menghulurkan bantuan kepada rejim zionis dengan mempertahankan apa yang dilakukan itu sebagai keputusan yang betul oleh sebuah negara yang berdaulat.
Sikap Obama itu semakin dilihat tidak mesra dan bersungguh-sungguh memperbaiki hubungan dengan negara-negara Arab. Ini adalah faktor yang menjerumuskan persepsi masyarakat Islam terhadap Amerika Syarikat, dan keadaan ini dijangka akan bertambah merudum apabila Barrack Obama turut diukur tidak prihatin dengan kecaman masyarakat antarabangsa berhubung serangan ke atas Flotila Pembebasan Gaza yang bermula pada waktu subuh 31 Mei 2010.
Jika faktor ini diambil kira dalam tinjauan akan datang, pemerhati politik antarabangsa meramalkan persepsu global terhadap Obama akan terjerumus ke tahap terendah termasuk dari Amerika Syarikat sendiri. Kini isu tumpahan minyak masih belum selesai, Amerika Syarikat sedang menghadapi tekanan kerana menggunakan Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu menekan Iran dengan keputusan dikenakan sekatan ekonomi yang lebih tegas. Walau bagaimanapun, Iran terus memperlekehkan sekatan tersebut sebagai sesuatu yang “tidak akan berkesan dan tidak sah.” Iran terus mendesak agar sekatan tersebut segera dimansuhkan jika mahu melihat adanya hubungan dan kerjasama yang baik dengan badan pemeriksa atom antarabangsa.
Reaksi Iran itu bukanlah sesuatu yang mampu ditolak dengan mudah oleh Obama, kerana Arab Saudi sudah mengeluarkan kenyataan tidak akan membenarkan ruang udaranya digunakan oleh Amerika Syarikat bagi tujuan menyerang Iran. Mesir juga menjadi semakin prihatin apabila tidak akan mudah tunduk dengan kehendak Israel agar menyekat kapal-kapal bantuan Iran yang akan bertolak ke Gaza. Iran terus membuli tidak akan takut dengan ancaman Israel dan kemungkinan kapal bantuan kemanusiaannya diserang, kerana pasukan tentera udara turut sama mengawal perjalanan itu.
Israel sudah mengeluarkan kenyataan akan bertindak tegas dan ganas ke atas sebarang bantuan ke Gaza. Namun, itu tidakan mematahkan semangat kerana lebih banyak sukarelawan akan memasuki Gaza, dan tentunya Israel akan berhadapan dengan lebih banyak kapal. Ini akan menyebabkan Presiden Barrack Obama tidak senang duduk, dan kemungkinan akan menangguhkan sekali lagi kunjungannya ke Indonesia tetap ada.
Rakyat Indonesia mula memandang Obama adalah punca utama Israel semakin ganas sebagaimana menilai George W. Bush dan lain-lain presiden Amerika Syarikat sejak keganasan ke atas penduduk Palestin bermula pada tahun 1948. Setelah 62 tahun negara Israel didirikan, Amerika Syarikat tidak menunjukkan prihatin kepada penduduk Palestin, sebaliknya terus memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk kepada Israel. Adakalanya Amerika Syarikat terpaksa tunduk kepada Israel kerana takut kedudukan presiden akan terancam dan kemungkinan mengundang tragedi seperti dialami oleh beberapa orang presiden .
Harapan baru negara-negara Islam nampaknya lebih tertumpu kepada Turki. Bukan kerana 9 seorang sukarelawan negaranyang yang dibunuh oleh komando Israel, tetapi kerana kelantangan Erdogan menjadikan masyarakat Islam melihatnya sebagai pemimpin baru yang tegas dan berani. Erdogan bukan sahaja tidak gentar dengan sebarang gertakan Israel, malah pernah mengeluarkan kenyataan akan turut mengangotai sukarelawan ke Gaza dan jika ini benar-benar berlaku, nampaknya kedua pemimpin akan dilihat sudah sampai ke kemuncak sengketa, yang bakal menjerumuskan peperangan.
Inilah yang mungkin sedang menjadi percaturan politik yang dijangka mampu meningkatkan imej Obama sekiranya benar-benar ingin dilihat “melaksanakan perubahan.” Obama tentunya tidak sanggup memaksakan Israel, kerana Obama memang sedar, lebih banyak tekanan akan dihadapinya jika mengecam atau tidak memenuhi permohonan menambahkan stok bekalan senjata ke Israel, kerana itulah Obama dilihat seolah-olah membisu mengenai Israel. Mungkin Obama kini sedar, untuk melaksanakan janji adalah lebih sukar setelah janji yang diberikan itu melonjakkan ke tampuk kekuasaan. Banyak helah dan prasangka terpaksa dilihatnya, kerana helah dan prasangka itu bakal menentukan nasib presiden selanjutnya. Itulah realiti politik Amerika Syarikat sejak penubuhannya lagi.





