Gubal undang- undang ke atas pelaku homoseks
Oleh DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Perbuatan homoseksual atau fenomena hubungan seks sesama jenis tidak sepatutnya berlaku jika kita memahami hakikat kenapa manusia dijadikan Allah s.w.t. Manusia dijadikan secara alaminya berbeza, termasuk perbezaan jantina. Perbezaan jantina membuktikan adanya hasrat untuk hidup bersama, berkongsi sesuatu yang tidak dipunyai oleh jantina yang berlawanan. Semuanya itu diciptakan dengan asas dan tujuan yang satu, menjadikan hidup manusia bermasyarakat, beretika dan menghormati perbezaan. Allah s.w.t mencipta manusia lelaki dan perempuan, dan kerana itu tidak ada kelainan jantina selain dari itu.
Seorang lelaki dapat merasai nikmat apabila hidup bersama seorang wanita dalam konteks perkahwinan yang sah. Ketika itulah manusia mungkin sedar fungsi kekeluargaan, antara lelaki dan wanita akan menambahkan zuriat. Zuriat inilah yang menjadikan kelangsungan umat.
Apabila lelaki hanya boleh hidup bersama lelaki, ia sudah melanggar hukum alami ciptaan Allah s.w.t. Kita mungkin tidak mahu masyarakat akan menghadapi masalah sosial sebagaimana berlaku pada zaman Nabi Lut a.s. Kita mungkin juga tidak lupa kepada sejarah kuno yang berlaku di Yunani, iaitu kepada sebuah bandar yang lahir dari sebuah tamadun tinggi. Bandar Pompei masih memberikan kita pengajaran jelas, akibat penduduknya leka dan mengamalkan hubungan seks sesama jenis, Allah s.w.t menurunkan bala kepada mereka sehinggalah kehidupannya musnah
Kita semua patut berasa malu apabila baru-baru ini seorang pengawal keselamatan yang beragama Islam dan berbangsa Melayu dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menyiarkan gambar tidak senonohnya melakukan hubungan sejenis dengan lelaki lain di Internet.
Manakala pada penghujung Mei, pihak berkuasa menangkap sebilangan pelanggan sebuah spa dan urutan untuk golongan homoseks di Cheras, Kuala Lumpur. Sebahagian besar daripada pelanggan itu juga berbangsa Melayu dan beragama Islam. Setelah itu, tujuh orang lelaki lagi ditahan di Pulau Tikus, Pulau Pinang kerana disyaki terlibat dengan gejala serupa. Perilaku ini semakin berkembang.
Nampaknya sesuatu perlu dilakukan segera untuk membendung gejala homoseks yang sedang ganas melanda negara tercinta ini. Gejala ini sudah terlalu parah. Justeru ubat untuk merawatnya juga perlulah kuat, keras dan mendalam
Undang-undang jenayah syarie juga kurang jelas, kerana pasangan sesama jenis yang berada dalam keadaan yang mencurigakan tidak boleh didakwa atas tuduhan khalwat. Takrif khalwat hanya terhad kepada pasangan lelaki dan wanita, tidak tertakluk kepada pasangan sesama jenis. Begitu juga peraturan-peraturan kecil yang digunapakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Pasangan sejenis yang berdua-duan secara mencurigakan di tempat awam, terlepas dari tuduhan melakukan khalwat, maka atas kelemahan itu menjadikan perilaku ini semakin berkembang.
Secara institusinya, kita memerlukan satu peraturan yang tegas. Kita perlukan pindaan, kalaupun tidak sebuah akta yang baru. Kita perlu mentakrifkan semula “makna berdua-duaan secara mencurigakan” kerana kekhususan khalwat hanya terpakai dalam aksi antara lelaki dan wanita.
Justeru itu perlu ada peruntukan di bawah kesalahan jenayah syariah di mana kita boleh mengambil tindakan dari segi undang-undang terhadap pasangan sejenis yang berada dalam situasi yang mencurigakan seperti mana juga yang kita telah peruntukan undang-undang terhadap kesalahan berkhalwat.
Tanpa rasa khuatir dan takut menerima tekanan kelompok ini, penggubal undang-undang mesti berani beriltizam untuk tidak menyemarakkan budaya yang bercanggah dengan etika, moral dan nilai agama. Kita mungkin boleh menjadikan apa yang pernah berlaku semasa zaman Nabi Nuh a.s sebagai pengajaran.
Apa yang sedang berlaku kini amat memalukan. Bagaimanapun, tanpa disedari, sebenarnya kita sendiri menjadi punca hingga menyebabkan golongan homoseksual semakin membiak dan berani.
Pelik, mengapakah golongan ini terus wujud dan semakin berkembang biak walaupun mereka tahu bahawa perbuatan itu dikutuk oleh agama dan bercanggah dengan undang-undang?
Dalam hal ini, pihak kerajaan perlulah bertindak dengan lebih cepat, tegas dan agresif dalam menanganni isu ini kerana ini kerana, majoriti yang terlibat dengan gejala homoseks tersebut adalah anak-anak muda Melayu yang beragama Islam
Islam juga menganjurkan supaya mengajak saudara-saudara kita supaya menjauhi perbuatan yang dilarang agama. Jika usaha itu berjaya, kita akan mendapat rahmat dari Allah s.w.t.
Tetapi jika membiarkan saudara-saudara kita itu terus bergelumang dengan dosa dan membiarkan bumi ini dicemari gejala tersebut, maka tunggulah malapetaka dari Allah. Dan apabila malapetaka itu diturunkan, ia tidak akan memilih mangsa.
Justeru itu, Allah menegaskan dalam surah al-Isra’ ayat 16 yang bermaksud: “Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesuatu tempat dan negeri itu, akan Kami arahkan mereka yang melampau dalam semua perkara, lalu mereka melakukan kerosakan dalamnya (kampung dan negeri itu), maka berhaklah negeri itu untuk dibinasakan, lalu Kami hancurkannya dengan sehancur-hancurnya.”
- Penulis ialah Yang Di Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia






