Home » Tafsir » Al-Baqarah, ayat 43: Mendirikan solat dan menunaikan zakat

Al-Baqarah, ayat 43: Mendirikan solat dan menunaikan zakat

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI 

Ibn Jarir al-Tabari berkata dalam tafsirnya Jami’ al-Bayan: “Ini arahan daripada Allah kepada siapa yang disebut daripada kalangan pendita Bani Israil dan golongan munafiqnya supaya kembali dan bertaubat kepada-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat dan memeluk agama Islam bersama orang Islam dengan penuh ketundukkan dan ketaatan. Di samping itu melarang daripada menyembunyikan apa yang mereka ketahui berhubung kenabian Muhammad selepas nyatanya segala hujah.” Justeru, Allah s.w.t melangsungkan lagi arahan-Nya seperti berikut: 

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Baqarah; ayat 43 yang bermaksud: 

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” 

Firman Allah s.w.t: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang”, iaitu tunaikan apa yang wajib ke atasmu daripada solat. Ibn Qayim berkata dalam tafsirnya Bada`i al-Tafsir: “Kita diarahkan dengan mendirikan solat, iaitu mendatangkan dengannya segala rukun-rukunnya seperti qiam, rukuk, sujud dan zikir-zikir dengan sesempurnanya.” Ibn `Ataillah al-Sakandari berkata: “Mendirikan solat bermaksud menjaga segala hadnya sama ada secara zahir atau batin berserta menjaga sir (rahsia) bersama Allah yang tidak dicampurkan dengan sirmu selain daripada-Nya.” Al-Imam Abu Qasim al-Kushairi pula berkata: “Iaitu melaksanakan segala rukunnya dan sunatnya kemudian tenggelam daripada penyaksiannya dengan melihat kepada siapa yang disembahyangkan, yakni Allah.” “Dan keluarkanlah zakat”, iaitu tunaikanlah kewajipan ke atasmu dengan mengeluarkan zakat yang bermaksud sesuatu itu bertambah dan subur. Sedangkan pada istilah syaraknya pula ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Adapun hikmah dan faedah zakat seperti mana dinaqalkan daripada guru-guru kami melalui kitabnya Al-Fiqh al-Manhaji adalah seperti berikut: 

1.  Amalan berzakat boleh membiasakan diri pengeluarnya bersifat pemurah, dan suka berkorban. Amalan itu juga boleh mencabut akar umbi sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil. Hakikat ini akan dirasai sendiri oleh pengeluar zakat tersebut dan dia juga menyedari bahawa zakat itu lebih ketara menambah harta daripada menguranginya.

2.  Zakat boleh menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang antara pengeluar zakat dengan orang lain. Apabila kesedaran tentang rukun Islam ini tersebar dalam masyarakat dan setiap orang Islam yang mampu menunaikannya kewajipannya memberikan zakat kepada orang yang berhak menerimanya, maka dapat dilihat betapa kuatnya jalinan kasih sayang sesama individu Muslim, kumpulan-kumpulan mereka dan antara masyarakat seluruhnya. 

3.  Zakat berperanan memastikan keperluan anggota sesebuah masyarakat menjadi sempurna, meskipn terdapat keadaan dan unsur-unsur yang meluaskan jurang perbezaan taraf sosial, atau bertambahnya golongan yang memerlukan bantuan, dan golongan fakir.

4.  Zakat mempunyai peranan bagi menangani masalah pengangguran. Antara sebab utama yang menyumbang kepada pengangguran ialah kemiskinan. Orang yang miskin sudah tentu tidak mempunyai modal yang minimum untuk menjalankan seseuatu perusahaan atau pekerjaan. Dalam hal ini, jika sistem zakat berjalan sepenuhnya, sudah tentu orang yang miskin tersebut berhak menerima bahagian mereka dan membolehkan mereka menjalankan perushaan yang dirancang, sesuai dengan kemahiran dan kelayakan mereka.

5.  Zakat adalah satu-satunya cara yang dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang berbahaya kepada masyarakat, iaitu sifat berdendam, iri hati, dan dengki. Bagaimanapun sifat tersebut akan menular dalam masyarakat jika mereka tidak lagi mempunyai sifat berkasih sayang, tolong-menolong dan saling bersimpati. Fenomena ini bukan sekadar slogan yang dilaung-laungkan sahaja malah ia adalah satu realiti yang mesti dirasai oleh perasaan dan hasilnya lahir dalam masyarakat. Apabila zakat dilaksanakan seperti yang sepatutnya, hasilnya akan kelihatan jelas terang. Kesannya pula menakjubkan, iaitu dapat membersihkan jiwa daripada sifat dengki dan iri hati. Malah dapat mengeratkan hubungan persaudaraan orang ramai walaupun mereka berbeza dari segi kemewahan dan kekayaan.

Seterusnya Allah mengarahkan dengan “Dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” Dan solatlah kamu, iaitu bersama orang-orang  yang sembahyang secara berjemaah atau bersama sahabat Nabi s.a.w. 

Ibn Kathir berkata dalam tafsirnya: “Jadilah kamu bersama orang yang beriman dengan sebaik-baik amalan dan sekhusus ibadat dan sesempurnanya ialah solat. Justeru ramai di kalangan ulama menjadikan ayat ini sebagai dalil berhubung dengan kewajipan berjamaah.” 

Di sini disenaraikan beberapa dalil yang menunjukkan kelebihan dan kewajaran melaksanakan solat berjamaah, antaranya: 

  1. Daripada Ibn Umar r.a, Nabi s.a.w bersabda: 

Maksudnya: “Pahala solat berjamaah mengatasi solat bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

     2.  Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:  

Maksudnya: “Seseorang yang solat secara berjamaah mendapat pahala dua puluh lima kali ganda solat di rumah atau di pasar. Sekiranya dia berwudhu’ dengan sempurna, kemudian pergi ke masjid dengan niat semata-mata menunaikan solat, maka setiap langkahnya ke masjid itu akan dikurniakan satu darjat serta dihapuskan satu dosa. Apabila dia solat, malaikat sentiasa mendoakannya selama mana ia berada di tempat solatnya dengan berdoa; “Ya Allah! Berselawatlah untuknya dan rahmatilah dia.” Dan dia masih dalam solat selagi dia menunggu untuk solat seterusnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

     3.  Daripada Uthman bin Affan berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: 

Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna, kemudian berjalan pergi untuk mendirikan solat fardu, lalu dikerjakannya solat tersebut bersama imamnya, Allah s.w.t akan mengampunkan dosa-dosanya.” (Riwayat Ibn Khuzaimah) 

    4.  Daripada Ibn Abas r.a berkata; bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: 

Maksudnya: “Aku dikunjungi oleh seorang utusan daripada Tuhanku pada suatu malam lalu dia berkata: “Wahai Muhammad!” Aku menjawab: “Ya! Aku menyahut seruan Tuhanku.” Dia berkata: “Tahukah engkau tentang apakah perselisihan berlaku pada kerajaan di langit?” Lantas aku menjawab: “Saya tidak tahu.” Lalu dia meletakkan tangannya di antara dua bahuku sehingga terasa sejuk. Selepas itu aku dapat mengetahui dan merasai segala yang ada di langit dan di bumi atau di timur atau barat. Dia bertanya lagi: “Wahai Muhammad!, tahukah kamu tentang apakah perselisihan berlaku pada kerajaan di langit?” Aku menjawab: “Ya! Iaitu perihal penganugerahan darat, penghapusan dosa serta balasan kepada orang yang berjalan menuju ke tempat solat berjamaah.” (Riwayat al-Tirmizi. Kata beliau, hadis ini Hasan dan Gharib) 

    5.  Daripada Anas bin Malik r.a berkata; bahawa Nabi s.a.w bersabda: 

Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat secara berjamaah serta sempat  bersama imam pada takbir yang petama selama 40 hari, Allah s.w.t akan menetapkan untuknya dua pelepasan, pertama, pelepasan daripada api neraka, kedua, pelepasan daripada menjadi orang munafik.” (Riwayat al-Tirmizi) 

   6.  Daripada Umar r.a berkata; bahawa Nabi s.a.w bersabda: 

Maksudnya: “Sesiapa yang solat jamaah daripada rakaat pertama solat Isyak, dituliskan untuknya oleh Allah s.w.t bebas daripada azab api neraka.” (Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi) 

    7.  Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: 

Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk serta menyempurnakannya, lalu dia pergi berjamaah sedangkan dia dapati jemaah telah selesai, nescaya Allah mengurniakannya pahala sama seperti orang yang mendirikannya secara berjamaah tanpa sedikitpun dikurangkan pahalanya.” (Riwayat Abu Daud, al-Nasa`ie dan al-Hakim) 

    8.  Rasulullah s.a.w bersabda: 

Maksudnya: “Sesiapa yang melaksnakan solat Isyak secara jamaah seolah-olah dia telah mendirikan separuh malam. Sesiapa yang melaksanakan solat Subuh secara jamaah seolah-olah dia telah mendirikan seluruh malam.” (Riwayat Muslim daripada Uthman bin Affan) 

Oleh kerana itulah ulama telah berselisih pendapat berhubung dengan hukum solat berjamaah, sama ada ianya wajib, fardu kifayah, sunat mu`akad atau fardu ain. 

Sayid Qutub melalui Fi Zilal al-Quran berkata: “Kemudian Allah menyeru mereka untuk bergabung pada sampan keimanan dan masuk pada safnya. Disamping menunaikan segala ibadat fardu dan meninggalkan segala uzlah (pengasingan)  ini serta taksub yang dikeji sepertimana yang dikenali dengannya sifat-sifat Yahudi pada zaman dahulu.” 

Ibn al-Jauzi berkata melalui kitabnya Zad al-Masir: “Solatlah bersama orang yang bersolat.” Kata Ibn Abbas: “Dikehendaki dengan Muhammad dan sahabat-sahabatnya.” Dan dikatakan sesungguhnya disebut dengan rukuk kerana tidak ada pada solat mereka rukuk dan ucapan ini ditujukan kepada orang Yahudi. Ayat ini menjadi bukti dan dalil bahawa orang kafir juga diarah melaksanakan segala cabang agama. Inilah salah satu daripada pendapat Imam Ahmad.

 

commentscomments

  1. zaki says:

    isu zakat gaji masih ditimbulkan dalam suatu perbincangan disuatu majlis anjuran JAIS setahun dua yang lalu. Sedangkan fatwa mengenainya telah jelas disepakati oleh semua mufti diMalaysia. Boleh dr terangkan kedudukan yang sebenarnya isu ini. dan kenapa ianya berlaku sedemikian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nine + 8 =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib